Thursday, February 25, 2016

Coconut shake Batu Berendam







1.0       Pengenalan

Golongan peniaga iaitu golongan pengusaha ataupun usahawan sering kali dikaitkan dengan keupayaan mereka untuk bersifat inovatif dan kreatif bagi meningkatkan daya saing dan sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Dengan wujudnya usahawan-usahawan yang rancak membuka perniagaan baru, hasilnya ialah ianya akan menjana penciptaan baru, pelaburan baru, pasaran baru, peluang-peluang perniagaan baru dan penjanaan peluang pekerjaan baru yang hangan diperkatakan amat mempengaruhi pembangunan dan pertumbuhan sesebuah negara secara positif.

Perniagaan coconut shake semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Melaka. Perniagaan ini tumbuh di merata tempat sama ada dalam saiz yang kecil ataupun besar. Justeru, kajian ini ingin mendapatkan maklumat mengenai latar belakang perniagaan coconut shake di Batu Berendam dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka.

1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti latar belakang perniagaan coconut shake, mengetahui cabaran yang dihadapi dan mengetahui kaedah terbaik untuk mengatasi masalah semasa berniaga coconut shake ini.

1.2       Limitasi Kajian

Kajian ini dijalankan terhadap syarikat Coconut Shake Batu Berendam, Melaka sahaja. Kajian ini meliputi maklumat-maklumat penting dan padat untuk mencapai objektif kajian. Kajian hanya dijalankan melalui kaedah temubual.


2.0       Sorotan Literatur

Sorotan leterasi yang diperolehi dalam penyelidikan mengenai perniagaa coconut shake Encik Khairi ini terdiri daripada beberapa perkara utama. Antara perkara-perkara utama yang ingin di ketengahkan dalam adalah:

Nama: Khairi
Asal: Durian Tunggal, Melaka
Syarikat: Khairi Enterprise

Encik Khairi sememangnya mempunyai sejarah peniagaan yang kuat. Ini dapat dibuktikan kerana ibu bapa beliau berasal daripada keluarga berniaga. Baik keluarga sebelah bapanya mahupun keluarga di sebelah ibu beliau. Perniagaan merupakan pendapatan rasmi keluarga Encik Khairi. Kerana darah yang mengalir adalah darah perniagaan, jadi, di usia muda lagi Encik Khairi telah menceburkan diri beliau dalam bidang perniagaan ini. Ini dapat dilihat apabila beliau mula mendekati perniagaan dengan menolong arwah datuknya menjalankan perniagaan meniaga sayur. Sayur tersebut ditanam sendiri. Sayur-sayur tersebut akan diasingkan menjadi ikatan-ikatan kecil yang berharga RM1 seikat, dijual di pasar sekitar Alor Gajah dan Batu Berendam. Setelah datuk beliau meninggal dunia, pada usia 13 tahun beliau menolong ibubapanya menjual makanan di pasar malam. Makanan yang dijual seperti ayam goreng dan yong tau fu. Encik Khairi menolong ibu bapa beliau sehingga berumur 14 tahun.

Perniagaan pertama yang dibuat adalah dengan menjual buah-buhan tempatan. Buah-buahan ini diperolehi dengan memajak tanah yang dipenuhi dengan buah. Namun, perniagaan buah-buahan ini bermusim, jadi pendapatan yang diperolehi tidak tetap dan tidak boleh terus menampung perbelanjaan beliau pada ketika itu untuk membayar gaji pekerja dan lori yang dibeli.

Perlahan-lahan beliau memulakan perniagaan baru dengan menjual air kelapa. Buah kelapa diperolehi dari tanah yang telah dipajak. Dalam tempoh perniagaan air kelapa ini, beliau pernah jatuh dan bangun semula sebanyak lima kali. Bilangan ini merupakan jumlah yang tinggi untuk seorang perniaga mengharungi cabaran itu secara bersendirian tetapi Encik Khairi mampu mengatasi halangan tersebut dengan menganggap itu adalah adat dalam pernigaan.

