Monday, March 05, 2012

Perang persepsi dalam pilihan raya di Malaysia

Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia diuji dalam pilihan raya umum akan datang. Tarikhnya hanya diketahui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang pada masa ini sedang menjelajah ke seluruh negara untuk menilai sendiri persiapan jentera Barisan Nasional. Pada masa yang sama, timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bergerak ke ceruk negara untuk menemui ahli akar umbi.

Sumber untuk Perdana Menteri mendapat maklumat bagi membubarkan parlimen adalah berbagai-bagai. Di samping pegawai-pegawai khas di sekeliling beliau, maklum balas turut diperolehi daripada sumber risikan parti, agensi khusus dan badan-badan pemikir melalui analisis yang dilakukan setiap masa. Analisis terbaru dilakukan oleh Social Matrix Research (SOCMAT) yang melakukan kajian ke atas 400 peti undi di Kelantan. Dalam kajian ini, 70 peratus rakyat negeri itu berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri.

Laporan ini baru didedahkan selepas kajian dibuat pada Ogos 2011 lalu. Bagaimanapun kandungan laporan ini boleh dipertikaikan kerana perubahan sangat pantas. Banyak isu yang mempengaruhi pemikiran rakyat seperti isu demokrasi dan governans, jenayah, rasuah, salah guna kuasa, PATI, keselamatan Israel serta kepimpinan dan prestasi.Tidak diketahui kedudukan sebenar Perdana Menteri dan Barisan Nasional kerana isu-isu besar yang kritikal sudah agak reda. Di pihak pembangkang, Pakatan Rakyat, krisis kepimpinan dalam kerajaan negeri Kedah diatasi dengan sesi penerangan dan perbincangan Jawatankuasa PAS Pusat dan negeri.

Isu hangat Barisan Nasional ketika ini ialah melibatkan isu NFC yang dikaitkan bersama dengan salah seorang menteri. Kes ini melekat kuat dalam pemikiran orang-orang muda yang melihat wujud kepincangan dalam pengurusan dana awam. Cadangan Polis Diraja Malaysia untuk mengenakan dakwaan pecah amanah kepada ketua eksekutif syarikat itu menghangatkan lagi perbincangan umum.

Jika kita membaca surat khabar arus perdana dan menonton berita televisyen, tidak ada satu berita kebaikan yang kita akan dapat tentang Pakatan Rakyat. Begitu juga jika kita membaca akhbar on-line Harakahdaily dan Malaysiakini, tidak banyak kebaikan tentang Barisan Nasional. Kedua-duanya menggunakan pendekatan yang sama untuk mencari pengaruh dan mempengaruhi orang ramai untuk mempercayai berita masing-masing.

Ramalan tentang pilihan raya ke-13 pada tahun ini semakin kuat. Tun Daim Zainudin begitu yakin Barisan Nasional akan kembali meraih kemenangan yang lebih baik berbanding pilihan raya lalu. Beliau menyandarkan harapan ini kerana melihat banyak dasar dan program yang dibuat oleh Datuk Seri Najib dikatakan diterima baik oleh orang ramai. Mungkin ramalan beliau ada kaitan dengan kajian yang dilakukan oleh penyelidik, Profesor Datuk Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun lepas yang meletakkan Barisan Nasional di hadapan berbanding Pakatan Rakyat.

Terdapat beberapa kajian lain yang merumuskan bahawa kedudukan ketika ini ialah Barisan Nasional mendapat sokongan 55 peratus, Pakatan Rakyat mendapat 29 peratus dan pengundi atas pagar membentuk 16 peratus. Mari kita buat analisis satu demi satu angka dan tiga kelompok ini.

Dalam tinjauan yang dibuat, golongan yang berumur 21 hingga 25 tahun dan kelompok 50 tahun ke atas didapati cenderung menyokong Barisan Nasional. Data daripada kajian turut melihat trend pelajar institusi pengajian tinggi dan belia yang tidak mendaftar sebagai pengundi dikatakan berjumlah hampir tiga juta orang. Jumlah belia Malaysia telah meningkat kepada 11.65 juta dengan membentuk 40.2 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Faktor penting yang mencetuskan angka ini ialah tahap kesedaran yang masih rendah terhadap politik khususnya masyarakat Melayu. Dalam kalangan belia, mereka cenderung menyokong Barisan Nasional kerana kerajaan dilihat berjaya menyediakan peluang pekerjaan untuk mobiliti sosial khususnya belia perempuan. Keselamatan atau jaminan pekerjaan menjadi perhatian utama orang-orang muda ini kerana mereka memikirkan apa yang patut dibuat selepas menamatkan pengajian sama ada di dalam ataupun luar negara.

Dalam kalangan pengundi berumur 50 tahun ke atas, mereka ini berada dalam zon yang sangat selesa kerana kesan daripada program-program dan dasar yang telah dilaksanakan sejak merdeka hingga kini. Ada juga antara mereka ini yang mendapat faedah secara langsung seperti pendidikan percuma dan peluang bekerja di sektor awam. Jadi golongan ini tidak ada sebab untuk menolak kerajaan Barisan Nasional.

