Tuesday, September 22, 2015

Amalan pemakanan sihat










1.0  Pengenalan

Kesihatan amat penting dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Kepentingannya baik dari segi rohani mahupun jasmani dan setiap insan perlu menjaga kesihatan diri agar kehidupan lebih sempurna dan terjamin. Amalan pemakan secara sihat adalah satu faktor yang penting ke arah  kesihatan seseorang. Justeru, seseorang itu seharusnya menjadikan setiap aktiviti yang berkaitan  dengan pemakanan yang sihat seperti perancangan menu, pembelian, pemilihan  dan  penyediaan  makanan sebagai  rutin harian dalam kehidupan masing-masing. Sementara itu, waktu makan  juga  boleh  digunakan untuk  melatih diri seseorang  tentang  amalan  makanan dengan cara yang sihat. Waktu pemakanan yang bersesuaian mempengaruhi kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Makanan seimbang atau gizi seimbang ialah satu tabiat pemakanan yang merangkumi semua jenis kelas makanan dari mengikut piramid makanan yang sesuai. Pemakanan mengikut piramid makanan adalah cara yang baik dan gaya pemakanan yang sihat. Mengikut piramid makanan, seseorang itu perlu mengambil setiap jenis kelas makanan mengikut kuantiti yang telah ditetapkan. Piramid makanan juga digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat. Piramid makanan itu haruslah dipatuhi untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan yang optimum.

Nutrisi yang cukup untuk tubuh badan amat penting dan ianya sebagai nutrien asas untuk pertumbuhan, pertahanan semula jadi badan dan menjalankan fungsi dari semua proses tubuh. Jika kita tidak mengambil gaya pemakanan yang sihat, tubuh badan kita terdedah kepada penyakit yang berbahaya seperti strok, osteoporosis dan kanser. Selain itu, kita juga boleh mengalami kegemukan berlebihan atau obesiti. Malaysia dikatakan mempunyai masalah obesiti yang serius. Empat daripada sepuluh orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau terlebih berat badan (obesiti). Oleh itu, amalan pemakan yang sihat amat penting untuk diamalkan supaya kita dapat hidup dalam keadaan yang ceria dan bertenaga bagi mengelakkan daripada mengalami krisis tersebut. Kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya ternyata memberi impak dan kebaikan terhadap kesihatan diri kita. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah dan akan menjadi satu tabiat yang tidak baik. Justeru, amalan pemakanan yang sihat ini perlu dipupuk dari kecil lagi supaya ianya menjadi suatu kebiasaan dalam diri setiap individu untuk mengamalkan gaya hidup sihat yang berterusan.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui corak pemakanan yang sihat dan seimbang dalam kalangan warga UTeM, mengetahui kuantiti pengambilan makanan yang sesuai dengan khasiat mengikut piramid makanan dalam kalangan warga UTeM, mengetahui kos perbelanjaan pemakanan seharian dalam kalangan warga UTeM serta mengetahui implikasi tidak mengamalkan amalan pemakanan yang sihat dalam kalangan warga UTeM.


2.0 Sorotan Literatur

Buku 5 Sumber Makanan Cegah Sakit Sendi oleh Khairun Nisa Ishak (2010) menerangkan sumber makanan yang perlu diambil oleh semua pelajar dan masyarakat di Malaysia terutama golongan yang telah mencecah usia 50-an. Statistik yang dikaji oleh penulis menunjukkan jumlah penyakit pesakit sendi ini berlaku bermula 50-an. Ini menunjukkan pesakit yang mengalami penyakit ini tidak mengambil sumber makanan yang betul. Dengan ini, penulisan ini mengupas serba sedikit lima jenis makanan yang dapat mencegah sakit sendi.

Sumber yang pertama ialah strawberi buah ini baik untuk sendiri kerana ia kaya dengan vitamin C. Menurut beberapa kajian, vitamin C boleh mencegah perkembangan sakit sendi dan penipisan tulang rawan. Sumber yang kedua ialah minyak zaitun kerana minyak zaitun mempunyai poliferol di dalamnya boleh membantu mengurangkan peradangan di dalam tubuh. Sumber yang ketiga ialah ikan salmon, Sumber ini merupakan vitamin D dan omega 3. Apabila tubuh badan manusia kekurangan vitamin D seperti orang dewasa pada umumnya perlulah mengambil vitamin ini dengan kadar yang tertentu untuk membantu meredakan rasa sakit pada sendi.

