Terdapat berbagai-bagai mitos berkaitan pensyarah atau syarahan. Salah satu daripadanya ialah anggapan bahawa sesetengah orang dilahirkan dengan bakat yang luar biasa untuk bersyarah. Namun sesetengah orang memiliki sifat suka bersama dengan orang lain dan berasa selesa menyampaikan ucapan.
Syarahan yang berkesan adalah lebih kepada kemahiran (skill) berbanding karisma atau penampilan watak. Terdapat beberapa teknik yang boleh membantu seseorang pensyarah untuk menjadikan syarahan mereka lebih menarik.
1. Penerangan sesuatu fakta atau eksperimen yang jelas dan tepat. Bagi mendapatkan penjelasan yang jelas dan tepat, sumber rujukan memainkan faktor penting. Bahan-bahan rujukan yang berkualiti tinggi membantu pensyarah menambahkan kefahaman pelajar mereka dengan cepat.
2. Membaca fakta-fakta berdasarkan tujuan tertentu dengan terperinci. Serta juga contoh-contoh yang khusus dan umum supaya pelajar betul-betul faham. Biarpun mengambil masa, penerangan dapat membantu mewujudkan suasana hendakkan kebenaran, bukanya khabar angin.
3. Susun kerangka maklumat dalam gambaran yang besar. Contohnya, sebelum mengajar sesuatu topik dengan mendalam, berikan penerangan umum topik berkenaan supaya pelajar memahami secara sepintas lalu isu-isu yang akan dibentangkan. Selepas kuliah, nyatakan kembali isu-isu yang telah dibentangkan dalam bentuk ringkasan atau rumusan keseluruhan supaya pelajar tidak tertinggal isi-isi penting yang telah disentuh.
4. Alihkan topik ke topik dalam keadaan tersusun. Kekemasan perpindahan topik ini membantu pelajar melihat pengajaran berkenaan sebagai lancar, padat dan mengelakkan senario ‘menggelabah’ jika terputusnya sesuatu idea.
5. Guna alat-alat bantu mengajar yang sesuai seperti papan putih, slaid, komputer, model dan sebagainya untuk menyenaraikan isi-isi penting dan mempamerkan diagram sebagai pengukuhan.
6. Pastikan maklumat yang disampaikan dapat dilihat dan didengar dengan jelas serta memudahkan pengambilan nota. Sekiranya ada rajah atau jadual yang hendak dibincangkan bersama, helaian (handout) boleh diedarkan.
7. Menjawab soalan dengan baik. Kemahiran menjawab soalan terletak pada keupayaan seseorang pensyarah mengenal pasti kehendak soalan. Namun, biar apa pun jawapan yang diberi, pensyarah mesti memastikan kedua-dua soalan dan jawapan boleh didengari.
8. Guna perkataan-perkataan teknikal dengan betul. Hari ini banyak perkataan yang dipinjamkan dan kadangkala jarang didengar. Pensyarah perlu menerangkan maksud perkataan-perkataan berkenaan dengan betul dan dalam ayat yang mana selalu digunakan.
9. Menceriakan pelajar dan kelas. Nada suara ketika memberi syarahan, menjawab soalan atau meminta penjelasan harus berubah-ubah supaya pelajar tidak berasa bosan dengan diri pensyarah atau topik berkaitan. Suasana kelas boleh diceriakan dengan mempelbagaikan bentuk pengajaran dan tidak membaca skrip. Peribahasa, petikan kata-kata, pantun dan sebagainya boleh digunakan sebagai modal untuk menarik minat pelajar.
10. Kenal pasti keupayaan intelektual pelajar supaya mereka dapat memahami topik dengan mudah. Perkara utama ialah idea dan fakta yang diberikan mempunyai alasan yang kukuh dan nilai akademik.
11. Ucap terima kasih apabila semua sesi syarahan tamat. Walaupun mudah, sekali-skala terlupa juga. Ucapan terima kasih membantu mewujudkan persepsi positif pelajar terhadap keperibadian seorang pensyarah.
No comments:
Post a Comment