Kisah pelajar cemerlang yang baru berusia 15 tahun hendak berkahwin telah menarik perhatian masyarakat lebih-lebih lagi apabila media memberi liputan ke atas perkembangan pelajar tersebut hampir setiap hari. Walaupun hari ini dinyatakan Halimaton telah insaf dan ingin benar kembali menyambung pengajiannya di sekolah, ia masih belum dapat meredakan kebimbangan aktivis masyarakat yang mahu melihat beliau meneruskan persekolahan bagi menghadapi peperiksaan kelak.
'Apabila telah berkahwin tanggungjawab bukan hanya kepada suami tetapi juga kepada anak-anak. Semua ini perlu difikirkan oleh Halimaton, oleh itu jangan membuat keputusan kerana terlalu ikutkan nafsu sebaiknya buatlah solat istikharah dahulu.' -Datuk Nooh Gadut
'Walaupun pada fizikalnya Halimaton boleh berkahwin tetapi jika dinilai daripada tahap pemikirannya ia masih tergolong sebagai kanak-kanak.' -Ivy Josiah
Halimaton pelajar cerdik, mempunyai azam yang kuat tetapi tidak mampu untuk berfikir hala tuju masa depannya kerana mengikut fantasi zaman remaja. Kawan lelakinya yang tidak banyak diketahui latar belakang dan kehidupan keluarganya diyakini lebih cenderung untuk berkahwin saja. Lelaki berkenaan akhirnya ditangkap dan ditahan reman kerana tindakannya melarikan anak gadis bawah umur.
Bagi menyelesaikan konflik di antara dua keluarga ini, peranan negara sangat penting. Sepatutnya, sebaik sahaja Halimaton mendedahkan dirinya di Langkawi, negara sudah patut membuat keputusan dengan mengarahkan agensi penguat kuasa melaksanakan tugas mereka. Pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebaiknya dapat menyelesaikan masalah ini ‘dalam sekelip mata’ supaya menjadi iktibar dan amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba melarikan anak gadis bawah umur dan mengambil kesempatan di atas kekeliruan berfikir remaja berkenaan.
Keluarga pelajar tersebut mungkin sudah bosan dengan kerenah dan kedegilannya untuk berkahwin namun tindakan negara telah menterbalikkan keadaan tersebut dan dia berhasrat kembali ke sekolah. Pada masa yang sama, kita juga maklum pihak sekolah ingin mengambil tindakan kerana dia tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari. Ini merupakan satu keputusan yang sangat tidak bijak kerana kes ini bukannya berlaku hari-hari dan ada sebab yang kukuh kenapa dia gagal ke sekolah.
Ketika kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, terdapat kakitangan awam yang menjadi mangsa sehinggakan tidak dapat hadir ke tempat kerja selama beberapa hari di Putrajaya. Ada di kalangan mangsa ini yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan kuarters di sana. Tempoh menunggu ini agak lama kerana ramai yang memohon. Disebabkan tanah runtuh, kepantasan berfikir negara sangat mengagumkan kerana dalam masa beberapa hari sahaja semua mangsa berkenaan telah mendapat rumah masing-masing. Lalu ada suara yang tidak berpuas hati kerana mereka diberi keistimewaan. Agensi yang terlibat tidak menghiraukan suara-suara ini kerana mereka memiliki pelan kecemasan untuk membantu kakitangan awam. Prihatin dan merasai kegelisahan mangsa tanah runtuh telah membantu agensi ini membuat satu keputusan yang sangat penting.
Sepatutnya pihak sekolah Halimaton juga berfikir dan bertindak demikian. Mengambil keputusan untuk memberi tunjuk sebab dan menyingkirkan pelajar dari sekolah berdasarkan kes yang berlaku kepadanya bukanlah satu keputusan yang ‘cerdik’ dari pihak sekolah. Malah masyarakat menilai keputusan itu sebagai menambah masalah kerana mengkucar-kacirkan masa depan pelajar. Sewajarnya beliau diberi peluang dan ruang untuk membaiki diri, kembali ke sekolah dan mendapat sokongan padu daripada guru, pelajar dan pihak sekolah sendiri, bukannya mengancam untuk disingkirkan.
Dalam kes-kes yang melibatkan rakyat, negara harus memberi keutamaan. Kadangkala ibu bapa tidak dapat berfikir dan bertindak dengan betul kerana kurang pengetahuan dan pengalaman. Di antara agensi kerajaan ini juga ada yang bijak dan ada kurang cerdik. Justeru, belajar untuk memberi keutamaan adalah langkah tepat untuk berhadapan dengan sesuatu krisis atau konflik.
No comments:
Post a Comment