Thursday, June 08, 2017

Dadah tetap musuh utama negara







oleh Muhammad Rizman Che Razali


Saya bersetuju dengan artikel ini yang menganggap penyalahgunaan dadah sebagai musuh utama negara yang sukar untuk dibanteras. Penyalahgunaan dadah merupakan gejala yang boleh memberi impak negatif kepada penagih. Penagihan dadah akan membawa penagih kepada risiko dijangkiti HIV/AIDS, hepatitis dan sawan.

Hal demikian kerana, mereka menggunakan alat suntikan yang dikongsi dengan penagih lain. Bagi ibu yang mengandung akan membawa risiko seperti keguguran, kandungan yang tidak stabil, cacat atau mati.

Penyalahgunaan dadah merupakan masalah sejagat dan harus dibendung dengan segera terutamanya dalam kalangan belia.

Golongan yang dianggap sebagai pemimpin pada masa depan lebih banyak cenderung kepada gejala ini. Masalah ini jika tidak dibendung akan menyebabkan kepimpinan negara akan mundur.

Telah timbul pelbagai persepsi bahawa negara ini telah gagal menguruskan masalah penagihan dadah akibat peningkatan jumlah penagih dari tahun ke tahun. Oleh itu hasrat kerajaan untuk menilai semula program-program pemulihan sedia ada amat dialu-alukan.

Penyalahgunaan dadah ini perlulah dibanteras untuk melahirkan suasana yang aman kepada masyarakat.

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah ialah ibu bapa harus menerangkan secara terperinci bahaya penyalahgunaan ubat-ubatan, kepentingan dan cara pengambilan yang betul.

Selain itu, media massa juga harus membanyakkan penyiaran berita-berita dan cerita-cerita yang lebih membawa keinsafan dan iktibar kepada masyarakat mengenai kesan-kesan dadah terhadap kehidupan seharian.

Seterusnya, kerajaan melalui badan-badan dan sektor-sektor tertentu, harus bijak membenteras gejala dadah dengan mengadakan program-program yang dapat menarik minat para belia untuk mengisi masa terluang bagi mengelakkan mereka terjebak dengan masalah dadah. Misalnya, Program Rakan Muda yang diselengarakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Akhir sekali, kempen kesedaran haruslah diadakan oleh pihak kerajaan dan swasta dengan melibatkan kumpulan remaja yang sering menjadi sasaran mudah para penjual dadah. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlulah memainkan peranan masing-masing supaya dapat menghapuskan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat kini.

No comments:

Post a Comment