Tidak beberapa hari lagi umat Islam
akan menyambut Eidul Adha. Bagi mereka yang berada di Tanah Suci sekarang ini
mereka akan membuat persediaan untuk meneruskan ibadah mereka sehinggalah di
Arafah. Walaupun pelbagai ujian yang diberikan oleh Allah swt terhadap Jemaah
kali ini tetapi ianya merupakan salah satu cara untuk Allah swt mengangkat
darjat seseorang hambaNya itu. Moga-moga saudara kita yang ditimpa musibah di
sana berada dan bersama-sama dengan golongan para syuhada’ insyaallah. Kerana
Rasulullah s.a.w ada menyebutkan melalui hadis baginda yang bermaksud:
“Sesiapa yang keluar untuk mengerjakan haji lalu mati, ditulis
baginya pahala haji sehingga Hari Kiamat. Siapa yang keluar menunaikan umrah
lalu mati, ditulis baginya pahala umrah sehingga Hari Kiamat. Dan siapa yang
keluar untuk berjihad lalu mati, ditulis baginya pahala berjihad sehingga Hari
Kiamat. (H.R. Abu Ya’la, disahihkan oleh Ahmad & Albani)
Ini juga merupakan di antara tanda-tanda seseorang itu mati dalam
keadaan Husnul Khatimah
seperti sabda Nabi s.a.w:
الشُّهَدَاءُ خَمْسٌ الْمَطْعُونُ
وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّه
Maksudnya: “Syuhada’ (orang-orang yang mati syahid) itu ada lima,
“orang mati kerana terkena penyakit Taun, orang yang meninggal kerana sakit
perut, orang yang mati tenggelam(lemas), orang yang ditimpa bangunan rumah atau
tembok; dan orang yang gugur di jalan Allah. (H.R. Bukhari & Muslim)
Moga-moga saudara-saudara kita yang telah pergi
meninggalkan dalam kejadian di Tanah Suci tersebut memperolehi Husnul Khatimah
dan seterusnya emndapat ganjaran orang yang mati syahid seperti yang dijanjikan
oleh Allah swt dan Rasulullah s.a.w.
Seterusnya kita di sini yang masih berpeluang meneruskan kehidupan
serta pengabdian kepada Tuhan sekalian alam ini Jalla waa’la jangan pula lena
dibuai mimpi tanpa memperteguhkan lagi tali keledar ibadah serta memperketatkan
lagi baju keimanan kita dengan amalan-amalan wajib serta sunah yang telah
dituntut kepada kita.
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban pada minggu
hadapan disunnatkan agar tidak memotong kuku dan membuang rambut mulai 1
Zulhijjah sehinggalah selesai melaksanakan ibadah korban ..Sebagaimana sabda
Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila masuk 10 haribulan
Zulhijjah, sedangkan salah seorang dari kamu mahu berkorban, maka janganlah
membuang sesuatu anggota rambut dan kulit (atau kukunya)”. (H.R. Muslim)
Sabda baginda lagi:
“Jika telah masuk 10 hari pertama bulan
Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban,
janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit”. (H.R. Muslim)
Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun
mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan
bulu di badan.Menurut Imam al-Nawawi r.h:
“Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah
larangan menghilangkan kuku dengan memotong,menghilangkan rambut baik sama ada
mencukur, memendek, mencabut, membakar,bahagain anggota badan yang lain”. (Syarah Muslim, Imam al-Nawawi)
Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.ha dari Rasulullah s.a.w baginda
bersabda.
Maksudnya: “Apabila sepuluh hari pertama (Zulhijjah) telah
masuk dan seseorang di antara kamu hendak berkurban, maka janganlah menyentuh
rambut dan kulitnya sedikitpun”. (H.R. Muslim)
Pendapat para ulama tentang larangan memotong
rambut dan kuku
Imam Syafie: Jika memasuki sepuluh hari pertama
bulan Zulhijjah, maka barangsiapa yang berniat untuk menyembelih korban,
disunahkan baginya untuk tidak mencukur rambut dan memotong kukunya hingga dia
selesai menyembelih korban. Menurut Imam Syafie memotong kuku dan mencukur
rambut hukumnya makruh tanzih, bukan haram.
Imam Abu Hanifah: Mencukur rambut dan memotong kuku adalah harus,
tidak dimakruhkan dan tidak pula disunnahkan.
Imam Malik mempunyai
tiga pendapat dalam hal ini pendapat pertama, hukumnya tidak makruh, pendapat
kedua, hukumnya makruh, dan pendapat ketiga, hukumnya haram jika korbannya itu
korban sunnah (Nailul Authar,
Imam Syaukani Bab Maa Yajtanibuhu fi al-‘Asyari Man Araada al-Tadhiyyah).
Imam Ahmad: Mengharamkan perbuatan(memotong rambut dan kuku)
tersebut.
Imam al-Son’ani dalam Subulus Salam mengenai masalah ini berkata,”
Terdapat qarinah bahawa larangan itu bukanlah pengharaman”.
Ini kerana terdapat hadith lain yang menjadi qarinah iaitu hadith
Aisyah r.ha. yang bermaksud:
“…………Rasulullah s.a.w pernah dihadiahkan 2 ekor kibasy untuk
dikorbankan, lalu aku bermain-main dan memintal bulu kibasy tersebut dan
Rasulullah s.a.w tidak mengharamkan apa yang diharamkan bagi orang yang
berihram”. (H.R. Bukhari)
Kesimpulanya kita sebagai umat Islam yang hidup dengan berpaksikan
al-Quran dan sunah hendaklah sentiasa berkejar-kejar di dalam mendapatkan
ganjaran pahala daripada Allah swt, terutamanya dalam ibadat sunah selagi mana
ianya tidak membebankan serta menyusahkan maka hendaklah kita buat dan
sempurnakan sehabis baik.
Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
No comments:
Post a Comment