Kelompok umur 30 tahun hingga 40 tahun didapati menjadi penyokong Pakatan Rakyat kerana mereka boleh memikirkan siapa yang paling layak dan sesuai untuk memimpin negara. Majoriti kelompok ini telah pun berkeluarga dan tahap kesedaran politik juga tinggi. Kebanyakan daripada mereka ini adalah generasi kedua, tinggal di bandar, tidak menghiraukan siapa yang akan membentuk kerajaan dan tidak nampak hubungan yang kuat dengan parti politik kerana mereka boleh hidup bersendirian. Ciri-ciri ini merentas semua kaum dan kelas dalam masyarakat.

Satu kelompok lagi yang menjadi rebutan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ialah “atas pagar”. Profesor Ulung, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri tidak bersetuju dengan gelaran atas pagar kerana kelompok ini sebenarnya memiliki pendirian sendiri. Beliau lebih suka menggelar mereka sebagai “kuasa ketiga” atau “third force” kerana tidak semestinya mereka ini keluar mengundi, mungkin mereka mengambil pendekatan memboikot undi, bercirikan bandar dan paling kerap berkumpul di kedai makan amak.

Secara lebih khusus, kemungkinan 16 peratus kuasa ketiga adalah pro-BN, pro-PR, kritikal terhadap BN dan PR, tidak suka BN atau PR dan tidak suka BN.

Kadar celik huruf sangat penting dalam proses demokrasi kerana rakyat dapat memahami peranan mereka dalam negara. Justeru, 16 peratus adalah jumlah yang signifikan untuk menentukan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat mendapat undi majoriti dalam pilihan raya.

Apa yang pengundi cari?

Konsep pemilihan parti politik dan pemimpin telah berubah dengan ketara sejak pilihan raya pada tahun 1999. Jika dahulu parti menjadi dominan untuk pengundi membuat keputusan, kini manifesto, personaliti dan manipulasi kerencaman sosial menjadi lebih dominan. Ia berubah kerana konsep philanthropy telah berkembang menjadi politik baru di Malaysia. Isu etnik dan agama amat berpengaruh dan berakar umbi dalam masyarakat.

Faktor personaliti pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat turut mempengaruhi persepsi pengundi kali ini. Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenakan beberapa tuduhan dan saman, kekuatan semangat dan cita-citanya semakin kuat kesan daripada keupayaannya membina dan membentuk persepsi terhadap kebanyakan rakyat Malaysia. Dalam proses “perception manufacturing” ini, Datuk Seri Najib tewas sama sekali. Kaedah yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah begini.

Pertama, apabila Datuk Seri Najib mengadakan lawatan rasmi ke luar negara dan dijadualkan bertemu rakyat Malaysia, Anwar Ibrahim telah berjumpa dengan kumpulan sasar ini sebulan lebih awal. Dia berjumpa dengan kelompok agresif, mahukan penjelasan dan ghairah dengan persoalan tentang perkembangan negara. Apabila Datuk Seri Najib bersama dengan mereka, dia perlu berhadapan dengan kelompok ini untuk menerima soalan demi soalan yang sebenarnya telah disediakan oleh Anwar Ibrahim. Secara tidak langsung, Najib perlu menjawab soalan yang dilontarkan oleh Anwar.

Kedua, Anwar Ibrahim telah mengantarabangsakan Malaysia. Buktinya mudah. Sepanjang tiga tahun lepas, semasa perbicaraan kes beliau di mahkamah, tumpuan diberikan kepada wartawan asing yang berkumpul di luar pintu mahkamah. Dalam sepuluh minit pertama dia akan memberi penjelasan dalam bahasa Inggeris kepada wartawan luar negara. Berita ini kemudiannya dipancarkan ke seluruh dunia. Dia juga mempunyai ingatan yang baik untuk melayan beberapa orang wartawan asing yang sering membuat liputan seperti memanggil nama, suatu yang memberi penghargaan kepada sesiapa sahaja yang namanya disebut oleh pemimpin. Dengan cara ini, Datuk Seri Anwar mengembangkan popularitinya, tindakan yang jarang dilihat berlaku kepada Najib Tun Razak.

Ketiga, jentera kempen Pakatan Rakyat sangat terancang. Sebaik sahaja ada isu yang melibatkan Anwar Ibrahim, jenteranya mula bergerak umpama ombak kuat yang sedang menuju ke pantai. Kekuatan ombak ini jika tidak dialihkan akan memusnahkan pasir-pasir di pantai kerana ia membawa pelbagai isi untuk dimuntahkan ke pesisir pantai. Di mana jentera ini mendapat dana yang banyak untuk menangkis serangan kumpulan musuh?

Ramalan demi ramalan yang menyatakan Barisan Nasional akan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang boleh dikatakan sebagai halwa telinga untuk menyedapkan hati. Kemenangan mana-mana pihak ditentukan oleh pengundi yang semakin terdedah kepada maklumat dari media sosial yang memiliki pengaruh besar ke atas manipulasi persepsi. Jika dilihat daripada peratusan untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, keadaan tidak banyak berubah. Kajian mendapati kawasan hitam adalah Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang manakala kawasan kelabu pula termasuk Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kedua-dua parti harus bekerja kuat untuk menang.

(langitilahi.com)

No comments:

Post a Comment