Friday, October 07, 2022

Sangka baik sikap terpuji


Setiap hari kita dapat merasai persaingan hidup yang sangat mencabar dan berbekas dalam fikiran. Salah satu daripada sifat yang sewajar dan seharusnya menjadi perhiasan diri kita untuk mencipta kejayaan dalam hidup adalah berfikir positif. 

Sifat ini dapat diertikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap segala keadaan yang menimpa dirinya. 

Dalam bahasa Arab, fikir positif dikenali sebagai التفكير الإيجابي dan Rasulullah saw suka kepada orang yang berfikir positif atau bersangka baik. 

Riwayat Al-Imam Muslim, maksudnya, ‘Dari Syuib katanya, Rasulullah saw. bersabda: Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, ia bersyukur, jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya’.

Thursday, October 06, 2022

Persaingan jadikan kita maju


Hidup dalam persaingan memang sukar. Sebaik sahaja anak kecil dilahirkan, ibu bapanya akan mula berhadapan dengan kerenah anak yang berbagai-bagai ragam. 

Pening kepala kerana tidak dapat memilih dengan sempurna pusat jagaan anak-anak yang paling berkualiti kerana banyak pusat jagaan anak-anak yang semakin baik. 

Banyak lagi contoh persaingan yang bermula sejak kita dilahirkan sehinggalah kita meninggal dunia. 

Di sekolah, tempat kerja mahupun kawasan kejiranan, semuanya ada elemen persaingan yang tidak dapat dielakkan kerana persaingan menjadikan kita lebih aktif, berwaspada dan maju.

Bagaimana hendak berhadapan dengan persaingan ini? 

Perkara utama adalah melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, teknik dan strategi yang dapat membantu mengembangkan potensi diri. 

Contohnya, untuk memilih institusi pengajian tinggi yang hebat dan bersesuaian dengan bidang yang diminati, kita perlu melakukan kajian, melihat perbandingan dan mengkayakan maklumat. Pencarian maklumat ini perlukan kemahiran. 

Siapa yang cepat mencari ilmu, dialah yang akan menang.

Wednesday, October 05, 2022

Masa telah berlalu


Sebahagian besar daripada hidup kita, sama ada bekerja sebagai pelajar, anak remaja malah ibu bapa, banyak dihabiskan di luar rumah, sekolah, universiti, institusi latihan mahupun di pejabat. Ini bermakna kita mengheret diri kita ke tempat kerja, sekolah dan sebagainya dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. 

Kitaran hidup ini berulang sepanjang hari, minggu, bulan dan tahun sehingga kita pencen. Ibu bapa melihat anak-anak membesar ketika perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. 

Kita yang bekerja di pejabat melihat perubahan pada raut wajah rakan-rakan sekerja. Jika dulu kulitnya gebu licin kini sudah tumbuh di celah-celah rambut yang hitam rambut putih. 

Masa telah berlalu pergi dan tidak dapat diputar kembali. 

Lalu kita bertanya tanya apakah amal ibadah yang kita lakukan sepanjang usia hingga kini? 

Apakah kita masih ada masa untuk menggencarkan amal yang lebih banyak ketika kekuatan tubuh badan semakin menurun dan penuaan semakin menebal?


Tuesday, October 04, 2022

Kualiti sinonim dengan kecemerlangan


Kualiti sangat akrab, intim dan rapat dengan kecemerlangan. Kualiti adalah satu keadaan yang cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan itu tidak terhad dan boleh pula berubah ke satu tahap. Ia tidak statik tetapi dinamik dan bergerak sepanjang masa. 

Jadi, apabila sahaja kita mencapai kualiti, tentu kita akan mendapati ada kualiti yang lebih hebat mesti dikejar. Jika ada lagi kualiti yang baru dicapai di depan, ada lagi bahagian-bahagian yang boleh ditambah baik. 

Maknanya, usaha membina dan membentuk kualiti ini tidak akan habis-habis, tidak ada hadnya. 

Prinsip utama kualiti ialah apa sahaja yang kita buat pada hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam.

Monday, October 03, 2022

Gembira dan kecewa


Bagaimana anda pada hari ini? Seronok? Happy? Kecewa. Saya doakan anda dalam keadaan gembira. Kadang-kadang kita perhatikan orang yang kurang gembira di tempat kerja mereka juga jarang rasa gembira di rumah. 

Gembira dan kecewa adalah tabiat mental. Jika kita memiliki ciri-ciri periang, positif dan buat kerja apa pun di mana-mana sahaja, kita akan berasa gembira, seronok dan akan berasa puas hati. Kegembiraan inilah yang membawa tuah, rezeki dan kejayaan. 

Jadi, jika kita mahukan perubahan kejayaan, kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya, kita kena suntik unsur-unsur sukakan bekerja dan suka apa yang kita lakukan. 

Biarlah kita suka bekerja, suka belajar dan suka beri buah, fikiran, idea dan sebagainya. Melalui cara ini, tentulah masyarakat dan negara akan maju.


Sunday, October 02, 2022

Beza bekerja bersunguh-sungguh dan separuh hati


Beza di antara orang yang bekerja, belajar atau bermain bersungguh-sungguh dan malas boleh dikenal pasti dengan jelas. 

Disiplin ketika datang bekerja, kemahiran melengkapkan tugasan atau menghasilkan produk yang sangat baik adalah antara elemen yang boleh digunakan untuk membezakan orang yang bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan orang yang bekerja hanya untuk gaji. 

Orang yang bekerja bersungguh-sungguh ini dapat merasai kenikmatan hasil bekerja keras seperti mendapat anugerah kecemerlangan, sentiasa merasa puas dan hormat diri sendiri. 

Orang yang malas buat kerja akan melakukan kerja dengan separuh hati, lebih suka bekerja kerana hendak dapatkan gaji. Setiap hari akan cuba memenuhi masa untuk melepak atau bersembang sehinggalah cukup bulan. 

Hari-hari bekerja adalah membosankan, justeru tidak ada perubahan, peningkatan ataupun pertambahan ilmu. 

Perbezaannya sangat banyak di antara mereka yang bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja dengan mereka yang bekerja hanyalah untuk tujuan tertentu sahaja. 

Keyakinan untuk bekerja ini akan menjadikan seseorang itu jauh ke hadapan ataupun tertinggal di belakang. Inilah perbezaan yang paling ketara apabila kita membuat penilaian ke atas kemajuan setiap pekerja dalam organisasi.

Saturday, October 01, 2022

Law of work


Kita sendiri yang menentukan tabiat yang baik, suka bekerja, mahu belajar dan sebagainya. Tidak ada orang yang boleh memaksa kita melakukannya. 

Ia sesuai dengan pepatah ‘love what we are doing’. Melalui minat, suka dan cintakan kerja, seseorang itu akan dapat memajukan dan melakukan kerja dengan lebih cekap, cemerlang, berkualiti dan pantas. 

Orang yang menikmati keseronokan bekerja ditunjukkan dengan tingkah laku yang terlalu berminat hendak belajar sehingga disuruh berhenti oleh ibu dan ayah, tidak menghiraukan makan dan minum atau tidur tidak mengira tempat. 

‘Law of Work’ memberi panduan yang boleh diikuti iaitu semakin tinggi tahap keseronokan kita bekerja atau belajar semakin tinggilah ganjaran kewangan yang boleh diterima. 

Semakin tidak seronok bekerja atau belajar, semakin kuranglah produktiviti yang diterima. Kejayaan dan kegagalan adalah pilihan yang kita ada dalam hidup. 

Sejauh mana usaha yang kita lakukan akan menentukan sejauh mana pula pencapaian yang akan diperoleh. 

Jadi, terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.


Friday, September 30, 2022

Kerja lebih, hasilnya juga lebih


Hampir semua orang yang berjaya, kaya dan ternama terdiri daripada mereka yang bermula dari peringkat bawah. Biasanya ialah berapa banyak usaha yang kita pertaruhkan di dalam pekerjaan dan kehidupan sebanyak itulah yang kita akan dapat balik. 

Contohnya, kalau kita usahakan sebanyak sepuluh peratus daripada tenaga kita, maka sepuluh peratus hasil yang kita akan dapat balik. Jika kita bekerja setakat mendapat upah seribu ringgit, Insya-Allah kita akan dapat seribu ringgit juga dan tidak lebih daripada itu kerana usaha itu tidak sampai ke tahap dua ribu ringgit. 

Jika hendak jumlah yang lebih besar, kenalah berusaha lebih banyak. Jadi, mari kita fikirkan tentang bagaimana hendak bekerja dengan lebih kuat supaya kita dapat jumlah yang lebih banyak daripada yang kita fikirkan. 

Orang yang berusaha gigih sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatannya.

Usaha yang diberikan juga akan berlipat kali ganda supaya dapat mencapai sasaran dan akhirnya mengecap nikmat daripada hasil kerja tersebut.

Thursday, September 29, 2022

Buat lebih, dibayar lebih


Kali ini kita masih berkongsi tentang kejayaan. Sekiranya kita mencapai kejayaan seperti kenaikan pangkat, gaji yang lumayan dan sebagainya, sudah tentu ada sebab dan alasan yang istimewa.

Satu tabiat yang sangat terpuji ialah berusaha membuat kerja yang lebih daripada apa yang dibayar. Pasti suatu hari nanti kita akan dibayar lebih daripada apa yang kita lakukan. 

