Thursday, March 29, 2012

Tekanan keluarga dan pernah dihalau faktor remaja lari dari rumah





Tekanan keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan hari ini oleh sebuah badan sosial.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Mohd Fadzil, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2010 itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas melakukan kesalahan.

"Kajian ini yang dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18 tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh ajakan rakan-rakan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, daripada jumlah terbabit, remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).

"Kes lari rumah untuk kali pertama yang dilakukan oleh mereka ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga 15 tahun dengan mencatatkan sebanyak 65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12 tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18 tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan sebanyak 2.6 peratus," katanya. - BERNAMA

(Berita Harian, 28 Mac 2012)


Wednesday, March 28, 2012

Perbuatan baik akan dikenang




Sangat senang membuat kebaikan dan kebajikan


Tunjukkan adab dan sopan di mana saja kita berada kerana suatu hari nanti tentu ada balasan yang baik.

Ada kalanya kita membiarkan orang lain sengsara kerana kita tidak merasa apa-apa dengan kesengsaraan tersebut. Ada orang yang memiliki kereta tetapi enggan memberi pinjam kepada jirannya yang hendak ke hospital. Ada orang yang hidup senang-lenang tetapi rakannya terpaksa menahan lapar kerana kehilangan pekerjaan. Ada orang yang menghina dan mengeji di atas kelemahan rakan-rakan sekerja tanpa ada rasa belas ihsan.

Kepada orang yang memiliki sifat-sifat ini, kita hadiahkan sebuah kisah tentang adab yang baik.

Sepasang suami isteri pergi ke sebuah hotel pada jam dua pagi untuk mencari bilik, namun tidak ada yang kosong. Mereka merayu kepada pengurus hotel, akhirnya ditawarkan bilik pengurus itu sendiri dengan percuma. Selepas bermalam, pasangan berkenaan mengucapkan terima kasih.

Dua tahun selepas itu, pengurus hotel tadi menerima tiket kapal terbang ke New York. Di sana, dia ditunjukkan Hotel Waldolf-Astoria dan serta-merta ditawarkan pekerjaan. Dengan senang hati, dia menerima pelawaan tersebut. Pemilik hotel merupakan pasangan suami isteri yang telah dibantunya sebelum itu. Jasanya dikenang walaupun agak lama. 

Membuat baik adalah perkara yang paling senang dan menggembirakan, lebih-lebih lagi jika kita tahu akan ada balasan. Namun adalah lebih baik dan cemerlang jika kita membuat baik kerana memahami bahawa nilai kebaikan itu akan dikenang sepanjang masa.


Tuesday, March 27, 2012

Selalu bertanya untuk cetuskan inovasi




Bertanya adalah aktiviti cergas minda


Kanak-kanak adalah kelompok yang paling banyak bertanya lebih-lebih lagi apabila baru belajar bercakap. Mereka tidak ada rasa takut atau malu bertanya kerana sememangnya mereka bertanya untuk mendapatkan jawapan.

Sifat yang ada dalam diri kanak-kanak ini dimiliki oleh para penyelidik dan pencipta.

Contohnya Sony Walkman. Sebelum ada walkman, kita mendengar muzik melalui pembesar suara yang kadangkala mengganggu orang lain. Masaru Ibuka bertanya, 'Mengapa kita tidak membuang fungsi rakaman dari alat perakam dan membuang pembesar suara? Bolehkah kita meletakkan fon kepala di alat perakam?'

Kebanyakan orang yang mencipta sesuatu yang baru atau membuat inovasi kepada sesuatu teknologi kerap bertanya kepada diri sendiri. Melalui bertanya, kita mengaktifkan kekuatan fikiran bawah sedar untuk mencari jawapan-jawapannya.


Monday, March 26, 2012

Tidak mahu mengalah



Berbincang dapat hasilkan kejayaan


Perkara yang membezakan orang yang cemerlang dan orang yang gagal ialah semangat pantang menyerah. Walaupun memiliki ilmu dalam sesuatu bidang, tetapi ilmu tersebut belum tentu dapat menguatkan semangat pantang menyerah ini.

Berapa ramai orang yang bergelar graduan telah gagal dalam bidang yang mereka ceburi kerana tidak tahan dengan cabaran.

Begitu juga dengan orang yang kurang bijak dalam pelajaran dan beberapa kali telah gagal dalam usaha-usaha mereka.

Sama ada kita telah berjaya dalam pelajaran atau tidak, kegagalan adalah lumrah dalam setiap tindakan. Namun, orang yang berjaya memiliki satu ciri yang tidak ada pada orang yang gagal iaitu tidak mahu mengalah. Sifat ini membantu ramai orang  yang bermula dari bawah, sedikit demi sedikit mencari kekuatan diri seterusnya beroleh kejayaan.

Orang yang dulunya kita lihat bekerja dari subuh hingga isyak, berniaga di pasar malam, pasar sehari, buka gerai kecil, hari ini mungkin sudah punya sepuluh buah gerai.


Sunday, March 25, 2012

Kata-kata bertenaga





Anak-anak sangat bangga
dengan pujian

Sekarang kita lihat pula kata-kata positif dan negatif ke atas anak-anak kita. Kita ambil yang positif dulu.

