Tuesday, February 09, 2016

Persepsi masyarakat Malaysia terhadap Rukun Negara








1.0       Pengenalan

Negara kita Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa. Malaysia turut dikenali sebagai sebuah negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza. Majoriti terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal tempat tumpah darah mereka.

Dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1966, namanya ditukar kepada “Malaysia”. Hasil komoditinya menjadi idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar bahan-bahan mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik dalam lingkaran laluan dagangan antarabangsa. Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai, tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama. Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila mereka cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta. Begitu juga semasa mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing. Semangat untuk mendapatkan kemerdekaan tidak luntur dalam jiwa bangsa Melayu walaupun terpaksa menghadapi rintangan pihak penjajah dan orang tempatan sendiri. Orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Tunku Abd. Rahman Putra Al Haj tidak jemu-jemu mencari jalan terbaik dan rela bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk mencapai kemerdekaan. Hasilnya pada tanggal 31 Ogos 1957, “Bapa Kemerdekaan” kita telah melaungkan kalimah keramat “Merdeka” dan diulang suara oleh rakyat dari pelbagai bangsa dan keturunan dengan penuh kesyukuran. Bendera “Union Jack” diturunkan dan berkibar megah “Jalur Gemilang” kemegahan rakyat jelata. Tanah Melayu mula diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan mempunyai sistem pemerintahan dan perlembagaannya yang tersendiri.

Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi kemerdekaan dan memajukan bumi tercinta setelah sekian lama ditadbir oleh penjajah. Bermacam-macam rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Namun begitu terjadi beberapa peristiwa yang tidak diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak tertentu yang enggan memberi kerjasama untuk membendungnya. Justeru, maka perpaduan kaum dan integrasi nasional adalah isu dan agenda utama pemimpin dan seluruh warga negara Malaysia.

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Datuk Seri Abdullah Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah. Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.


“.... Saya menyeru warga Malaysia berusaha bersama saya memperkukuhkan perpaduan nasional. Kita harus mempertahan dan meningkatkan hubungan harmoni yang terjalin di kalangan warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Kita harus terus melakukan usaha membina satu kesatuan yang unik dari pelbagai perbezaan di antara kita. Kita perlu terus membina satu kesamaan identiti yang kukuh berakar dalam persekitaran negara Malaysia, berlandaskan segala keistimewaan yang terkandung dari pelbagai budaya. Kita hendaklah terus menghargai semangat toleransi dan saling menghormati yang menjadi penentu kepada kedamaian dan perpaduan yang kita capai....” (YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi)


Rukun Negara didefinisikan sebagai satu ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma kehidupan sosial yang meliputi pelbagai aspek seperti keagamaan, kebudayaan, ekonomi dan perundangan. Sejarah penubuhan Rukun Negara adalah terbentuk akibat daripada Peristiwa 13 Mei 1969 iaitu berlakunya rusuhan kaum yang menggugat keamanan dan keutuhan negara ketika itu. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak telah ditubuhkan dengan tujuan untuk mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-undang dan memupuk suasana harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini membuktikan bahawa kehidupan bukan sekadar memerlukan makan dan minum, air dan udara tetapi kehidupan akan lebih bermakna sekiranya perpaduan dapat dikekal dan diperkukuh.

1.1       Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui persepsi masyarakat terhadap Rukun Negara, mengetahui keberkesanan Rukun Negara dalam membentuk perpaduan dan mengetahui kefahaman masyarakat terhadap Rukun Negara.


2.0       Sorotan Literatur

Objektif Rukun Negara adalah untuk mengukuhkan perpaduan, memelihara corak hidup demokratik, mencipta sebuah masyarakat yang adil, menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai serta membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi. Rukun Negara bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif serta bersatu-padu dan bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan. Cita-cita ini akan tercapai apabila objektif Rukun Negara diamalkan oleh setiap rakyat negara ini.

2.1       Prinsip-Prinsip Rukun Negara


Kepercayaan kepada Tuhan 
Agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia. rakyat yang beragama mudah diurus. Perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas diamalkan.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara 
Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. Penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

Keluhuran Perlembagaan 
Perlembagaan merupakan undang-undang utama perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya.

Kedaulatan Undang-Undang 
Rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara. Rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Kesopanan dan Kesusilaan
Rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila. ia merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu. Amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.