Inilah salah satu prinsip kejayaan dalam kerjaya undang-undang dan hukum alam bersifat timbal balas menyatakan apabila kita mengamalkan nilai dan tabiat yang baik, pada akhirnya, orang lain akan memberikan ganjaran lebih banyak. 

Ganjaran seperti gaji, bonus dan apa sahaja adalah hasil daripada perkhidmatan cemerlang. 

Jika kita lihat orang-orang yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, biasanya mereka mengamalkan tabiat bekerja lebih daripada apa yang dibayar di peringkat permulaannya. 

Itulah kejayaan yang hebat.




Wednesday, September 28, 2022

Kuasa ilmu


Ilmu pengetahuan menjadi kuasa besar untuk berubah. Kuasa yang boleh membawa kita ke tempat lebih jauh, lebih tinggi dan lebih mulia. Ilmu pengetahuan membawa perubahan kepada ramai orang miskin dan orang susah. 

Anak-anak petani, nelayan, buruh, tukang sapu, pencuci dan sebagainya telah keluar dari kepompong pekerjaan tradisi kepada pekerjaan yang lebih mencabar kerana mereka belajar di sekolah, mendapat ilmu dan mula membuat perubahan. 

Semasa kanak- kanak kita mungkin bermain ‘enjet-enjet semut siapa sakit naik atas’ yang mana falsafah permainan ini ialah kesakitan diumpamakan seperti kesukaran atau rintangan. 

Jika kita menghadapi kesukaran, jangan pandang belakang sebaliknya terus mara. 

Dalam proses belajar dan mencari ilmu, kita perlu ingat sebaik sahaja kita berhenti belajar, pembangunan diri kita akan turut terhenti.

Tuesday, September 27, 2022

Tiga C


Maksud kaya memiliki banyak tafsiran. Ada orang yang kaya harta tetapi sangat susah hendak senyum, ada yang miskin harta tetapi kaya dengan senyuman dan ada juga sebaliknya. 

Allah swt tidak mengukur kekayaan harta benda, kaya anak- pinak tetapi kekayaan di sisi Allah swt ialah kaya iman dan kaya amal. Apabila lalai dan leka dengan kesenangan hidup, iman dan amal diletak di tepi. 

Satu kajian yang dilakukan ke atas kecenderungan anak muda terhadap kehidupan pada zaman moden, rata-rata anak muda ini memilih ‘3C’ iaitu credit card, car, condominium. 

Tidak ada kecenderungan untuk mencari iman ketika usia muda. 

Jadilah kehidupannya hanya untuk kesenangan hidup sahaja. Tidak memikirkan apakah bekalan untuk dibawa ke akhirat dan itulah kehidupan yang dilalui hanya untuk berseronok dan gembira.


Monday, September 26, 2022

Ucapan penghormatan jadi amalan


Apabila kita hormat orang lain, orang lain turut akan hormat kepada kita kerana hormat sangat sukar dituntut. 

Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk hormat jika kita tidak ada keinginan untuk menghormati. Memberi hormat ini banyak cara seperti ucapan selamat, ucapan salam, senyum ataupun berjabat tangan. 

Seorang rakan saya dari Amerika Syarikat memberi contoh yang sangat baik kepada kita untuk hormat dalam bentuk ucapan selamat. 

Dia selalu memberi ucapan ‘hello’, ‘good morning’ dan ‘thank you’. Ketika mengucapkan perkataan ini dia tersenyum. 

Oleh kerana masyarakat kita yang tidak biasa dengan cara ini, saya pun agak kekok untuk praktis dalam ucapan harian, tetapi saya cuba juga supaya menjadi amalan yang melekat dalam diri. 

Mungkin dengan hormat cara begini kita akan diingat sampai bila-bila.

Sunday, September 25, 2022

Berkorban untuk belajar hingga berjaya


Sikap ingin belajar bergantung kepada diri kita iaitu terbuka kepada ilmu baharu dan cabaran baharu. Keterbukaan ini adalah tahu, faham, terjemahkan kefahaman dan laksana. inilah sistem yang boleh diguna pakai untuk belajar dalam bidang yang kita minat. 

Belajar juga bergantung kepada kesediaan diri. Disiplin diri, serius dan mahu membuat kerja adalah antara persediaan yang boleh membuka ruang kepada keterbukaan. 

Peluang untuk belajar semakin banyak contohnya di negara kita terdapat institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai bidang pengajian. 

Dua puluh tahun lepas, kewujudan institusi ini tidak sebanyak yang ada pada hari ini. Kerajaan telah membuka ruang dan terpulang kepada kita untuk menempatkan diri dalam peluang yang disediakan. 

Semakin banyak atau tinggi aras ilmu yang kita ada, ongkosnya tentulah lebih banyak. Insya-Allah. jika sudah ada niat hendak belajar, Allah akan bantu kita.


Saturday, September 24, 2022

Gen-X, Gen-Y dan Gen-Z

Dalam masyarakat, terdapat empat generasi yang hidup bersama iaitu baby boomer, Gen-X, Gen-Y dan Gen-Z. Cara berfikir mereka ini berbeza-beza. Gen-Z tidak sama cara fikirnya dengan Gen-X dan Gen-Y. 

Gen-Z berfikir lebih laju, lebih pintar dan lebih cerdik kerana maklumat yang diperolehi lebih terkehadapan dan jaringan sosial juga lebih banyak. 

Saya rasa dari setahun ke setahun pemikiran generasi ini akan lebih maju dalam pelbagai bidang. Hal ini mewujudkan jurang generasi tetapi banyak cara untuk menyelesaikannya. 

Contohnya, generasi yang celik IT sangat pantas mencari maklumat melalui internet berbanding generasi lama. Perbezaan ini boleh mencetuskan perselisihan pandangan, idea dan kaedah. 

Maka, ibu bapa perlu belajar sedikit sebanyak apa yang menjadi kegilaan anak manakala guru-guru perlu mengambil berat minat anak murid dalam pelbagai bidang dan sebagainya.


Friday, September 23, 2022

Perubahan tetap akan berlaku


Belajar menerima perubahan dari yang lama kepada yang baharu adalah satu pengalaman yang sangat menarik. Perubahan tidak semestinya drastik tetapi mengambil masa dan berperingkat-peringkat. 

Kenapa perubahan mesti dipelajari? 

Maksud mempelajari perubahan ini ialah kita kenal selok-belok bagaimana perubahan bermula dan berakhir serta proses yang paling baik untuk mengurus perubahan tersebut. 

Kita belajar bagaimana hendak merancang perubahan dan menilai keputusan dari semasa ke semasa. Dalam proses ini terdapat adakalanya perubahan tidak menepati kehendak kita. 

Jadi kita belajar bagaimana hendak menerima keputusan begitu, lihat bagaimana, di mana silapnya, apa halangannya dan bagaimana cara terbaik untuk capai matlamat perubahan, 

Sama ada mahu ataupun tidak mahu, perubahan akan berlaku. 

Jika kita tidak mahu membuat perubahan, suatu masa nanti, orang lain yang akan melakukan perubahan ke atas diri kita.



Thursday, September 22, 2022

Rubbish on, rubbish out


Sesekali semasa saya hadir ke kursus, pagi-pagi lagi disediakan senaman pagi yang biasanya mengambil masa 45 minit hingga satu jam. 

Selepas melompat, duduk, lari dan merangkak, fasilitator atau jurulatih akan memberi ulasan. Antara ulasan yang menarik ialah keupayaan menerima arahan dan melaksanakan arahan. 

Bagaimana kita mengurus arahan-arahan di rumah, sekolah atau tempat kerja? 

Kaedahnya begini. Sebaik sahaja menerima arahan mesej, proses mesej dan pelaksanaan berdasarkan kefahaman sendiri. Arahan yang jelas tentu menghasilkan kerja yang sangat cemerlang. 

Bagaimana pula jika dapat mesej yang salah? 

Proses perlu juga dibuat tetapi biasanya mesti dibetulkan dengan memaklumkan kepada penghantar mesej supaya dapat betulkan mesej yang diberi. Jika mesej yang salah dibiarkan, jadilah seperti mana ayat ‘rubbish on, rubbish out’.




Wednesday, September 21, 2022

Dedahkan kepada perubahan


Proses pembangunan dalam diri mengambil masa dan melalui banyak peringkat. 

Ada kalanya hanya dua atau jam berbual-bual dengan kaunselor, seorang klien sudah boleh menerima kenyataan hidup dan melihat hidup dengan pemikiran yang positif. Pandangannya terhadap diri sendiri telah berubah ke arah yang lebih baik. 

Ada juga perubahan yang boleh berlaku dalam masa seminggu. Contohnya selepas menghadiri kursus, bengkel atau seminar yang mana ilmu yang diperolehi dapat membantu merencanakan perubahan yang diingini. 

Semakin banyak kita hadir ke kursus atau mendedahkan diri kepada perubahan, lebih cepatlah proses perubahan itu akan berlaku. 

Jadi, kalau kita ada niat untuk merancang membuat perubahan diri, kita harus sedar proses tersebut kadangkala amat sukar dan menyakitkan. 

Jika kita dapat melalui proses tersebut dengan baik, insya Allah kita boleh melakukannya.