Kata-kata pujian adalah contoh rangsangan pemikiran dan tingkah laku juara kepada anak-anak. Andai mereka buat apa yang dinilai baik, berikan kata-kata semangat atau tepuk tangan sebagai tanda penghargaan. Apabila kebiasaan ini diulang, ia menjadi nilai yang kekal dalam diri anak-anak.

Kaedah ini juga boleh digunakan oleh guru terhadap pelajar-pelajar yang agak lemah dan bermasalah dalam pembelajaran.

Kita ambil pula kata-kata negatif dan lihat apa pula kesannya ke atas diri kita. Hari ini keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, jadi ramailah penganggur yang muncul. Jika kita bertanya kepada penganggur ini dan berkata kepadanya, 'Kamu ni pemalas, tak mau cari kerja', 'Kamu ni ...' dan sebagainya.

Semua kenyataan ini mempunyai tenaga negatif. Apakah yang akan berlaku kepada penganggur tadi? Jika dia mengakui apa yang dikatakan tadi sebagai benar, dia akan berdiam diri, buat-buat tidak dengar dan enggan membuat perubahan walaupun menganggur bukanlah pilihannya.

Berbeza kalau ditanya kepada penganggur yang mudah tercabar. Kata-kata tadi mungkin dapat menggerakkan dirinya untuk bertindak dan membuktikan dirinya akan cepat dapat kerja walaupun gaji tidak besar.

Dalam organisasi, bos atau ketua jabatan boleh merangsang daya kerja staf yang lain melalui nasihat dan teguran yang membina. Katakan staf kita kurang mahir dalam latihan walaupun beberapa kali ditunjuk ajar, berikan semangat kepadanya dengan galakan yang mengharapkan kesempurnaan, barangkali cara ini dapat membantunya untuk tidak jemu berusaha.




Saturday, March 24, 2012

Kata-kata negatif




Kehidupan juga berkata-kata


Apakah kesan atau implikasi kata-kata negatif ke atas orang lain?

Kita ambil contoh peniaga atau jurujual yang berdepan dengan pelbagai jenis pelanggan yang bermacam-macam ragam setiap hari. Ada pelanggan yang tidak banyak soal sebaliknya ada pelanggan yang terlalu cerewet kerenahnya.

Sama ada tidak banyak cakap atau cerewet, pelanggan tetap pelanggan kerana dia boleh menghasilkan satu jualan. Katakan pelanggan yang cerewet memilih kain dan banyak bertanya, sedangkan jurujual ambil hati dan memberi respon yang menyakitkan hati.

Contohnya, 'Kalau tak cantik, pergilah ke kedai lain!' Tenaga yang terdapat dalan ungkapan ini sangat negatif dan mampu menolak keluar pelanggan tadi ke tempat lain. Kalau kita sebagai seorang jurujual, berhatilah-hatilah kerana kita bakal kehilangan seorang pelanggan.


Friday, March 23, 2012

Menangi hati orang lain




Dialog penting untuk bentuk persepsi positif


Apakah persepsi kita terhadap rakan-rakan, pelanggan dalam organisasi, adik-beradik atau kenalan biasa? Adakah ia persepsi positif atau negatif?

Sekarang kita terbalikkan pula soalan tadi dan ia berbunyi begini: Apakah persepsi orang lain: rakan-rakan, pelanggan, adik-beradik dan kenalan baru terhadap kita? Adakah persepsi mereka positif atau negatif, menerima atau menolak kehadiran kita?

Membina persepsi yang positif mengambil masa kerana ia melibatkan kefahaman dan keyakinan. Untuk meyakinkan sesuatu perkara memang mengambil masa kerana ia perlu dilihat dan dirasai. Namun untuk membentuk persepsi negatif, ia boleh berlaku dalam sekelip mata. Malah tidak perlu bersusah payah.

Ramai tokoh masyarakat, selebriti atau personaliti yang berjaya membina persepsi positif yang berkesan malah ramai juga yang membawa imej negatif sehingga ke akhir hayat.




Thursday, March 22, 2012

Kata-kata



Kata-kata sangat bertenaga


Kata-kata mempunyai kekuatan atau tenaga untuk memberi impak ke atas diri sendiri.

Jika betul kata-kata, seseorang boleh berkembang dengan sempurna- akhlaknya bagus, fikirannya bernas, bahasanya pun sopan. Jika salah kata-kata, ia boleh bertukar sifat seperti agresif, citra diri yang rendah dan daya juang yang lemah.

Mahatma Gandhi memberi peringatan dan panduan yang sangat berguna untuk kita berkata-kata. Dia menyatakan, 'jagalah fikiran untuk sentiasa positif kerana fikiran akan menjadi kata-kata, jaga kata-kata yang kita tuturkan kerana kata-kata itu akan berubah menjadi tingkah laku, jaga tingkah laku kerana ia akan berubah menjadi kebiasaan atau tabiat, jaga kebiasaan kerana kebiasaan ini akan berkembang  menjadi nilai, akhirnya nilai inilah yang menentukan tujuan hidup.'

Menggunakan kata-kata yang baik menjadi tanggungjawab pemimpin, ibu bapa, guru, pensyarah atau sesiapa sahaja yang merasakan dirinya dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang sejahtera.


Wednesday, March 21, 2012

Prinsip diri untuk berjaya





Kita bertuah dan bersyukur kerana dilahirkan dengan tubuh badan yang sempurna. Cukup sifat dan dapat melalui kehidupan yang bahagia. Sebaliknya ada orang dilahirkan dengan tubuh badan yang kurang sempurna. Kita kategorikan mereka ini sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Namun ada kalanya kita memberi tafsiran yang salah tentang OKU.

