oleh Aliiswadi Jumawan
Isu pengklonan merupakan salah satu isu yang begitu giat dibincangkan oleh para saintis Barat ketika ini. Isu ini semakin giat dibicarakan apabila kemajuan dalam bidang sains genetik berjaya dicapai dengan kejayaan ahli embriologi Scotland, Ian Wilmut menghasilkan kambing biri-biri bernama Dolly. Hal ini menyebabkan ahli sains dalam bidang genetik mula terfikir untuk membangunkan pengklonan manusia pula.
Terdapat beberapa kesan positif juga kesan negatif hasil daripada pengklonan manusia ini sekiranya ia berjaya dilaksanakan.Antara kesan positif pengklonan manusia ialah saintis percaya bahawa bidang perubatan akan berkembang kerana melalui proses pengklonan, organ baharu dapat dihasilkan. Organ yang terhasil seterusnya diambil untuk menggantikan organ yang rosak.
Selain itu, pengklonan manusia juga akan turut dapat membantu golongan mandul untuk mendapatkan anak tanpa melalui proses percantuman sperma dan ovum. Di samping itu, klon yang dihasilkan juga akan dijadikan sebagai bahan uji kaji untuk mencari penawar kepada penyakit tertentu.
Namun begitu, terdapat juga beberapa keburukan pengklonan manusia antaranya akan membawa kepada masalah penentuan nasab kerana status sebenar bapa kandung tidak diketahui. Pengklonan manusia juga membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan kerana peranan lelaki tidak lagi penting dan lebih teruk lagi apabila manusia mula merasa dirinya berkuasa.
Dalam isu pengklonan manusia ini, saya tidak bersetuju dan berharap pengklonan manusia ini diharamkan selama-lamanya.
Hal ini kerana saya berpendapat bahawa kemudaratan yang dibawa hasil daripada pengklonan manusia ini adalah lebih serius berbanding kelebihan yang ada. Pengklonan manusia hanya akan membuatkan sistem hidup manusia yang sedia ada menjadi kucar-kacir kerana ia membawa kepada masalah seperti kekeliruan identiti kerana nasab yang tidak jelas, populasi yang tidak terkawal, jenayah yang berleluasa dan isu campur tangan kuasa Tuhan akan timbul.
Kajian berkenaan pengklonan manusia juga sepatutnya dihentikan kerana semakin banyak uji kaji yang dilakukan,semakin banyak nyawa dan nasib dipertaruhkan.
Kesimpulannya, kemajuan sains dan teknologi yang sangat pesat pada masa kini memang tidak dapat dinafikan. Kajian-kajian yang giat dilakukan dalam pelbagai bidang telah membuka lembaran baru kemajuan dunia hari ini.
Walaupun sesetengah golongan berpendapat bahawa pengklonan manusia dapat membantu dalam meningkatkan bidang perubatan namun kesan yang dibawa nyata lagi banyak keburukan berbanding kebaikan. Hal ini kerana pengklonan manusia dianggap suatu yang melanggar tradisi norma masyarakat dan melampaui batas hukum semula jadi dan melanggar etika kerana seolah-olah mengambil alih tugas Tuhan dan menafikan Tuhan sebagai pencipta.
No comments:
Post a Comment