1.0 Pengenalan
Di
negara Malaysia, terdapat pelbagai adat, tradisi dan pantang larang yang
diamalkan oleh setiap kaum dalam perkahwinan. Bagi setiap individu, perkahwinan
adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan tanpa mengira kaum Melayu,
Cina dan sebagainya.
Adat
perkahwinan masyarakat Melayu sangat unik. Masyarakat ini begitu berpegang
teguh dengan adat resam dalam perkahwinan kerana dipercayai mempunyai kesan
dalam kehidupan. Malahan, dalam setiap peringkat upacara perkahwinan itu akan
dijalankan dengan begitu meriah dan penuh adat istiadat.
Selain
masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga melihat perkahwinan sebagai peringkat
hidup yang sangat penting. Perkahwinan dalam masyarakat ini merupakan satu
titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan
penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan dapat
diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
1.1 Objektif
Kajian
Objektif kajian ini ialah mengetahui amalan perkahwinan
tradisional Melayu dan Cina, mengenal pasti cabaran-cabaran dalam amalan
perkahwinan di era moden dan mengetahui persepsi pemuda Melayu dan Cina
terhadap perkahwinan.
2.0 Sorotan
Kajian
2.1 Perkahwinan Masyarakat Melayu
Masyarakat Melayu mempunyai kaedah khusus untuk
menguruskan sesebuah perkahwinan. Peringkat-peringkat sehingga ke majlis
perkahwinan dua mempelai menunjukkan kehalusan dan ketinggian budi masyarakat
ini yang sentiasa dipelihara. Adat ini bermula dengan adat merisik, adat
meminang, adat bertunang, adat berinai, akad nikah dan adat bersanding.
2.1.1 Adat
Merisik
Ianya melibatkan pertemuan antara wakil keluarga lelaki
dengan wakil keluarga perempuan. Tujuan adat ini dilakukan adalah memastikan
bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Pada
kebiasaanya satu rundingan akan diadakan di antara kedua belah pihak yang mana
pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan.
Sekiranya ada persetujuan daripada pihak gadis maka satu tarikh peminangan akan
ditetapkan.
2.1.2 Adat
Meminang
Wakil daripada pihak lelaki yang biasanya dipilih dari
kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki untuk mewakili
mereka meminang anak gadis yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak
gadis tersebut diberi tempoh untuk memberi jawapan. Sekiranya pinangan diterima,
pada pertemuan berikutnya mereka akan berbincang tentang segala syarat
berkaitan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Jika upacara
melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan, pihak lelaki
biasanya akan menghantar tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Dari
segi konsepnya, menghantar tanda adalah ditakrifkan sebagai “putus cakap”. Ini
membawa maksud pinangan dari pihak lelaki dan syarat-syarat perkahwinan sudah
pun diterima oleh pihak perempuan. Dalam masyarakat Melayu, terdapat dua cara
ikatan pertunangan dilakukan seperti pertunangan antara dua keluarga yang rapat
atau saudara tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis dari usia kecil
atau bayi dan seterusnya petunangan dibuat secara wasiat bagi memenuhi
permintaan arwah ibu atau bapa.
2.1.3 Adat
Bertunang
Sempena majlis pertunangan, satu kenduri diadakan di
rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sireh atau sireh
junjung sebagai bingkisan utama, berupa sebentuk cincin beserta hantaran lain
diberikan kepada pihak perempuan. Sementara hantaran dari pihak perempuan pula
akan melebihi hantaran daripada pihak lelaki. Sekiranya pihak perempuan
mempunyai kakak yang masih belum berumah tangga, maka pihak lelaki juga harus
memberikan sumbangan berupa hantaran yang akan ditetapkan oleh keluarga
perempuan kerana dianggap peminangan tersebut sudah melangkah bendul.
2.1.4 Adat
Berinai
Peringkat pertama dikenali sebagai berinai curi yang
biasanya diadakan tiga malam sebelum hari pernikahan untuk saudara mara terdekat sahaja. Peringkat
kedua dikenali sebagai berinai kecil yang biasanya diadakan dua malam sebelum
hari pernikahan untuk jiran, saudara mara dan sahabat handai sahaja. Peringkat
ketiga dikenali sebagai berinai besar yang akan diadakan satu malam sebelum
hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak
lelaki dan perempuan.
