Perpaduan akan wujud apabila anggota masyarakat dapat disatupadukan menerusi perkongsian identiti dan nilai serta perasaan kebangsaan. Rukun Negara merupakan satu ideologi negara tercipta ekoran daripada berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ideologi ini digubal semasa negara berada di bawah pimpinan MAGERAN dan badan yang bertanggungjawab atas penggubalannya adalah Majlis Perundingan Negara (MPN). Kata sepakat untuk mencipta satu ideologi negara ini dicetuskan semasa mesyuarat pertama MPN pada 27 Januari 1970. Bahkan DEB dirumuskan dengan berpandukan prinsip dan kepercayaan yang termaktub di dalam Rukun Negara (Rahimah A. Aziz, 1994 ).
Rukun Negara adalah hasil penyatuan pemikiran ahli-ahli cerdik pandai dan pemimpin-pemimpin negara yang ingin melihat rakyat negara ini peka kepada keperluan bagi mewujudkan negara bangsa yang bukan sahaja mempunyai identiti sendiri tetapi juga pegangan yang sama. Tujuan asasnya ialah bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu, bersefahaman, bermoral, taat setia, melambangkan satu identiti kebangsaan dan mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan (Rahimah A. Aziz, 1994).
Rukun Negara bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif serta bersatu padu dan bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan, Cita-cita ini dipercayai akan tercapai apabila kelima-lima objektif Rukun Negara
diamalkan. Objektif-objektif ini adalah:
1 | Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat |
2 | Memelihara cara hidup demokratik |
3 | Mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama |
4 | Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak |
5 | Membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden |
Lima prinsip Rukun Negara adalah seperti berikut:
Kepercayaan kepada Tuhan- Agama adalah ciri penting dalam kehidupan manusia kerana ketiadaan agama oleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Sememangnya kaum-kaum di Malaysia menganuti pelbagai agama seperti Islam, Buddhisme, Taoisme, Konfusianisme, Hinduisme, Kristian dan lain-lain. Pegangan terhadap sesuatu agama sebegini penting kerana tanpa pegangan agama, seseorang mudah terdorong untuk melakukan kejahatan. Pegangan agama juga dapat memandu tindakan seseorang untuk berbuat baik dan menghindari kejahatan dan mengenali dosa dan pahala. Di Malaysia, Perkara 3 di dalam Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi namun di dalam perlembagaan juga menetapkan agama-agama lain bebas diamalkan oleh rakyat bukan Islam. Fenomena ini membolehkan setiap individu itu berpegang kepada kepercayaan yang diyakininya dan patuh kepada ajaran agama tersebut.
Kesetiaan kepada Raja dan negara- Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak Raja Berlembagaan. Justeru itu negara ini mempunyai ketua negara iaitu Yang Dipertuan Agong dan ketua negeri iaitu Raja atau Yang Dipertua Negeri masing-masing. Prinsip ini menekankan kesetiaan rakyat kepada ketua negara dan negeri masing-masing. Di samping itu, prinsip ini juga bertujuan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan kemajuan. Pegangan yang teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat yang:
1 | Menghormati harta awam |
2 | Menghormati simbol-simbol kedaulatan negara |
3 | Mematuhi undang-undang |
4 | Produktif |
5 | Berusaha meningkatkan nama baik negara melalui aktiviti-aktiviti sosial, ekonomi dan politik yang diceburinya |
6 | Sanggup menyumbang masa dan tenaganya untuk pembangunan masyarakat dan negara |
7 | Setia, sanggup dan berani mempertahankan negara dari sebarang ancaman oleh kuasa luar |
8 | Bersifat altruistik |
Selain itu, prinsip ini juga mengutamakan kebaikan masyarakat dan negara tanpa perasaan prejudis dan perkauman.
Keluhuran Perlembagaan- Negara kita mempunyai perlembagaan dan perlembagaan ini adalah undang-undang yang tertinggi di dalam negara. Prinsip ini menekankan supaya rakyat dapat menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan Perlembagaan Negara. Ini kerana perlembagaanlah yang berfungsi memberi perlindungan dan hak kepada setiap anggota masyarakat. Aspek-aspek utama dalam negara perlu dipatuhi sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia adalah:
1 | Konsep Raja Berperlembagaan |
2 | Kedudukan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam pembangunan sosioekonomi terjamin |
3 | Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping perkembangan bahasa-bahasa lain tidak dihalang |
4 | Agama Islam sebagai agama rasmi disamping kebebasan beragama diamalkan |
5 | Hak asasi rakyat terjamin |
6 | Hak kerakyatan dan sistem pemerintahan |
Kedaulatan Undang-undang- Adalah penting bagi mempastikan setiap individu di dalam negara terjamin kebebasan asasi mereka. Selain itu, setiap rakyat adalah sama tarafnya dari segi undang-undang dan tertakluk ke atasnya. Undang-undang di dalam negara adalah berasaskan beberapa sumber dan jenis. Oleh itu, undang-undang tersebut perlu dipatuhi untuk mempastikan kedaulatannya sentiasa terpelihara. Jika kedaulatan undang-undang dipertahankan, masyarakat dapat terus membangun dan anggotanya dapat hidup dalam aman dan harmoni.
Kesopanan dan Kesusilaan- Sebagaimana yang dinyatakan di dalam prinsip, ia adalah untuk mempastikan rakyat sentiasa bersopan santun dan penuh tatasusila. Prinsip ini juga menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Kesopanan dan kesusilaan ini juga berkaitan dengan tutur kata seseorang dan prinsip ini dapat menjamin hubungan sesama kaum terus kekal. Hubungan baik ini juga boleh terjamin sekiranya rakyat sentiasa berakhlak mulia, menghormat orang lain, mengelakkan diri daripada menyentuh hal-hal yang sensitif dan perkara-perkara yang telah dipersetujui majoriti.
Pembentukan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang harmoni dapat dilahirkan sekiranya setiap individu dalam masyarakat boleh berpegang teguh kepada prinsip kelima ini.
No comments:
Post a Comment