Tuesday, September 20, 2022

Manfaatkan umur, fikiran dan tenaga


Kalau kita ada sebidang tanah tetapi tidak berusaha untuk memanfaatkan tanah itu, apakah yang akan tumbuh? Tentulah lalang. 

Jika kita berfikir sedikit untuk menanam pokok atau membina bangunan, tentulah hasilnya menjadikan kita orang yang punya wang dan hati yang senang. 

Hakikat kejayaan ialah ada keinginan untuk berusaha dan berikhtiar baharulah akan dapat. Begitu juga kita diberi peluang untuk hidup dalam tempoh tertentu. 

Cara hendak hidup bergantung kepada kita dan di akhir hidup kita akan dinilai. Jika semasa hidup kita usahakan untuk mempersiapkan diri di dunia dan di akhirat, tentulah itu yang kita dapat kerana dunia adalah jambatan ke akhirat. 

Usahakan dapat rahmat Allah swt dari segi umur, fikiran dan tenaga supaya mendapat nilai yang mulia di sisi Allah swt.

Monday, September 19, 2022

Empat kategori manusia


Orang berjaya di sisi Allah swt ialah orang yang selamat daripada azab api neraka. Maksudnya kejayaan mendapat harta, naik pangkat atau berkelulusan tinggi sepatutnya mendorong kita untuk jauh daripada neraka dan azab yang disediakan Allah swt. 

Justeru, usaha untuk berjaya di sisi Allah swt adalah ketika hidup dunia ini dan bukannya di dalam kubur. 

Oleh kerana itulah orang yang hidup di bahagikan kepada empat kategori iaitu bahagia dunia bahagia akhirat, bahagia dunia derita akhirat, derita dunia bahagia akhirat dan derita dunia derita akhirat. 

Golongan pertama adalah golongan rasul dan nabi seperti mana Nabi Sulaiman a.s yang memerintah alam, manusia dan juga jin. Kehidupan Nabi Sulaiman a.s adalah contoh orang yang bertakwa kepada Allah swt. Nabi Yusuf a.s menjadi menteri dan kehidupannya penuh dengan ketakwaan. 

Golongan kedua adalah Firaun dan juga Namrud. Kehidupan mereka berdua ketika ia dunia ini sangat hebat tetapi lupa kepada Allah swt dan menolak rasul yang dihantar. Qarun juga sama iaitu sangat kaya di dunia. 

Golongan ketiga ialah seperti Bilal bin Rabah orang yang tidak punya apa-apa harta tetapi suaranya boleh didengari sampai ke arasy Allah swt. 

Manakala golongan keempat adalah golongan yang bekerja tanpa henti, meninggalkan solat dan juga perkara-perkara wajib yang lain.

Sunday, September 18, 2022

Perspektif kejayaan


Apakah erti kejayaan? 

Kita semua ingin berjaya dalam hidup. Jika kita bertanya kepada seorang raja atau menteri tentang erti kejayaan, tentu dia inginkan kejayaan. 

Semua orang inginkan kejayaan. Ada yang berfikir bahawa maksud berjaya ialah perlu ada harta. lalu siang dan malam dia berusaha untuk mencari harta dan tidak kisah apa caranya. Jika tidak ada harta dianggap sebagai gagal. 

Ada juga orang yang melihat kejayaan dari sudut mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, lalu orang yang tidak ada kelulusan dianggap sebagai gagal. Tidak salah untuk melihat kejayaan seperti ini kerana Allah juga mendorong kepada kejayaan. 

Namun, Allah tidak meletakkan harta sebagai kejayaan dan tidak meletakkan pangkat sebagai kejayaan. 

Di sisi Allah, orang yang berharta dan kaya raya boleh berjaya dan gagal. Malah di sisi Allah juga orang yang miskin boleh berjaya. 

Di sisi Allah, orang yang paling mulia ialah orang yang bertakwa.

Saturday, September 17, 2022

Ruang dan peluang membuat keputusan


Membuat keputusan boleh dilakukan dengan banyak cara sama ada seorang diri, berkumpulan atau berjemaah. 

Saya lihat keputusan yang terbaik adalah ruang dan peluang untuk mencari penyelesaian supaya banyak pilihan boleh dibuat. 

Peluang untuk berbincang sebenarnya menjadikan keputusan lebih baik. Bayangkan kalau hanya seorang diri yang berfikir dan membuat keputusan? Tentulah keputusan yang diharapkan hanya menyebelahi diri sendiri. Orang lain tidak banyak mendapat manfaat. 

Ruang untuk berbincang juga sangat banyak khususnya di media sosial seperti Facebook dan laman sesawang yang lain. 

Media sosial seperti ini adalah satu bentuk komunikasi yang boleh membantu kita untuk membuat keputusan yang lebih baik dan juga sempurna.

Friday, September 16, 2022

Rebut kebaikan-kebaikan dunia


Dalam apa sahaja keadaan, pastikan kita dapat kebaikan di dunia kerana kebaikan di dunia menjadi prasyarat untuk kebaikan di akhirat. Orang miskin atau kaya yang mendapat kebaikan yang banyak lebih baik kehidupannya. 

Seorang remaja dapat menyediakan dirinya dengan kebaikan diri tentulah dapat pula menyediakan kebaikan-kebaikan kepada orang lain seperti ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat sekitar. 

Banyak jenis kebaikan yang kita boleh buat dan juga boleh laksanakan seperti membantu mengagihkan makanan, mendoakan kesihatan, memaafkan dan juga meringankan kesusahan hidup orang lain. 

Kebaikan yang kecil jika dibuat secara berterusan tentulah memberi manfaat yang sangat besar kepada orang yang mendapat kebaikan tersebut. 

Marilah kita mendidik diri kita untuk menerapkan nilai-nilai kebaikan ini yang boleh dimulakan pada bila bila masa sahaja.

Thursday, September 15, 2022

Kebaikan minum air dan duduk tegak


Kelmarin saya berkongsi tentang mengekalkan kesihatan supaya kita dapat sampai umur sehingga 100 tahun. 

Hari ini saya hendak tambah lagi dua tips yang disyorkan. 

Pertama, minum air. Apabila kita merasa haus sahaja, jangan biarkan ia berterusan sebaliknya terus minum air dan air yang terbaik adalah air kosong. 

Soalnya, berapa banyak yang kita hendak minum? 

Rasa haus setiap orang berbeza-beza, justeru terpulang kepada keperluan diri kita. Ada orang yang cukup dengan 7 hingga 8 gelas sehari namun ada yang perlungkan sehingga 12 gelas sehari. 

Kedua, melatih diri untuk berdiri tegak. Tulang kita seringkali merosot dengan cara kita duduk. Cara duduk dan di mana kita duduk memberi impak kepada tulang belakang. 

Oleh kerana itulah kita perlu melatih diri untuk dapatkan tulang yang kuat dan kurang memberi tekanan. 

Kesihatan yang baik tidak terhad kepada beberapa tip tetapi melangkaui kaedah dan strategi yang sangat banyak antaranya ialah mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berterusan supaya kita dapat membuat tindakan yang sesuai dengan gaya hidup kita.

Wednesday, September 14, 2022

Berubah untuk jadi lebih baik


Berubah adalah satu perkara yang penting kerana ia dapat membawa kebaikan kepada masa hadapan hidup kita. Jika tidak berubah, kita akan tertinggal. 

Perubahan yang penting dan besar mesti dipandu oleh fokus supaya dapat bersaing dengan orang lain yang lebih kanan dan lebih lama. Tidak mustahil kita boleh berubah kerana kekuatan fokus ialah ia menggerakkan pemikiran tenaga dan usaha ke arah menjadi juara ataupun ‘champion’, mencapai matlamat dan juga kejayaan. 

Seorang pelajar yang sentiasa menyerlah dalam peperiksaan mesti ada fokus kerana itulah dia mendapat kecemerlangan. 

Bagaimana pelajar yang sering gagal? 

Tentulah dia tidak ada fokus yang jelas menyebabkannya tidak merancang, tidak ada kesedaran untuk cemerlang dan tidak ada kesungguhan untuk berjaya. 

Resepi perubahan yang dicadangkan oleh Profesor Michelle Yoshiro dari Harvard Business School adalah seperti berikut iaitu, pertama adalah memilki deria mendesak iaitu urgency, yang kedua adalah visi dan kemudian adalah proses dan komitmen.

Tuesday, September 13, 2022

Tip kekal sihat


Negara Jepun adalah antara negara yang paling ramai warga emas atau orang tua. Purata umur orang Jepun melebihi 80 tahun dan hampir mencapai umur 100 tahun. 

Kajian-kajian di Barat banyak dibuat untuk mengkaji tip hidup yang lebih lama. Kali ini saya hendak berkongsi tip yang boleh kita amalkan. Jika tidak dapat lakukan semua, cukuplah bermula dengan satu atau dua amalan. 

Tip yang pertama ialah mendengar dan melaksanakan petua orang dulu-dulu iaitu fikirkan yang positif lebih banyak, minum air dengan cukup, tarik nafas dalam-dalam, setiap hari kerap berjalan kaki dan membina persahabatan. Kelima-lima petua ini sebahagian besarnya kita sedang buat cuma perlu ditambah baik lagi. 

