Amalan terputus selepas meninggal dunia |
Baru-baru saya menerima dua e-mel berkaitan berita keluarga iaitu kematian dua orang muda. Kematian pertama adalah seorang remaja lelaki kerana kemalangan jalan raya dan keduanya kematian seorang kakitangan perpustakaan.
Remaja lelaki saya tidak kenal tetapi kakitangan perpustakaan memang saya kenal kerana selalu nampak kelibatnya di kaunter pinjaman. Usianya masih muda, 28 tahun, berbadan agak gempal dan selalu memberi senyuman kepada pensyarah dan pelajar. Maklumat yang saya tahu, kematiannya adalah kerana tekanan darah rendah di samping kompilasi penyakit-penyakit lain.
Hidup dan mati adalah sebahagian daripada diari perjalanan hidup kita. Allah swt telah nyatakan secara jelas bahawa umur kita telah ditentukan, di mana kita lahir dan mati telah tertulis. Rezeki dan jodoh juga telah tersedia cuma menunggu masa untuk dilaksanakan.
Walaupun hidup dan perjalanan hidup telah termaktub, Allah swt menyuruh kita membaiki kehidupan yang ada. Contohnya, kesihatan diri mesti dipantau, dijaga dan ditingkatkan supaya kita dapat beribadah, dapat bekerja, berdakwah dan menjadikan dunia sebagai jambatan ke akhirat. Kesihatan diri yang baik juga dapat menyempurnakan banyak tanggungjawab sebagai hamba Allah seperti menunaikan solat, keluarkan zakat dan mengerjakan haji.
Bagaimana hendak keluarkan zakat jika badan selalu lemah, sakit sana-sini dan kerap masuk hospital?
Melihat orang lain yang berada di sekeliling kita, orang yang kita pernah berbual-bual dan bertegur sapa meninggalkan kita untuk selama-lamanya, kalau tidak rasa apa-apa getaran di hati tentulah sesuatu yang ganjil keadaannya.
Sedikit sebanyak mesti ada rasa gusar kerana suatu hari nanti akan tiba pula giliran kita untuk mengikut pergi. Gusar kerana memikirkan berapa banyak amalan yang akan dibawa sebagai bekalan ke akhirat dan bersedia dengan timbangan amal untuk masuk ke syurga.
Jadi, apakah amalan paling baik untuk dibawa ke akhirat? Sebaik-baiknya ialah taqwa. Inilah persiapan yang paling penting. Bukan setakat untuk akhirat, malah di dunia ini pun fungsi taqwa pun sudah terasa khususnya hendak menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat. Kedua ialah kerap memaafkan.
Ciri ini jika dikaitkan dengan hidup hari ini masih sangat relevan. Membalas kejahatan, kebencian dan sifat buruk orang lain dengan kemaafan dapat memadamkan kejahatan dan menguatkan taqwa kepada Allah swt. Ketiga ialah memanjangkan silaturrahim. Lebih baik kita membina hubungan yang mesra dan berkekalan daripada hubungan yang penuh kebencian dan hancur dalam masa yang singkat.
Banyak lagi usaha yang kita perlu lakukan supaya dapat menjadi bekalan untuk bertemu dengan Allah swt apabila dipanggil pulang kelak. Iman yang padu dan menjadikan al-quran sebagai panduan sudah cukup menjadi bekalan minimum kalau tidak ada bekalan lain yang boleh dibawa.
No comments:
Post a Comment