Datuk Husam Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor telah memohon untuk tidak menghadirkan diri bagi majlis angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri. Beliau juga memohon untuk tidak hadir dalam persidangan dewan yang bermula pada Ahad ini.
Selepas tidak dilantik menjadi Exco, Husam dilihat mula mengurangkan penampilan diri apatah lagi baru-baru ini gagal dalam satu kes saman. Tindakannya yang mengambil sikap berkenaan dilihat memberi isyarat kecewa selepas kalah dalam pertarungan satu lawan satu dengan Datuk Tengku Adnan di Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13.
Peranan Husam dalam menggerakkan ekonomi Kelantan walaupun kurang publisiti ada kesannya seperti Koridor Depu, Jihad Ternak Kambing Janapari, Dinar Emas, Jambatan Palekbang dan Royalti Minyak. Program-program yang dirancang ini ada yang berjaya dan ada yang gagal. Barangkali prestasi yang tidak menentu inilah yang membuatkan Husam kurang digemari untuk dilantik menyambung tugas Exco seterusnya.
Ketika berkempen di Putrajaya, janji Husam untuk membaiki kehidupan penduduk bandar itu sangat meyakinkan namun kebanyakannya telah dan sedang dilaksanakan oleh Tengku Adnan. Ramainya sambutan dalam ceramah beliau tidak dizahirkan dalam bentuk undi kerana rata-rata kakitangan awam masih kurang yakin dengan keupayaan Husam sebagai pemimpin mereka.
Lalu apakah Husam masih ada harapan dalam politik negeri atau negara?
Husam wajar membuat perancangan dan mengguna pakai strategi yang bersifat populariti dan kompetensi untuk memenangi hati pengundi jika berhasrat memenangi pilihan raya akan datang. Oleh kerana terlalu yakin, Anwar Ibrahim menyatakan kunci kepada kejayaan pembangkang berada pada tangan Husam iaitu menang di Putrajaya. Namun kunci yang dimaksudkan itu gagal berfungsi dan Anwar perlu mencari kunci baru yang lebih hebat.
Kepada Husam, beliau wajar untuk terus mencekalkan hati dan terus berusaha sehingga berjaya. Mengambil kata-kata Tun Dr Mahathir "hanya yang cekal dan tabah akan berjaya", Husam juga boleh berjaya jika beliau bersabar dan berusaha sepenuh hati.
No comments:
Post a Comment