Tip kedua ialah ambil berat jika mengalami stres dan gelisah kerana kedua-dua sifat ini ada kesan langsung kepada jantung. 

Andai kata jantung sering terganggu, lama-kelamaan fungsinya menjadi lemah dan sensitif dengan perubahan emosi. 

Jadi, jika stres, cepat-cepatlah selesaikannya.

Monday, September 12, 2022

Kekesalan dalam hidup


Suatu hari saya menerima e-mel daripada rakan saya dan saya ingin berkongsi dengan pembaca isi kandungan e-mel tersebut. 

Ia berkaitan lima perkara yang menjadi kekesalan orang yang terlantar di atas katil menunggu masa untuk meninggal dunia kerana pelbagai masalah kesihatan. Lima kekesalan tersebut adalah, pertama, hidup dengan diri yang sebenar. 

Di hujung-hujung umur, ramai orang yang menyesal kerana tidak ataupun jarang memberi penghormatan kepada diri sendiri. 

Kedua, bekerja terlalu kuat dan memberi tumpuan kepada kejayaan menyebabkan mereka kurang masa untuk keluarga. 

Ketiga, berupaya menunjukkan emosi yang jelas. Ramai orang yang menyembunyikan perasaan untuk menjaga hati orang lain. Akhirnya diri sendiri tidak berkembang sebagai diri yang sebenar. 

Keempat, memutuskan hubungan dengan rakan-rakan, akibatnya, rakan-rakan yang sedia ada hilang begitu sahaja. 

Kelima, sentiasa gembira. Hidup penuh dengan pilihan dan pilihlah dengan bijak, jujur dan jadilah orang yang berguna.


Sunday, September 11, 2022

Jaga kesihatan ketika muda


Menjaga kesihatan diri ketika usia muda sangat penting. Kesihatan diri amat penting kerana kita masih kuat dan dapat menikmati hidup dengan gembira. 

Seorang anak muda yang bersemangat dengan aktiviti keusahawanan memasang impian untuk mengumpulkan sedikit wang bagi meluaskan bisnesnya. Satu cara yang diaplikasi ialah mengurus perbelanjaan secara berhemah. 

Semua perbelanjaan direkodkan supaya dia dapat menyalurkan kos pada aktiviti yang meningkatkan produktiviti. 

Alhamdulillah, bisnesnya menunjukkan perkembangan yang baik. Untuk menjadi usahawan muda yang produktif, aktif dan dinamik, kos pengurusan dan pentadbiran mesti diurus dengan baik. 

Saya melihat ramai orang muda di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan bisne dan saya doakan mereka berjaya dan terus berjaya.

Saturday, September 10, 2022

Buat baik sebanyak-banyaknya


Bila kita selalu mengharapkan orang untuk berbuat baik kepada kita, besar kemungkinan kita akan kecewa. 

Rasa kecewa kerana sangat susah untuk memaksa orang lain berbuat baik kerana sifat manusia dalam berbagai-bagai. Perkara yang tidak kecewa ialah kita membuat kebaikan kepada orang lain kerana kita rasa bahagia apabila membuat kebaikan. 

Kita memang punyai banyak rancangan dalam hidup, malah bermacam-macam perkara hendak dibuat. Sesiapa yang mempunyai impian dan berusaha mencapainya tidak akan pernah gagal melainkan hanya ‘belum berjaya’. 

Gagal dalam perancangan adalah untuk mereka yang berputus asas. 

Sekali gagal terus enggan berusaha kerana merasakan peluang untuk berjaya telah tertutup. 

Carilah jalan untuk merancang melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun kadangkala agak menyusahkan diri.

Friday, September 09, 2022

Suara ibu hilangkan stres


Kajian yang dilakukan oleh University of Michigan tentang kesan menceritakan masalah, isi hati atau perasaan kita kepada orang lain menunjukkan orang yang selalu mencurahkan masalah kepada ibu bapa, rakan-akan atau kaunselor dapat meningkatkan kadar hormon progesteron iaitu hormon yang diyakini dapat mengurangkan rasa cemas dan stres. 

Penemuan lain yang dapat dikesan adalah responden menunjukkan tahap kesihatan yang memuaskan. Kepada siapa Yang paling berkesan untuk kita berbual-bual bagi menyelesaikan masalah hidup? 

University of Wisconsin-Madison melakukan tinjauan ke atas puluhan gadis dan ibu mereka. Rumusan kajian ini ialah ‘talking on the phone with mom is nearly as comforting as getting a halt to release stress’

Dengan kata lain, apabila kita rasa gelisah, cepat-cepatlah menelefon ibu kita kerana suara ibu memberi sentuhan kasih sayang yang sangat menakjubkan.

Thursday, September 08, 2022

Jaga hati pelanggan


Apabila cuaca panas sebelah petang, kita akan mula mencari-cari ais batu campur atau ‘ABC’ untuk hilangkan dahaga. 

Perniagaan yang paling laku ketika ini ialah menjual aiskrim atau ‘coconut shake’. Kadang-kadang pelanggan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan secawan ‘coconut shake’ ini. Malah ada yang hendak cepat tidak sanggup untuk menunggu lalu membeli di tempat lain. 

Dalam bisnes, pelanggan amat penting kerana melalui pelanggan sesuatu bisnes akan terus berkembang kerana pelanggan mencari pelanggan yang lain. 

Hati pelanggan mesti dijaga kerana mereka yang membawa wang untuk keuntungan syarikat. 

Kalau pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan kita, mereka memuji bisnes kita dan dimuat naik ke dalam media sosial. 

Orang yang suka mencuba makanan ataupun minuman baharu akan pergi membeli kerana gembira membaca artikel tentang makanan ataupun minuman yang kita promosikan tadi. Dari sinilah keuntungan bisnes akan meningkat dan terus meningkat.

Wednesday, September 07, 2022

Dengar pandangan orang lain juga


Saya dan seorang rakan sedang mengusahakan penulisan sebuah buku yang agak tebal dan perlukan beberapa pindaan sebelum dapat diterbitkan. 

Oleh kerana ramai penilai yang jemput untuk menilai buku ini, banyak pulalah ulasan yang kami dapat dan perlu diperbetulkan. Manuskrip buku ini sudah hampir setahun, tetapi perjalanan untuk diterbitkan masih berliku-liku malah hampir mematahkan semangat dan usaha. 

Lalu saya bertemu dengan pegawai yang menguruskan hal ehwal penerbitan ini dan bertanya beliau tentang terlalu banyak keperluan yang perlu diikut. 

Justeru, daripada raut wajahnya, beliau agak bersimpati dengan saya dan memberi semangat serta dorongan untuk ikut sahaja apa yang dikehendaki. 

Saya kata ‘okey, nanti saya siapkan’. 

Dalam hidup kita, pandangan dan pendapat orang lain juga boleh membantu kita membuat keputusan yang lebih baik.

Tuesday, September 06, 2022

Merangka untung nasib hidup


Adakah kita selalu berfikir apa yang akan berlaku kepada kita dałam tempoh lima tahun akan datang dan apa yang kita lakukan pada hari ini untuk membawa hasil pada hari-hari yang akan datang? 

Ramai juga yang berfikir untung nasibnya itu. Jadinya, apa yang kita buat pada hari ini akan menentukan keadaan hidup kita di kemudian hari. 

Contohnya, pelajar sekolah yang kaki ponteng kelas, tidak mahu mengambil ujian dan peperiksaan serta kerap melawan arahan guru, kita sudah boleh agak ke mana hala tuju dan masa hadapan hidupnya. 

Saya rasa pelajar yang berani ponteng kelas kurang memikirkan masa hadapan. 

Dia meletakkan masa depannya di tangan ibu bapa, guru dan rakan-rakannya. Jika mereka ini betul-betul hendak membantu baguslah, namun jika mereka tidak mahu, masa hadapan belum tentu terjamin.

Monday, September 05, 2022

Orang berjaya sifatnya luar biasa


Orang biasa atau ‘average men’ sangat jelas iaitu tidak mampu bertahan lama, tidak sanggup menempuh rintangan dan mengaku kalah ketika separuh jalan. 

Mereka cepat kalah kerana enggan bersusah payah. Watak ini sangat berbeza dengan orang yang berjaya. 

Orang yang berjaya lebih kuat, cekal, daya tahan yang tinggi dan kebal daripada kritikan. Semangat, azam dan kemahuan mereka jauh lebih hebat. 

Mereka sanggup pula bersusah payah untuk mengorbankan seketika kepentingan diri bagi meraih kejayaan yang besar. 

Hari ini, harga sebuah kejayaan sangat mahal. 

Untuk menjadi pelajar dan pekerja yang terbaik, bayarannya ialah melalui usaha yang gigih, tidak mengaku kalah dan berterusan berdoa supaya Allah swt memberikan apa yang diminta.

Sunday, September 04, 2022

Salah faham konsep kejayaan


Ramai orang yang tersalah konsep kejayaan iaitu kejayaan boleh dicapai hanya dengan usaha yang minimum atau 'asal boleh buat kerja'. 

Oleh kerana salah faham ini, kualiti kerja juga tidak menepati kualiti yang sepatutnya. Kita tidak boleh mengharapkan kejayaan tanpa ada persediaan untuk mengharungi cabaran-cabaran yang merintangi kejayaan. 

