Tuesday, September 08, 2015

Transformasi sosioekonomi bumiputera: kajian kes di Sweetberry Cakes & Cookies








1.0 Pengenalan

Kajian ini tertumpu kepada sebuah premis perniagaan kek dan makanan iaitu perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies yang terletak di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. Kajian yang terperinci dijalankan bagi memahami aktiviti perniagaan tersebut. Perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies dipilih sebagai subjek kajian  kerana perniagaan ini menunjukkan perkembangan yang positif dan menjadi tarikan orang ramai. Kemajuan perniagaan dan lokasinya yang strategik berdekatan dengan kawasan perumahan menjadikan kawasan ini menjadi tumpuan penduduk terutamanya warga setempat dan pelajar-pelajar yang berada di kawasan berdekatan.

Selain itu, perniagaan  Sweetberry Cakes & Cookies menyedia dan menjual pelbagai aneka kek dan pastri. Perniagaan ini turut mempunyai kafe yang menghidangkan pelbagai aneka masakan. Melalui variasi aneka barangan yang diniagakan, perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies lebih mantap dan mampu bertahan lama dalam bidang perniagaan.

Tarikan fizikal yang terdapat di premis perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies turut menyebabkan perniagaan ini menjadi topik kajian. Keindahan dan kebersihan premis perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies menjadi satu daya penarik orang ramai. Hiasan, dekorasi dan pemilihan warna yang sesuai yang dilakukan oleh pemilik perniagaan telah menjadi pemangkin  kepada lambang kemajuan perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Keadaan persekitaran yang kondusif dan bersih telah menimbulkan suasana yang nyaman kepada para pengunjung. Hal sedemikian dapat meningkatkan lagi keyakinan para pengunjung untuk membeli barangan keluaran Sweetberry Cakes & Cookies.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui latar belakang perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Melalui pengetahuan tentang latar belakang perniagaan ini, kami dapat memahami dan mengetahui profil pemilik dan penubuhan perniagaan ini serta jenis barangan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Selanjutnya, kajian ini turut dijalankan untuk mengetahui strategi pengurusan perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Dengan adanya data mengenai strategi dan perancangan perniagaan ini, kita boleh mempelajari selok-belok perniagaan dan terdedah kepada cara pengurusan sesuatu organisasi perniagaan.

Di samping itu, kajian yang dijalankan ini juga bertujuan untuk mengenal pasti masalah dan cabaran yang dihadapi dalam perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies. Kami juga dapat melihat saling kaitan di antara pengurusan perniagaan dan cara mengatasi kekangan yang berlaku dalam menjalankan sesutau perniagaan. Hal sedemikian mampu memberi pendedahan awal tentang tatacara perniagaan yang sistematik dan efisien. 


2.0 Kajian Literatur
                                               
Perniagaan merupakan pengagihan dan pertukaran semua barangan berlebihan yang dihasilkan daripada ladang-ladang, lautan, hutan-hutan dan kilang-kilang supaya mereka dapat diperoleh oleh pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan (Vincent, 1995). Perniagaan adalah pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan atau sebarang bentuk faedah (Zumilah, 1999). Menurut Ronald J. Ebert dan Ricky W. Griffin (1998), perniagaan juga merupakan suatu organisasi yang membekalkan barangan atau perkhidmatan untuk mendapat keuntungan.

Berdasarkan definisi-definisi yang dikemukakan, maka perniagaan dapat disimpulkan sebagai suatu usaha untuk mengagih dan menukarkan barangan yang berbentuk barang fizikal atau perkhidmatan atau kedua-duanya daripada pengeluar asal kepada pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan. Usaha pemindahan dan pertukaran barangan ini dijalankan berasaskan alat pertukaran yang telah dipersetujui oleh pengeluar asal dan pengguna terakhir. Pertukaran sedemikian akan membawa faedah dan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.

Barang niaga dikenali sebagai produk atau keluaran. Barang niaga terdiri daripada unit-unit yang dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh secara fizikal seperti baju, keropok, anak patung mainan dan sebagainya.