Sumber yang keempat ialah teh hijau kerana ia amat bagus untuk kesihatan kerana kaya dengan zat antioksiden yang dikenali sebagai katekin iaitu zat anti-inflamasi yang mampu melambatkan kerosakan tulang rawan pada pengidap arthritis. Sumber yang terakhir ialah sayuran hijau, sayuran hijau ini yang baik untuk sendi dan membantu meredakan peradangan. Sayuran hijau juga kaya dengan vitamin K, iaitu nutrisi yang dinilai mampu mencegah Osteoarthritis.

Dalam buku Eat Well, Live Well oleh Chia Joo Suan menerangkan kepentingan pengambilan makanan dalam setiap kategori dalam piramid makanan di samping implikasi tidak mengambil makanan dalam setiap kategori dalam kuantiti yang secukupnya. Contoh makanan yang perlu diambil bagi sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam juga diceritakan mengikut kalori yang sepatutnya.

Dalam aspek penyediaan makanan pula, penulis buku ini menyelitkan cara masakan makanan yang paling sesuai untuk masyarakat kita. Cara penyimpanan dan lokasi penyimpanan makanan juga diterangkan bagi menerangkan masyarakat kita dengan lebih mendalam tentang penjagaan makanan lantas dapat membantu masyarakat kita terutamanya pelajar UTeM mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam buku Pemakanan Seimbang Untuk Remaja oleh Faridah Abdul Rashid, apa sahaja makanan yang dimakan akan mempengaruhi kesihatan kita. Papan iklan banyak memaparkan dan mendorong anda supaya memakan pelbagai jenis makanan. Antara makanan itu termasuklah makanan yang berkhasiat, yang sesuai untuk kesihatan dan juga yang tidak berzat serta boleh menjejaskan tumbesaran anda. Dalam tajuk ini anda akan didedahkan dengan maklumat tentang jenis makanan untuk diet sihat dan makanan yang patut dielakkan seperti daging berlemak yang dimakan berlebihan, makanan yang kaya dengan kolestrol, makanan yang rendah mutunya dan makanan yang terlalu manis.

Makanan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan kandungan nutriennya seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral, serat serta air. Karbohidrat, protein dan lemak merupakan nutrien yang mempunyai struktur kimia tertentu dan berperanan untuk memberikan tenaga bagi proses untuk keperluan dalam badan. Manakala vitamin dan mineral pula diperlukan untuk membantu deria, membina sel darah, mendorong penghasilan tenaga, melambatkan penuaan dan membantu tindak balas enzim.                                     

Kesimpulannya, kita perlulah mengambil pemakanan yang seimbang dan sihat agar badan kita tidak mendapat penyakit yang berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Selain itu, kita juga harus makan pada waktu yang tepat seperti makan 3 kali sehari agar kesihatan tubuh badan kita siahat dan terjamin.

Amalan pemakanan seimbang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian kita walau di mana sahaja kita berada. Gizi yang seimbang perlu untuk pertumbuhan dan pembesaran tubuh badan dengan sihat. Ia adalah keperluan asas yang kita perlukan bagi mengekalkan tenaga dan membaiki tisu-tisu yang rosak.

Makanan yang harus dikurangkan pengambilannya ialah pada aras 4 yang mengandungi lemak, minyak dan gula. Pengambilan makanan aras 4 hanya penting apabila badan memerlukan tenaga agar seseorang cergas dan bertenaga melakukan sesuatu aktiviti. Lemak juga berperanan sebagai penebat dengan menghalang haba keluar daripada badan apabila seseorang terdedah kepada suhu persekitaran yang sejuk. Lemak juga membekalkan 355 daripada pengambilan tenaga dan mempunyai vitamin larut lemak dan asid lemak yang sangat penting untuk menyatukan selaput sel. Walaubagaimanapun, pengambilan yang berlebihan mengakibatkan pelbagai penyakit menyerang tubuh kita seperti penyakit diabetis, jantung dan darah tinggi .

