Friday, March 19, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (7)

Dasar Bahasa Kebangsaan

Bahasa adalah faktor yang sangat penting bagi menyatukan penduduk sesebuah negara termasuk Malaysia. Satu bahasa juga merupakan kaedah paling mudah bagi memajukan dan memodenkan pemikiran rakyat yang berbilang kaum kerana dengan satu bahasa, pelbagai kumpulan etnik yang memiliki beraneka budaya, agama dan pegangan hidup dapat disatukan dalam satu wadah. Satu bahasa juga menjadikan identiti nasional dan kesetiaan kepada negara lebih kuat dan kukuh. Dalam erti kata lain, penggunaan satu bahasa membantu rakyat meningkatkan interaksi dan merapatkan jurang hubungan di samping mengurangkan apa jua perbezaan yang ada. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan diguna pakai dalam semua urusan kerajaan, pendidikan, perniagaan dan hubungan harian masyarakat.

Selepas 53 tahun merdeka, penggunaan Bahasa Melayu semakin baik khususnya dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum. Kejayaan ini adalah kesan daripada pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang mewajibkan penyampaian diadakan dalam bahasa kebangsaan biarpun di sekolah jenis kebangsaan. Dalam pada itu, majoriti penduduk Malaysia yang bercakap Bahasa Melayu semakin bertambah seiring dengan pertambahan penduduk. Dalam pada itu, tekanan demi tekanan yang dikenakan ke atas kerajaan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu turut menggalakkan orang ramai memilih bahasa itu sebagai bahasa utama mereka. Pembatalan PPSMI adalah satu contoh bagaimana tekanan daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu menyebabkan kerajaan membatalkan pelaksanaan program ini di peringkat nasional.

Walaupun pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan seringkali dikesampingkan khususnya dalam perniagaan, Bahasa Melayu semakin diterima umum. Ini dapat dilihat apabila penyiaran program televisyen, radio, penerbitan, iklan di media elektronik semakin sensitif dengan Bahasa Melayu.

Jabatan Perpaduan Negara

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Berikutan peristiwa itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara ini pada waktu itu. Antara tugas jabatan ini ialah mengkaji dan menyelidik sikap antara kaum. Kajian berkenaan adalah untuk memupuk semangat muhibah antara kaum selain daripada merapatkan semula hubungan di antara rakyat dan kerajaan yang telah terjejas.


Sejak penubuhannya pada tahun 1969 itu, Jabatan Perpaduan Negara telah mengalami perubahan-perubahan seperti berikut.

Tahun 1972

Jabatan Perpaduan Negara telah dicantumkan dengan Pejabat Muhibah Negara dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.

Tahun 1974

Ditukar nama dari Kementerian Perpaduan Negara kepada Lembaga Perpaduan Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tahun 1980

Lembaga Perpaduan Negara dicantumkan dengan Urusetia Rukun Tetangga dan dinamakan Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tahun 1983

Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara diubah kembali kepada nama asalnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara.

Tahun 1990

Pada 27 Oktober 1990, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Tahun 2004

Pada 27 Mac 2004, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dinamakan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional.

Tahun 2008

Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan. Tahun 2009Pada 9 April 2009, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Walau apapun nama yang telah diberikan kepada agensi perpaduan ini, status dan peranannya tetap sama iaitu bertanggungjawab menjaga perpaduan rakyat. Ia bertindak memupuk dan memelihara semangat muhibah, mempastikan hubungan masyarakat sentiasa positif dan mempastikan masalah perkauman sentiasa terkawal setiap masa.

Bagi memahami secara lebih jelas tentang program-program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta isu-isu perpaduan dan integrasi nasional, beberapa konsep dan istilah yang berkaitan perlu difahami.

Perpaduan Negara
Satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

(Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992)

Integrasi Nasional
Satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

(Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun 1991)

Bangsa Malaysia

Satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan diperkongsikan. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu Bangsa Malaysia yang kesetiaannya, politik dan kebaktiannya tertumpu kepada bangsa tersebut.
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, September 2003)

Kegiatan Jabatan Perpaduan Negara

Jabatan Perpaduan Negara (JPN) yang bertanggungjawab mengawal, memupuk dan memelihara perpaduan telah merangka berbagai-bagai strategi seperti (1) menggalakkan perpaduan masyarakat dan integrasi nasional, (2) mencegah konflik antara kaum, masyarakat dan wilayah, (3) menerapkan nilai-nilai kewarganegaraan ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu, (4) mengesan dan menilai perhubungan antara kaum dan masyarakat, dan (5) menyelaraskan program dan aktiviti perpaduan dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pihak-pihak yang terlibat dengan perpaduan. Bagi mewujudkan perasaan muhibah, setia kawan, kerjasama dan toleransi, JPN merancang program yang bersifat ‘menggalak dan mencegah’ bagi memberi ruang kepada penduduk untuk meningkatkan interaksi dan kenal-mengenal antara satu sama lain.

Kumpulan sasar JPN ialah rakyat Malaysia khususnya kelompok dewasa, wanita dan belia yang terlibat dalam kegiatan Rukun Tetangga. Bagi kanak-kanak, Tabika Perpaduan disediakan bagi pendidikan prasekolah.

Kebanyakan aktiviti JPN bercorak kemasyarakatan dan sosial di samping aktiviti yang mudah diterima oleh semua pihak. Antaranya ialah skim rukun tetangga, tabika perpaduan, sukan rakyat, majlis muhibah, majlis kebudayaan, pertandingan bakat, gotong-royong, jiran muda dan wanita, kelas perpaduan rakyat dan kelas vokasional. Selain itu, penerbitan juga menjadi fokus JPN. Risalah dan majalah ‘Balai Muhibah’, akhbar ‘Jiran’ dan jurnal ‘Negara’ diterbitkan bagi memberi penerangan tentang sesuatu kaum dan aktiviti-aktiviti agensi.


Penyelidikan dan kajian dilaksanakan bagi mengumpul data status perhubungan kaum dan integrasi nasional. Pelaksanaan kajian diharap dapat membantu kerajaan memahami persoalan dan isu-isu berbangkit berkaitan perhubungan kaum.

No comments:

Post a Comment