Pada peringkat ketiga dalam perniagaan beliau yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pembuatan air, ramai pelanggan memberi cadangan untuk membuka sebuah gerai jualan coconut shake. Ini kerana coconut shake memang popular di Melaka iaitu coconut shake Klebang. Inspirasi dari gerai itu yang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pelanggan tetapi lokasinya yang jauh menyebabkan beliau membuka gerainya di Batu Berendam, Melaka.

Selain daripada itu, beliau juga mendapat sokongan daripada pelanggan yang selalu bertandang ke gerainya untuk membeli air kelapa. Untuk mendapatkan rasa yang enak seperti yang diperolehi sekarang, beliau memerlukan masa selama tiga bulan dan dua minggu untuk menaik taraf rasa coconut shake beliau. Dalam tempoh itu, pendapat daripada kawan-kawan dan pelanggan digunakan untuk menambah baik rasa coconut shake tersebut.

Di awal perniagaan, beliau mempuyai dua orang pekerja tetap. Perniagaan ini bermodalkan pernigaan beliau yang terdahulu. Pada usia 17 tahun, beliau memperolehi RM1000 sebulan gaji bersih setelah ditolak bayaran gaji pekerja serta lori dengan hasil titik peluh sendiri.


3.0       Metodologi Kajian

Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah yang sangat umum dan biasa digunakan dalam melakukan suatu penyelidikan. Kaedah ini bertujuan untuk mengukur tahap kualiti suatu penyelikan. Kaedah ini sangat sesuai digunakan untuk melihat, menimbang dan memerhati perkembangan tingkah laku satu revolusi perniagaan yang bermula dari bawah sehingga mencapai tahap kedudukan pada hari ini. Pemerhatian dijalankan meliputi kawasan di mana perniagaan ini dijalankan iaitu Batu Berendam, Melaka. Tempat perniagaan yang dipilih sangat strategik kerana menjadi tempat lalu-lalang orang ramai. Dengan menggunakan kaedah ini revolusi sesebuah syarikat dapat dilihat aliran pernigaannya.

Kaedah temubual adalah kaedah yang dijalankan menggunakan lisan dalam proses memperolehi maklumat mengenai suatu isu yang dikaji. Dalam proses menemubual individu, langkah-langkah yang perlu dipenuhi adalah persediaan responden serta penemubual, kemahiran bertutur dalam menemubual dan pendokumentasian hasil temubual tersebut. Temubual terbahagi kepada dua jenis iaitu temubual tidak formal dan temubual formal. Dalam hal ini, temubual dijalan secara formal bersama Encik Khairi iaitu pengasas kepada syarikat yang menjalankan perniagaan coconut shake yang bertempat di Batu Berendam, Melaka. Fokus temubual ini menjurus kepada aliran pernigaan yang dijalankan oleh Encik Khairi sebelum menjadi usahawan sehingga menjadi seorang yang berjaya pada hari ini. 


4.0       Hasil Kajian

Sesi temubual telah diadakan bersama dengan pemilik kedai tersebut iaitu Encik Khairi di Batu Berendam, Melaka. Beliau memiliki syarikat Khairi Enterprise. Berikut adalah hasil daripada temubual bersama Encik Khairi.

4.1 Latar Belakang Perniagaan Coconut Shake

Sejarah memulakan perniagaan sebenarnya Encik Khairi berasal daripada keturunan berniaga. Keluarganya ibubapanya juga berasal daripada keturunan yang membuat perniagaan sebagai pekerjaan untuk menyara kehidupan seharian. Seawal usia tujuh tahun, Encik Khairi telah berniaga sayur yang dibekalkan oleh arwah datuknya. Sayur tersebut adalah sayur yang ditanam dalam tangki. Sayur itu akan diikat dan akan dijual dengan nilai RM 1. Sayur-sayur tersebut akan dijual di pasar sekita Alor Gajah. Di samping itu juga, beliau bekerja dengan ibu dan bapanya. Pada waktu itu, kedua ibubapanya berniaga di Pasar Malam. Beliau berkerja dengan kedua ibu bapa beliau sehingga umur beliau mencecah 14 tahun.

