Tindakan cepat pihak polis telah membongkar kisah malang seorang pelajar yang tinggal di rumah anak-anak yatim. Dia dirogol oleh rakan sekelas yang bersepakat dalam melakukan jenayah seksual. Malang bertimpa-timpa ke atas pelajar yatim ini apabila disahkan hamil sebulan.
Dalam kes seperti ini, siapa yang patut disalahkan?
Masyarakat pelajar kita tidak lagi dapat lari daripada menerima tempias keganasan pelajar sekolah yang menerobos masuk ke dalam bilik darjah, suatu tempat mulia untuk mencari ilmu sebagai bekal masa hadapan. Perlakuan jenayah seksual oleh pelajar sekolah berumur 14 tahun adalah tragedi malang yang berlaku ketika pemimpin negara sibuk dengan politik dan tanpa segan silu melupakan nasib masa depan pelajar sekolah.
Kejadian yang berlaku ini adalah refleksi daripada masalah yang lebih berat berlaku dalam masyarakat. Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak perempuan pasti runsing memikirkan keadaan anak perempuan mereka apabila memutuskan untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana keadaan keselamatan sekolah belum benar-benar terjamin. Jika hari ini seorang anak yatim dirogol oleh rakan sekelas dan melibatkan ramai pelajar lelaki, bagaimana pula hari esok?
Barangkali hari ini pelajar lelaki kita sudah ketagih dengan menonton video lucah dan mereka ingin merasai bagaimana rasa beraksi sendiri. Pengaruh video lucah yang mudah dimuat turun dari internet agak sukar dikawal dan menjadi satu perkara biasa apabila pelajar (sama ada lelaki atau perempuan) berkongsi menontonnya. Justeru apabila timbul pelajar sekolah bawah umur hendak berkahwin, ramai yang melenting. Namun apabila pelajar sekolah berzina atau dirogol, ramai pula yang mengeluh mengenang nasib bangsa Malaysia.
Keadaan sekarang semakin tenat. Agensi kerajaan bertambah penat sementalahan terpaksa bekerja keras menghadapi kes buang bayi, ditambah pula kes kehamilan luar nikah dan juvana bersalah. Sebaik sahaja keluarga porak-peranda dengan akhlak anak-anak yang luar biasa keadaannya, masyarakat pula yang terpaksa merana. Ia bukannya memilih mana-mana kelompok malah semua sekali akan terkena. Baik Islam, Kristian atau Buddha, akhlak buruk dan perlakuan ganas tidak kenal siapa.
Kita wajar bersedih hati dan merenung dengan serius memikirkan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Hanya mereka yang memiliki kerisauan mampu membuat tindakan luar biasa bagi meringankan penderitaan keluarga dan masyarakat. Ia boleh jadi kumpulan individu, perseorangan atau kerajaan yang bersedia mengembleng tenaga tanpa mengharapkan ganjaran bagi membantu mengislahkan keluarga dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment