Wednesday, February 29, 2012

Pelbagaikan sumber maklumat





"Jangan terlalu bergantung sangat pada surat khabar harian, cuba la baca portal online yang lain, barulah dapat tahu apa cerita sebenar."

Saya memberi pandangan kepada rakan-rakan ketika kami sedang membelek surat khabar yang menjadikan isu seorang pemimpin politik yang dikatakan kena tangkap berkhalwat. Hampir semua akhbar perdana menyiarkan kisah ini tetapi mendapatkan satu sumber sebagai kesimpulan tentulah kurang bijak.

Di kebanyakan tempat di negara ini telah disambungkan dengan teknologi tanpa wayar khususnya internet. Orang-orang muda sangat suka kerana mereka tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar bil setiap bulan. Oleh kerana golongan ini yang paling aktif menggunakan perkhidmatan internet untuk mendapat maklumat, berita dari akhbar harian dengan mudah dibandingkan dengan maklumat dari portal online yang sentiasa dikemas kini setiap minit.

Dalam kalangan orang-orang tua, generasi yang sangat lambat untuk mengenal IT, surat khabar dianggap sebagai pembawa berita yang mesti dipercayai, lalu cerita ini dijaja sepanjang hari. Keadaan ini tidak akan berlaku kepada orang muda kerana mereka juga sentiasa mengemas kini maklumat lebih-lebih lagi terdapat medium sosial yang telah menjadi "ketagihan" dan mesti dilayari.

Selain boleh diakses melalui komputer riba atau tablet, kemudahan wi-fi ini telah dimuatkan dalam kebanyakan telefon pintar hari ini. Di mana-mana mereka boleh mengakses maklumat tanpa ada sekatan.


Monday, February 27, 2012

Elak gejala tersedak susu


Sejak akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.

Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.

Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.

Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.

Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.

Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.

Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.

Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.

Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

(Utusan Malaysia, 27 Februari 2012)


Saturday, February 25, 2012

Perubahan mudah kalau kita mahu





Ramai orang yang hendak berubah. Kalau orang itu sedang bekerja makan gaji, dia teringin hendak berhenti kerja supaya dapat berikan tumpuan terhadap perubahan baru itu.

Sebenarnya kefahaman cara ini sangat jauh menyimpang daripada tujuan perubahan. Bekerja dan mencari pendapatan adalah jambatan untuk berjaya di akhirat. Kapal menggunakan laut untuk sampai ke pantai. Air dalam kapal perlu dijaga supaya tidak menenggelamkan kapal dan selamat sampai ke pantai.

Dunia adalah alat, akhirat adalah matlamat. Pantai akhirat ada dua iaitu syurga dan neraka. Jadikan dunia sebagai lautan yang akan menghamparkan kita ke pantai syurga.

Berubahlah dengan teknik yang terbaik supaya kita mendapat pahala yang berganda-ganda. Perubahan itu mudah andaikata kita mahukannya.



Friday, February 24, 2012

Tiga bekalan




Amalan terputus selepas
meninggal dunia

Baru-baru saya menerima dua e-mel berkaitan berita keluarga iaitu kematian dua orang muda. Kematian pertama adalah seorang remaja lelaki kerana kemalangan jalan raya dan keduanya kematian seorang kakitangan perpustakaan.

Remaja lelaki saya tidak kenal tetapi kakitangan perpustakaan memang saya kenal kerana selalu nampak kelibatnya di kaunter pinjaman. Usianya masih muda, 28 tahun, berbadan agak gempal dan selalu memberi senyuman kepada pensyarah dan pelajar. Maklumat yang saya tahu, kematiannya adalah kerana tekanan darah rendah di samping kompilasi penyakit-penyakit lain.

Hidup dan mati adalah sebahagian daripada diari perjalanan hidup kita. Allah swt telah nyatakan secara jelas bahawa umur kita telah ditentukan, di mana kita lahir dan mati telah tertulis. Rezeki dan jodoh juga telah tersedia cuma menunggu masa untuk dilaksanakan. 

Walaupun hidup dan perjalanan hidup telah termaktub, Allah swt menyuruh kita membaiki kehidupan yang ada. Contohnya, kesihatan diri mesti dipantau, dijaga dan ditingkatkan supaya kita dapat beribadah, dapat bekerja, berdakwah dan menjadikan dunia sebagai jambatan ke akhirat. Kesihatan diri yang baik juga dapat menyempurnakan banyak tanggungjawab sebagai hamba Allah seperti menunaikan solat, keluarkan zakat dan mengerjakan haji.

Bagaimana hendak keluarkan zakat jika badan selalu lemah, sakit sana-sini dan kerap masuk hospital? 

Melihat orang lain yang berada di sekeliling kita, orang yang kita pernah berbual-bual dan bertegur sapa meninggalkan kita untuk selama-lamanya, kalau tidak rasa apa-apa getaran di hati tentulah sesuatu yang ganjil keadaannya.

Sedikit sebanyak mesti ada rasa gusar kerana suatu hari nanti akan tiba pula giliran kita untuk mengikut pergi. Gusar kerana memikirkan berapa banyak amalan yang akan dibawa sebagai bekalan ke akhirat dan bersedia dengan timbangan amal untuk masuk ke syurga. 

Jadi, apakah amalan paling baik untuk dibawa ke akhirat? Sebaik-baiknya ialah taqwa. Inilah persiapan yang paling penting. Bukan setakat untuk akhirat, malah di dunia ini pun fungsi taqwa pun sudah terasa khususnya hendak menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat. Kedua ialah kerap memaafkan.

Ciri ini jika dikaitkan dengan hidup hari ini masih sangat relevan. Membalas kejahatan, kebencian dan sifat buruk orang lain dengan kemaafan dapat memadamkan kejahatan dan menguatkan taqwa kepada Allah swt. Ketiga ialah memanjangkan silaturrahim. Lebih baik kita membina hubungan yang mesra dan berkekalan daripada hubungan yang penuh kebencian dan hancur dalam masa yang singkat.

Banyak lagi usaha yang kita perlu lakukan supaya dapat menjadi bekalan untuk bertemu dengan Allah swt apabila dipanggil pulang kelak. Iman yang padu dan menjadikan al-quran sebagai panduan sudah cukup menjadi bekalan minimum kalau tidak ada bekalan lain yang boleh dibawa. 

