Wednesday, June 12, 2013

Nilai murni rakyat Jepun patut dicontohi








oleh Jeniri Amir

Ketika meminta seorang rakan untuk menguruskan permohonan visa ke Jepun sebulan lalu, dia membayangkan beberapa kesulitan yang bakal dihadapi. Jika hendak pergi ke negara 128 juta penduduk itu, anda perlu mengemukakan sijil pernikahan, selain pernyataan kewangan bank.

Semua itu sebenarnya berbaloi kerana Jepun bakal membuka mata anda dari banyak segi. Sesampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka sesudah mengharungi penerbangan sejauh 5,212 kilometer yang memakan masa sekitar enam jam, anda boleh memilih untuk menaiki bas atau kereta api laju. Perjalanan 50 minit ke Stesen Osaka, segera mengejutkan anda bagaimana stesen pengangkutan serba moden itu digabungkan dengan pusat beli-belah terkemuka yang mengagumkan. Syarikat Hankyu yang mengendalikan satu daripada syarikat kereta api laju, juga menyediakan perkhidmatan bas dan feri, serta perhotelan dan perniagaan lain. 
 

Apakah yang hebat mengenai Jepun selain daripada keupayaannya untuk bangkit dalam waktu pantas sesudah menjadi padang jarak padang tekukur selepas Perang Dunia Kedua? Jepun hancur musnah dari segi fizikal dan ekonomi selepas perang. Ketika perang, rakyatnya sanggup berkorban untuk negara dan maharaja. Selepas perang, rakyatnya menderita dan jatuh miskin. Namun, rakyat Jepun dengan disiplin dan azam membara bekerja kuat untuk membina semula negara yang hancur musnah.

Jepun mengalami pertumbuhan ekonomi luar biasa sejak pertengahan 1950-an. Pertumbuhan ekonominya mencecah 10 peratus pada dekad 1960-an dan lima peratus pada dekad 1970-an. Jepun mengeluarkan banyak produk dan menjualnya ke negara asing. Kini Jepun mendukung peranan utama hampir dalam setiap bidang usaha antarabangsa.

Terkenal dengan kemodenan

Jepun bukan hanya terkenal dengan makanan sushi, tempura, okonomiyaki atau persembahan kabuki, tetapi kemodenan dan kemajuan dari segi kota dan bandar, serta bidang teknologi dan perindustrian. Kemodenannya dapat disaksikan di hampir semua bandar terutama Tokyo, Osaka, Hiroshima, Kobe, Fukuoka, Nagoya atau Yokohama. Tempoh 15 hari yang ditetapkan dalam visa anda, tentu tidak memadai untuk mengenali Jepun, apatah lagi jika anda hendak mengembara dari kepulauan Kyushu di sebelah selatan ke Hokkaido di utara.

Menelusuri kota dan bandar berkenaan, anda kagum bagaimana dalam waktu singkat Jepun dapat membangunkan dan memajukan negara itu. Kebanyakan bandar Jepun memang padat. Sesetengah daripada penduduk Jepun tinggal di tiga kota utama: Tokyo, Nagoya dan Osaka. Sebanyak 27 peratus penduduknya tinggal di Tokyo dan kawasan sekitar. Disebabkan kepadatan penduduk dan nilai tanah yang begitu tinggi, apartmen dan rumah orang Jepun adalah kecil. Jadi, jangan hairan jika rakan Jepun anda tidak membawa anda ke rumah. Mereka akan meraikan anda di restoran atau hotel. Berderet-deret restoran yang menyediakan makanan Jepun di pelbagai kota. Anda terbayang, orang Jepun memang suka makan di luar.

Kesembilan ramai penduduk

Jepun sebagai negara kesembilan paling ramai penduduk mengalami kadar kelahiran menurun kerana hanya sekitar 1.1 juta bayi lahir setahun. Jepun mengalami masalah penuaan penduduk, dengan kini 20 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas, dan Jepun mempunyai penduduk berusia seratus tahun ke atas sebanyak 46,000 orang. Mengapakah kadar kelahiran merosot? Bagi rakyat Jepun, mempunyai banyak anak adalah sesuatu yang membebankan termasuk dari segi kewangan. Ibu bapa terpaksa membelanjakan banyak wang untuk tuisyen bagi memungkinkan mereka melanjutkan pelajaran ke kolej. Lagipun, semakin kurang yang mahu mendirikan rumah tangga. Jangka hayat rakyat Jepun begitu tinggi kerana gaya hidup sihat dan pemakanan mereka.

Setahun selepas Malaysia dibentuk, sudah ada perkhidmatan kereta api laju dari Tokyo ke Osaka. Kini, perkhidmatan shinkansen atau kereta api laju menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap dan pantas ke merata-rata kota, selain perkhidmatan kereta api bawah tanah. Tidak susah bergerak di Jepun kerana hakikatnya, kos pengangkutan tidaklah terlalu mahal. Anda tidak perlu risau. Di dalam kereta api, anda dapati penumpang membaca bahan bacaan dan bermain dengan alat canggih. Anda tidak mendapati orang Jepun bercakap menggunakan telefon dalam pengangkutan awam kerana itu dianggap menceroboh ruang peribadi penumpang lain.

Seperkara yang mengagumkan saya mengenai rakyat Jepun adalah bagaimana mereka menjaga kecantikan dan kebersihan bandar. Sukar bagi anda untuk melihat sampah sarap di mana-mana, termasuk di lorong belakang.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak
 
(Berita Harian, 8 Jun 2013)

 

No comments:

Post a Comment