Monday, March 29, 2010

Dasar Kanak-Kanak Negara

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 juta (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia . Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation). Sebagai sebuah Negara Pihak (State Party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

Definisi


Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

Pernyataan Dasar


Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

Pernyataan Matlamat


Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

Objektif

Objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah untuk memastikan:


1. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;

2. setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat;

3. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;

4. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dankesejahteraan mereka;

5. kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan 6. penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Strategi

Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

Objektif 1 Kelangsungan Hidup


1. Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2. Meningkatkan kerjasama antara agensi Kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak.

3. Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.

4. Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka.

5. Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Objektif 2
Perlindungan


1. Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

2. Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsapenyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal sertapenyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender).

3. Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu.

4. Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan.

5. Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka.

6. Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.

7. Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8. Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9. Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (seperti pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak) dan pemerdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.

10. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

11. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

Objektif 3 Perkembangan


1. Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperolehi dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2. Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3. Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semua aspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.

4. Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

Objektif 4 Penyertaan


1. Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2. Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3. Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Objektif 5 Advokasi


1. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat akan pentingnya penjagaan kesihatan kepada kanak-kanak.

2. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.

3. Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan,pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4. Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.

5. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Objektif 6 Penyelidikan dan Pembangunan


1. Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.
Post a Comment