 

Thursday, February 23, 2012

Rancang kerja sebagai ibadah





Untuk menjadikan kerja sebagai ibadah, kita perlu kembali kepada hakikat hidup yang sebenar. Memahami setiap perkara sama ada baik ataupun buruk, dapat membuka hati kepada tujuan hidup yang sebenar. Cerita seorang lelaki yang selamat dari seekor harimau belum tentu selamat hidupnya boleh menjadi iktibar untuk mengenal hakikat hidup kita.

Seorang lelaki yang lari daripada seekor harimau telah memanjat sepohon pokok. Malangnya, batang pokok ini sedang dimamah anai-anai dan bila-bila masa boleh tumbang. Di bawah pokok sedang menunggu harimau yang akan membaham sebaik sahaja pokok ini tumbang. Tiba-tiba jatuh setitis madu yang manis dan terkena pada lidah lelaki itu.

Di dahan pokok terdapat sarang lebah. Dengan rasa manis, dia terlupa bahawa dia sedang berhadapan dengan bahaya.

Dalam hidup kita, kemanisan dengan hal-hal dunia ada kalanya tidak memberi manfaat dan pahala malah melalaikan kita. Justeru, membuat perancangan amat penting supaya setiap kerja kita adalah ibadah.


Wednesday, February 22, 2012

Komunikasi berkesan





Komunikasi yang berkesan amat penting dalam semua keadaan. Bagi peniaga atau usahawan, komunikasi yang jelas, padat dan mudah difahami dapat meningkatkan kadar keuntungan syarikat.

Bagi pelajar, memahami mesej yang disampaikan oleh guru di dalam kelas dapat menambahkan kefahaman untuk menghadapi peperiksaan. Bagi kakitangan organisasi, komunikasi berkesan boleh mengurangkan kekerapan memberi arahan berulang-ulang kali.

Saya pernah memesan segelas air milo ais di sebuah restoran tetapi  yang datang ialah segelas teh 'o' ais. Arahan yang diberi sangat jelas tetapi saluran mesej menghadapi gangguan dan masalah. Akhirnya, restoran tersebut terpaksa menanggung kos teh 'o' ais kerana tidak ada pelanggan yang memesan minuman itu.

Kesimpulannya, kalau salah mengurus komunikasi, ia akan membawa beban kepada kita sendiri dan orang lain juga terkena tempiasnya.


Tuesday, February 21, 2012

Prinsip integriti Umar





Integriti sangat penting di mana-mana sahaja. Di tempat kerja, di rumah atau ditempat awam. Pemimpin yang berintegriti akan menjadi ikutan pengikut-pengikutnya. Khalifah Umaz Abdul Aziz dikenali sebagai pemimpin yang percaya dengan prinsip integriti. Di pejabatnya, terdapat dua lampu, satu untuk urusan negara dan satu lagi untuk urusan keluarga.

Suatu hari anaknya masuk untuk berjumpa. Lalu Umar bertanya, "Engkau masuk ni untuk urusan negara atau urusan keluarga?" Pada diri Umar, urusan negara atau keluarga adalah berbeza. Kalau urusan keluarga, dia akan menggunakan lampu sendiri supaya tidak dikecam kerana menggunakan hak negara.

Integriti yang ada pada diri Umar menjadikan pentadbiran negara lebih telus dan berjaya.


Monday, February 20, 2012

Galakkan debat politik





Masyarakat Cina Malaysia dikatakan menyambut baik perdebatan di antara pemimpin MCA dan DAP  baru-baru ini. Isu debat berkenaan  menyentuh masa depan masyarakat Cina Malaysia yang secara keseluruhannya hampir 24 peratus daripada penduduk Malaysia.

Berdebat adalah ciri pemimpin yang matang. Dalam proses itu, penonton dapat menilai kematangan berfikir pemimpin mereka. Malah dapat melihat sendiri bentuk hujahan, intonasi suara dan ayat-ayat yang dipilih.

Di negara-negara maju, berdebat adalah sebahagian daripada proses kemajuan negara. Calon-calon yang bertanding sebagai presiden terpaksa melalui beberapa siri perdebatan untuk melonjakkan nama masing-masing.

Di Amerika Syarikat, presiden negara itu mesti berhadapan dengan perdebatan di peringkat parti hinggalah berhadapan dengan calon terbaik dari parti lawan. Oleh kerana sejak awal lagi dilatih untuk berdebat, pemimpin negara itu tidak kekok untuk berbual, memberi idea dan berbahas di peringkat dunia.

Keadaan ini tidak berlaku di negara kita. Sekali-sekala sahaja kita dapat lihat debat yang diatur oleh pihak media melibatkan pemimpin bawahan parti-parti politik. Itu pun penuh dengan kekangan seperti permit polis, keselamatan dan jaminan dapat dilaksanakan dengan selamat.

Justeru apabila dicadangkan debat, macam-macam helah diberikan khususnya dari parti pemerintah, kita pun tidak tahu sebabnya. Parti pembangkang lebih kerap mengadakan ceramah di seluruh negara siang dan malam kerana tidak pernah diberi ruang untuk berucap sepatah dua mengenai impian mereka ke atas rakyat Malaysia. Media elektronik kerap menyiarkan ucapan sehala pemimpin kerajaan yang berasa yakin seolah-olah akan menang dalam pilihan raya yang akan datang.

Pemimpin-pemimpin Cina Malaysia telah mengorak langkah memberi pilihan kepada masyarakat itu tentang siapa yang lebih hebat wawasannya terhadap masa depan mereka. Lim Guan Eng dari DAP dan Chua Soi Lek dari MCA berentap idea dan harapan.

Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana satu isu dan Chua Soi Lek pernah menjadi bahan bualan kerana masalah moralnya, suatu yang sukar diterima oleh masyarakat Islam. Bagaimana pemimpin yang tidak bermoral hendak memimpin masyarakat yang bermoral melainkan masyarakat itu sendiri yang sama seperti pemimpin mereka. 

Dalam kalangan masyarakat India, perdebatan pemimpin masyarakat itu belum lagi ada sambutan. Pemimpin Melayu pun sama namun perjumpaan dan perbualan tidak formal memang sering berlaku bagi membincangkan kemajuan orang Melayu di Malaysia.

