Friday, March 09, 2012

Pemedulian pemimpin





Richard Codey, 65 tahun ingin tahu bagaimana rumah-rumah perlindungan di New Jersey, Amerika Syarikat melayan orang-orang gelandangan iaitu orang yang tidak ada rumah dan tidur di jalanan. Beliau mengenakan janggut dan tatu palsu, memakai baju yang ada kesan-kesan tanah dan curahan air kopi untuk merasai sendiri susah payah hidup sebagai orang gelandangan.

Selepas mengetuk pintu 25 buah rumah perlindungan, semuanya enggan menerima beliau sebagai penghuni untuk bermalam kerana dia tidak ada kad pendaftaran keahlian kebajikan ataupun tidak termasuk dalam kategori orang kurang upaya. Hanya selepas mengetuk pintu ke-26, Goodwill Rescue, barulah dia dapat merasai kehidupan bersama orang gelandangan.

Semasa berlindung di rumah itu, beliau diberi sekeping tilam nipis, selimut dan diletakkan bersama-sama 20 penghuni lain di atas lantai linoteum. Selepas bangun tidur, pinggangnya rasa sakit kerana tidur semalaman di atas lantai yang tidak selesa, kini barulah dia betul-betul merasai betapa susahnya hidup sebagai orang gelandangan.

Codey bukan orang biasa. Beliau adalah senator New Jersey. Di Amerika Syarikat dianggarkan terdapat 636,000 orang yang hidup tanpa rumah sepanjang tahun 2011. Beliau mengambil keputusan menyamar tersebut untuk memahami keperluan tempat-tempat perlindungan ini diuruskan. Misinya ialah mendapatkan bilik untuk orang-orang tanpa rumah dan membantu kerajaan menambah peruntukan bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengannya.

Dapatan penyamaran beliau dirumuskan sebagai berjaya. Justeru beliau akan meminta kerajaan Amerika Syarikat menambah peruntukan untuk menguruskan orang-orang gelandangan di New Jersey dan di seluruh negara. Beliau sangat prihatin dengan bapa tunggal dan mereka yang ada masalah kesihatan mental kerana melihat dua kelompok ini tidak diberi layanan adil dalam sistem perlindungan sosial. Pada pandangannya, golongan wanita dan keluarga lebih banyak diberi keutamaan dan akses dalam perumahan.

Di Amerika Syarikat, pemimpin-pemimpin masyarakat sanggup untuk turun ke medan dan merasai sendiri kesusahan kelompok masyarakat yang hidup tanpa rumah. Walaupun negara itu dianggap negara maju, masih ada lagi yang susah. Biar pun motif dan tindakan itu boleh dipersoalkan, namun kesungguhan untuk mengetahui keperluan dan masalah masyarakat adalah tanggungjawab pemimpin.

Kita tentu sentiasa ingat kisah khalifah Umar Al-Khattab yang keluar pada sebelah malam untuk melihat sendiri keadaan masyarakatnya. Selepas mengetahui keperluan mereka, baharulah beliau membuat perubahan yang lebih supaya masyarakat bersama-sama berkongsi gembira.

Andai kata semua pemimpin kita memiliki sikap pemedulian yang tinggi terhadap keperluan setiap orang yang dipimpinnya, insya Allah pemimpin itu akan disayangi, kehadirannya dirai, pemergiannya ditangisi. Sama-sama kita cari ciri-ciri pemimpin seperti ini.


 

No comments:

Post a Comment