Keuntungan merupakan perbezaan di antara pendapatan dan perbelanjaan perniagaan. Keuntungan perniagaan yang menggalakkan peniaga-peniaga untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka. Keuntungan juga merupakan pulangan atau ganjaran kepada peniaga-peniaga yang sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa mereka. Formula keuntungan adalah seperti berikut:

Keuntungan (perniagaan) = Pendapatan  -  Perbelanjaan
Keuntungan (ekonomi) = Pendapatan – (Perbelanjaan + Kos Melepas*)
* Kos melepas merupakan kos yang terpaksa dilepaskan kerana membuat sesuatu pilihan.

Faedah juga dikenali sebagai kebaikan atau kelebihan. Semua pihak yang terlibat dalam perniagaan akan memperolehi faedah. Misalnya, seorang peniaga yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan akan memberi faedah kepada pelanggannya. Pelanggan itu akan menggunakan barangan atau perkhidmatan yang disediakan untuk kepentingan diri iaitu mencapai matlamat individu atau organisasi.

Apabila kehendak dan keperluan dapat dipenuhi, maka seseorang akan berasa puas hati. Jika tidak, kepuasannya tidak akan tercapai. Konsep timbal balik antara peniaga dan pembeli menyebabkan masing-masing akan merasai kepuasan.

Keuntungan ialah objektif utama untuk kebanyakan organisasi perniagaan sama ada bersaiz besar atau kecil. Keuntungan merupakan faktor atau daya tarikan kepada seseorang individu untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dan peniaga untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Keuntungan boleh menjadi pengukur prestasi sesebuah organisasi perniagaan, sama ada disifatkan berjaya atau gagal.

Kewujudan sesebuah organisasi perniagaan baru atau semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil, objektif kemandirian (survival) adalah lebih penting daripada keuntungan. Kemandirian bertujuan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kewujudan organisasi perniagaan itu. Organisasi perniagaan harus cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian masyarakat umum tentang kewujudannya.

Apabila organisasi perniagaan berjaya memperkenalkan diri kepada masyarakat umum tentang kewujudannya, maka ia harus berusaha untuk mengurangkan kerugian yang dialami di peringkat kemandirian. Usaha peningkatan keuntungan patut ditekankan supaya organisasi perniagaan itu bertumbuh dan terus membesar dan berdaya saing dengan organisasi perniagaan lain sama ada organisasi perniagaan tempatan ataupun antarabangsa.

Organisasi perniagaan itu harus memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan, menjual barangan yang baik dan bermutu tinggi, menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat dengan cekap dan pada kadar atau harga yang berpatutan dan membantu negara untuk mempertingkatkan kedudukan ekonominya.

Perniagaan dapat memenuhi keperluan masyarakat. Hasil daripada aktiviti-aktiviti perniagaan, iaitu urusan pembelian dan penjualan, para peniaga akan memperolehi keuntungan manakala pihak pembeli dan pengguna pula memiliki barangan dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Sebahagian besar masyarakat menyara kehidupan melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor perniagaan. Masyarakat boleh bekerja sebagai peniaga atau sebagai pekerja dalam organisasi perniagaan. Pendapatan yang diterima melalui pekerjaan yang diperolehi dapat menyara malah meningkatkan taraf hidup masyarakat. Selain itu, pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa berlakunya kemelesetan ekonomi boleh beralih kepada perniagaan terutamanya perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber rezeki yang baru.

Kefahaman terhadap konsep perniagaan dapat membantu malah mencegah pengguna terakhir daripada ditipu oleh para peniaga yang menggunakan teknik-teknik perniagaan yang berniat serong seperti perniagaan jualan murah di pasaran. Pembeli-pembeli harus bijak dan berhati-hati semasa membeli-belah.

Kefahaman terhadap konsep perniagaan memudahkan lagi individu ataupun organisasi untuk memahami dan mengenal pasti sebarang pergolakan perniagaan semasa. Masyarakat yang giat berkecimpung dalam bidang perniagaan akan meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka.

Pihak berkuasa akan cuba memperbaiki kemudahan asas atau infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di sesebuah tempat bagi meyakinkan dan menarik para pelabur. Peningkatan prasarana asas ini secara tidak langsung membawa kesan kepada pembangunan kawasan dan masyarakat tempatan yang terlibat dalam perniagaan.