2.2       Huraian Prinsip Rukun Negara

Rukun Negara lahir sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-13 untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawasanya mereka hidup dalam masyarakat majmuk dan perlu menghormati antara satu sama lain.

Dimulakan dengan kepercayaan kepada Tuhan, menuntut rakyat Malaysia untuk mempunyai agama serta pegangan. Waima di dalam Perlembagaan Malaysia, walaupun agama Islam diangkat sebagai agama Persekutuan seperti termaktub di Artikel 3, ia masih memberikan peluang dan ruang seluas-luasnya untuk rakyat yang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing.

Ikrar yang kedua di dalam Rukun Negara ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Dalam sistem raja berperlembagaan, rakyat perlu faham peranan serta kedudukan raja-raja Melayu. Kedudukan raja raja adalah hasil daripada sejarah yang meletakkan raja atau sultan sebagai ketua negeri. Justeru seandainya penghayatan yang mendalam terhadap Rukun Negara, kita berupaya untuk menangkis segala bentuk ancaman terhadap institusi diraja. Selain itu, tujuh wasiat Raja-Raja Melayu perlu difahami supaya semangat yang terbentuk ketika menuntut kemerdekaan dahulu dapat terus dipelihara. Sultan serta Raja menjadi lambang perpaduan antara rakyat jelata.

Elemen ketiga yang diikrarkan ialah keluhuran Perlembagaan. Artikel 4 meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi. Dalam erti kata yang mudah, apa sahaja yang bercanggah atau percubaan mencipta polisi atau undang-undang yang bercanggah adalah terbatal. Justeru ia mendidik supaya kita bukan sahaja menghormati Perlembagaan malah memahami sejarah di sebalik Perlembagaan. Apabila ada pihak yang cuba mempersoalkan isu Perlembagaan seperti Artikel 153, keistimewaan Melayu dan bumiputera, ia bimbang akan berlakunya ketegangan kaum. Oleh itu semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik harus menghormati perkara yang termaktub dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Seterusnya ialah kedaulatan undang-undang. Persepsi ketidakadilan kehakiman yang dilontarkan oleh pihak tertentu di dalam kes berprofil tinggi meletakkan seolah-olah undang-undang itu tidak dimartabatkan. Sedangkan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah boleh dirayu untuk mempersoalkan keadilannya. Ia mesti dilakukan di mahkamah dan bukan di jalan raya. Persepsi hakim dibeli dan mahkamah tidak adil memburukkan lagi imej Malaysia serta perjalanan keadilan.

Terakhir yang disenaraikan dalam Rukun Negara ialah kesopanan dan kesusilaan. Isu kesopanan dan adab menjadi satu isu yang kritikal. Tingkah laku dan hujah parti politik yang bersifat lebih kepada emosional berbanding fakta membawa pada satu petunjuk inikah anak muda Malaysia.Dalam dunia mahasiswa, hujah yang dilontarkan oleh pihak yang tidak bersetuju selalunya bersifat cemuhan dan makian. Tindak tanduk anak muda yang gagal beradab membawa kepada persepsi anak muda yang ganas, dan bersifat paranoid. Makian dan melabel di laman sosial menunjukkan kualiti pemikiran anak muda yang gagal berfikir secara intelektual. Maka usahlah kita terkejut seandainya apabila Malaysia mencapai status negara maju, anak muda masih di peringkat kelas tiga kerana terikut-ikut dengan beberapa pemimpin parti politik yang memaki hamun, memfitnah dan mengherdik pihak lawan.

Rukun Negara yang diilhamkan sebenarnya mempunyai satu asas kenegaraan yang sangat menarik. Ia meletakkan agama di peringkat tertinggi. Sebabnya tanpa kepercayaan kepada agama, tidak akan ada kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap Perlembagaan dan undang-undang apatah lagi kesopanan dan kesusilaan.

Firman Allah di dalam surah An Nisa’ ayat 59, “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Rukun Negara adalah sumpah ikrar kita selaku warganegara Malaysia dan seharusnya di patuhi dan diamalkan supaya negara Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan aman dan makmur.

2.3       Sejarah Pembentukan Rukun Negara

Kedatangan Inggeris dan dasar imigrasi liberal yang di perkenalkan mereka telah menukar bentuk masyarakat negara ini. Kerajaan Inggeris telah mengalakkan kemasukan tenaga buruh dari negara China, India dan Indonesia untuk berkerja lombong dan estet serta berniaga di bandar.