Walaupun tidak cukup sifat-sifat fizikal, ada antara mereka yang sangat berjaya dalam hidup, akademik dan bisnes.

Kejayaan yang dikecapi adalah kerana mereka memiliki prinsip diri yang hebat, bertenaga dan mampu merangsang fikiran dan spiritual untuk tabah menghadapi cabaran. Jika OKU mampu berjaya dalam hidup, kenapa orang yang sempurna fizikal memberi banyak alasan dan mengalah apabila berhadapan dengan cabaran?

Inilah yang kita perlu fikirkan.


 

Monday, March 19, 2012

10,500 pengedar ditahan sejak 2009 - Hishammuddin





Bagi tempoh 2009 sehingga tahun lepas, seramai 10,500 orang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah sejak 2009. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu seramai 2,955 orang ditahan pada 2009, 3,700 orang pada 2010 dan baki 3,845 orang lagi ditangkap sepanjang tahun lepas. 

"Statistik PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi kes tersebut (pengedaran dadah) menunjukkan peningkatan disebabkan beberapa faktor antaranya kerana keuntungan yang lumayan dan cepat hasil daripada aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. 

Selain itu katanya, dadah jenis sintetik juga mudah diproses pada masa kini berikutan formula dan bahan kimia untuk memproses dadah mudah diperolehi. - BERNAMA 

(Utusan Malaysia, 19 Mac 2012)


Sunday, March 18, 2012

Hidup memberi





Andainya kita bertanya kepada orang ramai apakah barang yang mereka paling suka, tentu jawapannya berbagai-bagai. Ada yang suka kereta baru, rantai emas ataupun mendapat kesihatan yang baik.

Maknanya selera orang ramai berbeza-beza. Namun kita yakin mereka akan bersetuju 100 peratus jika dikatakan barang yang mereka paling suka adalah yang diberi percuma. Kalau kita bertindak sebagai pemberi dan orang lain yang menerimanya dengan senang hati, apakah yang masih tinggal pada kita? Apakah kita akan papa kedana? Tidak ada harta? Hidup merempat?

Hakikat kepada hidup yang kita lalui ialah selalu memberi apa yang ada pada kita. Orang yang paling beruntung ialah yang paling banyak memberi kerana pemberiannya itu akan digantikan dengan lebih banyak oleh Allah swt.


Saturday, March 17, 2012

Rombakan beri faedah kepada semua pelajar





Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan memberi faedah kepada generasi muda, termasuk mentransformasikan mereka menjadi lebih bersedia untuk berdepan perubahan serta cabaran global.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Katanya, dalam proses perancangan yang dijalankan kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.

“Kita kena fikir di luar kotak kerana ini membabitkan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Oleh itu panel jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam rombakan ini tidak sepatutnya membabitkan hanya ‘orang lama’ tetapi kumpulan berbeza usia termasuk generasi muda supaya maklum balas mereka lebih menepati apa yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.


Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, pula berkata sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan menafikan bakat serta pembinaan karakter pelajar.

Katanya penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.

“Oleh itu pada peringkat pembentukan pelan ini, kerajaan perlu pastikan penilaian dilakukan dengan lebih bersepadu dan seimbang dengan menekankan meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter,” katanya.

(Berita Harian, 17 Mac 2012)

 

Wednesday, March 14, 2012

Merasai kejayaan





Umumnya kita lebih selesa melihat seseorang yang berjaya dalam kerjayanya berbanding menelusuri kegagalan demi kegagalan yang dihadapi. Ada perbezaan besar di antara melihat kejayaan dengan merasai kejayaan.

Salah satu nikmat kejayaan yang kita dapat lihat ialah menggunakan telefon bimbit iPhone.

Pencetus kepada idea ini ialah Steve Jobs dari Apple Computer. Dia pernah gagal banyak kali semata-mata mahu merealisasikan impian. Bermula dari usia 20 tahun, nama Steve Jobs tidak dapat dipisahkan daripada jenama iPhone atau iPad.

Semua kegagalan yang dilalui beliau telah membawa kejayaan besar kerana setiap kegagalan telah memberi pengajaran dan pengalaman baru untuk berusaha lebih kuat.

Kita sebagai pengguna yang membeli iPhone sudah berasa megah apabila dapat memiliki telefon bimbit itu, apatah lagi penciptanya, tentulah sangat bangga apabila melihat produk ciptaannya digunakan oleh sebahagian masyarakat dunia.


Tuesday, March 13, 2012

Komitmen 100 peratus





Saya yakin ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini, "kebanyakan orang melalui hidup mereka tanpa menemui apa-apa yang diinginkannya". Kehidupan yang dilalui oleh orang dalam kelompok ini adalah tanpa semangat, tidak ada rasa bangga atau seronok.

Andainya kita bertanya berapa ratus komitmen atau usaha yang diberi terhadap kehidupan masing-masing, jawapan yang bakal kita terima ialah sekitar 30 hingga 50 peratus sahaja.

Seseorang benar-benar memberi komitmen apabila berada dalam keadaan kritikal atau sedang terancam. Pada masa itu barulah seluruh tenaga akal dan fizikal digunakan untuk keluar dari zon bahaya.  Namun dalam aktiviti seharian, kita jarang memikirkan 100 peratus kerana berasa selesa dan tidak ada apa-apa risiko besar yang perlu difikirkan.


