Monday, March 15, 2010

Implikasi ketidaksamaan peluang pendidikan terhadap individu, masyarakat dan negara (2)







2. Gender

Kecenderungan pelajar lelaki dan perempuan memilih mata pelajaran yang bersifat ‘kelakian’ dan ‘keperempuanan’ menyebabkan wujudnya jurang yang besar khususnya di IPT dan sektor awam. Pemisahan ini telah jelas di bidang pengurusan di mana lebih 60 peratus tenaga pengajar di sekolah terdiri dari kalangan perempuan. Kementerian Pelajaran yang mewajibkan setiap pelajar menyertai satu jenis sukan di sekolah turut memberi tekanan ke atas sistem pendidikan untuk mencari calon guru yang sesuai dengan berbagai-bagai jenis sukan kerana tidak semuanya bersesuaian dengan guru perempuan.

3. Kumpulan minoriti

Kumpulan minoriti adalah kumpulan kecil dalam sesebuah masyarakat dan tidak berupaya mempengaruhi kumpulan etnik lain. Contohnya Orang Asli yang kebanyakannya tinggal di dalam atau pinggir hutan. Sebahagian besar masyarakat ini mengamalkan ekonomi berasaskan pertanian dan bersifat sara diri. Dari segi pencapaian dalam pendidikan, tahap akademik mereka amat rendah dan jauh ketinggalan.

Keadaan ini berlaku kerana kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan yang kurang lengkap. Bekalan elektrik, air bersih, jalan raya dan bilik darjah belum sempurna. Di samping itu, keciciran sekolah juga menjadi faktor yang menghalang kemajuan pendidikan. Daripada kenyataan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, minat belajar dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli masih berada di tahap yang rendah di mana kadar keciciran ialah 45 peratus dan kadar buta huruf 49.2 peratus.

4. Murid berkeperluan khas

Murid berkeperluan khas memiliki kecerdasan yang amat rendah berbanding dengan kecerdasan purata dan menghadapi masalah penyesuaian diri dalam masyarakat dan program sekolah biasa. Mereka memerlukan pendidikan khas kerana berdepan dengan masalah menyesuaikan diri di sekolah biasa.

Terdapat tujuh kategori kanak-kanak istimewa yang memerlukan program pendidikan khas iaitu kerencatan mental, masalah pembelajaran, kecelaruan tingkah laku, cacat pendengaran dan masalah komunikasi, cacat penglihatan, cacat fizikal serta pintar-cerdas dan berbakat istimewa.

Sekiranya kelompok ini tidak diberi perhatian dalam pendidikan mereka, kadar keciciran akan bertambah dan menjadi beban kepada masyarakat dan negara. Langkah kerajaan memperkenalkan Akta Pendidikan Khas 1996 amat penting kerana memberi kuasa kepada Kementerian Pendidikan untuk menyediakan kemudahan pendidikan khas, menggubal kurikulum yang sesuai, pendidikan yang sesuai dengan watak murid dan tindakan-tindakan lain bagi mengembangkan pendidikan khas.

Selain daripada keempat-empat implikasi peluang pendidikan yang tidak sama, persoalan kecemerlangan akademik di Malaysia lebih menjurus kepada perbezaan pelajar bandar dan luar bandar. Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan dasar penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik sejak 2003, hampir separuh pelajar tingkatan satu dan dua di luar bandar telah gagal dalam kedua-dua subjek berkenaan. Kajian Kementerian Pelajaran pada 2005 mendapati pelajar tingkatan satu di sekolah menengah luar bandar hanya lulus 41.1 peratus bagi subjek Sains manakala pelajar tingkatan dua 43 peratus. Bagi subjek Matematik, pelajar tingakatan satu mendapat 42.1 peratus kelulusan dan tingkatan dua 46.3 peratus.

Sekolah di bandar mencatatkan kelulusan yang lebih tinggi di mana bagi subjek Matematik, sebanyak 57.5 peratus pelajar tingkatan satu telah lulus dan 59.6 peratus pelajar tingkatan dua turut lulus (Utusan Malaysia, 1 Julai 2005).

Jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar boleh memberi impak negatif terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Polarisasi penduduk luar bandar yang terlibat dalam pertanian sara diri sentiasa meletakkan diri mereka dalam tahap kemiskinan. Mereka juga kurang terdedah dengan aktiviti-aktiviti pembangunan, akses kepada kemudahan asas yang terhad, prasarana pendidikan dan kesihatan yang rendah serta limpahan pembangunan bandar yang lambat. Semua faktor ini menyumbang kepada jurang ketidaksamaan bagi mendapatkan peluang-peluang pendidikan.

Selaras dengan perkembangan ekonomi yang maju, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga manusia yang cergas dan memiliki latar belakang pendidikan yang lebih baik. Langkah kerajaan memperkenalkan konsep Sekolah Bestari, projek Sekolah Net, projek Smart Lab dan projek Sekolah Vista adalah sebagai lonjakan kepada pemantapan sektor pendidikan negara. Usahasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan National Implementation Task Force (NITF) untuk menambah baik jurang pendidikan adalah komitmen kerajaan bagi memperkasa pendidikan negara.
Rujukan

Malaysia (1965). Rancangan Malaysia Pertama 1966-1970. Kuala Lumpur: Jabatan
Percetakan Negara.

Malaysia (1999). Rancangan Malaysia Kelima 1986-1990. Kuala Lumpur: Jabatan
Percetakan Negara.

Malaysia (2001). Rancangan Malaysia Kelima 2001-2005. Kuala Lumpur: Jabatan
Percetakan Negara.

No comments:

Post a Comment