Di bawah dasar “pecah dan perintah” kerajaan kolonial Inggeris, ketiga-tiga kumpulan etnik ini telah dipisahkan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan. Kebanyakan orang Melayu tinggal di desa dan berkerja di sektor pertanian. Semantara orang Cina tinggal di bandar dan melibatkan diri dalam perniagaan. Orang India pula tinggal dan bekerja di estet-estet, hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di bandar.  Ketiga-tiga kumpulan etnik ini pula dipisahkan dari segi pendidikan dengan mempunyai aliran masing- masing tanpa sukatan pelajaran atau kurikulum yang sama, keadaan ini berterusan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Pada tahun 1956 iaitu setahun sebelum kemerdekaan, kekacauan telah berlaku di Pulau Pinang semasa perayaan pemberian taraf bandar raya kepada Pulau Pinang. Perbalahan yang sama turut berlaku di Pangkor pada 1960, di Bukit Mertajam pada 1966 dan Pulau Pinang sekali lagi pada 1967. Peristiwa-peristiwa kekacauan ini hanya berlaku secara kecil-kecilan sahaja. Langkah dan usaha yang serius hanya dimulakan oleh pihak kerajaan setelah berlaku satu rusuhan kaum yang serius iaitu peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Akibat dari peristiwa ini kerajaan telah mengambil langkah tegas untuk mencari satu formula bagi mengatasi masalah tersebut supaya tidak berulang lagi. Berikutan itu Majlis Perunding Negara telah di tubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-Undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. Anggota- anggota Majlis Perunding Negara terdiri daripada seorang Pengerusi (Tun Abdul Razak, merangkap Pengarah MAGERAN) tiga orang Menteri (Tun Dr. Ismail, Tun Siew Sin dan V.T. Sambantan). Wakil-wakil kerajaan negeri dan parti politik. Majlis ini juga mempunyai wakil-wakil dalam kalangan tokoh agama, badan-badan profesional, persatuan guru-guru dan wakil-wakil kumpulan kecil.

Masyuarat pertama telah diadakan pada 27 Januari 1970 yang dipengerusikan oleh Pengarah MAGERAN Tun Abdul Razak, setelah berbincang serta mengkaji sedalam-dalamnya selama beberapa bulan, Majlis Perunding Negara tersebut telah merumuskan supaya satu ideologi negara yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu adakan di negara ini. Berasaskan keputusan tersebut maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat pada 31 Ogas 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.

2.4       Kepentingan Rukun Negara

Sejak di bangku sekolah kita telah telah dididik dengan semangat prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini. Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip iaitu kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara; keluruhan perlembagaan; kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan itu adalah antara resipi kejayaan negara dalam menyatupadukan rakyat. Walau bagaimanapun, kini penghayatan Rukun Negara semakin terhakis dari jiwa rakyat Malaysia apabila mereka menempuh alam dewasa.

Antara punca yang menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat sejak belakangan ini adalah sebab penghayatan terhadap Rukun Negara yang kurang. Bagi mengingatkan rakyat tentang kepentingan mempertahan prinsip-prinsip Rukun Negara, kerajaan telah melancarkan “Kempen Menghayati Rukun Negara”. Semangat Rukun Negara yang telah tersemadi dalam sanubari rakyat sejak lebih 35 tahun dahulu perlu dikekalkan terus. Penghayatan Rukun Negara amat penting kerana mampu mendidik seseorang supaya menghormati kaum-kaum lain malah Rukun Negara dapat mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan bertoleransi bagi mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Lima prinsip Rukun Negara yang merangkumi pelbagai aspek dalam masyarakat adalah pemangkin keamanan dan keharmonian negara. Rukun Negara juga mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif selain bersifat terbuka terhadap cara hidup rakyat pelbagai kaum. Rukun Negara juga dapat mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama kerana lima prinsip Rukun Negara sebenarnya adalah saling lengkap-melengkapi.

Prinsip kepercayaan kepada Tuhan mampu menerapkan kepercayaan beragama yang boleh mengukuhkan ikatan pelbagai kaum di Malaysia serta melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri yang padu. Rukun Negara juga mendidik kita menjunjung tinggi nilai kesetiaan kepada raja dan negara kerana raja adalah lambang perpaduan negara.  Tidak kurang pentingnya Rukun Negara juga mendidik kita supaya menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan negara.