Monday, March 12, 2012

Peluang tidak selalu datang





Ruud van Nistelrooy adalah pemain bola sepak kelab Manchester United yang kerap menjaringkan gol. Namanya dikenang sebagai pemain yang sangat berbahaya dan ketika di atas padang, dia bebas bergerak untuk merembat masuk bola ke gawang. Rakan-rakan pasukan sentiasa mencarinya untuk melantunkan bola supaya dia boleh menyepak dengan tepat ke gol pasukan lawan.

Dalam setiap permainan, dia lebih banyak bergerak untuk mencipta lebih banyak peluang. Begitu juga dengan kita. Biar siapa pun kita, peluang mesti dicari dengan banyak bertanya, bergerak ke sana sini dan kerap belajar daripada kegagalan.

Peluang tidak selalu datang, kalau datang pun kadang-kadang kita melepaskannya begitu saja kerana tidak bersedia, kurang pengalaman dan mungkin juga kerana kejahilan diri kita sendiri.


Sunday, March 11, 2012

Satu peratus setiap hari





Persaingan merebut juara atau nombor satu sentiasa sengit. Ada kalanya markah tempat pertama dan kedua hanya dibezakan dengan perpuluhan satu. Namun juara mendapat emas dan naib juasr mendapat perak.

Apakah yang membolehkan nombor dua atau nombor tiga atau nombor berapa sahaja dapat muncul sebagai juara?

Anthony Robbins, seorang pakar perubahan diri telah memberi formula kejayaan dalam bukunya "Awaken the Giant Within". Formulanya ialah CANI (Constant and Never Ending Improvement) iaitu strategi peningkatan diri secara berterusan.

Andainya kita sentiasa memikirkan untuk membuat perubahan yang lebih baik biar pun hanya satu peratus setiap hari, tindakan ini adalah lebih baik daripada duduk berdiam diri atau mengkritik orang lain yang hendak membuat perubahan.



Saturday, March 10, 2012

Psikologi berpasukan





Seorang pemandu kereta melambai-lambai tangan di tepi jalan raya mengharapkan simpati pengguna jalan raya yang lalu-lalang. Kisahnya, kereta yang dibawa terbabas dan masuk ke dalam parit di situ. Agak lama menunggu, muncul sebuah kereta kuda bersama jurumudi yang agak berumur. Dengan harapan untuk memberi bantuan, jurumudi kereta kuda bertanya adakah pemandu itu sudi ditolong.

Mulanya agak keberatan kerana tidak yakin yang keretanya itu boleh ditarik keluar. Namun selepas dipujuk, barulah dia setuju.

Tali pengikat ditaut pada bonet kereta lalu ditarik oleh kuda.

"Ayuh Hitam ... ayuh Putih ... ayuh Kuning ..." sambil memukul belakang kuda. Tidak sampai lima minit, kereta pemuda tadi boleh ditarik keluar ke jalan utama.

Bagaimana kuda seekor ini begitu pantas menarik? Sebenarnya, jurumudi hanya menggunakan psikologi mental untuk kuda berkenaan bekerja seolah-olah dalam satu pasukan.

Friday, March 09, 2012

Pemedulian pemimpin





Richard Codey, 65 tahun ingin tahu bagaimana rumah-rumah perlindungan di New Jersey, Amerika Syarikat melayan orang-orang gelandangan iaitu orang yang tidak ada rumah dan tidur di jalanan. Beliau mengenakan janggut dan tatu palsu, memakai baju yang ada kesan-kesan tanah dan curahan air kopi untuk merasai sendiri susah payah hidup sebagai orang gelandangan.

Selepas mengetuk pintu 25 buah rumah perlindungan, semuanya enggan menerima beliau sebagai penghuni untuk bermalam kerana dia tidak ada kad pendaftaran keahlian kebajikan ataupun tidak termasuk dalam kategori orang kurang upaya. Hanya selepas mengetuk pintu ke-26, Goodwill Rescue, barulah dia dapat merasai kehidupan bersama orang gelandangan.

Semasa berlindung di rumah itu, beliau diberi sekeping tilam nipis, selimut dan diletakkan bersama-sama 20 penghuni lain di atas lantai linoteum. Selepas bangun tidur, pinggangnya rasa sakit kerana tidur semalaman di atas lantai yang tidak selesa, kini barulah dia betul-betul merasai betapa susahnya hidup sebagai orang gelandangan.

Codey bukan orang biasa. Beliau adalah senator New Jersey. Di Amerika Syarikat dianggarkan terdapat 636,000 orang yang hidup tanpa rumah sepanjang tahun 2011. Beliau mengambil keputusan menyamar tersebut untuk memahami keperluan tempat-tempat perlindungan ini diuruskan. Misinya ialah mendapatkan bilik untuk orang-orang tanpa rumah dan membantu kerajaan menambah peruntukan bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengannya.

Dapatan penyamaran beliau dirumuskan sebagai berjaya. Justeru beliau akan meminta kerajaan Amerika Syarikat menambah peruntukan untuk menguruskan orang-orang gelandangan di New Jersey dan di seluruh negara. Beliau sangat prihatin dengan bapa tunggal dan mereka yang ada masalah kesihatan mental kerana melihat dua kelompok ini tidak diberi layanan adil dalam sistem perlindungan sosial. Pada pandangannya, golongan wanita dan keluarga lebih banyak diberi keutamaan dan akses dalam perumahan.

