Saturday, February 11, 2012

Kekang rasuah bola sepak





Rasuah dalam bola sepak negara masih ada. Tindakan tegas FAM mengenakan hukuman kepada pemain yang terlibat dalam insiden ini sangat disokong. Kita tidak mahu peminat sukan bola sepak ditipu bulat-bulat oleh pemain yang berpura-pura menang dan kalah tidak pada tempatnya. 

Sejarah rasuah bola sepak Malaysia yang paling dahsyat ialah yang berlaku di sekitar awal hingga pertengahan tahun 1990-an lalu. Nama-nama pemain tersohor seperti Karim Pin, Azizul Abu Hanifah dan Che Hasrizal telah hilang dari ingatan dalam sekelip mata akibat rasuah bola sepak. Generasi muda hari ini tidak lagi kenal pemain-pemain ini. Katanya semua yang telah dikenakan hukuman tidak dapat bermain untuk tempoh beberapa tahun. Inilah bahana menyusun atur perlawanan kerana inginkan habuan yang tidak seberapa akhirnya badan merana. 

Kita jarang bertanya kenapa rasuah juga boleh berlaku dalam bola sepak. Pemain bola sepak tidak ada yang menjadi jutawan jika bermain dalam negara. Rakan-rakan mereka dalam kelab-kelab tersohor dunia mendapat gaji mingguan bernilai ribuan ringgit tetapi pemain bola sepak profesional Malaysia ada yang terpaksa menunggu dua hingga tiga bulan untuk mendapat gaji. Kesusahan mendapat wang untuk sara hidup mungkin menjadi faktor kepada mudahnya pemain diperangkap dengan rasuah.

Rata-ratanya perlawanan bola sepak di rantau Asia dan Asia Tenggara tidak dapat menarik jumlah penonton yang ramai ke stadium. Justeru pendapatan persatuan bola sepak negeri atau kelab menghadapi masalah kewangan, mereka tidak dapat melunaskan hutang tunggakan gaji. Kadang-kadang tiket juga mahal menyebabkab penonton dan penyokong tidak berminat untuk datang ke stadium.



No comments:

Post a Comment