Kejadian tidak menghormati institusi beraja dan mengheret institusi raja ke dalam kemelut politik yang kian meningkat dewasa ini adalah berpunca daripada sikap segelintir pihak yang tidak menghayati Rukun Negara. Oleh itu, usaha untuk memastikan rakyat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sepanjang masa merupakan langkah tepat dan perlu melibatkan segenap lapisan masyarakat.

3.0       Metodologi

3.1       Limitasi Kajian

Untuk memastikan kajian ini memenuhi matlamat dan objektif kajian, terdapat sempadan bagi kefungsian aktiviti kajian yang telah dikenalpasti. Hal ini adalah bertujuan untuk memastikan agar kajian dapat mencapai matlamatnya. Skop bagi kajian ini ialah kajian ini hanya dilakukan untuk pelajar-pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Kkjian ini hanya mengkaji kefahaman Rukun Negara dalam kalangan pelajar, kajian ini menekankan kesan Rukun Negara dalam membentuk perpaduan dan integrasi nasional seterusnya terhadap pembentukan diri, komuniti, negara dan dunia, kajian adalah untuk memberi kesedaran dalam usaha mengekalkan penggunaan Rukun Negara agar tidak dilupakan dalam arus kepesatan zaman.

Skop kajian meliputi 30 responden yang terdiri daripada lelaki dan perempuan pelbagai bangsa, agama, dan lingkungan umur yang berbeza. Tempat kajian ialah di kepada Fakulti Kejuruteraan Makanikal (FKM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Fakulti Kejuruteraan Elektronik Komputer (FKEK). Setiap fakulti melibatkan sepuluh responden. Masa yang diperlukan untuk kajian ini adalah selama seminggu.

3.2       Kaedah Kajian

Borang kaji selidik diedarkan kepada responden untuk mengetahui tahap kefahaman mereka terhadap Rukun Negara. Tempoh borang selidik kajian diedarkan adalah selama tiga hari. Borang tersebut mempunyai dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A adalah menegenai profil responden iaitu mengenai jenis fakulti, umur, jantina dan keturunan. Bahagian B pula adalah soalan mengenai kefahaman responden mengenai Rukun Negara yang terdiri daripada tiga arahan.


4.0 Hasil Kajian


Rajah 1:  Pengetahuan terhadap Rukun Negara

Berdasarkan kajian di atas, keseluruhan responden mengetahui konsep dan maksud Rukun Negara. Ini menunjukkan suatu tindak balas yang positif kerana responden mengetahui tentang Rukun Negara.

Rajah 2:  Memahami objektif Rukun Negara

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, sebanyak 73% mengatakan mereka memahami objektif Rukun negara. Manakala 6.7% tidak memahami objektif Rukun Negara. Selebihnya 20% tidak pasti mengenai objektif Rukun Negara.

Rajah 3: Kefahaman terhadap lima prinsip kata Rukun Negara

Sebanyak 63% responden memahami lima prinsip Rukun Negara, sepuluh peratus tidak memahami dan selebihnya tidak pasti (27%).

Rajah 4: Kefahaman mengenai peristiwa 13 Mei

Rajah 4 menunjukkan 60%  responden iaitu seramai 18 orang mengatakan mereka mengetahui peristiwa 13 Mei manakala hanya 3.3% iaitu 1 orang sahaja mengatakan tidak mengetahui mengenai peristiwa tersebut. Seterusnya 37% lagi iaitu 11 orang tidak pasti mengetahui mengenai peristiwa 13 Mei.

Rajah 5: Kefahaman mengenai tujuan Rukun Negara diwujudkan

Berdasarkan Rajah 5, sebanyak 47% responden tahu kewujudan Rukun negara manakala 6.7% tidak tahu, dan selebihnya tidak pasti.

Seterusnya berdasarkan pada borang kaji selidik di bahagian B, di Arahan Kedua pula, lima soalan dikemukakan kepada responden. Untuk arahan kedua soalan lebih kepada pandangan responden terhadap Rukun Negara. Lima skala untuk menyatakan pandangana responden iaitu sangat tak setuju (sts), tidak setuju (ts), tidak pasti (tp), setuju (s) dan sangat setuju (ss).

