Musim peperiksaan di institusi pengajian tinggi telah bermula minggu ini. Semua mahasiswa sedang memberi tumpuan maksimum kepada peperiksaan masing-masing dengan harapan tinggi untuk mendapat keputusan cemerlang. Keputusan itu nanti akan menentukan di mana kedudukan mereka dan sejauh mana tahap pencapaian dalam tahun-tahun pengajian berikutnya.
Cara pelaksanaan peperiksaan akhir di universiti amat berbeza dengan sekolah. Di universiti, pensyarah diberi autonomi untuk merangka soalan, memeriksa jawapan dan memberi markah serta menentukan gred pelajar. Gred tidak ditentukan berdasarkan markah dalam peperiksaan semata-mata sebaliknya ditentukan oleh kerja kursus, laporan, kuiz, latihan dan komitmen sepanjang semester. Ada kalanya pelajar perlu membawa 60 peratus markah sebelum dapat mengambil peperiksaan kahir.
Walaupun markah peperiksaan akhir hanya 40 peratus, pelajar akan gagal sepenuhnya jika tidak menghadirkan diri untuk peperiksaan akhir itu.
Belajar di universiti adalah suatu keistimewaan bagi mereka yang berjaya di sekolah. Ia melambangkan kesungguhan dan ketekunan mencari ilmu. Tidak semua pelajar dapat meneruskan pengajian ke universiti kerana pelbagai masalah. Ada yang perlu bekerja sambil belajar, berhutang atau menamatkan alam persekolahan lebih awal kerana gagal dalam peperiksaan.
Jadi, untuk mencapai tahap mahasiswa di universiti, peperiksaan adalah halangan paling besar yang perlu dihadapi. Tidak perlu takut dengan peperiksaan kerana jika bersedia, ia akan membawa pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.
No comments:
Post a Comment