Hakikat kejayaan ialah banyak cabaran. Contohnya begini, dalam keadaan pasaran kerja yang kurang menggalakkan, bagaimana seorang lulusan universiti atau kolej universiti hendak menempatkan diri sebagai seorang penjawat awam? 

Tentulah banyak cabaran terutama persaingan yang banyak ketika ini. Justeru mereka mesti memikirkan alternatif yang sesuai supaya bukan pekerjaan di sektor awam sahaja yang dikejar malah sektor swasta juga menyediakan pilihan pekerjaan yang menarik. 

Jika tidak pun, mereka boleh menjadi seorang usahawan.

Saturday, September 03, 2022

Kejayaan mesti ada pengorbanan


Ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang telah berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah. 

Saya berjumpa mereka untuk mengucapkan tahniah di samping berkongsi tip kecekalan belajar. 

Antara tip yang saya dapati hampir sama adalah kejayaan mesti ada pengorbanan. Tidak ada satu kejayaan pun yang boleh dicapai tanpa pengorbanan. 

Kita mesti sanggup mengorbankan apa yang ada pada kita seperti fikiran, wang ringgit, tenaga, masa dan sebagainya supaya kita dapat apa yang sedang dikejar. 

Begitu juga dengan kejayaan, semua orang yang hendak berjaya mesti menanam semangat dan cita-cita untuk berjaya. 

Memanglah, mengejar ijazah doktor falsafah adalah ‘the ultimate goal’ yang hendak dicapai dalam kelayakan akademik. Ia suatu yang susah, mengambil masa dan perlukan pengorbanan.



Friday, September 02, 2022

Siapa berusaha dia akan dapat


Kita belajar mengawal dan mengikis semua pemikiran yang tidak sihat serta negatif yang memenuhi dan menghantui kotak pemikiran sehingga menjadikan kita kelam-kabut dan keliru. 

Orang yang gagal mengawal pemikiran tidak sihat ini sedang membiarkan mereka berterusan untuk gagal. 

Orang yang gagal ini tidak menyedari bahawa teknik yang paling berkesan untuk menyelesaikan semua kesulitan ialah dengan belajar mempercayai kebolehan dan potensi diri sendiri.

Insya Allah, selepas berusaha sedaya upaya, Allah swt akan sentiasa membantu kita. Usahlah terlalu risau selepas berusaha, kita serahkan sahaja kepada Allah swt. 

Peribahasa Arab juga menyebut ‘man jadda wa jadda’ iaitu siapa berusaha dia akan dapat.

Thursday, September 01, 2022

Terima dan hadapi masalah


Bekerja dengan gigih, kuat dan rajin, insya Allah akan membawa kejayaan. Kejayaan membuatkan kita berasa bangga dan dapat melihat masa hadapan dengan sangat yakin dan bersemangat. 

Prinsip utama yang mesti dimiliki oleh sesiapa juga yang ingin mencapai kejayaan adalah keupayaan menerima dan menghadapi masalah dengan tenang dan bijak. 

Kita perlu sedar, aras masalah hidup ditentukan oleh siapa kita dan tanggungjawab yang kita pikul. Masalah orang yang bekerja sebagai pencuci tidak sama dengan pengurus di syarikat pencucian. Masalah pengurus tidak sama dengan pekerjanya. 

Klunya di sini adalah semakin tinggi pangkat dan kedudukan kita, maknanya gaji kita semakin banyak, semakin besar bisnes kita, maknanya tanggungjawab dan masalah yang kita hadapi semakin besar. 

Ini yang dikatakan lumrah kehidupan.

Wednesday, August 31, 2022

Belajar di awal usia


Kanak-kanak yang berusia dua hingga tiga tahun sudah dapat mengenal dan menyebut ‘i-pad’ pada hari ini. Mereka tidak kekok untuk menyentuh paparan skrin i-pad untuk melayari klip video Upin dan Ipin. 

Kita boleh bayangkan apabila kanak-kanak ini berada di sekolah, mereka sudah mahir dengan komputer dan tidak seperti ‘rusa masuk kampung’ dengan teknologi maklumat. 

Berbeza dengan ibu bapa kerana ketika berumur 30 tahun, 40 tahun atau 50 tahun baharu dapat kenal dengan i-pad, i-phone dan sebagainya. 

Jika kanak-kanak senang hendak diajar, oang dewasa agak susah sedikit kerana dua atau tiga kali diajar belum tentu dapat mengingat dengan baik. 

Pesanan saya, jika hendak belajar, lebih baik dimulai sejak kecil kerana apabila sudah dewasa, minat belajar semakin pudar dan terikat dengan lebih banyak komitmen.

Tuesday, August 30, 2022

Kita sendiri tentukan


Kita jarang melupakan memori hidup yang indah. Begitu juga dengan peristiwa pahit yang pernah berlaku dalam hidup. 

Ada orang yang sukar melupakan zaman ‘pahit’ mereka sehingga tidak dapat menikmati kehidupan pada hari ini. 

Apakah yang dikatakan peristiwa pahit yang sangat sukar ini? 

Antaranya adalah pernah dilukai ketika bercinta sehingga enggan bercinta lagi, pernah dianiaya dan merasai kesan penganiayaan yang membawa kemusnahan hidup serta pernah menerima layanan buruk suatu ketika dulu dan tidak dapat melupakannya sama sekali. 

Banyak lagi peristiwa pahit yang ada berbagai-bagai versi. 

Ada orang yang tidak dapat melupakan peristiwa-peristiwa ini, ada yang boleh ‘move on’ dan ada orang yang memendam rasa. 

Pokoknya, ia bergantung kepada kita kerana kita sendiri yang mencorakkan masa hadapan.

Monday, August 29, 2022

Belum ada rezeki


Kali ini saya hendak berkongsi dengan anda tentang erti kegagalan. Kegagalan bukanlah bererti kita seorang yang gagal sebaliknya ia bererti ‘masih belum berjaya’. 

Kegagalan bukanlah tidak mendapat apa-apa sebaliknya adalah ‘telah belajar sesuatu’. Kegagalan bukan bererti bodoh kerana telah mencuba sebaliknya kita perlukan sedikit masa lagi untuk berjaya. 

Kegagalan bukan bermakna kita kecundang tetapi merupakan peluang baharu untuk memulakan cara lain yang lebih baik. 

Kita dapat mengubah persepsi terhadap usaha dan kegagalan andainya kita dapat memahami bahawa usaha-gagal-usaha-berjaya adalah amat rapat dengan masa. 

Kita gagal kerana beum sampai masanya untuk berjaya.

Sunday, August 28, 2022

Mental lelah


Kalau kita rajin membaca sejarah riwayat hidup pemimpin dan ketua negara, hampir semua daripada mereka terpaksa menghadapi kesulitan malah kegagalan dalam mengurus rakyat. 

Manusia pilihan seperti rasul dan nabi turut berhadapan dengan penolakan sebelum berjaya menawan hati orang ramai. Tokoh-tokoh ini boleh menjadi inspirasi kepada kita untuk bangkit daripada kekecewaan. 

Cuba cari mentor atau ‘role model’ untuk menguatkan jiwa kita. Orang yang berjaya telah gagal berulang-ulang kali, kita baru sekali dua gagal, bagaimana hendak berjaya kalau sekali dua gagal sudah mengalah? 

Kita mesti belajar menjadi orang yang berjiwa kental, kuat semangat dan bijak mengawal emosi.

Saturday, August 27, 2022

Jangan menyerah


Pada saya, gagal adalah sebahagian daripada asam garam hidup. Kegagalan sebenar hanya berlaku apabila kita berhenti daripada mencuba, berhenti berjuang, berhenti daripada mencabar potensi diri dan enggan belajar daripada kesilapan. 

Berhenti daripada mengaku kalah dalam apa juga perjuangan atau kerja yang kita sedang lakukan. 

Nasihat orang tua-tua kepada anak-anak muda yang gagal bercinta adalah sangat mudah iaitu ‘bila gugur satu, akan tumbuh 10 ribu’. 
Jadi, dapatkan pandangan, nasihat, baca buku-buku yang boleh memberi motivasi dan cari panduan untuk keluar daripada kegagalan hidup. 

Pengalaman orang yang melalui kegagalan demi kegagalan wajar kita pelajari. Salah satu daripada nasihat mereka adalah kegagalan menjadikan diri mereka lebih kuat, mantap dan semakin bijak.

Friday, August 26, 2022

Bukan gagal cuma belum berjaya


Walau apa pun kegagalan yang kita hadapi sama ada gagal bercinta, gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, gagal dalam ujian memandu dan gagal dalam perniagaan, hakikatnya bukanlah gagal sebaliknya dianggap ‘belum berjaya’. 

Tidak dapat memahami konsep ini menjadikan kita enggan lagi mencuba. Apabila kita meletakkan label yang gagal itu adalah diri kita, dengan serta-merta imej diri berubah. 

Tindakan dan pemikiran benar-benar menunjukkan bahawa kita seorang yang lemah dan tidak berupaya mencatatkan kajayaan. 

Akhir sekali, kita benar-benar gagal kerana kita menjadi seperti apa yang kita fikirkan. Rangsangan negatif telah meresap jauh ke dalam saraf minda yang mempengaruhi diri. 