Perdebatan sesama pemimpin wajar disuburkan supaya rakyat Malaysia lebih matang berpolitik lebih-lebih lagi memilih pemimpin yang 'cakap serupa bikin'. Era pemimpin syok sendiri semakin berlalu, jadi masyarakat ingin sekali melihat bagaimana pemimpin mereka merancang masa depan negara.


Sunday, February 19, 2012

Syukur dan rahmat Allah swt





Allah swt memberikan kita kesempurnaan anggota fizikal ketika lahir dan kita bersyukur. Kehidupan yang kita lalui seterusnya adalah sangat menyenangkan kerana boleh bergerak ke sana sini. Sedarkah kita ada orang yang lahir tanpa kaki atau tangan?

Ada yang lahir dengan cukup kaki dan tangan tetapi tidak ada penglihatan dan pendengaran. Ada yang lahir dengan jantung berada di luar badannya.

Kita yang lahir dengan keadaan yang sempurna, pernahkah kita bersyukur kerana diberi tubuh badan yang sihat, boleh berfikir dan bergerak ke sana sini, dapat belajar di sekolah, mendapat pekerjaan yang sesuai dengan jiwa, malah Allah swt memberi keizinan untuk cemerlang dalam panyak perkara.

Bersyukur adalah satu mekanisme yang mudah untuk Allah swt tambahkan lagi rahmat-Nya kepada kita.

 

Saturday, February 18, 2012

Bisnes e-mel





Suatu hari anda membuka e-mel dan tajuknya ialah "perlukan perkhidmatan kami?" Apa yang anda fikirkan?

Sebenarnya, bentuk bisnes tidak lagi terhad kepada barangan keperluan. Ia telah berkembang seiring dengan perkembangan teknologi internet. Kenyataan ini berkaitan dengan bisnes menjual e-mel yang dikumpul sehingga melebihi 100,000 pengguna. Andai kata hanya satu peratus yang memberi maklum balas atau membeli produk jualan yang berharga RM100, senang-senang keuntungan mencecah jutaan ringgit dengan satu klik.

Kepintaran mempelbagaikan bisnes terletak pada kreativiti, inovasi dan mahu berfikir lebih jauh. Nilai-nilai kesungguhan, keyakinan diri dan daya juang akan memacu kejayaan yang lebih cemerlang.


Friday, February 17, 2012

Yakin dengan diri sendiri





Yang membezakan seorang jurujual yang juara dan seorang jurujual yang kecewa adalah sifat yang terdapat dalam diri iaitu keyakinan. Orang yang hebat dan cemerlang memiliki tahap keyakinan yang tinggi, kuat dan teguh, berupaya menggerakkan semangat juang dan merangsang pemikiran positif.

Contohnya seorang jurujual yang hebat ialah jurujual yang bangun setiap pagi dan berkata kepada dirinya, “hari ini aku akan menjual tujuh produk.”

Dia akan mencari jalan, berikhtiar, bertanya, berjumpa prospek untuk mendapat tujuh transaksi jualan. Tanpa rasa malu, dia bertanya, memberi penerangan dan tidak berhenti selagi tidak mendapat jualan.

Apakah dia akan gagal? Mungkin gagal tetapi semangat dan daya juangnya semakin tinggi dan tidak menyesal kalau gagal kerana telah berusaha dengan gigih.



Thursday, February 16, 2012

Kemahuan lebih penting




Seringkali kita mendengar kejayaan dan kegagalan silih berganti, namun hakikatnya ialah kejayaan banyak ditentukan oleh kemahuan, bukannya pendidikan. Saya ambil contoh seorang usahawan automatif Amerika Syarikat, Henry Ford. Dia bukannya seorang yang berpendidikan tinggi tetapi semangat untuk meraih kejayaan sangat tinggi.

Ford ingin mencipta mesin V8 dan dia bekerja keras bersama-sama jurutera membina sebuah mesin atau jentera yang hebat. Kesungguhan untuk melihat sebuah jentera V8 akhirnya tercapai selepas kemahuan tinggi mengatasi semua halangan.

Resepi kejayaan Ford ialah memiliki matlamat dan bergerak ke arah matlamat itu dengan seribu daya dan seribu usaha.



Wednesday, February 15, 2012

Yakin tidak bertempat





Jika kita bergerak dari Sengkurong menghala ke bandar, kita akan menempuh sepuluh lampu isyarat. Ada lampu isyarat yang menetapkan masa yang sangat singkat untuk berubah warna lampu dan ada yang agak lama sedikit.

Peranan lampu isyarat adalah sebagai sistem pengatur lalu-lintas supaya jalan raya lancar.

nNmun, ada pengguna jalan raya yang tidak sabar tetapi sangat yakin untuk melanggar warna lampu isyarat ini. Bagi mereka, warna hijau, kuning dan merah tidak ada maknanya.

Tindakan pengguna jalan raya seperti ini mengundang bahaya kepada orang lain yang mengikut peraturan jalan raya. Keyakinan mereka tidak bertempat dan memberi masalah kepada orang lain. Pengguna jalan raya yang hebat ialah yang mampu mengikut undang-undang.


Tuesday, February 14, 2012

Perbankan Islam pilihan terbaik





oleh Nurul Anuar Kari

Sistem kewangan Islam atau lebih mudah difahami sebagai perbankan Islam bukan sesuatu yang baru di negara ini.

Malangnya, beberapa laporan akhbar, berita dan aduan orang ramai telah membentuk salah tanggapan terhadap perbankan Islam seolah-olah ia lebih mahal, menindas mahupun menekan pengguna. Prejudis dan salah faham ini mungkin bukan kesalahan mana- mana pihak yang khusus sebaliknya berlaku akibat perbankan Islam tidak diberi pendekatan, pendedahan, penjenamaan dan pemasaran yang tepat selama ini.

Kewangan konvensional pula yang jauh lebih lama bertapak di negara ini sudah biasa diterima umum dan selesa digunakan walaupun ia bukannya pilihan terbaik.

Bagi Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat, umat Islam wajib memilih perbankan Islam dalam semua urusan harian mereka kerana ia lebih berkat, suci dan toyyibah.

"Sudah berpuluh kitab dan buku saya kaji berkaitan kewangan Islam dan timbul rasa tanggungjawab untuk membantu membetulkan salah tanggap umum terhadap sistem ini.

