oleh Liow Tiong Lai
Hari ini jangka hayat seseorang lelaki Malaysia ialah 72 tahun atau mungkin lebih, manakala wanita pula lebih kurang 77 tahun atau lebih. Ini adalah satu pencapaian membanggakan berbanding 55 tahun lalu ketika zaman kemerdekaan yang mana purata jangka hayat lelaki hanya lebih kurang 56 tahun dan wanita 58 tahun.
Purata jangka hayat yang lebih panjang adalah antara petanda kemajuan negara, hasil daripada rawatan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan lebih baik serta taraf hidup lebih tinggi. Di negara membangun seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, lebih ramai penduduk mencapai usia lanjut sedangkan bilangan bayi dilahirkan semakin berkurangan. Akibatnya, ada lebih ramai golongan tua dalam kalangan masyarakat atau apa yang dikenali sebagai masyarakat tua.
Fenomena masyarakat tua juga berlaku di negara sedang membangun seperti China, India dan Indonesia yang diramalkan akan memiliki jumlah penduduk tua terbesar di dunia. Laporan Banci Malaysia 2010 meramalkan bahawa kita mungkin menjadi masyarakat tua pada 2024, jika trend populasi semasa ini berterusan.
Sambil kita menikmati hasil kejayaan, iaitu mampu terus hidup sehingga mencapai usia emas, kita tidak boleh mengabaikan kesan-kesan di sebaliknya. Usia lanjut biasanya sinonim dengan keuzuran seperti penyakit dan kurang upaya. Kebanyakan penyakit kronik dan keadaan degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, serebrovaskular dan kanser mencapai tahap kemuncak dalam kalangan orang tua, terutama jika risikonya tidak dicegah pada usia muda.
Kebanyakan daripada kita boleh berharap menikmati kehidupan pasca persaraan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun. Namun pada kebiasaannya ini adalah tempoh pergolakan apabila kita cuba sesuaikan diri dengan hakikat kehilangan kedudukan atau peranan disandang sepanjang sebahagian besar zaman dewasa dulu.
Sebahagian besarnya zaman tua adalah tempoh ketidaktentuan yang dipenuhi pelbagai cabaran. Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, timbul beberapa peluang yang boleh dimanifestasikan pada fasa usia ini – ia adalah lembaran baru apabila kerjaya baru boleh diceburi, minat baru diterokai dan peluang yang tercicir sebelum ini boleh direbut semula.
Pun begitu, semua ini hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat kita mempunyai ‘jangka kesihatan’ yang lebih baik, di samping panjang umur. Kita tidak mahukan masyarakat tua dihimpit pelbagai masalah penyakit dan kurang upaya, sebaliknya kita mahukan sebuah masyarakat sihat, produktif dan aktif. Malah ini antara daya usaha utama Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Kesihatan Sepanjang Hayat’.
Dr Philip Poi, seorang pakar geriatrik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mengkategorikan masyarakat tua dalam dua kumpulan, iaitu tua yang muda dan tua yang tua. Generasi tua yang muda adalah mereka yang terus aktif dalam kalangan masyarakat dan di rumah. Generasi tua yang tua adalah mereka yang tidak dapat memberikan sumbangan lagi kepada masyarakat kerana keadaan yang semakin uzur atau keadaan mental yang merosot.
Jika sebahagian besar penduduk negara terdiri daripada tua yang tua, mereka bergantung kuat kepada tenaga kerja yang muda untuk sokongan dengan itu meningkatkan lagi beban terhadap sumber tenaga pekerja yang sememangnya terbatas sekarang.
Saya bimbang sistem rawatan penjagaan kesihatan kita mungkin tidak dapat menangani beban yang kian meningkat. Walaupun matlamat kita adalah untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang mampu ditanggung setiap warga negara, impak peningkatan bilangan pesara dalam kalangan penduduk negara yang bergantung pada sistem ini amat besar.
Keperluan rawatan kesihatan mereka lebih bertambah pada peringkat usia ini, kemungkinannya mereka mengalami pelbagai penyakit kronik dan degeneratif seperti yang disebutkan. Mereka perlukan ubat-ubatan, rawatan terapi dan sokongan untuk jangka masa panjang bagi kebanyakan penyakit ini.
Bagaimanapun, usia tua bukanlah malap semata-mata. Gambarannya mungkin jauh berbeza jika penduduk tua ini termasuk dalam kategori tua yang muda; minda dan tubuh badan seperti generasi muda – mereka mengamalkan gaya hidup sihat, amalan pemakanan yang baik dan menjaga kesihatan fizikal dan sentiasa mengekalkan kecerdasan mental.
Keadaan ini membolehkan mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada tenaga kerja serta masyarakat. Pengalaman mereka yang luas dan kebijaksanaan mereka boleh dikongsi bersama dengan generasi muda, menjadikan mereka aset berharga kepada masyarakat secara amnya.
Jelas sekali kunci utama memupuk populasi semakin tua yang sentiasa gembira, produktif dan seimbang adalah dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Kesihatan yang baik bermula pada peringkat awal kehidupan seseorang supaya dia dapat mencegah timbulnya masalah obes, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, atau mengurangkan risiko komplikasi termasuk kematian.
Tanggungjawab ini bukan semata-mata terletak pada sistem rawatan penjagaan kesihatan, malah tugas setiap individu. Mulakannya sejak awal usia 20-an, supaya anda boleh menikmati kehidupan sepenuhnya apabila menjangkau usia persaraan.
Sektor pekerjaan juga boleh memainkan peranan penting sebagai persiapan kepada tenaga kerja untuk menghadapi kehidupan pasca-persaraan mereka dengan menawarkan jawatan secara separuh masa atau sukarela dan menyediakan program latihan untuk membekalkan kemahiran baru.
Dalam tempoh 12 tahun lagi kita akan memasuki 2024. Dengan perancangan yang baik dan teliti, kita boleh bersedia menghadapi peningkatan masyarakat semakin tua yang sihat, produktif, dihargai dan dihormati.
(Berita Harian, 8 Februari 2012)
No comments:
Post a Comment