Pada usia Encik Khairi 14 tahun, ibunya telah memberinya sebuah lori dah modal berjumlah RM2000. Perniagaan sendiri yang pertama yang beliau jalankan ialah berniaga buah-buahan tempatan. Bekalan buah-buahan yang untuk dijual telah dipajak di dusun berdekatan dengan rumah beliau. Namun begitu pada waktu itu, buah-buahan tempatan hanya berbuah mengikut musim. Oleh itu, jalan penyelesaian yang diambil supaya pendapatan beliau stabil ialah dengan berniaga air kelapa. Hal ini kerana buah kelapa berbuah tidak mengikut musim jadi pendapatannya akan stabil sepanjang tahun.

Hasil daripada maklum balas dan permintaan pelanggan, Encik Khairi telah berjinak-jinak memulakan perniagaan coconut shake. Pada permulaannya Encik Khari mempunyai dua orang rakan untuk menolong melaksanakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Modal yang digunakan untuk membuka perniagaan coconut shake tersebut bernilai RM3000. Modal tersebut diperolehi daripada perniagaan yang sebelum ini yang telah dijalankan oleh beliau. Beliau telah menyewa tapak di Batu Berendam. Sewa tapak pula bernilai RM300 sebulan.

Setelah tiga tahun perniagaan coconut shake itu dijalankan, Encik Khairi juga turut menjual kuih-muih, air mata kucing dan nasi lemak. Nasi lemak dan kuih-muih adalah bekalan daripada ibu saudara beliau sendiri dan mendapat sambutan daripada para pelanggan. Sehingga kini, Encik Khairi telah mempunyai 17 orang pekerja. Beliau mempunyai trademark tersendiri, iaitu kelapa yang menggunung di kedainya tidak pernah turun. Hal ini kerana itu adalah juga salah satu taktik untuk menarik minat pelanggan.

4.2       Operasi Coconut Shake

Gaji pekerja diberi pada setiap minggu. Purata gaji seorang pekerja ialah RM100 sehari. Pekerja akan mula masuk kerja pada pukul 7.30 pagi dan pulang pada pukul 7.30 petang. Jika mereka hendak bekerja lebih waktu, mereka boleh bekerja sehingga 11 malam. Hal ini kerana kedai tersebut beroperasi bemula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Kedai akan dibuka setiap hari termasuk pada hari Ahad. Bonus akan diberikan kepada pekerja pada setiap Hari Raya Aidilfitri dan juga pada Hari Raya Aidiladha.

Encik Khairi juga mengambil katering coconut shake untuk majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis hari keluarga dan juga majlis-majlis lain di seluruh negara. Tambahan lagi selain coconut shake, Encik Khairi juga akan membuat katering cendol terutamanya pada waktu hujung minggu.

Pada umur beliau 23 tahun, beliau sudah berfikiran jauh kehadapan iatu berfikir lima tahun akan datang. Beliau telah mengumpul aset untuk hari tua dan untuk membina keluarga pada suatu hari nanti. Tambahan lagi perniagaan coconut shake semakin ligat apabila pihak media sendiri sudah mengiklankan perniagaannya. Hasilnya, ramai pelanggan yang datang dari seluruh negara hanya ingin menikmati coconut shake yang dijual oleh Encik Khairi.

4.3       Cara Buat Coconut Shake

Sebuah mesin pengisar bernilai RM900. Beliau mempunyai 180 buah mesin pengisar yang diimport daripada Itali. Pada setiap hari pada pukul 3 petang, mesin akan ditukar. Sesebuah mesin tidak akan dibiarkan untuk beroperasi terus 12 jam. Hal ini kerana dikhuatiri mesin akan rosak kerana kos pembaikian mesin adalah sama dengan pembelian mesin yang baru.