Di Amerika Syarikat, pemimpin-pemimpin masyarakat sanggup untuk turun ke medan dan merasai sendiri kesusahan kelompok masyarakat yang hidup tanpa rumah. Walaupun negara itu dianggap negara maju, masih ada lagi yang susah. Biar pun motif dan tindakan itu boleh dipersoalkan, namun kesungguhan untuk mengetahui keperluan dan masalah masyarakat adalah tanggungjawab pemimpin.

Kita tentu sentiasa ingat kisah khalifah Umar Al-Khattab yang keluar pada sebelah malam untuk melihat sendiri keadaan masyarakatnya. Selepas mengetahui keperluan mereka, baharulah beliau membuat perubahan yang lebih supaya masyarakat bersama-sama berkongsi gembira.

Andai kata semua pemimpin kita memiliki sikap pemedulian yang tinggi terhadap keperluan setiap orang yang dipimpinnya, insya Allah pemimpin itu akan disayangi, kehadirannya dirai, pemergiannya ditangisi. Sama-sama kita cari ciri-ciri pemimpin seperti ini.


 

Thursday, March 08, 2012

SBPA batal, SSM akan ditambah baik - Najib



Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu akan dimansuhkan. Sehubungan itu, 1.4 kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Najib, turut mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya khas yang dianggotai oleh semua pihak berkepentingan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia.

"Selaras dengan komitmen kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam ucapan belanjawan 2012 suka saya umumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM," katanya pada Perhimpunan Khas Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C kadarnya dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan.

"Kerajaan juga bersetuju Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

"Kepada para guru jangan gundah gulana. Kerajaan amat komited terhadap kebajikan dan prihatin terhadap kebimbangan anda. Di sini saya mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip 'time-based' Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012," katanya.

Justeru, Najib berharap keputusan tersebut dapat meredakan ketidakpuasan hati yang wujud di kalangan penjawat awam di semua peringkat.

"Bagi isu-isu lain berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang saya umumkan.

"Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar keputusan yang dibuat ini mudah-mudahan menjadi penyelesaian terbaik bagi manfaat seluruh penjawat awam," katanya.

Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Menurutnya, SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," katanya.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Antara pelarasan gaji yang diumumkan mengikut gred-gred adalah seperti berikut:

1) Pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi kumpulan pengurusan dan profesional dan kumpulam pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54.

2) Pelarasan gaji sebanyak 9 peratus untuk gred utama dan gred khas C, B dan A.

3) Pelarasan gaji sebanyak 8 peratus untuk Turus III dan Turus II.

4) Pelarasan gaji sebanyak 7 peratus untuk Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

(mStar Online, 8 Mac 2012)


Wednesday, March 07, 2012

Tabiat tentukan watak diri





Tabiat atau habits menentukan watak kita. Seorang lelaki dewasa yang telah bertahun-tahun memberus giginya setiap hari tentu berasa janggal apabila tidak membersihkan gigi walaupun sehari. Menggosok gigi telah menjadi tabiat yang positif dalam hidupnya, membawa kebaikan pada mulut dan kebersihan tubuh badan.

Tabiat-tabiat positiff yang lain seperti menepati masa, menjaga kebersihan atau membaca doa setiap kali keluar rumah boleh dibentuk sejak kecil. Jangka masa turut berperanan membentuk tabiat. Lebih lama tabiat dipupuk, lebih kuat pengaruhnya dalam diri.

Sebagaimana sukarnya membentuk tabiat positif, begitu jugalah sukarnya menghilangkan tabiat-tabiat negatif seperti malas berusaha, kerap merokok atau cepat marah.

Perubahan ini bergantung kepada diri sendiri. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


 

Tuesday, March 06, 2012

Graduan tempatan gagal tepati kehendak majikan





Graduan yang lahir daripada sistem pendidikan Malaysia gagal memenuhi kehendak bakal majikan kerana kekurangan kemahiran berfikir secara kritis dan lemah dalam berkomunikasi.

Ini menyebabkan majikan perlu menyediakan latihan tambahan untuk menyesuaikan mereka ke dalam skop kerja masing-masing manakala ramai graduan perlu menerima pekerjaan yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka.


Perunding pendidikan, sumber manusia dan pengambilan pekerja yang berpangkalan di Malaysia, merasakan terdapat keperluan asas yang kukuh dalam pemikiran kritikal dimasukkan ke dalam sistem pendidikan sebagai usaha menyediakan generasi akan datang untuk pasaran pekerjaan.

Pengurus negara Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd, Sam Haggag berkata terdapat jurang yang ketara antara apa yang dihasilkan sistem pendidikan Malaysia dengan apa yang dicari majikan.

"Ini menyebabkan enam daripada 10 graduan dari universiti-universiti Malaysia mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan pekerjaan. Sebanyak 40 peratus lagi mengambil masa yang lebih lama lagi," kata Haggag, yang syarikatnya menyediakan penyelesaian tenaga kerja yang termasuk pengambilan dan latihan.

"Pengambilan adalah satu cabaran yang berbeza memandangkan universiti-universiti mengeluarkan graduan yang tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memasuki tenaga kerja. Daripada konteks tenaga kerja, kami dapati bahawa tujuh daripada 10 graduan yang datang untuk temuduga pengambilan gagal ujian kecekapan bahasa Inggeris yang ditetapkan oleh pelanggan kami.

