Di sebalik salah faham yang wujud, kestabilan politik yang dicapai hasil perluasan amalan perkongsian kuasa politik di antara parti-parti politik berteraskan etnik dan agama, telah berjaya menarik pelaburan asing yang telah membuka peluang perkerjaan hingga di akhir perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, negara telah mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kemiskinan dikurangkan dan masyarakat kelas menengah dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu dikembangkan, negara didapati makmur dan harmoni.
Pembangunan yang telah berjaya membasmi kemiskinan dan membina kelas menengah yang besar telah melahirkan budaya hidup komersial dalam kalangan rakyat pelbagai budaya, di mana aspirasi dan pandangan hidup mereka dikongsi bersama dan ini telah membina hubungan saling pergantungan di antara satu sama lain; wujud hubungan silang budaya yang melintas batas etnik. Kajian telah menunjukkan di dalam dekad 1990-an batas etnik dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya ini adalah nipis dan hubungan mereka walaupun terdiri dari dua individu dari kumpulan etnik yang berlainan adalah berbentuk perhubungan sosial, perkiraan sosial lebih diutamakan dan bukannya etnik dalam tindakan mereka (Mansor Mohd Noor, 1997a; Savaranamuttu, 1992).
Malahan dasar-dasar kerajan yang digubal selepas 13 Mei 1969, yang condong ke arah nasionalisme Melayu, didapati tidak menjadi amalan dalam pemerintahan negara dengan jelas. Ada di antara dasar-dasar ini yang diubah seperti Akta Koordinasi Industri dan kedudukan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dan ada pula yang masih dipegang sebagai dasar tetapi telah menunjukkan kematangan dengan menerima budaya dan amalan agama kumpulan etnik-etnik lain juga sebagai sebahagian daripada landskap masyarakat ini. Kepelbagaian dan ketidakseragaman hidup dari segi budaya, bahasa dan agama dalam kalangan rakyat di Malaysia sudah boleh diterima, diperakui dan diraikan. Malahan sudah wujud ruang sosial yang luas di mana perkongsian pendapat awam sudah lebih terbina dalam kalangan rakyat pelbagai budaya jika dibandingkan dengan perbezaan di antara mereka. Jika ada perbezaan pendapat pun, ianya sudah boleh diterima dan disepakati untuk berbeza tanpa mempengaruhi perhubungan sosial yang sudah terbina harmoni di antara mereka.
Struktur perhubungan etnik di Malaysia di tahap ini lebih dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan etnik yang batas mereka nipis dan perhubungan di antara mereka berdasarkan kepada perkiraan non-etnik. Hubungan etnik di tahap ini lebih bersifat utilitarian dan mengikat mereka dalam jalinan silang budaya, merentas batas etnik dan agama masing-masing. Namun demikian, terdapat ethnic groupies yang memanipulasi etnik demi mempertahankan kepentingan material dan kedudukan mereka seperti yang sering dilakukan semasa pilihan raya dan kemasukan ke institusi pengajian awam.
Kumpulan-kumpulan etnik ini juga didapati masih tercari-cari akan identiti bangsa dan negara yang diinginkan hingga tugas pembentukan negara dan negara bangsa, yang sudah diletakkan batu asasnya oleh perjuangan kemerdekaan, menjadi kabur dan tidak terbina secara konsensus di antara rakyat terutamanya isu kontrak sosial dan kedudukan bahasa Melayu. Dari satu segi, perbahasan tentang isu-isu ini adalah perkara biasa kerana struktur umur dan pendidikan rakyat berubah.
Namun yang paling membimbangkan ialah masih ada dalam kalangan etnik Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban-Bidayuh dan lain-lain etnik yang bermain dengan sentimen etnisiti dan agama. Kelompok etnik serpihan ini perlu dikenal pasti jika tindakan ekstremisme dan kecenderungan ke arah militansi dan keganasan pergerakan sosial ini mahu ditangani. Contohnya ialah isu penggunaan kalimah Allah yang dibawa ke mahkamah telah mengundang pembakaran dan pengeboman beberapa buah gereja di Semenanjung Malaysia.
Punca kepada terbentuknya kelompok-kelompok perhubungan etnik seperti manipulasi etnik, perbahasan tentang identiti diri serta negara dan amalan bermain dengan sentimen etnisiti serta agama di atas perlu dikaji kerana tidak mustahil teras masalahnya bukan terletak pada dimensi perbezaan etnik, budaya, bahasa dan agama di antara mereka tetapi lebih disebabkan oleh perasaan berisiko etnik oleh kerana kemunduran, pengangguran, kemiskinan, kepinggiran dan ketidaksamarataan dalam kehidupan serta masyarakat mereka.
Oleh sebab itu, pintu masuk kepada konflik etnik di Malaysia pada tahap ini bukan lagi ala 13 Mei 1969, di mana jurang ekonomi yang memisah etnik Melayu dan Cina menjadi puncanya tetapi di kalangan masyarakat miskin dan pinggir terutama di bandar. Kejadian seperti di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1997 dan Kampung Medan, Selangor pada tahun 2002 di antara Melayu dan India menunjukkan pengurusan kumpulan miskin dan pinggir di bandar perlu diberi perhatian utama jika keharmonian etnik yang dikecapi sekarang ini mahu dikekal dan ditingkatkan. Jika ini intipati masalah etnik di Malaysia, maka penyelesaiannya terletak bukan kepada asimilasi etnik tetapi pada ’good and just governance’ dalam pemerintahan negara ini.
Acuan ekonomi negara yang menekankan pertumbuhan ekonomi negara bersama pengagihan sumber material masyarakat di antara etnik, agama, wilayah, bandar dan desa adalah asas kepada kejayaan negara ini memakmur dan mensejahterakan masyarakat pelbagai budayanya. Namun formula ini perlu penyuburan yang berterusan dalam tadbir urus pihak kerajaan dan swasta yang baik dan adil dalam pengurusan masyarakat pelbagai budaya ini jika insiden Kampung Rawa dan Kampung Medan mahu dijadikan fakta sejarah; making ethnic conflict history (Mansor Mohd Noor, 1999b).
No comments:
Post a Comment