2.1.5 Akad
Nikah
Istiadat ini dijalankan selepas segala perjanjian yang
dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas
kahwin dan barangan lain sepertimana yang telah dipersetujui oleh kedua belah
pihak. Semasa upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali
untuk menikahkan anaknya.
Pada hari berkenaan, pengantin lelaki akan mengenakan
baju haji atau baju Melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis
pertunangan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain
hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi beserta dua orang saksi bagi pihak perempuan.
Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah
majlis. Tok Imam atau Tok Kadi akan menyemak semua maklumat pengantin untuk
ditandatangani oleh kedua-dua mempelai
dan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan
persetujuannya akan pernikahan tersebut. Seterusnya Tok Kadi juga akan
membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami
isteri dan lain-lain hal berkaitan rumah tangga dari sudut agama.
2.1.6 Adat
Bersanding
Upacara menyambut menantu oleh kedua pihak akan disambut
dengan meriah apabila pengantin diarak dengan pasukan kompang dan pancak silat.
Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di
hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin
perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau
tebus pelamin atau juga dikenali sebagai “dam”.
Selepas itu barulah pengantin lelaki dibenarkan duduk
bersebelahan dengan pengantin perempuan di atas pelamin yang dihiasi dengn
indah. Kedua- dua pengantin akan menjamu selera bersama ahli keluarga pihak
lelaki yang dipanggil makan beradap atau berdamai.
Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias
indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Para jemputan
terutama dari wakil kedua mempelai akan dipersila untuk menepung tawar pasangan
pengantin di atas pelamin. Justeru tidak hairanlah setiap majlis perkahwinan
yang dilakukan secara penuh adat mengganggap pasangan pengantin sebagai
raja sehari oleh kebanyakan masyarakat
Melayu lantaran tertib dan teraturnya pengurusan proses perkahwinan yang
diamalkan sejak turun temurun.
2.2 Perkahwinan
Masyarakat Cina
Masyarakat juga memiliki peringkat-peringkat perkahwinan mereka
sendiri yang melambangkan budaya dan tradisi Cina.
2.2.1 Merisik
Adat merisik dilaksanakan untuk mengetahui latar belakang
gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama,
keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting
untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Sebahagian masyarakat Cina lebih
suka mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran disertai dengan
saudara mara lain. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara
umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.
2.2. 2
Meminang
Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis
bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin
pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah
mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling
sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar-menawar kerana bimbang akan menjatuhkan
maruah. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan
segala permintaan daripada pihak perempuan. Setelah kedua-dua pihak sudah
saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang
dijalankan.
3.2. 3
Bertunang
Penetapan tarikh perkahwinan berpandukan kepada sebuah
buku iaitu Toong-Su. Tukang tilik
akan membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan untuk
menentukan hari perkahwinan. Perkara ini sangat penting kerana kalau dijalankan
pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan
akan mengalami kegagalan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang
ditetapkan. Kedua-dua bakal pengantin menyarung cincin di jari manis kiri sehingga hari perkahwinan.
Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan
di pejabat pendaftaran perkahwinan.
2.2.4 Majlis
Perkahwinan
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun
bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Sebelum tiba hari perkahwinan, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin,
perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun dalam seratus
hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang
berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan
lelaki dihias indah. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau
kuning. Adalah dilarang memakai baju
hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan
kematian dan kesedihan.
Dalam masyarakat Cina, upacara minum teh sangat penting
dan masih diamalkan. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin
terutamanya si isteri dan si suami dalam keluarga si suami serta si isteri di
samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini
pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak
lelaki dan pihak perempuan. Ketika minum teh, orang yang berusia tua khususnya
ibu bapa pasangan pengantin akan memberi angpau
kepada pasangan pengantin sebagai berkat.
Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada
sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara
besar-besaran sama ada di rumah, dewan atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang
akan membawa angpau sebagai hadiah
kepada pasangan pengantin sebagai berkat.
2.3 Cabaran Mengekalkan Amalan Perkahwinan Tradisi Melayu dan Cina dalam Era Moden
Corak kehidupan yang sentiasa sibuk dan mengejar masa sedikit sebanyak mempengaruhi budaya kehidupan masyarakat pada masa ini terutama dalam mengubah sikap dan pemikiran kepada lebih moden dan ringkas. Hakikatnya, tidak semua perkahwinan masyarakat Melayu serta masyarakat Cina hari ini benar-benar mengamalkan adat dan budaya perkahwinan lama hanya semata-mata generasi baru era kini lebih bersifat moden dan ringkas.