"Kurang penguasaan dalam bahasa Inggeris mengehadkan kebolehan mereka untuk berkomunikasi di luar sempadan Malaysia dan ini mengurangkan keyakinan mereka dan mengurangkan keupayaan mereka untuk menambah nilai di tempat kerja," katanya.


Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank, Ramon Chelvarajasingam berkata ramai graduan baru yang muncul daripada sistem pendidikan Malaysia tidak mempunyai kemahiran pemikiran kritikal yang diperlukan untuk bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah dan menjadi semakin kompetitif.

"Kaedah dan teknologi-teknologi baharu memaksa orang ramai untuk beroperasi di luar zon selesa mereka. Di negara-negara pesaing kita, profesional muda lebih maju dalam pemikiran kritikal, berinovasi, berfikir di luar kebiasaan dan mempunyai inisiatif pembangunan berterusan berbanding dalam Malaysia," tegasnya.

Beliau berkata hari ini, kebanyakan majikan mencari graduan dengan tahap keyakinan yang tinggi yang terdedah kepada bidang khusus di luar pengajian akademik mereka. - BERNAMA

(Berita Harian, 6 Mac 2012)

Monday, March 05, 2012

Perang persepsi dalam pilihan raya di Malaysia

Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia diuji dalam pilihan raya umum akan datang. Tarikhnya hanya diketahui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang pada masa ini sedang menjelajah ke seluruh negara untuk menilai sendiri persiapan jentera Barisan Nasional. Pada masa yang sama, timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bergerak ke ceruk negara untuk menemui ahli akar umbi.

Sumber untuk Perdana Menteri mendapat maklumat bagi membubarkan parlimen adalah berbagai-bagai. Di samping pegawai-pegawai khas di sekeliling beliau, maklum balas turut diperolehi daripada sumber risikan parti, agensi khusus dan badan-badan pemikir melalui analisis yang dilakukan setiap masa. Analisis terbaru dilakukan oleh Social Matrix Research (SOCMAT) yang melakukan kajian ke atas 400 peti undi di Kelantan. Dalam kajian ini, 70 peratus rakyat negeri itu berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri.

Laporan ini baru didedahkan selepas kajian dibuat pada Ogos 2011 lalu. Bagaimanapun kandungan laporan ini boleh dipertikaikan kerana perubahan sangat pantas. Banyak isu yang mempengaruhi pemikiran rakyat seperti isu demokrasi dan governans, jenayah, rasuah, salah guna kuasa, PATI, keselamatan Israel serta kepimpinan dan prestasi.Tidak diketahui kedudukan sebenar Perdana Menteri dan Barisan Nasional kerana isu-isu besar yang kritikal sudah agak reda. Di pihak pembangkang, Pakatan Rakyat, krisis kepimpinan dalam kerajaan negeri Kedah diatasi dengan sesi penerangan dan perbincangan Jawatankuasa PAS Pusat dan negeri.

Isu hangat Barisan Nasional ketika ini ialah melibatkan isu NFC yang dikaitkan bersama dengan salah seorang menteri. Kes ini melekat kuat dalam pemikiran orang-orang muda yang melihat wujud kepincangan dalam pengurusan dana awam. Cadangan Polis Diraja Malaysia untuk mengenakan dakwaan pecah amanah kepada ketua eksekutif syarikat itu menghangatkan lagi perbincangan umum.

Jika kita membaca surat khabar arus perdana dan menonton berita televisyen, tidak ada satu berita kebaikan yang kita akan dapat tentang Pakatan Rakyat. Begitu juga jika kita membaca akhbar on-line Harakahdaily dan Malaysiakini, tidak banyak kebaikan tentang Barisan Nasional. Kedua-duanya menggunakan pendekatan yang sama untuk mencari pengaruh dan mempengaruhi orang ramai untuk mempercayai berita masing-masing.

Ramalan tentang pilihan raya ke-13 pada tahun ini semakin kuat. Tun Daim Zainudin begitu yakin Barisan Nasional akan kembali meraih kemenangan yang lebih baik berbanding pilihan raya lalu. Beliau menyandarkan harapan ini kerana melihat banyak dasar dan program yang dibuat oleh Datuk Seri Najib dikatakan diterima baik oleh orang ramai. Mungkin ramalan beliau ada kaitan dengan kajian yang dilakukan oleh penyelidik, Profesor Datuk Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun lepas yang meletakkan Barisan Nasional di hadapan berbanding Pakatan Rakyat.

Terdapat beberapa kajian lain yang merumuskan bahawa kedudukan ketika ini ialah Barisan Nasional mendapat sokongan 55 peratus, Pakatan Rakyat mendapat 29 peratus dan pengundi atas pagar membentuk 16 peratus. Mari kita buat analisis satu demi satu angka dan tiga kelompok ini.