Mula-mula masukkan satu skop ais krim ke dalam mesin pengisar. Kemudian, masukkan tiga keping isi kelapa. Seterusnya, masukkan dua cangkir air gula. Selepas itu, masukkan setengah cawan ais. Langkah terakhir ialah mengisar semua bahan hingga hancur.

4.4       Perancangan Masa Hadapan

Pertamanya beliau merancang untuk membuka francais ke seluruh negara. Tambahan lagi, beliau berhasrat untuk mengkomersial penjualan coconut shake dan menjadikannya produk untuk dieksort ke negara-negara yang berdekatan seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Tambahan lagi, dalam perniagaan coconut shake ini, cuaca amat memain peranan yang tinggi. Hal ini kerana, pada musim hujan yang berterusan bilangan pelanggan akan berkurangan secara mendadak dan secara tidak langsung membawa kerugian kepada perniagaan beliau. Pada musim hujan, perniagaan akan berlangsung seperti biasa. Beliau masih membuka kedai kerana ianya tidak adil kepada para pekerja kerana pendapatan mereka bergantung kepada setiap jam yang mereka kerja. Jadi untuk bersikap adil, walaupun hujan kedai akan sentiasa dibuka. Di samping itu, beliau berniat untuk menjaga hati pelanggan kerana karenah pelanggan yang kadang-kala tidak kira masa jika mereka inginkan membeli coconut shake tersebut.


5.0       Kesimpulan

Berdasarkan hasil temuramah bersama pemilik dan pengasas coconut shake Batu Berendam iaitu Encik Khairi bin Atan, kita dapat merumuskan bahawa usaha berterusan tanpa putus asa walau pelbagai rintangan dan risiko yang perlu dihadapi bukan menjadi halangan untuk seseorang menjadi usahawan yang berjaya. Berfikiran terbuka dalam menerima teguran daripada pelbagai pihak juga menjadi faktor kepada kepada kejayaan yang telah dicapai oleh En. Khairi. Rezeki yang diperolehi digunakan untuk membuka perniagaan adik-adik beliau juga menjadai kunci kepada rezeki yang tidak putus-putus seperti pepatah “semakin banyak menghulur semakin banyak rezeki yang masuk”. Selain daripada itu juga, beliau mengambil pendekatan dengan tidak mengawal pekerjanya dengan keras tetapi tegas. Ketegasan itu adalah untuk mengelakkan daripada mereka memijak kepala tetapi tidak dinafikan beliau merupakan majikan yang mesra terhadap pekerja. Bilangan pengunjung semakin hari semakin bertambah membuktikan bahawa perniagaan coconut shake En.Khairi ini semakin mendapat tempat malah pernah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian beberapa tahun lalu. 

Perniagaan coconut shake Encik Khairi ini hanya terdapat di Batu Berendam, Melaka. Setelah melihat kejayaan yang telah diperolehi, Encik Khairi harus meluaskan perniagaan beliau ke serata tempat dalam Melaka ini dengan mengekalkan rasanya yang enak. Hal ini kerana Melaka sangat popular dengan coconut shake tetapi bilangan warung, gerai atau kedai yang menghasilkan coconut shake sangat terhad di tempat tertentu sahaja. Selain daripada itu, Encik Khairi perlu memikirkan keselamatan para pelanggan beliau. Seperti yang diketahui, gerainya berada berhampiran dengan jalan utama. Jadi, beliau boleh mencari tempat di dalam kedai supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.


MZ Zainudin, Muhammad Nor Asyraf Nor Azmi, Siti Zunairah Sidek, Mashitah Farith, Fatin Nurfarhana Abdul Rashid



No comments:

Post a Comment