"Persoalan mudah di sini adalah dengan melihat pilihan umat Islam ketika keluar makan bersama keluarga atau rakan. Adakah memilih restoran halal yang mahal sedikit atau yang tidak halal yang murah dan menarik," soalnya.

Tegasnya, didikan nenek moyang telah menghalakan umat Islam ke arah restoran halal kerana mereka telah dilatih sejak kecil.

Tambahnya, malang pula bagi perbankan Islam, sudut halal haram kewangan tidak diajar seperti pemakanan walaupun selepas sistem kewangan Islam berkembang.

Menurut beliau, kekeliruan berpunca daripada urusan biasa pengguna sama ada membeli rumah, kereta atau buat pinjaman peribadi yang diberi pilihan antara sistem konvensional atau Islamik.

"Katakan membeli rumah berharga RM300,000 dengan pinjaman 30 tahun. Ansuran bulanan sistem Islamik RM2,500 secara tetap sehingga cukup tempohnya. Ansuran bulanan sistem konvensional pula RM2,000 tetapi tertakluk kepada Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang mungkin naik atau turun mengikut keadaan pasaran," jelasnya.

Beliau menyatakan, kebanyakan peminjam akan memilih sistem konvensional kerana ansuran permulaannya lebih rendah walaupun terdapat risiko BLR meningkat jika pasaran tidak menentu seperti krisis tahun 1980-an, 1997 dan 2007.

"Ramai pelabur, peminjam dan pembeli rumah yang muflis sebab BLR melambung ketika zaman krisis dahulu tetapi tidak pelik peminjam tetap memilih sistem konvensional kerana ansuran permulaannya lebih rendah.

"Bila BLR naik, ansuran RM2,000 bertambah menjadi RM2,800 atau lebih. Peminjam tidak nampak aspek perbankan Islam yang lebih stabil, adil, saksama dan seimbang," tegasnya.

Beliau menjelaskan, bank tidak mahu berkongsi risiko naik turun pasaran dunia melalui sistem konvensional, sebaliknya mengembalikan beban risiko itu kepada peminjam dan jumlah penuh bayaran sukar ditetapkan.

"Lantas, yang mana lebih adil? Tentulah kewangan Islam di mana bank atau pemberi pinjaman berkongsi ekuiti serta risiko pasaran bersama peminjam, lebih telus dan tiada unsur riba atau kesamaran (was-was).

"Semua bank, sama yang Islamik atau yang namanya bukan bercirikan Islam, sudah ada ciri perbankan Islam sebagai sistem kewangan alternatif untuk pelanggan mereka," ujarnya.
Beliau turut mengambil contoh pembelian rumah dan kenderaan yang lebih baik mengikut sistem kewangan Islam dalam berurusan bagi menjamin tiada unsur penipuan.

"Konsep bina dahulu rumah baru jual sangat Islamik kerana tidak sepatutnya dijual sesuatu yang tidak (belum) wujud. Ikut cara lama, ramai pemaju yang lesap selepas menerima duit.

"Mengikut sistem Islamik, institusi kewangan akan membeli dahulu projek pembangunan itu dari pemaju, pastikan ia sudah berjaya dan siap baru dijual kepada pembeli," katanya.

Beliau memaklumkan industri kenderaan juga menghadapi masalah serupa apabila jurujual lesap selepas menerima duit muka daripada pembeli kerana tiada ikatan jelas.

"Pembeli kini perlu letakkan duit muka sekitar 10 peratus kepada jurujual dahulu baru pihak bank akan beli kenderaan tersebut (melalui pinjaman).

"Pihak bank sepatutnya membeli dahulu kenderaan itu melalui kerjasama strategik, menjadikan jurujual perantara sahaja dan duit muka 10 peratus dibayar pembeli kepada bank," katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan perbankan Islam juga mempunyai konsep diskaun atau rebat yang tiada dalam sistem konvensional dikenali sebagai ibra' untuk peminjam yang membayar ansuran secara tetap dan teratur.

Jelasnya lagi, perbankan Islam memegang prinsip untuk 'tidak memufliskan' peminjam dan secara proaktif akan cuba membantu peminjam jika timbul masalah tertentu.

"Bank Islamik akan kenakan penalti minimum sebagai teladan jika peminjam lewat membayar ansuran tetapi ia tidak dimasukkan ke dalam pendapatan bank sebaliknya digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan.

"Sistem konvensional pula akan mengenakan faedah yang lebih tinggi jika ansuran lewat dibayar dan jumlah itu akan dimasukkan ke dalam keuntungan bank (riba), mendedahkan peminjam kepada spekulasi dan kemuflisan," katanya.

Di samping itu, beliau menjelaskan perbankan Islamik akan menapis peminjamnya bagi mengelakkan memberi pinjaman kepada industri tidak bermoral seperti kasino judi, arak dan kelab malam, secara tidak langsung mengurangkan gejala sosial.

Khairul Anwar turut menasihatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) serta institusi kewangan yang menghulur bantuan kewangan kepada usahawan menstruktur semula sistem pinjaman mereka kepada perbankan Islam.

"Sistem konvensional memerlukan gadaian atau jaminan yang samar seperti rekod kewangan sekitar RM500,000 untuk pinjaman RM1 juta.

"Jika usahawan sudah ada beratus ribu dalam simpanan, mereka tidak perlu buat pinjaman RM1 juta itu di samping mereka boleh meminjam duit orang lain atau ah long terlebih dahulu bagi menunjukkan akaun mempunyai jumlah gadaian mencukupi," jelasnya.

Tegasnya, mengikut cara Islam, pinjaman diberi mengikut kebolehpercayaan peminjam seperti keupayaan projek usahawan tersebut dan kerana itu pegawai berkenaan perlu turun tengok jika peminjam mampu membayar balik dan tidak pernah menipu.

Beliau yang juga Pengerusi K.A Syariah Advisory (K.A Syariah) mempersoalkan di manakah kewajaran urusan harian terus menggunakan sistem konvensional bila kerajaan telah memberi ruang yang luas untuk perbankan Islam berkembang.

"K.S Syariah di bawah Khairul Group yang baru dilancarkan merupakan antara yang terawal menceburi bidang perbankan Islam sebagai perantara orang ramai dengan pihak bank serta mempromosikan sistem kewangan Islam sebagai satu gaya hidup.

