Monday, February 20, 2012

Galakkan debat politik





Masyarakat Cina Malaysia dikatakan menyambut baik perdebatan di antara pemimpin MCA dan DAP  baru-baru ini. Isu debat berkenaan  menyentuh masa depan masyarakat Cina Malaysia yang secara keseluruhannya hampir 24 peratus daripada penduduk Malaysia.

Berdebat adalah ciri pemimpin yang matang. Dalam proses itu, penonton dapat menilai kematangan berfikir pemimpin mereka. Malah dapat melihat sendiri bentuk hujahan, intonasi suara dan ayat-ayat yang dipilih.

Di negara-negara maju, berdebat adalah sebahagian daripada proses kemajuan negara. Calon-calon yang bertanding sebagai presiden terpaksa melalui beberapa siri perdebatan untuk melonjakkan nama masing-masing.

Di Amerika Syarikat, presiden negara itu mesti berhadapan dengan perdebatan di peringkat parti hinggalah berhadapan dengan calon terbaik dari parti lawan. Oleh kerana sejak awal lagi dilatih untuk berdebat, pemimpin negara itu tidak kekok untuk berbual, memberi idea dan berbahas di peringkat dunia.

Keadaan ini tidak berlaku di negara kita. Sekali-sekala sahaja kita dapat lihat debat yang diatur oleh pihak media melibatkan pemimpin bawahan parti-parti politik. Itu pun penuh dengan kekangan seperti permit polis, keselamatan dan jaminan dapat dilaksanakan dengan selamat.

Justeru apabila dicadangkan debat, macam-macam helah diberikan khususnya dari parti pemerintah, kita pun tidak tahu sebabnya. Parti pembangkang lebih kerap mengadakan ceramah di seluruh negara siang dan malam kerana tidak pernah diberi ruang untuk berucap sepatah dua mengenai impian mereka ke atas rakyat Malaysia. Media elektronik kerap menyiarkan ucapan sehala pemimpin kerajaan yang berasa yakin seolah-olah akan menang dalam pilihan raya yang akan datang.

Pemimpin-pemimpin Cina Malaysia telah mengorak langkah memberi pilihan kepada masyarakat itu tentang siapa yang lebih hebat wawasannya terhadap masa depan mereka. Lim Guan Eng dari DAP dan Chua Soi Lek dari MCA berentap idea dan harapan.

Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana satu isu dan Chua Soi Lek pernah menjadi bahan bualan kerana masalah moralnya, suatu yang sukar diterima oleh masyarakat Islam. Bagaimana pemimpin yang tidak bermoral hendak memimpin masyarakat yang bermoral melainkan masyarakat itu sendiri yang sama seperti pemimpin mereka. 

Dalam kalangan masyarakat India, perdebatan pemimpin masyarakat itu belum lagi ada sambutan. Pemimpin Melayu pun sama namun perjumpaan dan perbualan tidak formal memang sering berlaku bagi membincangkan kemajuan orang Melayu di Malaysia.

Perdebatan sesama pemimpin wajar disuburkan supaya rakyat Malaysia lebih matang berpolitik lebih-lebih lagi memilih pemimpin yang 'cakap serupa bikin'. Era pemimpin syok sendiri semakin berlalu, jadi masyarakat ingin sekali melihat bagaimana pemimpin mereka merancang masa depan negara.


No comments:

Post a Comment