Tuesday, April 20, 2010

Transformasi sosial sedang berlaku

Cuba lihat keadaan negara pada jangka waktu tahun 1998 hinggalah 2010 ini. Pada tahun 1997, krisis mata wang Asia belum berlaku. Pada masa itu negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik dengan pandangan masa depan cerah.

Pandangan ini, atau visi terungkap dalam apa yang dinamakan sebagai Wawasan 2020. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tanpa perlu menanggung ciri-ciri negatif negara Barat. Maknanya Malaysia akan menjadi negara maju menurut acuan sendiri, dengan orang Melayu mendapat tempat di mana kaum-kaum lain lebih lagi menikmati kemakmuran ekonomi negara.

Tetapi orang Melayu dituntut juga berubah, maka keluarlah apa yang disebut konsep Melayu Baru, dalam erti kata bangsa yang cemerlang dan bukan saja berani menghadapi persaingan tetapi mampu untuk berdiri bangga dalam persada global.

Bagaimanapun, visi yang masih teguh pada tahun 1998 ini tercabar hebat apabila berlaku krisis kewangan Asia. Kerajaan Suharto tumbang dan gerakan Reformasi dilancarkan di sana. Indonesia hendak dijadikan liberal, demokrasi dan terlepas daripada cara pemerintahan tradisi Asia. Pengaruhnya sampai juga ke Malaysia.

Hasil pilihan raya umum tahun 1999 tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Tetapi pasak politik negara masih mantap. Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri. Krisis kewangan Asia dapat dihadapi secara sewajarnya. Bagaimanapun beliau tentunya tahu keadaan sedang berubah dan persiapan bagi pasca Mahathir pun dilakukan.

Setelah pengundurannya dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menang besar dalam pilihan raya umum tahun 2004, maka kestabilan dapat dipulihkan dan keraguan sebelumnya terhadap perubahan dapat dihalang.

Namun begitu, pentadbiran Abdullah memperkenalkan banyak pendekatan baru bagi menghadapi realiti masyarakat yang sedang berubah.

Tetapi dalam memperkenalkan pendekatan baru ini, ternyata berlaku konflik dan antara mereka yang mahukan perubahan dengan pihak yang bimbang terhadap kesan perubahan itu.

Sememangnya dirasakan sedang berlaku perubahan dalam masyarakat tetapi umumnya tidak menyedari bahawa ia diserlahkan melalui hasil pilihan raya 2008.

Sepanjang tahun 2009, semua pihak negara ini sedar bahawa perubahan besar sedang berlaku. Masyarakat mengalami transformasi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa gagasan-gagasan baru bagi mencerminkan perubahan ini. Gagasan Satu Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB) adalah manifestasi kepada usaha menghadapi perubahan. Maknanya, perubahan dalam masyarakat diterima dan diuruskan supaya ia dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara tanpa konflik atau menjejaskan keharmonian.

Berubah

Masyarakat Malaysia sedang berubah dengan mendadak ke arah yang tidak dapat dipastikan destinasinya. Memang benar transformasi sedang berlaku.

Faktor-faktor yang menyebabkan perubahan ini antaranya ialah teknologi maklumat (IT), globalisasi dan kemunculan generasi baru yang citranya berbeza akibat perkembangan itu.

Teknologi maklumat melalui Internet memecahkan tembok sempadan dan halangan aliran idea dan emosi ke seluruh dunia. Tentunya dari Barat itu dominan, pastinya mereka datang mempengaruh dengan menunggang gelombang globalisasi.

Semua bangsa di dunia tidak terlepas daripada transformasi ini. Kerana tidak ada pelosok dunia yang tidak tersampai oleh teknologi maklumat. Sememangnya perubahan berlaku secara perlahan-lahan tetapi dalam keadaan tertentu ia datang mengejut. Inilah kejutan transformasi yang sedang berlaku.

Maka semua kaum di negara ini juga mengalami kesan perubahan ini, terutama generasi muda. Sudah tentu apabila ada kesan, maka timbul pula reaksinya.

Di kalangan orang Melayu sendiri, muncul golongan yang menganggap diri mereka liberal. Pandangan mereka berbeza dengan visi orang Melayu tradisional, konservatif dan kebanyakan. Nilai-nilai mereka sudah berubah. Walaupun mereka minoriti tetapi suara dan hujah mereka lantang. Memudahkan mereka sekali lagi ialah teknologi maklumat.

Apabila muncul golongan Melayu liberal ini, maka tentu ada reaksi kepada mereka. Kebanyakan orang Melayu akan berasa terancam dengan pandangan-pandangan Melayu liberal yang tidak konvensional dan berbeza nilai.

Maka tidak hairanlah muncul badan-badan bukan kerajaan Melayu yang ditubuhkan bagi menampung suara-suara konservatif orang Melayu. Konflik pandangan di antara konservatif dan liberal tidak dapat dielakkan. Tetapi apa yang ternyata masyarakat sedang berubah.

Di kalangan orang bukan Melayu, tidak bolehlah diandaikan bahawa keseluruhan mereka adalah liberal. Banyak daripada mereka bersikap konservatif dan mahu mempertahankan sistem atau amalan lama yang mereka percaya telah berjaya menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara.

Namun begitu, kejayaan negara sebelum ini berdiri atas asas yang berbeza dan perubahan menuntut cara baru bagi menghadapinya. Transformasi sememangnya mesti dilakukan. GTP dan MEB merupakan sahutan kepada cabaran-cabaran ini.

Maka di samping orang Melayu wajar terus mempertahankan Perlembagaan, persiapan bagi menghadapi Satu Malaysia, GTP dan MEB perlu dilakukan. Melayu bukan sekadar menjadi Melayu Baru seperti yang pernah diutarakan pada zaman tahun 1990-an dulu.

Juga Melayu bukan sekadar berminda Revolusi Mental seperti yang pernah digempur pada tahun 1980-an. Tetapi Melayu kini mesti mampu bersaing dan menghadapi realiti teknologi maklumat dan globalisasi. Sementara itu Melayu pula sudah pelbagai.
Konservatif, liberal dan macam-macam lagi.

Pertama dilihat ialah pada tahun 1998, tetapi tidak ada siapa yang dapat menjangkakan bahawa transformasi berlaku pada tahun 2009.

(Utusan Online, 18 April 2010)

No comments:

Post a Comment