Tuesday, March 09, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (6)

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan telah timbul kesedaran dalam kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara (Fadzilah Abdullah, 1993).

Dasar Pendidikan Kebangsaan secara tidak rasminya bermula selepas pilihan raya 1955 setelah wujudnya manifesto oleh parti Perikatan untuk membentuk sistem pendidikan yang seragam dan bersepadu. Jawatankuasa pendidikan telah dibentuk pada tahun 1956 yang diketuai oleh Tun Abdul Razak. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956 yang dikenali sebagai Penyata Razak. Tumpuan khas Tun Abdul Razak dan jawatankuasanya ialah (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997):

1. Membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam.

2. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

3. Memastikan bahasa dan kebudayaan lain dipelihara.

Undang-undang Pelajaran 1957 digubal dan diluluskan oleh Dewan Negara pada tahun 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula pada tahun 1960 dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib. Dasar Pendidikan Kebangsaan secara rasminya diisytiharkan pada tahun 1961 dan digubal berdasarkan kedua-dua laporan iaitu Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 (Zulhilmi Paidi dan Rohani Abd. Ghani, 2003).

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

‘BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya...’

Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja (‘tenaga rakyat’ istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada tahun 1974 bagi mengkaji semula dasar pendidikan untuk menambah baik dan memantapkan pelaksanaan dasar sedia ada. Di samping itu matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersepadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan semasa rakyat yang terlatih untuk pembangunan negara (Fadzillah Abdullah, 1993). Laporan jawatankuasa ini telah ditambah keada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merangkumi beberapa matlamat yang dikenal pasti iaitu (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997):

1. Menyatukan sistem pelajaran bagi memupuk kesedaran dan perpaduan kebangsaan.

2. Memperluaskan serta mengubah suai rancangan-rancangan pelajaran dan latihan bagi memenuhi memenuhi keperluan tenaga kerja.

3. Memperbaiki mutu pelajaran bagi membina suatu masyarakat yang progresif berlandaskan sains dan teknologi moden.

4. Memperbaiki kemudahan-kemudahan penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan bagi mencapai objektif di atas.

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Perkembangan pendidikan di Malaysia telah bermula dengan terancang selepas negara mencapai kemerdekaan. Rancangan Lima Tahun yang diperkenalkan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan sumber manusia sebagai tumpuan. Kajian oleh NAFSA (National Association of Foreign Students in America) pada tahun 1985 meletakkan pelajar Malaysia di tangga kedua (32,000 orang) selepas Taiwan (35,000 orang) dari segi bilangan pelajar asing yang menuntut di sana.

Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama
(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah
(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua
(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan
(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu
(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun
(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman
(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh
(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978
(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan
(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin
(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil
(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di kementerian/jabatan pendidikan pula, beberapa bahagian dan jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Malaysia akan mencapai status negara maju kira-kira 10 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat kita yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebertanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju pendidikan negara. Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur (Mahathir Mohamad, 1991).

Melihat cabaran-cabaran ini yang begitu besar, pengisian terhadap sumber utama ialah prasyarat terhadap kemajuan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan. Abad ke-19 adalah detik yang menyaksikan pelaburan dalam pendidikan yang sistematik tidak begitu diutamakan di semua negara. Keperluan terhadap pendidikan, latihan dalam kerja dan semua jenis pelaburan adalah begitu kecil. Perubahan secara radikal yang berlaku pada abad ini telah bermula di Great Britain setelah aplikasi dan pembangunan sains bagi mencipta barangan baru dan kaedah pengeluaran yang lebih cekap. Perubahan demi perubahan berlalu dan merebak ke negara-negara lain dalam masa yang singkat.

Pertumbuhan ekonomi yang sangat pantas pada abad ke-20 boleh dianggap sebagai era modal insan kerana taraf hidup, pembangunan ilmu, kemahiran, kesihatan dan produktiviti telah meningkat di negara-negara yang membuat pelaburan besar dalam pendidikan. Malaysia juga telah membuat pelaburan yang banyak bagi meningkatkan modal insan.

No comments:

Post a Comment