Selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid, saya berjalan di belakang tiga orang warga emas. Sambil berjalan, telinga saya memberi perhatian pada perbualan mereka kerana saya sangat berminat untuk mengetahui topik yang dibualkan itu. Saya fikir mungkin mereka bercakap tentang kandungan khutbah Jumaat tadi namun meleset. Topiknya ialah ‘Sebelum jadi datuk dah ada kencing manis dan darah tinggi. Kalau dapat cucu, apa pula penyakitnya?’
Memang benar. Hari ini ramai orang yang mula mendapat rawatan sebelum mencecah usia 50 tahun. Macam-macam penyakit.
Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat membuat kajian ke atas rakyat negara tersebut sehingga umur mencecah 65 tahun. Dapatan kajian dibahagikan kepada lima kelompok.
Kelompok pertama, 54 peratus orang ramai masih bergantung dengan orang lain. Umur 65 tahun dikategorikan sebagai warga tua, jadi pada usia ini mereka perlukan perhatian dan penjagaan yang lebih rapi. Mungkin ada yang mengidap penyakit kronik, menumpang di rumah anak-anak atau berada di pusat jagaan orang-orang tua.
Seterusnya kelompok kedua sebanyak 36 peratus telah pun meninggal dunia apabila mencecah umur 65 tahun kerana terlalu uzur, berpenyakit atau mati kerana kemalangan jalan raya. Mati sebelum usia 65 tahun adalah suatu yang malang bagi penduduk negara-negara maju kerana perkhidmatan kesihatan mereka adalah yang terbaik.
Kelompok ketiga, perbezaan yang ketara dengan kelompok pertama dan kedua, adalah 5 peratus yang masih bekerja. Banyak sebab kenapa mereka masih bekerja. Barangkali kerana bosan dengan hidup tanpa kerja, ingin berkongsi pengalaman dan juga mungkin terpaksa bekerja bagi melunaskan hutang-hutang tertunggak yang masih ada seperti rumah atau kereta. Mereka bekerja mungkin kerana masih ada tanggungan yang perlu diuruskan.
Dari segi pendapatan, kita boleh jangka golongan yang mencecah usia 65 tahun memiliki wang yang banyak dan kaya-raya. Namun, kajian menunjukkan hanya 4 peratus yang sederhana kaya dan betul-betul kaya adalah 1 peratus.
Kalau ada sejuta orang tua yang mencecah umur 65 tahun, yang kaya-raya hanya 10 ribu orang yang boleh hidup senang-lenang dan tidak payah berfikir soal kerja.
Setelah kita tahu keadaan macam ini, bagaimana kita boleh merangka strategi untuk masuk ke dalam kelompok 1 peratus itu?
Jika kita masih muda, sedang bekerja dan yakin diberikan umur yang panjang, strategi sara diri ini boleh menjadi sandaran.
Pertama, bekerja untuk menyara diri. Kita bekerja setiap hari dan mendapat gaji setiap bulan semata-mata untuk memastikan kita boleh hidup. RM2000 atau RM600 adalah upah yang kita dapat. Wang inilah kita gunakan untuk makan, minum, bayar sewa rumah atau beli susu anak. Apabila kita sedar jumlah gaji tidak cukup, kita mula berfikir untuk mencari kerja tambahan bagi menambah pendapatan.
Kedua, selepas mampu menyara diri, kita mula berfikir untuk menyimpan. Fikiran masa depan ialah mengumpul modal. Walaupun sedikit, katakan RM10 sebulan, ia cukup menjadi modal asas kepada tabiat untuk menyimpan. Kalau sebulan sepuluh ringgit, ia menjadi RM1200 sebulan. Itu baru RM10, bayangkan jika RM100, RM200 dan sebagainya. Dalam masa 30 tahun, berapa kita akan dapat menyimpan?
Seterusnya, ketiga. Selepas sara diri dan kumpul modal, kita boleh mula menyimpan. Ia perlu dibuat dengan semangat dan iltizam yang kuat kerana tanpa kedua-dua sifat ini, kita asyik ‘mencucuk’ mesin ATM saja. Peringkat ini kita masih bekerja seperti biasa namun memiliki sedikit pengalaman untuk mula merancang kewangan dengan baik.
Keempat, kita bergerak ke aras yang lebih mengikat disiplin diri iaitu mempunyai simpanan tetap atau semasa. Kalau ada wang lebih, cepat-cepat buat simpanan tetap atau semasa supaya wang ini bergerak aktif tetapi dalam jajaran yang selamat.
Kelima, kita mula melabur. Apa yang hendak dilabur? Silap-silap labur mungkin jadi lebur. Skim pelaburan banyak di pasaran. Paling penting ialah kita kenal tahap risiko dan hasil pulangan sesuatu produk sebelum memulakan pelaburan. Macam biasa, pelaburan tinggi risikonya juga tinggi.
Keenam, kalau sudah berjaya melaburkan wang, barulah masanya untuk membeli barang-barang mewah dan bolehlah goyang kaki.
Orang muda yang baru bekerja dan merasai gaji pertama mesti berfikir untuk mula membuat simpanan. Tidak perlu tunggu tahun depan untuk mula menyimpan kerana apabila mula menyimpan awal, banyaklah wang simpanan apabila mencapai umur pencen nanti.
Sebaik-baiknya mula menyimpan 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan sebelum berbelanja. Formula penyimpan juga kena tahu kerana kebanyakan orang akan menggunakan formula begini:
Pendapatan – perbelanjaan = simpanan/pelaburan
Jika kita ikut formula ini, jumlah simpanan tidak tetap kerana ada masanya perbelanjaan meningkat dan mengurangkan simpanan. Sebaiknya gunakan formula ini:
Pendapatan – simpanan/pelaburan = perbelanjaan
Barulah kita dapat menyimpan sebahagian pendapatan bulanan dengan tetap. Sama ada kecil atau besar, simpan dulu, kemudian baru belanja. Kalau dapat bonus, tambahkan simpanan supaya kita termasuk dalam kelompok 1 peratus apabila mencecah umur 65 tahun.
No comments:
Post a Comment