"Saya berharap firma-firma guaman berskala kecil hingga sederhana bergabung kepakaran dan tingkat pengetahuan kewangan Islam bagi melabur dalam modal insan," ujarnya.

Beliau berharap, gabungan terutamanya di kalangan firma bumiputra itu juga mendapat sokongan institusi kewangan Islamik kerana tidak mahu sektor tersebut dikuasai mereka yang bukan beragama Islam.

"Walaupun orang bukan Islam memahami teorinya, tiada roh Islam dalam keimanan mereka. Seperti mana urusan hal ehwal Islam diuruskan Mahkamah Syariah dan dikebumikan di perkuburan Islam selepas meninggal dunia, duit kita juga perlu melalui sistem kewangan Islam.

"Kempen kesedaran berkenaan halal haram sistem perbankan perlu diteruskan. Saya juga berharap pada satu tahap kelak, boleh diwujudkan satu akta yang mewajibkan umat Islam berurusan dengan sistem kewangan Islam sahaja," tegasnya.

(Utusan Malaysia, 14 Februari 2012)

 

Monday, February 13, 2012

Nik Abduh nasihat Karpal hormati agama lain





oleh Sapinah Ab Ghani

Dewan Pemuda Pas menasihatkan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh supaya belajar untuk menghormati agama lain dan tidak memaksa masyarakat untuk menerima pandangan peribadinya.

Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam nada sinis berkata, pemimpin tertinggi DAP itu sepatutnya lebih menghormati agama lain dan tidak menyamakan ia dengan mahkamah.

“Walaupun sudah berusia, Karpal Singh sepatutnya belajar untuk menghormati setiap agama yang ada negara ini, dan bukan hanya memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain, politik bukan mahkamah,” katanya di sini, hari ini.

Nik Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.

Pada 7 Februari lalu, Nik Abduh dilaporkan berkata, kerajaan perlu menyiarkan iklan antisambutan Hari Kekasih untuk mencegah umat Islam dari menyambutnya.

Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ketika Pas rancak mempromosikan hak-hak bukan Islam supaya ia lebih adil, Karpal pula seolah-olah mengambil kesempatan menyekat hak asasi umat Islam yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

Menurutnya, keputusan menentang Hari Kekasih bukan hanya pendirian Pas semata-mata, sebaliknya ia juga dimahukan oleh semua umat Islam.

Katanya, semua pihak perlu terlibat dalam mendidik dan menyeru umat Islam ke arah kebaikan beragama, dan mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosikan Islam secara unggul.

“Dalam diri umat Islam ada agama, yang merupakan hak tertinggi, jadi mendidik mereka agar menghormati ajarannya adalah hak-hak asasi yang perlu ditegakkan,” katanya.

Akhabar Sinar Harian ini melaporkan kenyataan Karpal yang tidak bersetuju pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih pada Selasa ini.

Menurutnya, pendirian Pas tidak boleh dipertahankan kerana sambutan Hari Kekasih diterima umum, dan disambut hampir di semua negara.

“DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih, bukan satu langkah yang baik.

“Tindakan Pas adalah sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan," katanya.

(Sinar Harian, 13 Februari 2012)


Sunday, February 12, 2012

Jangan takut pada kekurangan diri





Seorang pemuda yang dilahirkan tanpa tangan dan tanpa kaki telah menjadi sumber inspirasi kepada ribuan orang. Namanya Nick Vujicic. Dia bergerak ke sana sini, berenang, memancing dan hidup seperti orang biasa.

Selain kekurangan tangan dan kaki, dia tidak ada kekurangan yang lain. Malah memiliki kelebihan yang mengatasi kita. Kehebatannya ialah tidak menyesal dengan keadaan dirinya.

Setiap tahun Nick bercakap kepada ribuan orang tentang jangan takut pada kekurangan diri dan kegagalan hidup. Sekiranya Nick dalam serba kekurangan boleh berjaya, apatah lagi kita yang sempurna akal dan fizikal. Tentulah kejayaan akan lebih mudah dicapai.



Saturday, February 11, 2012

Kekang rasuah bola sepak





Rasuah dalam bola sepak negara masih ada. Tindakan tegas FAM mengenakan hukuman kepada pemain yang terlibat dalam insiden ini sangat disokong. Kita tidak mahu peminat sukan bola sepak ditipu bulat-bulat oleh pemain yang berpura-pura menang dan kalah tidak pada tempatnya. 

Sejarah rasuah bola sepak Malaysia yang paling dahsyat ialah yang berlaku di sekitar awal hingga pertengahan tahun 1990-an lalu. Nama-nama pemain tersohor seperti Karim Pin, Azizul Abu Hanifah dan Che Hasrizal telah hilang dari ingatan dalam sekelip mata akibat rasuah bola sepak. Generasi muda hari ini tidak lagi kenal pemain-pemain ini. Katanya semua yang telah dikenakan hukuman tidak dapat bermain untuk tempoh beberapa tahun. Inilah bahana menyusun atur perlawanan kerana inginkan habuan yang tidak seberapa akhirnya badan merana. 

Kita jarang bertanya kenapa rasuah juga boleh berlaku dalam bola sepak. Pemain bola sepak tidak ada yang menjadi jutawan jika bermain dalam negara. Rakan-rakan mereka dalam kelab-kelab tersohor dunia mendapat gaji mingguan bernilai ribuan ringgit tetapi pemain bola sepak profesional Malaysia ada yang terpaksa menunggu dua hingga tiga bulan untuk mendapat gaji. Kesusahan mendapat wang untuk sara hidup mungkin menjadi faktor kepada mudahnya pemain diperangkap dengan rasuah.

Rata-ratanya perlawanan bola sepak di rantau Asia dan Asia Tenggara tidak dapat menarik jumlah penonton yang ramai ke stadium. Justeru pendapatan persatuan bola sepak negeri atau kelab menghadapi masalah kewangan, mereka tidak dapat melunaskan hutang tunggakan gaji. Kadang-kadang tiket juga mahal menyebabkab penonton dan penyokong tidak berminat untuk datang ke stadium.



Friday, February 10, 2012

Beri alasan





Berbagai-bagai alasan yang diberikan untuk seseorang itu mengelak daripada melakukan kerja yang dia tidak minat sama ada alasan itu logik atau tidak, bukannya satu masalah kerana alasan ini sifatnya boleh jadi logik atau tidak logik.