3.0 Metodologi Kajian

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, metodologi didefinisikan sebagai satu sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan atau disiplin. Oxford Compact English Dictionary mendefinisikan kajian sebagai “The systematic investigation into and study of material, and sources, in order to establish facts and reach new conclusions” (ODEC, 1996). Kamus Dwibahasa Oxford Fajar pula menyatakan isitilah metodologi sebagai kaedah yang digunakan dalan sesuatu bidang.

3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini jenis bukan eksperimental. Kajian ini melibatkan pengumpulan data, menganalisis data, melakukan interpretasi, membuat perbandingan dan merumus data.

3.2 Instrumen Kajian

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah temu bual yang melibatkan penggunaan instrumen seperti buku catatan temu bual dan alat perakam suara. Peralatan sampingan seperti kamera turut digunakan untuk mengambil gambar sebagai bukti tempat dan bahan sokongan kajian.

3.3 Kaedah Kajian

Dalam kajian ini, data atau maklumat diperoleh melalui kaedah primer dan sekunder. Maklumat primer diperoleh melalui sesi temu bual yang dilakukan antara pengkaji dan pemilik perniagaan tersebut. Maklumat sekunder pula diperoleh menerusi penelitian rekod dan dokumen mengenai maklumat perniagaan yang diberikan oleh pemilik premis perniagaan. Pencarian maklumat sekunder turut dilakukan di perpustakaan dan sumber internet.


4.0 Hasil Kajian

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, dapatan bermaksud sesuatu yang diperolehi atau didapati. Menurut Kamus Komprehensif Bahasa Melayu, kajian pula didefinisikan sebagai penyelidikan atau penelitian. Perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies merupakan sebuah perniagaan perkongsian yang didaftarkan secara rasmi pada 15 Januari 2009. Tarikh penubuhan perniagaan ini adalah pada 19 April 2008, manakala tarikh sah laku adalah pada 8 April 2011. Sweetberry Cakes & Cookies menjalankan perkhidmatan perniagaan menjual kek dan pastri, biskut, roti serta katering dan kafe. Pemilik perniagaan ini mempunyai pengalaman selama lebih tiga tahun dalam bidang kek dan pastri.

Sweetberry Cakes & Cookies menawarkan dan menyediakan tempahan aneka kek dan pastri mengikut cita rasa pelanggan seperti tempahan untuk majlis sambutan hari lahir, majlis perkahwinan dan sebagainya yang memerlukan kek. Tempahan biasanya dibuat dalam tempoh sebulan sebelum majlis dan selewat-lewatnya seminggu sebelum majlis. Tempahan yang dibuat secara terdesak seperti tempahan yang dibuat sehari sebelum majlis hanya akan diterima jika Sweetberry Cakes & Cookies menerima banyak tempahan. Selain itu, Sweetberry Cakes & Cookies juga menjual makanan panas yang digoreng seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cina dan mi bandung sebagai pendapatan tambahan selain hanya menjual kek dan biskut.

Perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies menerima tempahan daripada pelanggan yang datang terus ke kedai mereka. Selain itu, mereka turut menerima tempahan yang dibuat melalui laman web mereka iaitu “www.sweetberrycake.com”. Kebiasaannya, tempahan yang diterima daripada laman web datangnya dari luar negeri Melaka. Sweetberry Cakes & Cookies hanya mengambil tempahan secara kecil-kecilan.

Masalah utama yang dihadapi oleh perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies ialah tenaga kerja. Perniagaan ini melibatkan pekerjaan yang bersifat giat manusia. Sweetberry Cakes & Cookies mempunyai dua orang pekerja tetap dan dua orang ahli keluarga. Pada awal pembukaan Sweetberry Cakes & Cookies, pekerja bukanlah masalah yang merunsingkan. Namun setelah setahun pembukaan Sweetberry Cakes & Cookies, masalah pekerja timbul dan merupakan satu masalah utama yang perlu difikirkan. Masalah ini berlaku apabila kebanyakan pekerja tidak datang bekerja sewaktu tempahan yang diterima sangat banyak. Terdapat juga pekerja yang berhenti kerja secara mengejut tanpa memberi notis awal. Hal sedemikian mewujudkan kekangan dalam perkembangan perniagaan dan amat merisaukan pemilik kedai. Bertitik tolak daripada hal tersebut, pemilik kedai terpaksa mencari pekerja separuh masa seperti dalam kalangan jiran-jiran yang sanggup membantu ketika perniagaan mereka menerima terlalu banyak tempahan.