Konsep yang betul adalah setiap kali gagal, kita hanya gagal mencuba bukannya tidak boleh berjaya.

Thursday, August 25, 2022

Padam, kawal dan dengar


Dalam siri-siri yang lalu, saya kerap membincangkan tentang masalah dalam hidup. Pada kali ini, saya hendak berkongsi dengan anda tentang langkah-langkah untuk menghadapi masalah. 

Pertama, kikis ataupun delete, buang jauh-jauh semua pemikiran yang tidak elok seperti takut gagal, tidak yakin dan takut dikritik. 

Kedua, kawal emosi dan tidak membiarkan emosi yang mengawal kehidupan kita. Kosongkan pemikiran kita daripada emosi yang menzahirkan kesedihan, muram dan kecewa kerana emosi seperti ini tidak membantu menyelesaikan masalah. 

Dan yang ketiga adalah cuba mendengar cadangan atau nasihat daripada orang lain seperti rakan-rakan supaya masalah dapat dipecahkan. 

Secara tidak langsung kita membuka ruang kepada lebih banyak penyelesaian.

Wednesday, August 24, 2022

Isolasi


Orang yang gagal seringkali terlupa dan gagal mengesan perubahan persekitaran hidupnya, tidak sedar keperluan orang lain dan tidak bersedia melibatkan diri dalam kehidupan seharian bersama masyarakat. 

Kita mesti sedar bahawa kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat. 

Jika ada majlis perkahwinan, kematian dan musibah adalah lebih baik untuk kita hadir dan menunjukkan muka supaya kita dapat tahu apa yang berlaku. 

Pada hari ini, dengan perubahan gaya hidup, kadangkala orang-orang muda agak kurang memberi perhatian kepada masyarakat. Mereka agak jarang dilihat dalam majlis gotong-royong, kegiatan kesukarelawanan dan aktiviti kejiranan. 

Inilah antara cabaran gerasi pada hari ini iaitu mengekalkan penglibatan mereka bersama masyarakat di sebalik perubahan persekitaran yang sentiasa berlaku.


Tuesday, August 23, 2022

Banyak masalah, banyaklah pengalaman


Dalam hidup yang kita lalui, kita wajar menerima hakikat bahawa masalah hidup sangat banyak dan kita perlu menghadapinya dengan tabah, berani dan sedar. 

Ada di antara masalah ini sangat penting untuk diselesaikan seperti dilema memilih pekerjaan, dilema berkahwin atau bekerja dahulu dan sebagainya. 

Ada masalah yang remeh-temeh dan tidak penting langsung, malah kurang mencabar dan esok lusa boleh selesai. 

Secara prinsipnya, lebih banyak dan besar sesuatu masalah ganjarannya juga lebih besar. 

Sebagai contoh, seorang usahawan yang melabur sebanyak satu juta ringgit dan bisnesnya mendapat untung yang banyak, tentulah dia berasa sangat gembira dan puas hati. 

Orang seperti ini mahu mencabar keupayaan dirinya, tidak mudah mengalah, sanggup bersusah payah dan matlamatnya adalah kejayaan.


Monday, August 22, 2022

Rajin-rajinlah berfikir


Tabiat orang yang berjaya ialah kerap berfikir untuk merancang strategi, menyusun langkah dan mengatur kekuatan. 

Kenapa orang yang berjaya ini perlu berfikir berbagai-bagai perkara dari yang sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya? 

Kerana otak orang yang sentiasa berfikir umpama pisau yang sentiasa diasah, lama-kelamaan akan tajam dan sentiasa tajam. Jika pisau yang tajam digunakan untuk memotong daging, maka pemotongan menjadi mudah dan cepat. 

Begitu juga dengan otak kita. Kita mengasah otak dengan berfikir menyelesaikan masalah. Jika kita di sekolah, kolej atau universiti, setiap tugasan akan ada proses berfikir untuk menyelesaikan masalah. 

Tidak kira sama ada masalah di tahun satu ataupun tahun akhir universiti, proses menyelesaikan masalah adalah kerja rutin supaya pelajar dapat berkembang sebagai seorang pemikir, bukannya seorang yang difikir.

Sunday, August 21, 2022

Racun minda


Kita menganggap diri kita sihat apabila tidak ada penyakit, tidak demam, tidak batuk dan tidak ada tanda-tanda dada yang berdebar-debar. 

Namun, ada masanya kita berasa badan lemah lesu, tidak bertenaga dan jiwa tidak tenteram. Melihat kepada simptom ini, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. 

Bagaimana kita boleh diagnos simptom-simptom ini? 

Biasanya keadaan seperti ini muncul kerana kita terlalu memendam rasa hingga memakan diri. Perasaan dendam, sakit hati, rasa bersalah, resah, gelisah dan curiga adalah punca utama yang boleh menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dalam hidup. 

Masalah ini umpama racun yang merosakkan sistem badan. Lama-kelamaan kita mula menyalahkan orang lain. Kita salahkan persekitaran dan apa sahaja yang boleh disalahkan. 

Sebenarnya kita sendiri yang enggan bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Sebaik sahaja kita bersedia bertanggungjawab, semua masalah insya Allah lebih mudah diselesaikan.

Saturday, August 20, 2022

Cabar diri untuk berjaya


Setiap orang mempunyai anggota badan dan minda untuk berfikir. Semenjak dulu lagi, kehidupan kita menjadi lebih baik dan berkualiti kerana kemampuan minda meneroka banyak kemungkinan dan risiko. 

Contohnya, kita boleh belajar di sekolah kerana sekolah dan institusi lengkap dalam pembangunan mental, fizikal, sosial dan spiritual. Kita juga boleh mendapat pendidikan yang hebat kerana guru-guru yang berkelayakan. 

Malah kita juga boleh bergerak ke seluruh dunia kerana memiliki minda dan kesihatan yang baik. 

Minda menjadi penggerak kepada hidup yang berkualiti. Tidak ada siapapun yang boleh menghalang diri kita untuk mendapatkan kualiti minda seperti orang yang telah berjaya melainkan diri kita sendiri. 

Cabar diri sendiri, tetapkan sasaran dan berusaha ke arah sasaran tersebut. Insya Allah kita boleh melakukannya.

Friday, August 19, 2022

Berhati-hati buat kerja


Kesilapan yang kecil boleh menyebabkan.kesulitan dan penderitaan yang besar kepada diri kita sendiri dan orang lain. 

Hal-hal yang dikatakan remeh seperti terlupa menaip satu nombor akaun bank, tidak berhati-hati ketika menyisihkan borang atau dokumen dan tidak membuat panggilan telefon untuk tindakan susulan adalah contoh yang menyebabkan kos perkhidmatan meningkat, hubungan dengan rakan-rakan menjadi renggang dan semangat kerja turun dengan mendadak. Individu yang cekap dan organisasi yang hebat akan memberi perhatian kepada isu-isu kecil ini supaya tidak membebankan diri dan orang lain. 

Pengurusan diri yang cekap tentulah meningkatkan imej dan populariti, malah pengurusan organisasi yang cekap dapat meningkatkan daya saing dan produktiviti. 

Jadi pastikan kesilapan kesilapan kecil kecil tidak mengganggu hidup kita dan orang lain.

Thursday, August 18, 2022

Belajar menerima


Dalam sebuah buku berkaitan 100 orang yang berpengaruh sepanjang zaman, tokoh-tokoh yang dimasukkan ke dalam senarai buku tersebut memiliki satu, dua atau lebih ciri-ciri yang sama. 

Ciri yang saya hendak kongsikan di sini ialah mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran dan sentiasa dapat mengatasi cabaran berkenaan. 

Ada dalam kalangan mereka yang menerima kritikan berulang-ulang kali. Kadangkala fikiran mereka rungsing dan bahan-bahan eksperimen yang terbakar dan meletup, tetapi mereka mencabar diri dan tidak peduli apa orang lain kata. 

Sebenarnya bukan apa yang terjadi kepada diri kita yang menjadi persoalan besar, tetapi bagaimana kita menerimanya dan cara yang paling baik untuk mengendalikannya. 

Apa yang penting ialah tidak mengalah atau berputus asa dalam hidup.

Wednesday, August 17, 2022

Memimpin dan mengurus


Di kolej dan universiti, pelajar didedahkan dengan kursus kepimpinan dan pengurusan. Mereka sentiasa diingatkan untuk membezakan ciri-ciri pemimpin dan pengurus supaya matlamat organisasi akan tercapai dan setiap orang melaksanakan tugas masing-masing. 

Secara ringkas dan mudah, apakah yang dikatakan pemimpin dan pengurus ini? 

Pemimpin adalah: pemimpin diangkat kerana sepakat, melakukan hal yang benar, didukung dari bawah, boleh menjadi inspirasi, berhubungan dengan orang, berpandangan jauh, menentukan gol dan sentiasa bertanya apa dan kenapa. 

Manakala pengurus diangkat menggunakan surat, melakukan tugas dengan benar, diangkat dari atas, menjadi motivasi, berhubungan dengan sistem, melihat apa yang ada di hadapan, mempersiapkan strategi dan sentiasa bertanya caranya dan bila.

Tuesday, August 16, 2022

Mengadu kepada Allah


Orang yang kuat, berani, tangguh atau cekal adalah orang yang berlapang dada dengan kesusahan dan kekecewaan. 