Seorang rakan saya diminta membaca doa untuk satu majlis. Bos di tempat kerjanya bertanya, "Ismi, kamu boleh baca doa untuk majlis nanti?"

Oleh kerana ada hal lain dan tidak mahu membaca doa, Ismi bertanya, "Doa yang baru atau doa yang lama? Doa yang baru belum hafal, doa yang lama sudah lupa." Lalu bosnya mencari orang lain.

Alasan boleh jadi serius, boleh jadi juga seperti berseloroh. Dalam kisah ini, Ismi berjaya mengelak dari membaca doa.


Thursday, February 09, 2012

Paranormal boleh cakap bahasa asing





oleh Mohammad Ishak dan Satiman Jamin

Doktor Pakar Saraf, Jabatan Neurosains Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Muzaimi Mustapha, berkata keupayaan individu seperti dialami Noraini Ismail, 17, untuk bercakap bahasa asing selepas trauma kepada otak, memang wujud dalam bidang perubatan tetapi tidak dapat dijelaskan mengenainya kerana ia hampir dengan kegiatan paranormal.

Beliau berkata, keadaan itu dikenali sebagai ‘xenoglossy’, iaitu sebahagian daripada gejala perubahan personaliti yang biasa dilihat kepada individu yang mengalami trauma otak.


Katanya, keadaan itu biasanya terjadi selepas personaliti kedua seseorang tercetus apabila berada bawah sedar atau hipnosis.

“Dalam kes Noraini, trauma otak dialami selepas nahas jalan raya mungkin menjadi pencetus dan menerbitkan personaliti kedua yang membolehkannya bercakap bahasa asing.

“Selain itu, personaliti keduanya mungkin juga dipengaruhi drama dalam bahasa asing yang sering ditontonnya di televisyen. Ketika tidur, dia mungkin bermimpi dan fikiran bawah sedarnya menerbitkan personaliti kedua dan mengambil alih dirinya yang biasa.

“Ini mungkin menjelaskan bagaimana gadis itu boleh berbahasa asing selepas bangun tidur,” katanya di sini, semalam.

Noraini dari Kampung Seri Medang, Kampung Raja di sini, dikatakan tiba-tiba boleh berbahasa Cina dialek Hokkien, Korea, Jepun dan Indonesia sejak sebulan lalu, selepas terbabit kemalangan jalan raya.


Ditanya berapa lama keadaan itu, beliau berkata, Noraini perlu menjalani imbasan otak untuk menilai keadaannya.

Selain itu, katanya, masih terlalu awal untuk dikatakan sama ada kebolehan Noraini bercakap bahasa asing adalah kelebihan atau kekurangan dalam pelajarannya.

“Imbasan otak boleh menunjukkan sama ada berlaku penyusutan kepada struktur otak yang membawa kepada keadaannya sekarang, malah dia juga wajar dinilai pakar psikologi kanak-kanak,” katanya.

Mengenai hasrat Noraini masuk ke sekolah Cina selepas kebolehannya berbahasa itu, Dr Muzaini berkata, keputusan itu seharusnya dibuat selepas penilaian menyeluruh keadaannya dibuat.

Sementara itu, ibu Noraini, Mansena Daud, 48, berkata keluarganya sedia menghantar pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di sini, melanjutkan pengajian ke sekolah Cina pilihannya, selepas melihat kesungguhan dan keupayaan anaknya itu.

“Selepas keluar wad HUSM, Noraini terus bertutur bahasa asing menyebabkan kami tidak faham dan kebingungan. Dia mula bercakap bahasa asing tertentu selepas solat Subuh dan berterusan hingga jam 6 petang.

“Saya risau kerana tidak faham bahasa itu, sebaliknya terpaksa menggunakan isyarat dan tulisan dalam bahasa Melayu ketika berinteraksi dengannya setiap pagi,” katanya.


(Berita Harian, 9 Februari 2012)



Wednesday, February 08, 2012

Persediaan hadapi masyarakat tua





oleh Liow Tiong Lai

Hari ini jangka hayat seseorang lelaki Malaysia ialah 72 tahun atau mungkin lebih, manakala wanita pula lebih kurang 77 tahun atau lebih. Ini adalah satu pencapaian membanggakan berbanding 55 tahun lalu ketika zaman kemerdekaan yang mana purata jangka hayat lelaki hanya lebih kurang 56 tahun dan wanita 58 tahun.

Purata jangka hayat yang lebih panjang adalah antara petanda kemajuan negara, hasil daripada rawatan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan lebih baik serta taraf hidup lebih tinggi. Di negara membangun seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, lebih ramai penduduk mencapai usia lanjut sedangkan bilangan bayi dilahirkan semakin berkurangan. Akibatnya, ada lebih ramai golongan tua dalam kalangan masyarakat atau apa yang dikenali sebagai masyarakat tua.

Fenomena masyarakat tua juga berlaku di negara sedang membangun seperti China, India dan Indonesia yang diramalkan akan memiliki jumlah penduduk tua terbesar di dunia. Laporan Banci Malaysia 2010 meramalkan bahawa kita mungkin menjadi masyarakat tua pada 2024, jika trend populasi semasa ini berterusan.

Sambil kita menikmati hasil kejayaan, iaitu mampu terus hidup sehingga mencapai usia emas, kita tidak boleh mengabaikan kesan-kesan di sebaliknya. Usia lanjut biasanya sinonim dengan keuzuran seperti penyakit dan kurang upaya. Kebanyakan penyakit kronik dan keadaan degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, serebrovaskular dan kanser mencapai tahap kemuncak dalam kalangan orang tua, terutama jika risikonya tidak dicegah pada usia muda.

Kebanyakan daripada kita boleh berharap menikmati kehidupan pasca persaraan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun. Namun pada kebiasaannya ini adalah tempoh pergolakan apabila kita cuba sesuaikan diri dengan hakikat kehilangan kedudukan atau peranan disandang sepanjang sebahagian besar zaman dewasa dulu.

Sebahagian besarnya zaman tua adalah tempoh ketidaktentuan yang dipenuhi pelbagai cabaran. Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, timbul beberapa peluang yang boleh dimanifestasikan pada fasa usia ini – ia adalah lembaran baru apabila kerjaya baru boleh diceburi, minat baru diterokai dan peluang yang tercicir sebelum ini boleh direbut semula.