Pada aras 3 pula harus diambil dengan kuantiti yang sederhana. Ia amat penting untuk tumbesaran badan keranan banyak mengandungi protein dan beberapa zat seperti asid amino. Protein kelas pertama kebanyakannya diperolehi daripada haiwan. Protein kelas kedua pula daripada sayuran. Makanan ini juga mengandungi mineral yang berfungsi untuk menjaga kesihatan darah di samping dapat membantu tubuh menyerap zat lain dengan berkesan.

Makanan yang harus diambil dengan kuantiti yang banyak pula ialah buah-buahan dan sayuran seperti pada aras 2. Ia mempunyai banyak vitamin yang penting untuk kesihatan tubuh badan kita. Serat dalam diet pemakanan membantu penghadaman dan mengelakkan daripada sembelit. Air juga amat penting untuk badan bagi menghindarkan penyakit itu menyerang kesihatan tubuh badan kita. Vitamin C daripada buah-buahan dan sayuran penting untuk penjagaan mata, kulit, gusi dan boleh mengekalkan kecerdasan tubuh. Zat galian pula berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yg diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral juga banyak terdapat dalam buah-buahan dan sayuran.

Aras terakhir ialah aras 1. Ia perlu diambil dengan kuantiti yang lebih banyak kerana mengandungi sumber tenaga yang utama iaitu karbohidrat. Ia penting untuk membekalkan tenaga pada badan. Tanpa ia kita akan merasa cepat letih. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50% daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia. Ia terdiri daripada gula, kanji, beberapa seluso gam dan pectin.

Kesihatan merupakan aset yang amat berharga bagi setiap individu. Penjagaan kesihatan diri bermula daripada cara pengambilan makanan kita dalam kehidupan seharian. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Tidak mengambil makanan yang sempurna dan kurang mengambil makanan yang berkhasiat menjadi punca utama serangan penyakit-penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung. Kita perlu melatih diri untuk mengamalkan corak pemakanan yang teratur sejak dari kecil. 40 daripada 10 orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di Malaysia ini mengalami kegemukan atau obesiti.

Pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan adalah cara pemakanan yang seimbang. Makanan dan vitamin adalah bagus untuk pembesaran dan penjagaan kesihatan. Pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat telah diuar-uarkan di media massa dan media elektronik. Oleh itu, masyarakat boleh mengetahui pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini. Untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia, semua keperluan zat amat diperlukan. Dengan adanya keupayaan fizikal yang sehat dan baik, segala aktiviti dan rutin harian dapat dijalankan dengan sempurna. Pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.

Selain itu, vitamin yang cukup kepada badan juga dapat melahirkan tubuh badan yang sihat dan bertenaga. Dengan adanya vitamin dalam badan, tahap ketahanan badan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit lebih kuat dan berkesan. Antara aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah setiap individu perlu mengambil makanan dalam kuantiti yang sesuai tetapi mengandungi khasiat yang mencukupi untuk anggota badan. Pengawalan pemakanan yang baik membolehkan tubuh badan kita tidak terlalu gemuk dan bagus untuk tahap kesihatan badan kita supaya dapat menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman.

Selain itu, pengambilan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang tidak akan mengganggu perkembangan mental seseorang. Mental seseorang yang tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila melakukan sesuatu aktiviti adalah akibat zat makanan yang tidak mencukupi dalam anggota badan. Dengan keadaan sebegini, ia menjadikan seseorang itu sukar untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang menjaga pemakanannya. Jadi, aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan jika mereka menjaga pemakanan yang seimbang untuk tubuh badan mereka.

