Sunday, September 20, 2015

Krisis pelarian di Eropah







Krisis pelarian di Eropah mendapat perhatian masyarakat dunia. Peningkatan jumlah pelarian dari Syria, Afghanistan dan Eritrea yang menuju ke benua itu menjadi isu antarabangsa apabila seorang kanak-kanak tiga tahun, Alan Kurdi, mati terdampar di tepi pantai menarik simpati masyarakat dunia. Jutaan pelarian sedang bergerak mencari perlindungan di negara-negara maju dengan harapan dapat mengubah destini masa hadapan mereka.

Pelarian Syria menuju Eropah bagi mencari tempat yang lebih selamat. Di Syria sendiri, perang saudara belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, apatah lagi Rusia dilaporkan baru sahaja membekalkan senjata canggih kepada rejim Assad.

Krisis pelarian yang sedang berlaku ini boleh dikaitkan dengan faktor penolak dan faktor pendorong.

Dua sebab dilihat menjadi penolak untuk pelarian ini keluar dari kawasan konflik. Pertama, suasana hidup yang bergolak seperti kemiskinan, politik yang tidak stabil dan perang saudara menyebabkan pelarian berebut-rebut menaiki laut bagi melarikan diri daripada realiti hidup sedia ada. Di Syria, kematian sudah dianggarkan lebih daripada 200,000 orang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 500,000 orang meninggalkan Syria pada tahun 2015.

Kedua, lebih banyak konflik di Tunisia, Selatan Sudan, Somalia, Libya dan Mesir bakal berlaku kerana perubahan iklim yang menyebabkan banyak kawasan menjadi kering. Keadaan ini meningkatkan persaingan terhadap sumber makanan dan keperluan hidup, migrasi besar-besaran dan konflik awam yang berpanjangan.

Di sebalik faktor penolak ini, wujud juga faktor penarik yang menyebabkan pelarian ini bersungguh-sungguh mahu keluar dari negara mereka. Pertama, usaha menyelamat di laut dan penyediaan tempat tinggal oleh negara Kesatuan Eropah seperti Italy dan Greek. Operasi Mare Nostru di Mediterranean untuk menyelamatkan 150,000 orang menjadi harapan kepada pelarian untuk mencari perlindungan di Eropah.

Kedua, industri pelarian ini menyebabkan penyeludup manusia mendapat faedah sebagai punca pendapatan. Bermula dari pembuat bot, pengurus tempat perlindungan, penarik kereta sapu hinggalah tuan punya rumah persinggahan, semuanya mendapat habuan masing-masing termasuk segelintir penguatkuasa yang tidak amanah.

Ketiga, pertubuhan dan persatuan agama di Eropah menyediakan bantuan sara hidup atas dasar saudara seagama. Program perintis di Australia pada 2013 terhadap 300 orang pelarian menjadi contoh bagaimana peranan pertubuhan bukan kerajaan dalam memberi bantuan kepada agensi kerajaan untuk meringankan penderitaan pelarian.

Melihat kepada krisis yang berlaku di Eropah sekarang, jumlah pelarian yang ramai dari Syria dan Eritrea merentasi Mediterranean pada tahun 2014 berbanding negara-negara lain menunjukkan ada hal besar yang berlaku kepada rakyat dua negara ini.

Bagi mengatasinya, permintaan terhadap bot di Eritrea mesti dikurangkan dan di Syria, perang saudara mesti ditamatkan.

Seorang pelarian Syria, Jana berkata, “Hari ini rakyat Syria melihat diri mereka telah pun mati. Mungkin bukan fizikal mereka yang mati tetapi yang mati adalah psikologi dan sosial mereka. Rakyat Syria adalah sebuah kemusnahan kemanusiaan, telah sampai ke puncak kematian”.
  

No comments:

Post a Comment