Dalam tinjauan yang dibuat, golongan yang berumur 21 hingga 25 tahun dan kelompok 50 tahun ke atas didapati cenderung menyokong Barisan Nasional. Data daripada kajian turut melihat trend pelajar institusi pengajian tinggi dan belia yang tidak mendaftar sebagai pengundi dikatakan berjumlah hampir tiga juta orang. Jumlah belia Malaysia telah meningkat kepada 11.65 juta dengan membentuk 40.2 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Faktor penting yang mencetuskan angka ini ialah tahap kesedaran yang masih rendah terhadap politik khususnya masyarakat Melayu. Dalam kalangan belia, mereka cenderung menyokong Barisan Nasional kerana kerajaan dilihat berjaya menyediakan peluang pekerjaan untuk mobiliti sosial khususnya belia perempuan. Keselamatan atau jaminan pekerjaan menjadi perhatian utama orang-orang muda ini kerana mereka memikirkan apa yang patut dibuat selepas menamatkan pengajian sama ada di dalam ataupun luar negara.

Dalam kalangan pengundi berumur 50 tahun ke atas, mereka ini berada dalam zon yang sangat selesa kerana kesan daripada program-program dan dasar yang telah dilaksanakan sejak merdeka hingga kini. Ada juga antara mereka ini yang mendapat faedah secara langsung seperti pendidikan percuma dan peluang bekerja di sektor awam. Jadi golongan ini tidak ada sebab untuk menolak kerajaan Barisan Nasional.

Kelompok umur 30 tahun hingga 40 tahun didapati menjadi penyokong Pakatan Rakyat kerana mereka boleh memikirkan siapa yang paling layak dan sesuai untuk memimpin negara. Majoriti kelompok ini telah pun berkeluarga dan tahap kesedaran politik juga tinggi. Kebanyakan daripada mereka ini adalah generasi kedua, tinggal di bandar, tidak menghiraukan siapa yang akan membentuk kerajaan dan tidak nampak hubungan yang kuat dengan parti politik kerana mereka boleh hidup bersendirian. Ciri-ciri ini merentas semua kaum dan kelas dalam masyarakat.

Satu kelompok lagi yang menjadi rebutan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ialah “atas pagar”. Profesor Ulung, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri tidak bersetuju dengan gelaran atas pagar kerana kelompok ini sebenarnya memiliki pendirian sendiri. Beliau lebih suka menggelar mereka sebagai “kuasa ketiga” atau “third force” kerana tidak semestinya mereka ini keluar mengundi, mungkin mereka mengambil pendekatan memboikot undi, bercirikan bandar dan paling kerap berkumpul di kedai makan amak.

Secara lebih khusus, kemungkinan 16 peratus kuasa ketiga adalah pro-BN, pro-PR, kritikal terhadap BN dan PR, tidak suka BN atau PR dan tidak suka BN.

Kadar celik huruf sangat penting dalam proses demokrasi kerana rakyat dapat memahami peranan mereka dalam negara. Justeru, 16 peratus adalah jumlah yang signifikan untuk menentukan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat mendapat undi majoriti dalam pilihan raya.

Apa yang pengundi cari?

Konsep pemilihan parti politik dan pemimpin telah berubah dengan ketara sejak pilihan raya pada tahun 1999. Jika dahulu parti menjadi dominan untuk pengundi membuat keputusan, kini manifesto, personaliti dan manipulasi kerencaman sosial menjadi lebih dominan. Ia berubah kerana konsep philanthropy telah berkembang menjadi politik baru di Malaysia. Isu etnik dan agama amat berpengaruh dan berakar umbi dalam masyarakat.

Faktor personaliti pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat turut mempengaruhi persepsi pengundi kali ini. Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenakan beberapa tuduhan dan saman, kekuatan semangat dan cita-citanya semakin kuat kesan daripada keupayaannya membina dan membentuk persepsi terhadap kebanyakan rakyat Malaysia. Dalam proses “perception manufacturing” ini, Datuk Seri Najib tewas sama sekali. Kaedah yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah begini.

Pertama, apabila Datuk Seri Najib mengadakan lawatan rasmi ke luar negara dan dijadualkan bertemu rakyat Malaysia, Anwar Ibrahim telah berjumpa dengan kumpulan sasar ini sebulan lebih awal. Dia berjumpa dengan kelompok agresif, mahukan penjelasan dan ghairah dengan persoalan tentang perkembangan negara. Apabila Datuk Seri Najib bersama dengan mereka, dia perlu berhadapan dengan kelompok ini untuk menerima soalan demi soalan yang sebenarnya telah disediakan oleh Anwar Ibrahim. Secara tidak langsung, Najib perlu menjawab soalan yang dilontarkan oleh Anwar.

Kedua, Anwar Ibrahim telah mengantarabangsakan Malaysia. Buktinya mudah. Sepanjang tiga tahun lepas, semasa perbicaraan kes beliau di mahkamah, tumpuan diberikan kepada wartawan asing yang berkumpul di luar pintu mahkamah. Dalam sepuluh minit pertama dia akan memberi penjelasan dalam bahasa Inggeris kepada wartawan luar negara. Berita ini kemudiannya dipancarkan ke seluruh dunia. Dia juga mempunyai ingatan yang baik untuk melayan beberapa orang wartawan asing yang sering membuat liputan seperti memanggil nama, suatu yang memberi penghargaan kepada sesiapa sahaja yang namanya disebut oleh pemimpin. Dengan cara ini, Datuk Seri Anwar mengembangkan popularitinya, tindakan yang jarang dilihat berlaku kepada Najib Tun Razak.