Sweetberry Cakes & Cookies juga mengalami masalah yang diakibatkan oleh sesetengah pelanggan. Terdapat pelanggan yang membatalkan tempahan pada saat-saat akhir. Selain itu, terdapat juga pelanggan yang tidak mengambil tempahan yang telah dibuat. Namun begitu, keadaan sedemikian tidak mendatangkan kerugian yang sangat besar kepada Sweetberry Cakes & Cookies kerana mereka masih boleh menjual tempahan yang telah dibatalkan di kedai mereka. Bayaran deposit yang dilakukan ketika membuat tempahan juga tidak akan dikembalikan kepada pelanggan walaupun tempahan tersebut telah dibatalkan. Walaupun begitu, Sweetberry Cakes & Cookies juga ada mengambil tempahan tanpa mengambil deposit daripada pelanggan. Hal ini demikian bergantung kepada kepercayaan antara pemilik kedai dan pelanggan. 

Sweetberry Cakes & Cookies tidak mempunyai persaingan yang hebat kerana lokasi perniagaannya yang berdekatan dengan kawasan perumahan. Kedudukannya yang strategik menjadi tumpuan orang ramai untuk mengunjungi premis perniagaaan mereka. Antara kedai yang menjadi persaingan Sweetberry Cakes & Cookies ialah perniagaan restoran francais Secret Recipe yang terletak di hadapan pasar raya Mydin. Walaupun begitu, persaingan yang berlaku ini tidak menjejaskan perniagaan Sweetberry Cakes & Cookies kerana mereka telah mempunyai pelanggan tetap mereka yang tersendiri.          


5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara, kita sewajarnya menyokong industri makanan di Malaysia tidak kira sama ada industri yang dijalankan secara kecil-kecilan mahupun secara komersil bagi meningkatkan produktiviti dan keluaran barangan negara. Hal ini demikian bertepatan dengan misi negara untuk mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020 yang dicanangkan oleh bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pelbagai jenis kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dalam memajukan industri-industri di Malaysia antaranya adalah pemberian pinjaman modal untuk memulakan perniagaan serta membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh Malaysia. Melalui kemudahan ini, para peniaga mampu untuk menjalankan dan memajukan perniagaan mereka dengan baik dan sempurna.

Di samping itu, pada era serba canggih ini, pelbagai kursus-kursus yang ditawarkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan yang tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan supaya dapat membentuk peniaga yang berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan modal insan yang cemerlang. Bertitik tolak daripada itu, perniagaan para peniaga dapat beroperasi dengan lebih efisyen dan mampu berkembang maju sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Rujukan

Pengenalan Kepada Perniagaan, diaksesl pada Disember 10, 2012 http://pengajianperniagaan.wordpress.com 
Pengajian Perniagaan, diakses pada Disember 6, 2012 di http://cikgushafie.blogspot.com
Sweetberry Bakery Cake &  CafĂ©, diakses pada Disember 11, 2012 di http://www.sweetberrycake.com
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (2000). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Soanes, C., and Hawker, S. (2008). Oxford Compact English Dictionary. Compact Oxford English Dictionary of Current English.
Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. (1996). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ricky W. Griffin, R. J. (2002). Business. Petaling Jaya, Selangor: Prentice Hall.
Zumilah. (1999). Pengenalan Kepada Perniagaan. Kuala Lumpur: Elman.


MZ Zainuddin, Lily Syafiqah Yusuf, Nornabihah Mohamad Arshad, Nur Yuzatul Aqilah Yahaya, Nuraziera Zainal, Siti Hajar Sulaiman, Siti Noraishah Bahrin


Post a Comment