Susah hati kerana terpaksa naik pejabat dan turun pejabat mencari kerja, pekerjaan tidak padan dengan kelayakan akademik dan apabila sudah mula bekerja, gaji yang dapat hanyalah sedikit. 

Dari susah hati, ia menjadi kecewa, menyalahkan orang lain dan menganggap semua orang bersalah. 

Saya memetik maksud ayat 23 dari surah Al-Hadid iaitu, ‘Kamu diberitahu tentang itu supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa-apa yang diberikan kepada kamu’. 

Ujian hidup datang dengan berbagai-bagai cara supaya kita tidak sombong semasa senang dan berputus asa semasa susah hati dan kecewa.

Monday, August 15, 2022

Kecemerlangan bermula dengan tabiat kecil


Kecemerlangan mesti diamalkan kerana ia tidak muncul begitu sahaja. 

Andainya kita tidak mempraktikkan kecemerlangan hari ini, kita tidak dapat bangun dengan megah dan bergaya untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang kerana kita tidak membina dan mengembangkan tabiat atau budaya kecemerlangan yang sebenarnya. 

Budaya kecemerlangan adalah hal-hal yang kecil seperti menyelesaikan kerja-kerja yang dibuat, berusaha dengan gigih tanpa rasa jemu dalam setiap kerja, menepati masa dan menyantuni orang lain. 

Lihat pada hati dan jiwa kita bagaimana kita sendiri melayan ibu kita. Apakah ayat-ayat yang kita pilih semasa bercakap dengan ayah kita? 

Sekiranya sejak kecil ibu dan ayah kita telah menerapkan nilai-nilai kecemerlangan, insya Allah kita akan berkembang sebagai seorang yang sentiasa dahagakan kejayaan.

Sunday, August 14, 2022

Bersusah payah untuk berjaya


Pengukuran kejayaan dan kecemerlangan bermula sejak kita dilahirkan. Ukuran ini dilakukan dengan cara perbandingan iaitu membandingkan seorang dengan seorang yang lain. 

Contohnya, semasa umur dua hingga tiga tahun, kita dibandingkan dengan rakan sebaya untuk melihat siapa dahulu yang cepat bercakap, kemudian dibandingkan pula siapa yang cepat membaca. 

Di sekolah turut dibuat perbandingan iaitu sesiapa yang bijak dan pandai. Di tempat kerja, kita dinilai lagi melalui prestasi tahunan untuk dicalonkan dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang setiap tahun. Inilah lumrah dan realiti hidup hari ini. 

Jika begini pengukurannya, kita mesti mencari jalan dan berikhtiar sepenuh hati untuk menjadi cemerlang sejak kecil. 

Anak-anak patut didedahkan dengan keadaan susah payah menjadi cemerlang supaya mereka menghargai pengorbanan, usaha dan doa.

Saturday, August 13, 2022

Terima mood dengan sabar


Mood banyak dipengaruhi oleh keadaan yang kita alami. Misalnya, mood sedih dipengaruhi oleh tekanan, masalah peribadi, kewangan, keluarga atau putus cinta. 

Mood gembira pula dipengaruhi oleh peristiwa atau suasana yang positif, cenderung membawa kebaikan dan keselamatan diri. Sesetengah orang mahukan mood yang baik-baik sahaja, mood yang kurang baik diketepikan. 

Kita tidak dapat memilih mood yang baik-baik saja kerana kejadian dan kehidupan kita adalah silih berganti antara bahagia dan sengsara. 

Andainya kita melihat mood negatif dan menerima suasana berkenaan, hidup menjadi lebih susah. Jika kita mengambil mood negatif sebagai pilihan positif, ia akan mematangkan diri kita untuk lebih memahami dan membaiki diri pada masa hadapan.

Friday, August 12, 2022

Lari lima kilometer sehari


Kita tidak akan merasai dan menghargai kesihatan yang baik adalah penting sehingga kita demam, selesema, batuk atau dimasukkan ke hospital. 

Keadaan ini adalah biasa bagi kebanyakan daripada kita. Ketika sakit baharulah kita sedar kerana sakit menghalang banyak pergerakan, tidak boleh bergerak pantas manakala pengambilan ubat tidak boleh diabaikan. 

Banyak jugalah pantang larang yang perlu diikut supaya sakit akan cepat baik dan kita kembali sihat seperti sedia kala. Saya lihat kesedaran terhadap kesihatan semakin baik dalam kalangan orang ramai kerana mereka mahu hidup lebih lama. 

Kesihatan yang baik juga bergantung kepada sejauh mana kita melakukan latihan secara berterusan. 

Seorang rakan saya yang telah berusia 70 tahun mengekalkan kecergasan fizikal dengan aktiviti larian sejauh lima kilometer selama tiga hari dalam tempoh seminggu. 

Seorang lagi yang sudah pencen akan berlari atau berjalan sejauh lima kilometer setiap pagi selepas solat subuh. 

Kedua-duanya masih sihat dan jarang mendapat demam atau batuk.

Thursday, August 11, 2022

Prinsip kejayaan adalah sama


Kecemerlangan tidak pernah diraih secara tiba-tiba sebaliknya diringin dengan nilai-nilai yang mendukung kecemerlangan. 

Kita ambil contoh pelajar yang sering mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. 

Pelajar tersebut bukannya melakukan sebuah magik apabila mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan sebaliknya dia seorang pelajar yang rajin dan tekun ke sekolah, melakukan latihan berulang-ulang kali, memahami pelajaran yang disampaikan dan memiliki kesediaan dan keazaman untuk hadir ke sekolah. 

Ciri-ciri ini menjadikannya orang yang berada di hadapan dalam persaingan pelajaran. 

Hanya pelajar yang gigih berusaha dapat merasai susah payah serta betapa seronoknya apabila semua pengorbanannya diiktiraf. Kita boleh tahu sejauh mana pencapaian dalam pelajaran kerana peperiksaan adalah proses untuk menilai tahap kebolehan. 

Penilaian juga boleh dibuat ke atas ibu bapa, rakan-rakan atau jiran tetangga dalam pelbagai keadaan. 

Tidak kira siapa pun yang dinilai, prinsip menjejaki kejayaan adalah sama iaitu bermula dengan nilai-nilai yang mendorong kepada kejayaan tersebut.

Wednesday, August 10, 2022

Kuat kerja, wang lebih banyak


Ketika saya sekeluarga makan malam di restoran, seorang makcik menghampiri meja kami. Di kedua-dua belah tangannya terdapat plastik besar berisi tiga hingga empat jenis kerepek dan makanan tradisional. 

Jika beli satu hanya RM3.50 dan jika beli tiga barang ia berharga RM10. 

Jam pada waktu itu hampir pukul lapan malam. 

Kesungguhan makcik ini menjual keropok dan kerepek dari satu meja ke satu meja sangat mengagumkan saya. Kecekalannya untuk menjual adalah satu kekuatan yang menjadikannya seorang yang luar biasa. 

Beliau tidak mengharapkan orang lain memberinya wang untuk makan atau belanja sebaliknya berusaha sendiri untuk menjana pendapatan. 

Berbeza dengan anak-anak muda yang memilih untuk makan gaji biarpun sedikit, melepak dari pagi hingga malam atau mengharapkan bantuan ibu bapa untuk makan dan minum. 

Jika makcik tadi yang berusia lebih 50 tahun boleh mendapat RM100 sehari dengan berjualan makanan, orang-orang muda boleh menjana lebih banyak pendapatan jika mereka berusaha dengan rajin dan lebih kuat. 

Saya percaya dengan bekerja lebih gigih akan dapat memberi lebih banyak wang.



Tuesday, August 09, 2022

Jadilah orang yang sukakan cabaran


Beberapa tahun lalu, seorang wanita telah dipilih menjadi juruterbang dalam angkatan tentera udara Brunei. Pencapaian ini amat menggalakkan dan memberi semangat kepada ramai wanita untuk menceburi bidang ketenteraan yang sangat mencabar. 

Dalam satu temubual, wanita itu ditanya kenapa beliau memilih pekerjaan yang mencabar dan sukar sebagai pilihan berbanding pekerjaan guru yang lebih sesuai dengan seorang wanita. 

Saya tertarik dengan jawapan yang diberikannya iaitu sukakan cabaran dan menjadi juruterbang adalah tugas yang mencabar. 

Kita harus melihat dan menilai cabaran supaya kita mampu mengatasi cabaran berkenaan. Bukan sahaja cabaran fizikal, ia juga melibatkan cabaran mental. 

Orang yang berjaya biasanya dapat mengatasi cabaran-cabaran yang berada di hadapannya.

Monday, August 08, 2022

Mulai dengan perubahan kecil


Setiap orang dijadikan dalam keadaan unik dan dilengkapkan dengan keupayaan dan persediaan untuk mencipta kejayaan. 

Antara keunikan ini ialah fikiran, bakat, pengetahuan atau keadaan persekitaran yang mencetuskan peluang untuk berjaya dalam bidang atau lapangan yang kita ceburi. 

Kita ambil contoh orang yang berbakat, jika orang yang berbakat dan didorong pula dengan peluang yang cerah tentulah hasilnya adalah kejayaan berganda. Bakat dan peluang menjadikan pilihan lebih terbuka luas kerana fikiran dan sikap orang berbakat telah digunakan sebaik-baiknya. 

