Sekali lagi saya berkesempatan menghadirkan
diri dalam sebuah persidangan antarabangsa di Brunei baru-baru ini. Kali ini
saya hadir sebagai pembentang kertas kerja di Konferensi Antarabangsa Islam
Borneo (KAIB) yang kelapan di Bandar Seri Begawan bagi berkongsi pengalaman
tentang pengaruh persekitaran terhadap kecenderungan meminati Islam dalam
kalangan pelajar bukan Islam. Artikel tersebut telah diterima dengan baik dan dimasukkan
ke dalam prosiding persidangan.
Sekali lagi juga, macam biasa, saya memilih
penerbangan AirAsia yang bertolak dari KLIA2 jam 1.30 petang. Namun, masa
penerbangan agak lewat.
Berada di tempat duduk hadapan amat memuaskan
hati. Semasa hendak berlepas, juruterbang membuat sedikit pengumuman khususnya
memaklumkan kelewatan masa penerbangan hari itu.
Ada sesuatu yang menarik kali ini. Sepanjang
terbang bersama AirAsia, inilah kali pertama saya mendengar doa naik kenderaan
dibaca oleh juruterbang. Sebaik mendengar doa ini, saya mengangkat tangan.
Rakan penumpang di sebelah nampak macam memahami doa yang dibacakan itu.
Dua jam penerbangan agak lama. Terlelap
sekejap tidaklah menjadi halangan untuk saya menikmati perjalanan kali ini.
Di Bandar Seri Begawan, saya berjumpa
rakan-rakan akademik dari pelbagai universiti. Masing-masing bakal
membentangkan kajian kepakaran mereka untuk dikongsi dan dibahaskan. Di sini
juga saya berjumpa rakan lama sekolah menengah yang kini menjadi pensyarah.
Beliau bukanlah bijak sangat tetapi kesungguhan dan keinginan untuk berjaya
dalam hidup menjadikannya seorang yang lebih baik.
Saya juga menjemput rakan-rakan akademik untuk
berjalan-jalan sekitar Bandar Seri Begawan, melihat suasana bandar dan merasai
suasana hidup di sini.
Tempat pertama kami ialah Kompleks Yayasan
Hassanal Bolkiah, tempat membeli-belah. Biasanya saya akan membeli kacang
pistachio untuk dibawa balik kerana harganya jauh lebih murah. Berbanding tahun
lepas, harga satu kilogram kacang ini sudah naik menjadi B$18.20, namun masih
dikira murah. Rakan-rakan yang lain juga turut setuju dengan pandangan saya
ini.
Selepas itu, kami melihat-lihat sekitar bandar
Brunei. Tidak banyak perubahan. Bangunan terbiar bersebelahan Tamu Kianggeh
masih berdiri kukuh. Terminal bas dan teksi kurang sibuk kerana tidak ramai
pekerja asing waktu itu. Biarpun bas lebih mudah didapati, mendapatkan teksi
adalah suatu masalah besar. Biangan teksi tidak banyak di sini kerana
masyarakat Brunei lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak.
Di kedai penggurup wang, keinginan rakan saya
untuk menukar wang dolar Amerika terbantut kerana kerana pekerja wanita di situ
tidak mahu menerima nota lama seratus dolar. Nasib baik ada rakan lain yang
sedia membantu.
Selepas itu, kami bergerak ke Kampung Ayer bagi menikmati udara segar kampung yang didirikan di atas air. Teksi bot senang didapati di tebing jeti, cuma kena pandai berunding untuk tentukan harga. Dulu, saya dapat B$20 untuk berpusing-pusing sekitar kampung ini, kali ini harganya sudah naik kepada B$30. Saya minta dikurangkan kepada B$25 sahaja. Pemandu teksi bot, Akmal mengalah dan kami dapatlah meninjau sekitar kampung air utama ini.
Selepas itu, kami bergerak ke Kampung Ayer bagi menikmati udara segar kampung yang didirikan di atas air. Teksi bot senang didapati di tebing jeti, cuma kena pandai berunding untuk tentukan harga. Dulu, saya dapat B$20 untuk berpusing-pusing sekitar kampung ini, kali ini harganya sudah naik kepada B$30. Saya minta dikurangkan kepada B$25 sahaja. Pemandu teksi bot, Akmal mengalah dan kami dapatlah meninjau sekitar kampung air utama ini.
Kemudahan yang terdapat di sini meliputi
sekolah, balai polis dan balai bomba, kedai petrol, masjid dan surau serta
perhentian bot.
Kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk
melihat sendiri struktur kampung air ini yang meliputi kawasan yang luas. Dari
jauh kami dapat melihat binaan konkrit di tengah-tengah kampung iaitu tiang
jambatan yang sedang dalam pembinaan bagi menghubungkan kampung air dan tebing
bandar. Apabila siap, jambatan ini akan mengubah kehidupan masyarakat di sini
seterusnya boleh menjadi mercu baru pelancongan Brunei.
