Wednesday, March 31, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (8)






Petunjuk Tidak Berorientasikan Dasar

Selain dasar-dasar kerajaan yang digubal bagi menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat, organisasi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan turut mengambil inisiatif memupuk perpaduan. Ia dilakukan atas dasar kesedaran bahawa perpaduan adalah tanggungjawab semua pihak. Oleh kerana kesedaran seperti ini, jumlah jutawan di Malaysia semakin bertambah kerana persekitaran yang kondusif untuk bisnes berkembang maju. Bahagian ini akan menunjukkan bagaimana parti-parti politik, media massa dan pertubuhan bukan kerajaan melaksanakan peranan mereka untuk memupuk dan meningkatkan integrasi rakyat Malaysia.

Parti-parti politik

Sistem politik di Malaysia tidak dapat mengenepikan sentimen kaum. Peringkat awal kemerdekaan negara dahulu digerakkan oleh beberapa parti politik berteraskan kaum- Melayu, Cina dan India yang bergabung di bawah bendera Perikatan. Seterusnya melebarkan pengaruh dengan menjemput lebih banyak parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk bergabung di bawah Barisan Nasional (BN). Kini BN mempunyai 15 parti iaitu United Malays National Organisation (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Malaysian Indian Congress (MIC), People’s Progressive Party (PPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United People’s Party (SUPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Liberal Democratic Party (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organization (UPKO) , Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Cinta Malaysia, Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Semangat Rakyat Malaysia.


Kesediaan parti-parti politik ini berkongsi aspirasi menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi untuk melihat perpaduan kaum wujud dan mekar di Malaysia. Sebagai sebuah komponen parti yang memerintah, banyak dasar yang dibentuk telah memberi kesan dan pengaruh besar ke atas pemikiran dan budaya hidup rakyat Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang begitu berpengaruh dalam tempoh 30 tahun yang lalu telah menjadi pemangkin kepada penyusunan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Implikasi pelaksanaan dasar ini masih ketara dalam semua sektor biarpun sering kali menjadi kecaman pihak pembangkang, Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat (PR) adalah gabungan parti politik yang telah dibentuk selepas pilihan raya umum lalu. PR terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Setiap parti dalam PR mempunyai ideologi masing-masing di mana PKR mempromosi konsep keadilan sosial dan anti rasuah, DAP memperjuangkan ideologi sekular, pelbagai etnik dan demokratik sosial manakala PAS memiliki hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Walaupun berbeza ideologi, ketiga-tiga parti ini mempunyai satu tujuan iaitu menumbangkan BN dan pada masa yang sama mendidik rakyat untuk mengenepikan elemen perkauman.

Selain daripada BN dan PR, terdapat banyak lagi parti politik yang kebanyakannya memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing seperti Parti Rakyat Malaysia (PRM), Malaysian Workers’ Party (PPM), Malaysia Dayak Congress (MDC), Pan-Malaysian Islamic Front (BERJASA), Malaysian Indian Muslim Congress (KIMMA), United Pasok Nunukragang National Organisation (PASOK), Community Coalition Congress (CCC), Federated Sabah People’s Front (BERSEKUTU), United Democratic Sabah People’s Power Party (SETIA), State Reform Party (STAR), Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Malaysian Democratic Party (MDP), All Malaysian Indian Progressive Front (AMIPF), Punjabi Party of Malaysia (PPM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS), Sabah Progressive Party (SAPP) dan Sarawak National Party (SNAP).

Sekali-sekala masyarakat awam melihat gelagat pemimpin-pemimpin politik ini bertelagah berkaitan hak dan keistimewaan kaum, namun rakyat tidak terikut-ikut rentak mereka kerana tahap kematangan yang wujud dalam pemikiran rakyat berbilang kaum mampu menjadi benteng kepada perbalahan dan persengketaan kaum. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, tidak ada lagi peristiwa besar yang melibatkan pergaduhan kaum secara besar-besaran melainkan dua kes terpencil iaitu di Kampung Medan dan Kampung Rawa. Kedua-dua kejadian ini dapat dikawal oleh pihak berkuasa di samping peranan pemimpin-pemimpin parti politik yang dapat menenteramkan situasi tegang berkenaan.

Peranan parti politik dalam mengukuhkan perpaduan rakyat di negara ini semakin penting kerana keupayaan pemimpin-pemimpin politik untuk membina pengaruh khususnya dalam kalangan kaum masing-masing. Biarpun masih ada segelintir ahli politik yang begitu taksub dengan ideologi dan perjuangan masing-masing, mereka tetap meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

 

No comments:

Post a Comment