Sunday, June 04, 2017

36 vs 1







Kematian kadet laut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang juga pelajar tahun akhir menimbulkan pelbagai andaian terhadap tahap keselamatan pelajar di universiti.

Penderaan yang berlaku akibat kehilangan komputer riba tidak seharusnya menyebabkan kematian kerana masih ada kaedah lain untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Laporan media menyebut Zulfarhan telah didera secara ganas dengan seterika menyebabkan 80 peratus kulit badannya melecur atau cedera. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana 36 pelajar tergamak mendera mangsa. Jumlah suspek yang ramai ini menggambbarkan betapa kehilangan komputer riba tersebut sangat serius.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, imej UPNM telah berubah. Sebelum ini kita berbangga dengan kewujudan institusi itu sebagai tempat melatih pelajar dalam pelbagai disiplin ilmu dan ketenteraan, kematian Zulfarhan membuatkan kita berfikir tentang tahap disiplin pelajar, kaedah universiti menyelesaikan kes pelajar dan fungsi bahagian keselamatan dalam memantau aktiviti pelajar.

Kita pernah digemparkan dengan beberapa insiden penderaan di sekolah menengah. Sekitar tahun 1990-an dulu, seorang pelajar sekolah teknik di Kuala Lumpur juga meninggal dunia kerana didera oleh rakan-rakan sekolah menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu membuat rombakan besar-besaran terhadap disiplin pelajar sekolah. Kes yang sama berlaku di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan.

Kes dera atau buli yang berlaku dan ada penglibatan pihak polis menyebabkan suspek dihukum sepadan dengan perbuatan mereka.

Pihak yang paling tertekan dalam kes kematian Zulfarhan adalah keluarganya sendiri. Ibu bapanya tertanya-tanya apakah yang berlaku dan mengambil masa yang panjang untuk melupai kisah anak mereka.

Rakan-rakan juga terkesan dengan kematian Zulfarhan. Tidak ada lagi gurau dan tawa.

Bilangan suspek yang terkait dalam kes ini sangat ramai. Kita yakin pihak polis dapat melaksanakan proses soal siasat dengan adil dan profesional untuk mencari punca dan dalang utama yang mendera mangsa.

Pendera yang tidak berhati perut wajar dibawa ke muka pengadilan dan dihukum. Kita tidak mahu lebih ramai pelajar yang menjadi mangsa atau pelajar yang takut bertindak sendirian kerana tertekan. UPNM juga wajar memberi kerjasama dalam siasatan ini supaya langkah-langkah penambahbaikan terhadap pemantauan pelajar dapat diperkemaskan.

Universiti adalah tempat idaman setiap pelajar untuk menjejakkan kaki mereka. Pendidikan pula menjadi ruang untuk mereka mengubah kehidupan keluarga. Jika peluang belajar di universiti tidak berakhir dengan graduasi, masa hadapan pelajar berada dalam kekaburan.

No comments:

Post a Comment