Selepas puas menikmati suasana kampung air,
kami bergerak pula ke Muzium Teknologi Melayu yang terletak di Kampung
Pelambaian. Muzium ini menempatkan sejarah masyarakat Brunei sejak dahulu
merangkumi kegiatan ekonomi, teknologi perikanan, kemahiran tangan dan
pembinaan rumah. Ada sebahagian teknologi ini sama dengan teknologi yang
digunakan oleh masyarakat Malaysia. Bagi pelancong yang ingin mengetahui
sejarah masyarakat Brunei, melawat muzium ini saya rasa adalah satu kemestian
supaya kita dapat mengaitkan masyarakat Brunei dengan pembangunan negara mereka
pada hari ini.
Seorang rakan mencadangkan kami mencari kedai
makan kerana masing-masing sudah rasa lapar. Saya cadangkan kami menyusuri
Jalan Muara dan akhirnya kami sampai di Mentiri. Selepas melalui bulatan arah
ke Muara, saya memilih sebuah kedai makan bersebelahan kedai hardware.
Masing-masing memesan sup, soto dan bihon
dengan minuman teh tarik india, suatu yang baru bagi kami. Saya hanya dengar
teh tarik tapi di sini saya dapat menikmati teh tarik india. Ternyata Brunei
lebih kreatif dalam memperkenalkan jenis teh tarik ini.
Kemudian kami bergerak ke pekan Muara. Saya
menerangkan kepada rakan-rakan tentang nama kampung yang ada di sekitar laluan
ini seperti Kampung Serdang dan Kampung Sungai Buluh. Saya juga berkongsi
pengalaman pernah tinggal di Taman Pengiran Alauddin di Kampung Sungai Buluh
ketika mula-mula datang ke Brunei dulu. Di sinilah saya kenal nasi katok yang
masih berharga satu ringgit.
Di Muara, saya bawa mereka berpusing-pusing
sekitar pekan dan saya dapati keadaannya masih seperti dahulu. Kemudiannya kami
ke terminal pelabuhan Serasa iaitu tempat kapal laut ke Labuan. Jeti terminal
ini telah dinaik taraf dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Sekitar tahun
1997 dahulu keadaannya sangat ringkas kerana bilangan pengguna yang tidak
begitu ramai. Seiring dengan pertambahan penumpang, jeti ini dibesarkan dan
ruang untuk meletak kenderaan semakin baik.
Oleh kerana hampir senja, kami memutuskan
untuk pulang ke hotel. Kali ini saya bawa mereka melalui lebuh raya di laluan
persisir pantai Jerudong. Lebuh raya ini tidaklah sehebat lebuh raya di
Malaysia namun memberi keselesaan kerana kenderaan di sini tidak dipandu laju.
Ketika di Jerudong, saya maklumkan mereka tentang Jerudong Park iaitu pusat
hiburan yang terkenal di Brunei. Sebelum tahun 2000, bermain semua jenis permainan
adalah percuma dan sangat menyeronokkan. Kini, hanya sebelah bahagian taman
yang dibuka dan pengunjung perlu membayar untuk bermain. Saya cadangkan mereka
untuk datang ke sini jika melawat Brunei pada masa hadapan.
Dari Jerudong Park, saya memandu arah ke
Sengkurong iaitu tempat saya bekerja dahulu. Sengkurong semakin pesat membangun
kerana wujud pertambahan bangunan perniagaan yang menempatkan bank, pasar raya
dan restoran. Bank yang dibuka adalah Baiduri Bank manakala bank yang saya
perasaan tidak lagi beroperasi di sini adalah HSBC Bank dan BIDB Bank. Tempat
HSBC Bank diambil alih kedai cermin mata. Dulu di atasnya ada pusat tuisyen
yang dikendalikan oleh Jawahir, orang India yang sudah lama bekerja di Brunei.
Saya tidak pasti apakah pusat tuisyen ini masih wujud.
Bertentangan bangunan tersebut adalah sekolah
rendah. Saya maklumkan kepada mereka yang padang bola sepak sekolah ini sangat
hebat.
Masjid Sengkurong adalah tempat saya bersolat
jemaah, berehat dan berbuka puasa pada bulan ramadhan. Alhamdulillah keadaannya
masih sama seperti dahulu yang mengingatkan saya kepada memori 15 tahun lalu.
Pada bulan ramadhan, saya berbuka puasa bersama-sama pekerja dari Bangladesh
dan India. Gambarnya saya masih simpan sampai sekarang.
Seterusnya kami melalui satu lagi kawasan
perniagaan iaitu Tanjung Bunut. Kawasan ini benar-benar berubah kerana
menempatkan ruang perniagaan yang baru, moden dan pelbagai. Di sini ada
pasaraya Hua Ho, bank, restoran makanan segera dan institusi pendidikan swasta.
Tanjung Bunut menjadi saingan kepada Sengkurong tetapi saya lihat ia lebih
menyerlah.
Akhirnya kami sampai ke Traders Inn iaitu
tempat rakan-rakan saya tinggal. Mereka mengucapkan terima kasih kerana
kesudian saya membawa mereka mengelilingi Bandar Seri Begawan. Saya juga berasa
puas kerana dapat memberi khidmat kepada rakan-rakan akademik yang baru kali
pertama ke Brunei, berkongsi pengalaman tentang budaya dan cara hidup
masyarakat Brunei di samping mengenengahkan idea-idea bagi menggalakkan
perkongsian pintar dalam memajukan masyarakat kedua-dua negara.
No comments:
Post a Comment