Ukhuwah adalah perkataan Arab yang bermaksud persaudaraan ‘mereka bekerja seolah-olah dalam satu keluarga besar, sentiasa bertolak ansur dan menjalin tali persaudaraan antara satu dengan yang lain.’ Dalam kehidupan hari ini, ukhuwah menjadi elemen yang sangat kritikal kerana sifat individualistik sering mendahului sifat-sifat berkumpulan atau berjemaah.
Konsep ukhuwah sering kali menjadi kayu ukur keakraban seseorang terhadap kumpulannya sama ada di kawasan perumahan ataupun dalam organisasi. Kita mungkin menganggap perkataan ukhuwah ini jauh daripada itu. Antaranya ialah ‘jelekit’ yang membawa maksud terlalu rapat, intim dan mesra. Dalam ukhuwah, ada elemen jelekit yang mampu meruntuhkan tembok-tembok konflik.
Membina dan memupuk ukhuwah bukannya semudah meruntuhkan ikatan persaudaraan yang telah dijalin. Membina ukhuwah penuh dengan ranjau dan cabaran, strategi dan teknik serta kesungguhan supaya setiap usaha yang dilakukan akan membuahkan hasil maksimum. Faktor yang paling penting dan dianggap sebagai langkah pertama dalam membina ukhuwah ialah corak atau bentuk komunikasi yang dipilih. Tidak perlu bagi kita untuk mengetahui kaedah-kaedah komunikasi yang canggih kerana orang yang paling mahir dan arif tentang cara berkomunikasi dengan orang lain adalah diri kita sendiri. Kita sendiri yang mengetahui kekuatan dan kelemahan diri seterusnya dapat mengukur sejauh mana kita mampu merapatkan jurang komunikasi dengan sasaran yang dipilih.
Berjemaah atau berorganisasi bermula dengan dua orang yang saling faham-memahami. Mereka berdua akan cuba mencari orang lain untuk berkongsi aspirasi dan sanggup bersudah-payah bagi menyediakan segala keperluan supaya asas kepada jemaah menjadi kukuh. Contohnya Al-Qaeda. Erti Qaeda ialah asas atau tapak. Apabila asas menjadi kukuh, kuat dan mantap, barulah elemen-elemen lain dapat dibangunkan dengan mudah. Osama ben Laden berjaya membina organisasi Al-Qaeda apabila beliau berjaya mendapatkan hati dan jiwa mereka yang bersamanya supaya bersedia untuk berkorban. Persaudaraan yang dibentuk oleh Osama ini menjadi begitu kukuh hinggakan tidak ada sesiapa pun dalam rangkaiannya yang membocorkan maklumat kedudukan mereka.
Selain Al-Qaeda, banyak lagi organisasi yang kuat dan mantap serta sukar digugat. Antaranya ialah gerakan jenayah ‘Mafia’ dan kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang negara. Walaupun jaringan mafia ini sangat luas, mereka memiliki sistem untuk memastikan dalam setiap masa arahan dipatuhi. Namun rangkaian mafia ini sekali-sekala bolos juga kerana persaingan merebut jawatan dan wilayah pentadbiran.
Konsep jemaah tidak terhad pada kegiatan jenayah malah lebih banyak wujud dalam masyarakat moden hari ini kumpulan yang pelbagai jenis dan bergerak dalam ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Ada juga jemaah yang memberi perhatian kepada kebajikan, rekreasi dan pertahanan diri. Ia juga tidak dihadkan kepada gender kerana ada jemaah yang semua anggotanya adalah wanita seperti Persatuan Ibu Tunggal atau Persatuan Pandu Puteri. Namun kebanyakan jemaah adalah dianggotai oleh kedua-dua jenis jantina supaya keberkesanan jemaah berkenaan akan lebih dirasai.
Berbagai-bagai-bagai sebab kenapa orang mahu berjemaah. Ada yang berpaksikan agama, politik atau prinsip diri. Bagi golongan sejenis, mereka juga ada jemaah sendiri sebagai tapak untuk melobi dan menekan kerajaan supaya kehendak mereka dipenuhi.
Pendek kata, kekuatan jemaah bergantung pada kekuatan ukhuwah anggotanya. Jemaah yang kuat adalah jemaah yang memiliki sistem perkadaran yang tersusun dan mampu menjadi penghubung kepada perjalanan jemaah. Tanpa individu yang berkualiti, jemaah tidak ada identiti, lama-kelamaan akan berkubur dan mati dengan sendirinya.
No comments:
Post a Comment