2.3 Cabaran Mengekalkan Amalan Perkahwinan Tradisi Melayu dan Cina dalam Era Moden
Corak kehidupan yang sentiasa sibuk dan mengejar masa sedikit sebanyak mempengaruhi budaya kehidupan masyarakat pada masa ini terutama dalam mengubah sikap dan pemikiran kepada lebih moden dan ringkas. Hakikatnya, tidak semua perkahwinan masyarakat Melayu serta masyarakat Cina hari ini benar-benar mengamalkan adat dan budaya perkahwinan lama hanya semata-mata generasi baru era kini lebih bersifat moden dan ringkas.
Berdasarkan
pendapat daripada responden kajian ini, didapati kehidupan dan pemikiran
masyarakat kini sudah semakin maju dan seiring dengan kemodenan hidup pada masa
kini. Mereka kini mengamalkan cara hidup yang lebih moden dan tidak mampu
menyediakan tenaga serta masa yang lama untuk menguruskan upacara perkahwinan
mengikut cara tradisional. Sebahagian responden juga berpendapat bahawa pakaian
perkahwinan tradisi adalah pakaian yang ketinggalan zaman, mereka juga lebih
cenderung untuk memilih perkahwinan cara moden berbanding perkahwinan secara
tradisional. Walau bagaimanapun, setiap responden berpendapat bahawa tradisi
perlulah dikekalkan dan diwarisi ke generasi baru. Budaya dan adat perkahwinan tradisi semakin
terhakis dan banyak dipengaruhi unsur luar yang banyak menekankan soal moden
dan ringkas sehingga mempengaruhi golongan anak muda pada masa kini.
Selain itu, generasi muda
menerima pendedahan yang kurang tentang adat perkahwinan tradisi kaum
masing-masing. Mahu tak mahu, keadaan ini telah membentukkan minda mereka
bahawa mereka tidak perlu mengikut cara atau adat dalam upacara perkahwinan
seperti pada zaman kuno kerana ianya adalah tidak penting. Akibat tidak ada
sesiapa yang memberi tahu mereka tentang kepentingan mengekalkan adat-adat
tersebut, golongan muda akan menganggap adat-adat tersebut sangat membazirkan
masa ,kolot dan juga remeh.
Pengaruh Barat dalam kehidupan masyarakat kita juga merupakan salah satu cabaran yang kritikal dalam pengekalan adat perkahwinan tradisional Melayu mahupun Cina. Pengaruh ini lebih kepada cara berfikir yang dianggap moden iaitu berfikiran terbuka. Pemikiran yang terbuka contohnya masyarakat sudah kurang mempercayai tentang perkara-perkara yang digelar pantang larang, petua dan lain-lain dan sesetengah orang menganggapnya sebagai karut. Impak akibat pengaruhan ini boleh dilihat di majlis persandingan. Segelintir masyarakat kini lebih selesa memilih pakaian Barat kerana merasakan mengikut trend atau menganggap pakaian tradisional tidak praktikal untuk majlis persandingan tertentu. Tindakan itu menampakkan seolah-olah minda masyarakat generasi kini masih dijajah dan menganggap setiap yang datang daripada luar sesuai dengan budaya kita. Semakin lama semakin kuranglah masyarakat akan memilih pakaian tradisi ke majlis persandingan.
2.4 Pandangan Golongan Muda Terhadap Perkahwinan dalam Era Moden
Golongan muda sekarang semakin melupakan tradisi perkahwinan lama dan lebih cenderung mengamalkan perkahwinan secara moden dan berlebih-lebihan. Perkahwinan secara moden sangat mudah dan hanya perlu mengeluarkan wang yang mencukupi untuk memastikan majlis perkahwinan dapat berjalan lancar.
Walau bagaimanapun, ada juga orang muda sama ada lelaki atau perempuan yang berpendapat bahawa amalan tradisi masyarakat harus diteruskan kerana ia merupakan identiti masyarakat yang harus dipertahan dan diperlihara keunikannya. Ia juga bertujuan untuk memastikan generasi akan datang dapat merasai kemeriahan dan mengetahui akan adat-adat perkahwinan masyarakat zaman dahulu. Seperti yang kita ketahui, masyarakat kini secara subjektifnya merupakan golongan yang terdiri daripada kelompok profesional dan berkerjaya.
