Friday, August 05, 2022

Ancaman salah guna kefahaman beragama



Beberapa minggu lalu, muncul ucapan bersiri mengenai penghinaan kepada agama Islam yang bermula dengan mencemarkan imej wanita Islam di rumah komedi hingga cacian dan cercaan terhadap simbol agama tersebut.

Dalam satu tulisan mengenai kesan negatif agama ke atas masyarakat, Sofo Archon memberi pendapatnya dalam artikel ‘The Negative Effects of Religion on Society’ yang menyifatkan agama umpama racun yang secara perlahan-lahan membunuh tubuh dan jiwa. Alasannya ialah agama menyebabkan manusia takut dengan kehidupan mereka sendiri iaitu hilang sensitiviti dan tidak dapat meneroka potensi diri untuk mencapai tahap tertinggi.

Hujahnya ialah agama berasaskan idea-idea dosa, justeru untuk mengelakkan diri daripada dosa, manusia patut hidup dengan arahan dan peraturan tuhan.

Orang yang hidup dengan perasaan bahawa diri mereka sentiasa dilihat dan dipantau oleh tuhan sudah tentu akan mengharapkan ihsan daripada tuhan. Akhirnya manusia didoktrin sebagai sakit mental dan gila.

Agama juga menjadikan manusia menentang diri mereka sendiri. Alasannya ialah apabila seseorang menerima agama atau arahan tuhan, mereka mulai membenci diri sendiri. Mereka mulai menerima idea sebagai orang yang jahat, rosak dan tidak bermaruah. Selepas itu, yang muncul dalam fikirannya ialah kebencian, pengalaman buruk dan dendam.

Selain itu, Archon juga menjelaskan bahawa agama menjadikan manusia berkonflik sesama sendiri dan menjadikan manusia bertambah jahil.

Pandangan orang Barat terhadap agama adalah sangat jauh bezanya dengan kefahaman beragama bagi orang yang ada agama khususnya Islam. Dalam hal agama yangmenyebabkan ketakutan yang berlebihan kepada diri sendiri, saya memetik tulisan Sheikh Muhamad Mukhtar Bogor (1862-1930M) iaitu salah seorang ulama nusantara melalui kitab al-Risalah al-Wahbah al-Ilahiyyah yang menekankan bahawa rasa takut yang berlebihan ke atas siksa Allah swt adalah kerana tidak ada ilmu bahawa salah satu sifat Allah swt ialah mendapat keampunan daripada-Nya.

Penghinaan dan cercaan terhadap agama dan umat beragama telah lama berlaku kerana salah faham, tidak ada toleransi dan masalah pelabelan. Ia berlaku ke atas agama-agama utama dunia dalam pelbagai bentuk seperti penulisan, penyataan dan pencemaran imej.

Keadaan ini lebih kerap berlaku dalam masyarakat pelbagai agama. Joe Bara (2020) menulis artikel ‘Religious Conflicts Around the World: Conflicts around the world where religion plays a role’ menyenaraikan Sembilan konflik agama yang berlaku di seluruh dunia. Pertama, di Ireland Utara yang melibatkan isu agama dan politik. Pada 1998, perjanjian antara pihak bertelagah yang melibatkan penyelesaian terhadap pengkongsian kuasa politik.

Kedua, Palestin dan Israel. Konflik yang melibatkan sentimen agama dan politik yang masih belum ada kesudahannya. Konflik ini bertambah kompleks dengan perebutan Baitul Maqdis atau Jerusalem.

Ketiga, konflik agama antara Islam dan Kristian di Nigeria yang meletus beberapa kali sejak tahun 2000 kerana pelbagai sebab. Kewujudan demokrasi di negara itu pada tahun 1999 telah memisahkan kuasa pentadbiran wilayah dan kawasan.

Keempat, kewujudan Sudan Selatan bermula apabila sebahagian daripada penduduk bukan Arab didiskriminasi dalam pelbagai cara. Penyelesaian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mewujudkan sebuah negara baru sebagai pecahan daripada wilayah Sudan.

Kelima, wilayah Kashmir yang sentias amenjadi pertikaian antara India dan Pakistan. Konflik berlanjutan sehingga kini dan tidak banyak kemajuan untuk menyelesaikan pertikaian secara berkekalan.

Keenam, atnik Rohingya di Rakhine, Mynmar yang menjadi mansga keganasan etnik dan agama. Pertelagahan agama dan etnik menyebabkan Rohingya lari meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka dan berselerak ke negara-negara jiran seperti Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

Ketujuh, konflik pentadbiran di Yemen yang melibatkan campur tangan luar dengan Arab Saudi dan negara-negara bersekutu yang membantu Mansour Hadi manakala Iran membantu kelompok Houthi yang berfahaman Syiah. Konflik di Yemen dibayangi isu serangan puak ekstremis, puak pemisah di selatan, rasuah, pengangguran dan keselamatan makanan.

Kelapan, perang lama di Armenia (Kristian) dan Azerbaijan (Islam) yang melibatkan kawasan Nagorno-Karabakh. Walaupun wilayan tersebut menjadi sebahagian daripada Azerbaijan, ia ditadbir oleh puak pemisah Armenia yang disokong oleh kerajaan Armenia.

Kesembilan, konflik di Ethiopia yang meibatkan agama Kristian Orthodoks dengan Protestant dan Islam. Pertelagahan ini menyebabkan masjid dan gereja diserang dan dimusnahkan. Dalam perlembagaan Ethiopia, negara tidak ada agama rasmi dan parti politik tidak boleh berasaskan agama sama sekali dan kumpulan agama perlu berdaftar dengan pihak berkuasa dan memperbaharui pendaftaran setiap tiga tahun sekali.

Pergaduhan yang tercetus akibat konflik agama di Malaysia telah ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa melalui tangkapan dan pendakwaan. Namun kemunculan aliran berfahaman sesat dan berani mencabar pihak berkuasa menjadi ancaman yang berbahaya. Tindakan pantas orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada jabatan agama sedikti sebanyak memudahkan urusan siasatan seterusnya melumpuhkan ajaran berkenaan.



Rujukan

Ahmad Fauzi Ilyas. (2022). Warisan Keilmuan Ulama Alam Melayu. Selangor,Malaysia: Kafilah Buku Sdn Bhd.

Joe Bara (October 8, 2020). ‘Religious Conflicts Around the World: Conflicts around the world where religion plays a role’, https://storymaps.arcgis.com/stories/2b1bf8de178943f39da0f91ccace79cc.

Sofo Archon, The Negative Effects of Religion on Society, https://sofoarchon.com/the-negative-effects-of-religion-on-society/

No comments:

Post a Comment