Rajah 6: Kemampuan Rukun Negara memupuk jati diri yang tinggi terhadap rakyat Malaysia

Rajah 6 menunjukkan majoriti responden (60%) sangat setuju Rukun Negara mampu memupuk jati diri yang tinggi terhadap rakyat Malaysia. Manakala selebihnya mengatakan setuju (20%) dan masing-masing tidak setuju dan tidak pasti sebanyak 10%.

Rajah 7: Setiap kaum dan bangsa hidup aman dan damai tanpa Rukun Negara

Dalam Rajah 7, 56.7% responden tidak setuju jika hidup dengan aman dan damai tanpa Rukun Negara manakala 13% responden bersetuju jika tanpa rukun negara setiap kaum dan bangsa di Malaysia akan hidup aman dan damai. Sangat tak setuju, tidak pasti dan sangat setuju adalah sama banyak iaitu 10% masing-masing.

Rajah 8: Perpaduan kaum dan integrasi nasional dapat bertahan jika Rukun Negara tidak terus dikekalkan

Rajah 8 mengutarakan pandangan responden mengenai perpaduan kaum dan integrasi nasional mampukah bertahan sekiranya Rukun Negara tidak dikekalkan. Jumlah tidak setuju adalah ramai iaitu sebanyak 46.7%. Tidak pasti sebanyak 33.3%. Sangat tak setuju dan setuju adalah sama iatu masing-masing 10%.

Rajah 9: Keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dipertikaikan setelah prinsipRukun Negara diwujudkan

Rajah 9 adalah mengenai wajarkah keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dipertikaikan setelah prinsip Rukun Negara diwujudkan. Majoriti responden iaitu 70% mengatakan tidak setuju manakala sangat tak setuju adalah sebanyak 23% manakala tidak pasti dengan kenyataan itu adalah 6.7%.

Rajah 10: Adakah kelebihan menuntut rakyat Malaysia untuk mempunyai agama menyebabkan sesetengah rakyat membawa anasir buruk kepada negara

Berdasarkan Rajah 10, majoriti responden bersetuju dengan pandangan tersebut iaitu sebanyak 83.3% manakala yang tidak pasti adalah 13.3%, selebihnya adalah tidak bersetuju iaitu 3.3%.

5.0       Kesimpulan

Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Justeru, Rukun Negara menuntut supaya dicipta satu masyarakat demokratik, adil, saksama dan liberal supaya mana-mana pihak tidak membangkitkan atau menimbulkan isu sensitif. Ia merupakan pedoman negara dan amalan hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam menentukan kehidupan dan masa depan bangsa dan negara. Rukun Negara menyuarakan tanggapan, kepercayaan dan keazaman rakyat mengenai bangsa Malaysia dan ia membentuk cara hidup kita. Semangat Rukun Negara yang masih menjadi amalan memang wajar diteruskan kerana ia sangat relevan dalam mendepani cabaran pada masa kini. Dengan berpegang teguh prinsip-prinsip Rukun Negara, kita mampu menjadi rakyat Malaysia yang bersatu padu, kukuh dan berwibawa bagimenghadapi apa saja cabaran selain memupuk semangat cintakannegara. Rasa cinta akan negara adalah teras kepada kestabilanekonomi, politik dan sosial di Malaysia dengan diikat kemas oleh frasa perpaduan yang diwarnai oleh pelbagai kaum.

Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun negara. Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warga negara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia.



Rujukan

A Tribute to Dr Mahathir Mohamad A Great and Statesman. Penerbit Various Channel Comunications Sdn. Bhd.
Ho Hui Ling. Darurat 1948-1960 Keadaan Sosial Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Ramlah Adam. Pejuang-Pejuang Kemerdekaan. Penerbit Institut Kajian Sejarah dan  
           Patriotisme Malaysia.

http://azikrie.wordpress.com/2011/03/23/rukun-negara/
http://www.kpkk.gov.my/pdf/Booklet_1Malaysia.pdf
http://lamanshahaikal.weebly.com/rukun-negara.html


MZ Zainudin, Nor Syairah Salleh, Erin Rabiatul Charmein Noor Chaman, Premmilaah A/P Gunasegaran, Ibtisam A.Hamid, Azizul Hakim Noor Zubairi, Mohammad Sobrie Amil, Mohammad Haziq Ahmad Din, Mohd Zulhilmi Nasharuddin



No comments:

Post a Comment