Kebanyakan
daripada mereka menyerahkan persiapan majlis perkahwinan sepenuhnya kepada
pihak tertentu seperti penyediaan makanan dan kelengkapan perkahwinan. Ini
disebabkan oleh faktor kekangan masa dan memerlukan tenaga kerja yang banyak
untuk mengelolakannya.
Kedua, pengaruh dari budaya luar.
Masyarakat kini terlalu obses dengan
perkahwinan cara Barat seperti mengadakan malis perkahwinan secara
besar-besaran di hotel dan juga di dewan terkenal. Mereka percaya bahawa dengan
cara ini mereka dapat menjimatkan masa dan tenaga kerja
untuk menjayakan majlis perkahwinan itu.
Terakhir, orang-orang muda sekarang
mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Mereka ingin melanjutkan pelajaran
mereka ke tahap yang lebih tinggi seperti sarjana atau doktor falsafah dan mereka lebih menumpukan dalam mendapat
rezeki dan untungan. Oleh itu, mereka tidak mahu berkahwin lebih awal.
3.0 Cadangan dan Kesimpulan
Sebagai langkah permulaan, ibu bapa perlu memberi pendedahan tentang kepentingan mewariskan adat-adat perkahwinan tradisional terhadapa anak-anak sejak dari kecil. Peribahasa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” telah menjelaskan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Contohnya, semasa menyertai perkahwinan saudara yang berunsur tradisional, ibu bapa boleh mengambil kesempatan untuk memberitahu anak-anak bahawa keunikan dan kepentingan mengekalkan amalan perkahwinan tradisi pada masa depan.
3.0 Cadangan dan Kesimpulan
Sebagai langkah permulaan, ibu bapa perlu memberi pendedahan tentang kepentingan mewariskan adat-adat perkahwinan tradisional terhadapa anak-anak sejak dari kecil. Peribahasa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” telah menjelaskan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Contohnya, semasa menyertai perkahwinan saudara yang berunsur tradisional, ibu bapa boleh mengambil kesempatan untuk memberitahu anak-anak bahawa keunikan dan kepentingan mengekalkan amalan perkahwinan tradisi pada masa depan.
Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan dalam
usaha mengekalkan amalan dan adat-adat tradisional dalam upacara perkahwinan
dengan mengadakan kempen-kempen atau ekspo yang berkenaan dari semasa ke
semasa. Dalam kempen atau ekspo tersebut harus mempamerkan kepentingan
mengekalkan adat-adat perkahwinan tradisional serta keunikannya. Seterusnya,
media massa juga perlulah selalu menyiarkan program yang berkaitan dengan
perkahwinan tradisional dan bukannya perkahwinan moden yang berunsur Barat pada
zaman modenisasi ini.
Hasil kajian yang dilakukan oleh kita,
mendapati bahawa terdapat tradisi perkahwinan Melayu dan Cina yang semakin
dillupakan. Sekiranya adat perkahwinan ini terus dilupakan maka tradisi
masyarakat di sesebuah negara turut terjejas. Berdasarkan hasil kajian,
adat-adat perkahwinan masyarakat Melayu yang semakin dilupakan ialah adat
merasi, berandam, mengasah gigi dan juga menepung tawar. Amalan ini tidak
diamalkan lagi disebabkan oleh percanggahan pendapat dan ideologi dari segi
hukum syarak dan agama. Namun, kajian mendapati bahawa amalan tradisional
perkahwinan Cina masih tetap diamalkan tetapi telah dimodenkan dan disesuaikan
untuk keselesaan sendiri.
Walau
bagaimanapun, tradisi perkahwinan Melayu dan Cina harus dipelihara dan
diamalkan selagi ia tidak melanggar hukum syarak. Ini bertujuan supaya generasi
akan datang tidak akan lupa kepada adat dan asal usul bangsa sendiri.
Rujukan
Denyse Tessensohan. (1994).
Adab sopan moden: panduan lengkap tentang
adat resam, etiket dan adab sopan. Times Book International.
Norizan Abdul Muhid. Kembalikan perkahwinan tradisi. Utusan
Online, 06/06/2009.
Roslah Othman. Perkahwinan: adat lama tetap gemilang.
Utusan Online, 06/09/2001.
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/189-adat-dan-pakaian/1424-adat-perkahwinan.html
MZ
Zainudin, Teh Zhi Khan, Oon Yi Shen, Tan Kim Wing, Muhammad Fakhruddin Shukri,
Nazarul Azham Ibrahim
No comments:
Post a Comment