Sunday, March 04, 2012

Bijak cari rakan





Rakan-rakan adalah cermin diri kita. Apa yang mereka katakan, fikirkan dan bertindak dapat mempengaruhi sikap dan perlakuan kita. Ketika zaman persekolahan dahulu, saya sering memerhati rakan-rakan yang menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan yang merokok, sebahagian besar daripada mereka membesar sebagai seorang perokok tegar.

Ada rakan-rakan lain yang tidak merokok berkembang menjadi imam di masjid dan surau. Ada juga yang terlibat dalam kepimpinan dan menjadi tokoh masyarakat yang disegani.

Greg Reid, seorang jutawan yang terkenal menyarankan supaya kita mencari rakan-rakan yang boleh meningkatkan kejayaan. Beliau mencadangkan kita mencari rakan-rakan yang sealiran dengan kita tetapi mereka lebih cemerlang dan berjaya.

Seorang pemain badminton akan menghasilkan pukulan "smash" yang lebih baik jika dia bermain dengan rakan yang lebih handal, sebaliknya jika terlalu lama bermain dengan pasangan yang lebih lemah, tahap permainannya akan merosot sama sekali.


Post a Comment