Pun begitu, semua ini hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat kita mempunyai ‘jangka kesihatan’ yang lebih baik, di samping panjang umur. Kita tidak mahukan masyarakat tua dihimpit pelbagai masalah penyakit dan kurang upaya, sebaliknya kita mahukan sebuah masyarakat sihat, produktif dan aktif. Malah ini antara daya usaha utama Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Kesihatan Sepanjang Hayat’.

Dr Philip Poi, seorang pakar geriatrik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mengkategorikan masyarakat tua dalam dua kumpulan, iaitu tua yang muda dan tua yang tua. Generasi tua yang muda adalah mereka yang terus aktif dalam kalangan masyarakat dan di rumah. Generasi tua yang tua adalah mereka yang tidak dapat memberikan sumbangan lagi kepada masyarakat kerana keadaan yang semakin uzur atau keadaan mental yang merosot.

Jika sebahagian besar penduduk negara terdiri daripada tua yang tua, mereka bergantung kuat kepada tenaga kerja yang muda untuk sokongan dengan itu meningkatkan lagi beban terhadap sumber tenaga pekerja yang sememangnya terbatas sekarang.

Saya bimbang sistem rawatan penjagaan kesihatan kita mungkin tidak dapat menangani beban yang kian meningkat. Walaupun matlamat kita adalah untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang mampu ditanggung setiap warga negara, impak peningkatan bilangan pesara dalam kalangan penduduk negara yang bergantung pada sistem ini amat besar.

Keperluan rawatan kesihatan mereka lebih bertambah pada peringkat usia ini, kemungkinannya mereka mengalami pelbagai penyakit kronik dan degeneratif seperti yang disebutkan. Mereka perlukan ubat-ubatan, rawatan terapi dan sokongan untuk jangka masa panjang bagi kebanyakan penyakit ini.

Bagaimanapun, usia tua bukanlah malap semata-mata. Gambarannya mungkin jauh berbeza jika penduduk tua ini termasuk dalam kategori tua yang muda; minda dan tubuh badan seperti generasi muda – mereka mengamalkan gaya hidup sihat, amalan pemakanan yang baik dan menjaga kesihatan fizikal dan sentiasa mengekalkan kecerdasan mental.

Keadaan ini membolehkan mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada tenaga kerja serta masyarakat. Pengalaman mereka yang luas dan kebijaksanaan mereka boleh dikongsi bersama dengan generasi muda, menjadikan mereka aset berharga kepada masyarakat secara amnya.

Jelas sekali kunci utama memupuk populasi semakin tua yang sentiasa gembira, produktif dan seimbang adalah dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Kesihatan yang baik bermula pada peringkat awal kehidupan seseorang supaya dia dapat mencegah timbulnya masalah obes, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, atau mengurangkan risiko komplikasi termasuk kematian.

Tanggungjawab ini bukan semata-mata terletak pada sistem rawatan penjagaan kesihatan, malah tugas setiap individu. Mulakannya sejak awal usia 20-an, supaya anda boleh menikmati kehidupan sepenuhnya apabila menjangkau usia persaraan.

Sektor pekerjaan juga boleh memainkan peranan penting sebagai persiapan kepada tenaga kerja untuk menghadapi kehidupan pasca-persaraan mereka dengan menawarkan jawatan secara separuh masa atau sukarela dan menyediakan program latihan untuk membekalkan kemahiran baru.

Dalam tempoh 12 tahun lagi kita akan memasuki 2024. Dengan perancangan yang baik dan teliti, kita boleh bersedia menghadapi peningkatan masyarakat semakin tua yang sihat, produktif, dihargai dan dihormati.

(Berita Harian, 8 Februari 2012)

 

Tuesday, February 07, 2012

Apa ditanam akan dituai





Pepatah lama tetapi masih relevan hingga kini, “apa yang ditanam akan dituai” sesuai untuk kita renung bersama.

Seorang petani yang menanam anak-anak benih padi akan menuai padi. Jika dia menanam jagung, tentulah jagung yang akan dituai, bukannya terung.

Mari kita lihat dalam diri kita. Apa yang kita tanam dalam diri, jiwa dan fikiran? Andainya kita menanam semangat yang tinggi, azam yang berkobar-kobar di samping usaha keras, kita boleh jangkakan apakah hasilnya kelak.

Nilai-nilai yang kuat dan positif dalam jiwa dan fikiran akan menjadi teras kepada kesungguhan dalam setiap tindakan. Amat penting untuk kita menyemai nilai-nilai yang mendokong kepada kejayaan, kemenangan atau juara.



Monday, February 06, 2012

Tetapkan fokus





Ketika mengunjungi sebuah pasar raya besar, saya terpandang dua buah papan permainan dart yang berbeza saiz. Satu bersaiz besar dan satu lagi kecil. Harganya pun tentulah berbeza. Agak lama juga saya membelek kedua-dua papan dart itu sambil berfikir kelebihan dan kekurangannya. 

Selepas itu saya membuat keputusan tidak membeli kedua-duanya kerana tidak berkenan.

Fokus saya ke pasar raya itu ialah membeli tiga helai seluar panjang untuk kegunaan ke tempat kerja. Ketiga-tiga helai seluar berkenaan saya dapat cari dan menepati spesifikasi yang dikehendaki.

Dalam hidup kita, banyak sekali tarikan-tarikan luaran yang mengkehendaki kita untuk menyimpang daripada fokus kerja. Banyak juga masa yang dihabiskan semata-mata melayan keperluan yang tidak sewajarnya dicari. Justeru kita kena pandai menguruskan keperluan dan kehendak hidup supaya tidak membazir.



Sunday, February 05, 2012

Tidak kecewa dengan penolakan





Saya tertanya-tanya kenapa sesetengah pelajar, usahawan dan staf sesebuah organisasi lebih berjaya berbanding yang lain. Dari segi masa, jenis tugas atau bayaran gaji, semuanya sama sahaja. Dalam berfikir-fikir ini, saya berjaya mencari alasannya.

Saya menggunakan prinsip yang diutarakan oleh pencetus resepi ayang goreng KFC, Kolonel Sanders. Beliau percaya apabila melaksanakan sesuatu kerja, selalulah berharap untuk mendapatkan lebih daripada apa yang diharapkan daripada orang lain.

