Menjadi kebiasaan staf di tempat kerja saya untuk meraikan hari pertama setiap minggu dengan penyampaian tazkirah. Biasanya seorang penyampai telah bersedia dengan bahan-baha nya yang berkaitan dengan peringatan dan rangsangan untuk bekerja.
Agak menarik tazkirah kali ini kerana penyampai memasukkan kisah benar yang berlaku kepada dirinya semasa keluar ke pasar untuk membeli barangan keperluan harian. Kisah ini berlaku semasa beliau sedang bersiap-siap hendak membeli ikan. Perbualan yang didengari bunyinya begini.
Pembeli ikan: Berapa harga ikan ni sekilo?
Penjual ikan: Uh … Saya tidak akan jual ikan-ikan pada Cik. Walaupun harga ikan ni 1000 ringgit, saya tak akan jual.
Lalu pembeli ikan beredar ke tempat lain.
Selepas beberapa ketika, penyampai tazkirah pun berlegar-legar di sekitar tempat penjual ikan sambil membelek-belek beberapa jenis ikan yang hendak dibeli. Sebaik ada kesempatan, beliau bertanya kepada penjual ikan kenapa tidak mahu menjual ikan kepada orang tadi.
Penjual ikan: Kak … orang tadi adalah bekas bos di sebuah agensi kerajaan. Saya pernah membuat permohonan untuk mendapat bantuan tapi dia tak pernah luluskan permohonan saya. Saya sangat marah dan sampai sekarang saya masih ingat orang tua ni.
Rupa-rupanya penjual ikan masih ingat peristiwa lama yang membuatkannya tidak mendapat bantuan, barangkali bantuan untuk berniaga.
Dalam hidup kita, apabila kuasa berada di tangan kita mampu melakukan apa sahaja kepada orang lain. Kadangkala kehidupan dan masa depan mereka musnah kerana ketamakan kuasa yang kita dapat. Lebih malang lagi jika ia berkait dengan hanya satu peluang yang ada. Orang miskin, peniaga yang ketandusan modal atau kanak-kanak pintar dari keluarga miskin sering menjadi mangsa kepada ketamakan kuasa. Mereka menyandarkan peluang kepada orang yang ada kuasa dengan harapan dapat mengubah hidup dan masa depan.
Sebaik sahaja kuasa hilang, orang seperti penjual ikan tadi akan menggunakan kuasa mereka untuk membuat tawaran. Kebencian dan rasa marah tidak akan mudah padam jika peristiwa silam berkenaan melibatkan masa depan. Orang tua tadi telah pencen dan sekarang dia terpaksa membuat muka kasihan untuk membeli seekor ikan hanya untuk memastikan perutnya terisi bagi meneruskan masa-masa tuanya.
Gunakan kuasa yang diberikan sebaik-baiknya biarpun sedikit kerana kesannya mungkin sangat besar pada masa depan.
No comments:
Post a Comment