Friday, April 02, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (10)



Pertubuhan bukan kerajaan

Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (non-government organization) dalam masyarakat semakin dirasai kerana organisasi ini memperjuangkan hak dan ideologi masing-masing berdasarkan objektif penubuhannya. Justeru, setiap kumpulan etnik mempunyai pertubuhan bukan kerajaan sendiri bagi menjaga hak dan kepentingan etnik mereka. Tema penubuhan NGO ini berbagai-bagai seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan atau kebajikan yang ada kalanya berunsur perkauman kerana mereka bertukar menjadi kumpulan pendesak yang kuat apabila isu-isu kepentingan kaum disentuh.

Dua pertubuhan Cina yang bertindak menjaga kepentingan pendidikan etnik itu kerap kali ‘panas punggung’ apabila isu-isu pendidikan Cina diketengahkan seperti cadangan ditutup sekolah jenis kebangsaan atau digabungkan sekolah berkenaan dengan sekolah wawasan. Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Persatuan-persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong) menjadi benteng kepada sebarang ancaman ke atas pendidikan Cina di Malaysia.

Keghairahan etnik Cina melobi kerajaan melalui NGO memberi idea kepada puak ekstremis India menjadikan Hindraf sebagai platform dan pendesak bagi etnik India. Hindraf menggembleng usaha menarik sokongan masyarakat India Malaysia kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum Ke-12 lalu namun akhirnya pertubuhan itu diharamkan kerana dilihat memudaratkan keselamatan negara dan mengancam perpaduan rakyat.

Kesedaran orang Melayu terhadap hak dan kepentingan mereka telah merealisasikan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang menggabungkan 76 pertubuhan bukan kerajaan Melayu. Sokongan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir kepada Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menunjukkan NGO semakin penting dan kritikal dalam memelihara kepentingan etnik Melayu.

Kebenaran yang diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan berasaskan etnik perlu dibendung dan dipantau kerana pengaruh mereka yang semakin hari semakin membesar. NGO yang mementingkan sesuatu etnik akan memberi imej buruk kepada perpaduan kaum dan mengancam kestabilan politik negara. Sebaliknya kerajaan perlu menggalakkan NGO yang dianggotai oleh semua etnik dan menjadikan agenda pembangunan negara sebagai teras aktiviti mereka.

Kesimpulan

Perpaduan tidak lahir semata-mata dengan adanya dasar bahasa atau satu sistem pendidikan sebaliknya berada dalam rangkaian yang saling berkait. Keazaman politik dan kesedaran ke atas pembinaan sebuah bangsa yang bersatu padu dapat mempercepatkan proses perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di Malaysia. Penerimaan terhadap idea perpaduan 1Malaysia mesti mempengaruhi hati dan minda rakyat supaya mereka bersedia secara psikologi menerima kehadiran lain-lain etnik dalam persekitaran mereka.

Daripada penerimaan idea perpaduan, rakyat dapat memperlihatkan sikap yang cenderung kepada penyatuan. Kerajaan wajar mencari pendekatan yang mengurangkan identiti kaum berasakan ekonomi, politik atau sosial sebaliknya melihat persamaan sebagai peluang untuk bersatu. Dengan pengenalan dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB), rakyat Malaysia boleh melupakan identiti kaum masing-masing supaya status negara maju pada tahun 2020 tidak dibayangi oleh jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.

Biarpun identiti kaum terhakis sedikit demi sedikit, Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak wajar dipertahankan supaya persekitaran hidup masyarakat menjadi stabil dan selamat.


Rujukan

Md Salleh Haji Hassan et. al (2009). Keberkesanan media massa dalam memupuk dan memperkukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional. Jurnal Perpaduan, Jilid 1 Bil 1(1) m.s 33-47.

http://www.jpninselangor.gov.my/v2/ms/latar_belakang

http://74.125.153.132/search?q=cache:eUQ-n2gmcKkJ:hafiy.tripod.com/rukun negara.html.doc+rukun negara&cd=15&hl=en&ct=clnk&gl=my

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=242:dasar-pendidikan-kebangsaan&catid=88:dasar-dasar-negara&Itemid=20

No comments:

Post a Comment