Dalam memastikan kita sentiasa sihat dan bebas dariada penyakit-penyakit berjangkit dan berbahaya, pengambilan makanan yang berkhasiat, berzat dan seimbang amatlah disarankan. Pengambilan makanan seimbang dalam diet seharian membantu mengelakkan risiko beberapa penyakit, termasuk kanser, serangan jantung, angin ahmar, tekanan darah tinggi, lebihan kolesterol dan osteoporosis. Dengan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, ianya dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolon, perut, paru-paru dan esofagus. Peningkatan risiko kanser prostat, kolon, rektum dan endometrium sering dikaitkan dengan diet tinggi lemak. Diet tinggi lemak sukar dikaitkan dengan kanser payu dara tetapi ada bukti menunjukkan bahawa lemak tepu memainkan peranan penting dalam meningkatkan risiko kanser. Mengikut garis panduan pemakanan yang disarankan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), 28% dan 14% pengurangan risiko terhadap serangan jantung dan strok sukar untuk dihidap oleh mereka yang mengamalkan cara pemakanan ini, berbanding mereka yang tidak mengikuti garis panduan itu. Selain itu, untuk melindungi bayi daripada mengalami spina bifida, pengambilan makanan yang mengandungi asid folik seperti sayur-sayuran hijau atau asid folik yang diperkaya dengan bijirin sebelum dan ketika hamil adalah amat baik dan berkesan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kegendutan ialah faktor utama jika amalan pemakanan ini diambil mudah. Amalan ini boleh dipupuk dari kecil di mana ibu bapa sebagai peranan yang besar untuk membentuk anak-anak mengamalkan pemakanan yang sihat persis kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini tercetus apabila seseorang itu mengambil kuantiti makanan yang banyak serta tidak mengikut cara pemakanan yang betul. Dari sudut lain, seseorang itu mengalami masalah kegendutan apabila berat badan mereka adalah 20% melebihi berat badan yang berpatutan dengan ketinggiannya. Masalah kegendutan ini akan menyebabkan diabetis mellitus, darah tinggi dan juga kanser kolon.

Pemakanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan kepelbagaian jenis penyakit di mana penyakit seperti  malnutrisi boleh berlaku akibat kekurangan nutrien tertentu dalam makanan yang diambil. Malnutrisi juga menyebabkan pelbagai penyakit seperti anemia, kwasyiorkor, skurvi dan riket. Sementara itu, Kwasyiorkor berlaku akibat kekurangan protein dalam badan di mana gejala seperti perut buncit, pertumbuhan badan dan otak terencat, kehilangan selera makan serta badan akan menjadi lemah. Penyakit skurvi pula berlaku disebabkan kekurangan vitamin C.

Vitamin C boleh diperoleh daripada buah-buahan seperti oren, strawberi dan kiwi. Tanda-tanda  seseorang itu menghidapi penyakit skurvi apabila badannya lemah dan kerap mengalami sesak nafas, gusi membengkak dan sangat mudah berdarah. Selain itu, apabila seseorang itu menghidapi tekanan darah tinggi ianya membawa kepada serangan sakit jantung dan strok kerana pengambilan garam yang berlebihan yang menyebabkan ginjal gagal berfungsi.

Pada waktu yang sama, diabetis mellitus juga boleh berlaku apabila kadar gula dalam pemakanan terlebih dan penyakit ini akan berlaku apabila aras glukosa yang berlebihan daripada julat normal terdapat dalam darah. Penyakit yang seterusnya ialah osteoporosis yang mana penyakit osteoporosis ini berlaku kerana pengurangan jisim tulang akibat pengambilan kalsium yang tidak mencukupi dalam gizi. Kekurangan kalsium dalam badan seseorang itu akan menyebabkan tulang menjadi semakin nipis dan rapuh serta mudah patah. Umum mengetahui bahawa penyakit yang kerap kali berlaku di kalangan warga emas ialah sakit jantung dan strok. Hal ini tercetus apabila tahap kolesterol dalam darah tinggi. Kolesterol berlebihan tersebut terenap pada dinding arteri dan menyempitkan salur darah dan jantung sukar untuk mengepam darah. Pada waktu yang sama, penyakit kanser juga berlaku apabila gizi mempunyai lemak haiwan yang banyak. Lebih-lebih lagi, apabila zaman kini banyak produk yang menggunakan lemak haiwan sebagaimana yang kita sedia maklum seperti gelatin.