Kolonel Sanders terpaksa meyakinkan hati banyak pemilik restoran untuk mencuba resepi ayam yang dimiliki oleh ibunya. Banyak kali dia mencuba dan tidak pernah kecewa dengan penolakan.

Sebaik sahaja berjaya, dia telah mengubah pola dan cara hidup masyarakat. Persepsi ayam goreng juga telah berubah. Hari ini ramai usahawan yang menjadikan ayam sebagai teras perniagaan mereka.



Saturday, February 04, 2012

Lebihkan perhatian kepada orang lain





Jika anda seorang jurujual kereta, anda wajar mencari orang yang bernama Joe Girard. Namanya dicatat dalam Guiness Book of Record sebagai jurujual kereta paling banyak di dunia. Saya telah membaca buku popular tulisannya 15 tahun lalu. Buku itu penuh dengan inspirasi, tip dan teknik menjadi jurujual yang hebat. 

Namun untuk mengingat semua tip tersebut akan menyakitkan kepala. Satu-satunya tip yang saya ingat ialah memberi perhatian yang lebih banyak kepada orang ramai. Maksudnya, Girard memberi perhatian yang sangat hebat kepada pelanggannya dan dapat memenuhi selera mereka untuk mendapatkan kereta yang diminati. 

Dalam bisnes, hubungan dengan pelanggan sangat penting dan mengambil berat tentang keperluan pelanggan dapat meningkatkan volum jualan dan keuntungan dalam jangka masa panjang.



Friday, February 03, 2012

Rakyat lebih percaya NGO berbanding kerajaan





Rakyat Malaysia menaruh kepercayaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perniagaan sebanyak 58 peratus, berbanding kerajaan berdasarkan barometer kepercayaan Edelman 2012.

Menurut kajian di kala­ngan orang awam, lima sektor industri yang paling dipercayai terdiri daripada teknologi (85 peratus), telekomunikasi (81 peratus), perbankan (78 peratus), perkhidmatan kewangan (77peratus), automotif dan makanan dan minuman (masing-masing 75 peratus).

Sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan me­nurun dari segi tahap kepercayaan di peringkat global dan menjadi dua sektor yang paling kurang menerima kepercayaan di Perancis, Sepanyol, Brazil, Jepun, dan Korea Selatan berikutan masalah kewangan yang dihadapi di Zon Eropah.

Bagaimanapun, Sektor teknologi kekal sebagai sektor yang paling dipercayai di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian, walau­pun kepercayaan terhadap perniagaan tinggi, namun 54 peratus orang awam percaya bahawa kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih untuk mengawal selia perniagaan, berbanding jumlah 49 peratus di peringkat global.

“Ini termasuk melindungi orang awam daripada amalan perniagaan tidak bertanggungjawab dan memastikan perilaku korporat yang bertanggungjawab.

“Manakala, sejumlah 84 peratus daripada orang awam percaya bahawa perniagaan perlu terlibat dalam menyelesaikan masalah sosial dan alam sekitar dan 84 peratus percaya bahawa penting untuk perniagaan menangani keperluan masyarakat tanpa mengorbankan pulangan kewangan pemegang saham,” katanya.


(Sinar Harian, 2 Februari 2012)

 

Thursday, February 02, 2012

Gaji hanya RM510 sebulan?





Hampir 50 pemandu bas henti-henti mogok tidak mahu memandu bas, semalam, kerana tidak berpuas hati dengan gaji ditawarkan PM Cultural & Tourism (PMCT) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri yang mengambil alih operasi bas di negeri ini bermula, semalam.

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Melaka Sentral di sini, seawal jam 6.30 pagi semalam mendapati, kebanyakan mereka hanya duduk beramai-ramai dan tidak mahu memandu bas.

Hanya dilihat beberapa bas membawa penumpang ke terminal, selain membawa pelajar, hasil ihsan pemandu bas selepas ramai ibu bapa merayu meminta tolong menghantar anak mereka ke sekolah.

Rata-rata mereka berkata, selagi tawaran gaji pokok sebanyak RM510 sebulan tidak diteliti semula, mereka berkemungkinan akan meneruskan mogok atau berhenti kerja.

Mereka mendakwa, pendapatan baru itu jauh lebih rendah daripada sebelum ini iaitu sekitar RM2,000 sebulan.


Kaji semula gaji pokok

Pemandu bas, M Selvam, 48, berkata, gaji yang ditawarkan hasil pengambilalihan operasi itu sangat murah dan tidak memadai.

“Kita mahu makan apa dengan wang RM510 sebulan? Sudahlah terpaksa bangun jam 5 pagi dan kerja sampai ke malam, bawa nyawa orang lagi. Ini memang tidak patut.

“Pagi ini (semalam), saya bawa bas pun kerana tidak sampai hati apabila ibu bapa merayu minta tolong bawa anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.

Seorang lagi pemandu, Abdul Karim Said, 53, berharap. pihak PMCT akan segera mengkaji semula gaji yang ditawarkan untuk mereka.

“Kena ada keputusan muktamad. Kami diberitahu boleh dapat gaji sehingga RM1,500 selepas campur pelbagai elaun. Tolong kaji semula gaji pokok ini,” katanya.

Pemandu bas, Sabri Mohamad, 40, pula berkata, dia yang sudah hampir 15 tahun memandu bas berasa amat terkilan dengan bayaran gaji baru itu.

“Kita mahu kerja tetapi kaji semula gaji yang diberikan. Dahulu sekitar RM2,000 kami boleh dapat tetapi kali ini memang susah sebab kos hidup terlalu tinggi,” katanya.


Mahu bayaran elaun

Semalam adalah hari pertama operasi bas henti-henti di bawah PMCT selepas Kerajaan Negeri mengambil alih 10 syarikat bas henti-henti yang sebelum ini mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan akibat tidak mampu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.

Dalam pada itu, pemandu bas turut mengharapkan bayaran komisen dimansuhkan dan digantikan dengan bayaran elaun berikutan pendapatan antara bas adalah berbeza.

Terdahulu malam kelmarin, perkhidmatan bas turut tidak beroperasi berikutan penyerahan kunci pihak pengusaha kepada PMCT, jam 6 petang menyebabkan pemandu bas tidak bertugas.

Akibatnya, pengguna terpaksa menggunakan alternatif lain, termasuk menaiki teksi untuk ke destinasi ditujui.


(Sinar Harian, 2 Februari 2012)