Friday, March 12, 2010

Implikasi ketidaksamaan peluang pendidikan terhadap individu, masyarakat dan negara (1)






Penekanan dalam aspek pendidikan sentiasa dititik berat memandangkan pendidikan mampu mengubah taraf hidup sesebuah masyarakat. Pendidikan membolehkan setiap individu menguasai ilmu pengetahuan dan seterusnya mampu mengatasi ranjau dan rintangan kehidupan. Di Malaysia, kerajaan sentiasa merancang dan memperkemaskan sistem pendidikan melalui belanjawan tahunan dan Rancangan Malaysia. Justeru, sepanjang tempoh dua setengah dekad semenjak tahun 1970, Malaysia telah mencapai kemajuan yang membanggakan dari segi pertumbuhan ekonomi sekali gus dapat memenuhi objektif sosial (Malaysia, 1999: 4-5).

Salah satu objektif Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) ialah menggiatkan dan memperluaskan pembangunan sumber manusia (Malaysia, 1965). Objektif program pendidikan adalah membaiki kualiti pendidikan dan peluang pendidikan yang mana merupakan agenda penting bagi setiap strategi pembangunan di Malaysia. Berdasarkan objektif ini, aspek pendidikan merupakan instrumen penting dalam meningkatkan kualiti hidup. Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Malaysia Pertama 1971-1990 (RRJP1), akses pendidikan telah dikenal pasti sebagai salah satu langkah utama yang berdaya tahan dan berkesan dalam usaha mengurangkan jurang pendidikan dan kemiskinan di antara kawasan bandar dan luar bandar (Malaysia, 2001: 158).

Sistem pendidikan negara telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara sehingga pengenalan kepada dasar pendemokrasian pendidikan pada tahun 1962. Dasar ini memberi penekanan ke atas pendidikan percuma kepada semua pelajar. Ia diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.

Semasa Dasar Pembangunan Negara 1991-2000, perubahan yang pesat jelas dapat dilihat dalam hala tuju pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan seperti Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996. Selain itu beberapa perubahan turut berlaku termasuk:

1. Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya di peringkat tertiari.
2. Perkembangan ICT dalam pendidikan seperti sekolah Bestari pada tahun 1999.
3. Naik taraf kelayakan guru-guru dari sijil ke diploma.
4. Naik taraf Maktab Perguruan Sultan Idris menjadi universiti.
5. Naik taraf sekolah menengah vokasional ke sekolah menengah teknik.

Dunia tanpa sempadan telah menyebabkan kebanjiran maklumat, askes yang lebih mudah kepada sumber dan memberi cabaran kepada sektor pendidikan. Cabaran kehidupan, global village dan borderless world akan terus memberi impak secara langsung terhadap kehidupan pelajar dalan perkampungan global ini. Justeru, Rancangan Jangka Panjang Ketiga bagi tempoh 2001-2010 dan Dasar Wawasan Negara telah memberikan usaha untuk membangunkan tenaga manusia yang memiliki tahap pengetahuan tinggi menerusi dasar pendidikan seumur hidup.

Antara penambahbaikan tersebut ialah Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002), Program Bimbingan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002), Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002), Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) 2003 dan Program j-QAF 2005 (Keputusan Jemaah Menteri, 2003).

Perubahan paling besar dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2004. Kementerian ini bertanggungjawab ke atas institusi pengajian tinggi awam dan swasta manakala Kementerian Pelajaran memberi fokus kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.

Implikasi ketidaksamaan peluang pendidikan di Malaysia boleh dilihat daripada perutusan Tahun Baru 2006 Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menyatakan,

‘merapatkan jurang pendidikan yang merangkumi jurang antara bandar dan luar bandar, jurang antara yang miskin dan kaya, jurang digital dan jurang antara mereka yang berkeperluan khas agar tidak ada sebarang golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara.’
Daripada kenyataan ini, ketidaksamaan peluang pendidikan dapat dibahagikan kepada kelas sosial, gender, kumpulan minoriti dan murid berkeperluan khas.

1. Kelas sosial

Kelas sosial berkaitan dengan kedudukan sesuatu kelompok dalam masyarakat sama ada dari segi kuasa, politik, kekayaan, pendapatan, martabat atau pekerjaan. Bagi maksud ketidaksamaan peluang pendidikan berdasarkan kelas sosial, ia meliputi kemudahan untuk mendapatkan guru, bahan-bahan rujukan dan peluang mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar.

Kajian-kajian juga mendapati hubungan yang signifikan di antara pencapaian akademik dengan pendapatan dan tahap pendidikan ibu bapa. Umumnya semakin tinggi pendapatan ibu bapa, tahap pencapaian akademik anak-anak semakin baik kerana keupayaan ekonomi mampu memenuhi segala perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Post a Comment