Ketiga, jentera kempen Pakatan Rakyat sangat terancang. Sebaik sahaja ada isu yang melibatkan Anwar Ibrahim, jenteranya mula bergerak umpama ombak kuat yang sedang menuju ke pantai. Kekuatan ombak ini jika tidak dialihkan akan memusnahkan pasir-pasir di pantai kerana ia membawa pelbagai isi untuk dimuntahkan ke pesisir pantai. Di mana jentera ini mendapat dana yang banyak untuk menangkis serangan kumpulan musuh?

Ramalan demi ramalan yang menyatakan Barisan Nasional akan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang boleh dikatakan sebagai halwa telinga untuk menyedapkan hati. Kemenangan mana-mana pihak ditentukan oleh pengundi yang semakin terdedah kepada maklumat dari media sosial yang memiliki pengaruh besar ke atas manipulasi persepsi. Jika dilihat daripada peratusan untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, keadaan tidak banyak berubah. Kajian mendapati kawasan hitam adalah Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang manakala kawasan kelabu pula termasuk Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kedua-dua parti harus bekerja kuat untuk menang.

(langitilahi.com)

Sunday, March 04, 2012

Bijak cari rakan





Rakan-rakan adalah cermin diri kita. Apa yang mereka katakan, fikirkan dan bertindak dapat mempengaruhi sikap dan perlakuan kita. Ketika zaman persekolahan dahulu, saya sering memerhati rakan-rakan yang menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan yang merokok, sebahagian besar daripada mereka membesar sebagai seorang perokok tegar.

Ada rakan-rakan lain yang tidak merokok berkembang menjadi imam di masjid dan surau. Ada juga yang terlibat dalam kepimpinan dan menjadi tokoh masyarakat yang disegani.

Greg Reid, seorang jutawan yang terkenal menyarankan supaya kita mencari rakan-rakan yang boleh meningkatkan kejayaan. Beliau mencadangkan kita mencari rakan-rakan yang sealiran dengan kita tetapi mereka lebih cemerlang dan berjaya.

Seorang pemain badminton akan menghasilkan pukulan "smash" yang lebih baik jika dia bermain dengan rakan yang lebih handal, sebaliknya jika terlalu lama bermain dengan pasangan yang lebih lemah, tahap permainannya akan merosot sama sekali.


Saturday, March 03, 2012

Bangga pilihan sendiri





Kehidupan yang kita lalui setiap hari adalah hasil daripada keputusan yang diambil pada masa lepas. Ada orang yang berasa bahagia kerana telah membuat keputusan yang tepat, sebaliknya ada yang menyesal dan kecewa kerana salah membuat keputusan.

Apakah tersalah membuat pilihan menjadikan kita gagal selama-lamanya? Atau adakah dengan membuat keputusan yang betul kita akan berjaya selama-lamanya?

Jawapan kepada dua soalan ini saya bawakan kisah benar seorang pelajar yang berjaya menjadi mahasiswa cemerlang di sebuah kolej. Berdasarkan keputusan peperiksaan di sekolah, ibu bapa menyuruh mahasiswa ini mengambil jurusan perubatan, sebaliknya dia lebih berminat jurusan pendidikan yang memberi fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Ibu dan bapanya sangat kecewa dan marah-marah. Namun mahasiswa ini membuktikan kecemerlangan dan pilihannya tepat. Ketika konvokesyen, dia diumumkan pelajar terbaik bagi program pendidikan awal kanak-kanak.


Friday, March 02, 2012

Hargai masa






Umur berlalu setiap hari umpama pelari marathon yang akan sampai ke garisan penamat. Setiap masa adalah berharga, justeru melakukan saranan Allah swt dan rasul-Nya adalah sebaik-baik pekerjaan. Kita bekerja, belajar dan hidup kerana Allah swt supaya Allah swt sayang kepada kita.

Umur yang beredar dari sehari ke sehari tidak akan pernah datang kembali kerana sifat masa adalah sehala. Andai kita buat yang baik, akan mendapat pahala dan faedah, kalau buat buruk akan dapat bala.

Masa adalah umur kita. Orang yang cuba mensia-siakan masa, dia telah mensia-siakan umurnya sendiri. Malam tidur, siang pun tidur, kemudian malas pula mencari kerja. Inilah ciri-ciri orang yang sangat rugi.

Seorang yang memenuhi masa dengan belajar bersungguh-sungguh, mempelajari teknik meningkatkan kemahiran atau menghasilkan ciptaan baru, inilah sifat orang yang akan menjadikan hidupnya amat bermakna.


Thursday, March 01, 2012

Jaga umur





Hakikatnya, umur kita semakin sedikit. Kalau dulu berumur 18 tahun, kini sudah 28 tahun. Kalau dulu 35 tahun, kini sudah masuk 45 tahun. Barangkali hari ini ada saudara mara kita dan sahabat handai yang baru menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-50.

Umur semakin singkat kerana kita rasa begitu. Pernahkah kita bertanya, apakah amalan kebajikan yang kita lakukan ketika ini? Di hujung-hujung usia kita tidak membawa makanan yang banyak, tidak membawa wang yang banyak atau gelaran yang hebat-hebat tetapi kebajikan yang akan dinilai.

Ketika umur masih panjang, ketika kesihatan masih ada, gunakan sebaik-baiknya umur kita untuk melakukan amal yang soleh supaya di akhirat nanti kita dapat berbangga dengan amalan-amalan ini. Berikan akal fikiran untuk manfaat masyarakat dan negara, insya Allah kita akan berjaya.