3.0 Metodologi Kajian

Soal selidik dilakukan dalam kalangan pelajar UTeM untuk mendapatkan pandangan masing-masing.


4.0 Hasil Kajian

Statistik kajian daripada pelajar UTeM melalui borang soal selidik.


Rajah 1: Tidak mengamalkan jadual waktu pemakanan dan kos penggunaan perbelanjaan pemakanan seharian melebihi kadar perbelanjaan

Pada rajah 1, dalam soalan pertama iaitu tidak mengamalkan jadual waktu pemakanan, kita dapat lihat bahawa 70% bersetuju untuk tidak mengamalkan jadual waktu pemakanan seharian mereka. Manakala, 30% tidak bersetuju kerana mereka mengamalkan jadual pemakanan seperti di atas Jadual waktu pemakanan amat penting bagi kita terutama pelajar-pelajar UTeM kerana ia dapat mengawal dan mengatur serta melatih diri supaya mengikuti jadual pemakanan yang betul.

Pada soalan kedua, iaitu kos penggunaan perbelanjaan pemakanan seharian melebihi kadar perbelanjaan yang ditentukan dalam sehari. Sebanyak 90% bersetuju bahawa mereka menghabiskan wang mereka hanya untuk makanan. Mengikut kajian kami, mereka mengeluarkan sebanyak RM15 ke atas setiap hari. Malah, 10% tidak bersetuju kerana mereka menghadkan penggunaan wang dari segi makanan.


Rajah 2: Mengambil mudah terhadap amalan pemakanan yang sihat dan seimbang dan pengambilan yang seimbang mengikut piramid makanan

Dalam rajah 2 pada soalan pertama, iaitu masyarakat kini mengambil mudah terhadap amalan pemakanan yang sihat dan seimbang. 60% bersetuju kerana sekarang terdapat banyak kedai makan segera di merata-rata tempat seperti KFC, MacDonald, Pizza Hut dan sebagainya .Mereka tidak mengendahkan pemakanang yang seimbang dan sihat manakala sebanyak 40% tidak bersetuju dengan permasalahan ini.

Pada soalan kedua, iaitu pengambilan yang seimbang mengikut piramid makanan harus diamalkan dalam masyarakat. 90% bersetuju untuk mengikuti jadual piramid makanan kerana ia dapat menjaga kesihatan ita dari mendapat sebarang penyakit yang merbahaya. Manakala sebanyak 10% tidak bersetuju untuk mengikut jadual piramid makanan ini.


Rajah 3: Amalan cara pemakanan yang seimbang tidak lagi penting pada zaman kini dan masyarakat lebih cenderung memilih makanan ringan dan makanan segera berbanding daripada makanan seimbang

Dalam rajah 3 pada soalan pertama iaitu amalan cara pemakanan yang seimbang tidak lagi penting pada zaman kini. Seramai 70% pelajar bersetuju tentang permasalahan ini. Hal ini kerana masyarakat masa kini suka memilih untuk makan makanan yang mereka suka sahaja. Contohnya mereka tidak suka makan sayur-sayuran, jadi terhapuslah satu aras pada piramid makanan manakala 30% peratus tidak bersetuju.

Pada soalan kedua iaitu masyarakat lebih cenderung memilih makanan ringan dan makanan segera berbanding daripada makanan seimbang. Sebanyak 60% setuju untuk memilih makanan ringan kerana mereka malas untuk menentukan dan memikirkan apa yang mereka mahu makan. Jadi penyelesaian yang paling senang adalah mereka akan pergi ke kedai makanan segera kerana lebih cepat dan sedap tetapi tidak menyihatkan manakala 40% tidak bersetuju dan mereka lebih gemar dengan makanan yang berhasiat.


Rajah 4: Bilangan individu yang mengalami masalah obesiti di Malaysia semakin meningkat dan pengambilan gizi yang berlebihan boleh memudaratkan diri

Dalam rajah 4 pada soalan pertama iaitu bilangan individu yang mengalami masalah obesiti di Malaysia semakin meningkat. Sebanyak 90% bersetuju bahawa telah meningkatnya bilangan individu penyakit obesiti ataupun masalah kegemukan di Malaysia ini. Masalah ini terjadi kerana mereka tidak menghiraukan cara dan amalan pemakanan yang sihat. Manakala 10% tidak bersetuju dengan permasalahan ini.