Begitu juga dengan setiap orang yang mahu berubah, persekitarannya mesti menyediakan peluang untuk berlaku perubahan. 

Ramai orang yang telah berjaya mencapai hasrat mereka dengan mencari persekitaran yang mendorong mereka untuk kejayaan. Biar pun perubahan yang kecil, insya Allah kita akan bersemangat melakukan perubahan yang lebih besar suatu hari nanti.

Sunday, August 07, 2022

Maafkanlah


Sesetengah orang sukar memberi maaf dan sukar meminta maaf sebaliknya ada orang yang sangat mudah memaafkan. Antara sukar dan mudah memberi maaf, pada saya, memberi maaf adalah lebih banyak manfaatnya. 

Kesan segera apabila kita memaafkan orang lain ialah terasa beban berat yang berada di bahu kita seolah-olah terlepas jatuh dan jiwa kita berasa tenang. 

Beban berat yang kerap menekan emosi, jiwa dan menghalang minda positif akan hilang sekelip mata apabila kita membuat keputusan untuk memberi maaf. 

Kajian-kajian tentang kekeluargaan banyak membuktikan perkara ini. Contohnya, apabila pasangan suami isteri yang seringkali bergaduh sehingga hendak bercerai, kesediaan kedua-dua pihak memaafkan satu sama lain telah menyelamatkan perkahwinan mereka. 

Perkara yang lebih penting daripada itu ialah emosi dan masa hadapan anak-anak menjadi lebih stabil dan hidup lebih terjamin.




Saturday, August 06, 2022

Marah biar bertempat


Sekali-sekala kita berasa marah dan kecewa dengan rakan-rakan adalah perkara lumrah. Biasanya kita marah kerana mereka buat bising, tidak bayar hutang atau enggan keluar apabila diajar minum petang. 

Kita juga marah kepada adik-adik yang masih belum berhenti bermain bola sepak apabila masuk waktu maghrib. 

Malah kita juga berasa kecewa apabila pensyarah gagal memahami keadaan kita ketika menghadapi pilihan sama ada hendak ponteng kuliah atau hadir ke program anjuran fakulti pada masa yang sama. 

Keadaan normal boleh menjadi tidak normal apabila selalu marah atau selalu dimarahi. Jika selalu marah maknanya ada sifat panas baran dan jika selalu kena marah maknanya susah untuk ditunjuk ajar atau tidak mahu dengar cakap. 

Sifat-sifat ini mesti kita layan dengan baik supaya dapat dibawa ke arah yang positif. 

Contohnya, jika marah kerana sayang, ia akan memberi lebih banyak keceriaan namun jika marah kerana hendakkan perhatian, ia mungkin merosakkan hubungan sedia ada.

Friday, August 05, 2022

Ancaman salah guna kefahaman beragama



Beberapa minggu lalu, muncul ucapan bersiri mengenai penghinaan kepada agama Islam yang bermula dengan mencemarkan imej wanita Islam di rumah komedi hingga cacian dan cercaan terhadap simbol agama tersebut.

Dalam satu tulisan mengenai kesan negatif agama ke atas masyarakat, Sofo Archon memberi pendapatnya dalam artikel ‘The Negative Effects of Religion on Society’ yang menyifatkan agama umpama racun yang secara perlahan-lahan membunuh tubuh dan jiwa. Alasannya ialah agama menyebabkan manusia takut dengan kehidupan mereka sendiri iaitu hilang sensitiviti dan tidak dapat meneroka potensi diri untuk mencapai tahap tertinggi.

Hujahnya ialah agama berasaskan idea-idea dosa, justeru untuk mengelakkan diri daripada dosa, manusia patut hidup dengan arahan dan peraturan tuhan.

Orang yang hidup dengan perasaan bahawa diri mereka sentiasa dilihat dan dipantau oleh tuhan sudah tentu akan mengharapkan ihsan daripada tuhan. Akhirnya manusia didoktrin sebagai sakit mental dan gila.

Agama juga menjadikan manusia menentang diri mereka sendiri. Alasannya ialah apabila seseorang menerima agama atau arahan tuhan, mereka mulai membenci diri sendiri. Mereka mulai menerima idea sebagai orang yang jahat, rosak dan tidak bermaruah. Selepas itu, yang muncul dalam fikirannya ialah kebencian, pengalaman buruk dan dendam.

Selain itu, Archon juga menjelaskan bahawa agama menjadikan manusia berkonflik sesama sendiri dan menjadikan manusia bertambah jahil.

Pandangan orang Barat terhadap agama adalah sangat jauh bezanya dengan kefahaman beragama bagi orang yang ada agama khususnya Islam. Dalam hal agama yangmenyebabkan ketakutan yang berlebihan kepada diri sendiri, saya memetik tulisan Sheikh Muhamad Mukhtar Bogor (1862-1930M) iaitu salah seorang ulama nusantara melalui kitab al-Risalah al-Wahbah al-Ilahiyyah yang menekankan bahawa rasa takut yang berlebihan ke atas siksa Allah swt adalah kerana tidak ada ilmu bahawa salah satu sifat Allah swt ialah mendapat keampunan daripada-Nya.

Penghinaan dan cercaan terhadap agama dan umat beragama telah lama berlaku kerana salah faham, tidak ada toleransi dan masalah pelabelan. Ia berlaku ke atas agama-agama utama dunia dalam pelbagai bentuk seperti penulisan, penyataan dan pencemaran imej.

Keadaan ini lebih kerap berlaku dalam masyarakat pelbagai agama. Joe Bara (2020) menulis artikel ‘Religious Conflicts Around the World: Conflicts around the world where religion plays a role’ menyenaraikan Sembilan konflik agama yang berlaku di seluruh dunia. Pertama, di Ireland Utara yang melibatkan isu agama dan politik. Pada 1998, perjanjian antara pihak bertelagah yang melibatkan penyelesaian terhadap pengkongsian kuasa politik.

Kedua, Palestin dan Israel. Konflik yang melibatkan sentimen agama dan politik yang masih belum ada kesudahannya. Konflik ini bertambah kompleks dengan perebutan Baitul Maqdis atau Jerusalem.

Ketiga, konflik agama antara Islam dan Kristian di Nigeria yang meletus beberapa kali sejak tahun 2000 kerana pelbagai sebab. Kewujudan demokrasi di negara itu pada tahun 1999 telah memisahkan kuasa pentadbiran wilayah dan kawasan.

Keempat, kewujudan Sudan Selatan bermula apabila sebahagian daripada penduduk bukan Arab didiskriminasi dalam pelbagai cara. Penyelesaian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mewujudkan sebuah negara baru sebagai pecahan daripada wilayah Sudan.

Kelima, wilayah Kashmir yang sentias amenjadi pertikaian antara India dan Pakistan. Konflik berlanjutan sehingga kini dan tidak banyak kemajuan untuk menyelesaikan pertikaian secara berkekalan.

Keenam, atnik Rohingya di Rakhine, Mynmar yang menjadi mansga keganasan etnik dan agama. Pertelagahan agama dan etnik menyebabkan Rohingya lari meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka dan berselerak ke negara-negara jiran seperti Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

Ketujuh, konflik pentadbiran di Yemen yang melibatkan campur tangan luar dengan Arab Saudi dan negara-negara bersekutu yang membantu Mansour Hadi manakala Iran membantu kelompok Houthi yang berfahaman Syiah. Konflik di Yemen dibayangi isu serangan puak ekstremis, puak pemisah di selatan, rasuah, pengangguran dan keselamatan makanan.

Kelapan, perang lama di Armenia (Kristian) dan Azerbaijan (Islam) yang melibatkan kawasan Nagorno-Karabakh. Walaupun wilayan tersebut menjadi sebahagian daripada Azerbaijan, ia ditadbir oleh puak pemisah Armenia yang disokong oleh kerajaan Armenia.

Kesembilan, konflik di Ethiopia yang meibatkan agama Kristian Orthodoks dengan Protestant dan Islam. Pertelagahan ini menyebabkan masjid dan gereja diserang dan dimusnahkan. Dalam perlembagaan Ethiopia, negara tidak ada agama rasmi dan parti politik tidak boleh berasaskan agama sama sekali dan kumpulan agama perlu berdaftar dengan pihak berkuasa dan memperbaharui pendaftaran setiap tiga tahun sekali.

Pergaduhan yang tercetus akibat konflik agama di Malaysia telah ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa melalui tangkapan dan pendakwaan. Namun kemunculan aliran berfahaman sesat dan berani mencabar pihak berkuasa menjadi ancaman yang berbahaya. Tindakan pantas orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada jabatan agama sedikti sebanyak memudahkan urusan siasatan seterusnya melumpuhkan ajaran berkenaan.



Rujukan

Ahmad Fauzi Ilyas. (2022). Warisan Keilmuan Ulama Alam Melayu. Selangor,Malaysia: Kafilah Buku Sdn Bhd.

Joe Bara (October 8, 2020). ‘Religious Conflicts Around the World: Conflicts around the world where religion plays a role’, https://storymaps.arcgis.com/stories/2b1bf8de178943f39da0f91ccace79cc.

Sofo Archon, The Negative Effects of Religion on Society, https://sofoarchon.com/the-negative-effects-of-religion-on-society/