Pada soalan kedua iaitu pengambilan gizi yang berlebihan boleh memudaratkan diri. 80% bersetuju dengan persoalan ini kerana pengambilan gizi yang berlebihan sangat bahaya untuk badan dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit menyerang manakala sebanyak 20% tidak bersetuju.


Rajah 5: Pengambilan makanan yang tidak mengikut kelas makanan akan menyebabkan individu itu menghidap penyakit yang berbahaya dan makanan yang mengandungi lemak penting dan boleh membekalkan tenaga kepada tubuh badan

Dalam rajah 5 pada soalan pertama iaitu pengambilan makanan yang tidak mengikut kelas makanan akan menyebabkan individu itu menghidap penyakit yang berbahaya. Sebanyak 90% bersetuju kerana jika kita tida mengikuti kelas pemakanan yang betul ia boleh menyebabkan penyakit yang berbahaya menyerang tubuh badan kita. Manakala 10% tidak bersetuju di dalam hal ini.

Pada soalan kedua iaitu makanan yang mengandungi lemak penting dan boleh membekalkan tenaga kepada tubuh badan. 70% bersetuju bahawa lemak bukan sahaja mendatangkan keburukan malah mendatangkan kebaikan pada diri kita juga. Tanpa lemak, kita akan kurang bertenaga manakala 30% tidak bersetuju dengan permasalahan yang telah dikaji.


5.0 Kesimpulan

Konsep pemakanan sihat merupakan perkara asas dalam diri masing-masing. Oleh itu, masyarakat kita sememangnya perlu menjaga pemakanan yang diambil demi menjamin kesihatan yang sempurna. Pemakanan sihat juga merupakan nadi utama seseorang dalam menjalani kehidupan seharian.

Namun, dewasa ini masyarakat kita sering mengabaikan aspek pemakanan ini. Mereka menganggap pemakanan ini merupakan suatu perkara yang tidak penting dan mengabaikan perkara tersebut. Kebanyakan daripada mereka makan tidak mengikut waktu yang betul, makan pada lewat malam, makan secara berlebihan dan mengambil makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan ringan. Situasi ini secara jelas boleh menjejaskan kesihatan seseorang dan mendorong kepada kehadiran penyakit yang merbahaya. Oleh itu, masyarakat kita seharusnya mengambil makanan yang berkhasiat, menghindari minuman yang memabukkan seperti arak dan mengambil makanan yang halal.

Antara perkara yang boleh membantu pengambilan makanan yang sihat ialah mencadangkan kafe di kampus UTeM menjual makanan yang berkhasiat sahaja dan tidak menjual makanan ringan yang nyata boleh merosakkan kesihatan seseorang. Selain itu, pihak atasan perlu mengadakan satu subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar iaitu tentang pemakanan. Dengan cara ini, pelajar lebih mudah untuk memahami betapa pentingnya mengambil pemakanan sihat pada diri masing-masing. Bukan itu sahaja, pihak organisasi dan pihak yang bertanggungjawab boleh mengadakan kempen dengan efektif secara kerap di kampus. Kempen tersebut boleh mendatangkan kesedaran kepada semua warga UTeM supaya lebih berhati-hati dalam aspek pemakanan ini. Poster-poster dan artikel-artikel juga boleh ditampal di serata kampus supaya lebih memudahkan warga UTeM memahami arikel dan poster tersebut ketika dalam perjalanan di kampus.    
           

Rujukan

Chia Joo Suan. (2009). Eat Well, Live Well. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing Sdn Bhd.
Khairun Nisa Ishak. (2010). Sumber Makanan Cegah Sakit Sendi.



MZ Zainudin, Mohamad Arif Suffian Mohamad Shokri, Muhammad Firdaus Zulkiflee, Muhammad Syukri Md Hanapiah @ Othman, Nur Hidayah Kamaruddin, Nur Farrisya Kamarudin, Mimi Syahira Mazlan



No comments:

Post a Comment