Friday, July 20, 2012

Gajet IT bantu pembelajaran dalam kelas






Isu pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit dan gajet teknologi maklumat ke sekolah mendapat perhatian banyak pihak seperti ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat malahan pelajar sendiri. Ramai juga yang memberi pendapat kritikal kerana dibimbangi langkah ini akan mengundang banyak masalah sosial dan kecurian. Ada juga yang melihat ia pendekatan terdesak kerajaan untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi malah ramai yang lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat.

Artikel ini lebih menjurus kepada menyokong langkah Kementeian Pelajaran Malaysia berdasarkan kepada analisis dasar dan perancangan kerajaan bagi mencapai matlamat negara maju pada tahun 2020.

Secara rasminya, Malaysia memberi tumpuan khusus untuk menjadi negara maju di dunia lapan tahun dari sekarang. Bagaimanapun, di sebalik taraf hidup masyarakat yang semakin baik, cabaran besar ketika ini ialah terdapat halangan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan, makanan serta bantuan sara hidup untuk golongan miskin tegar.

Malaysia menggunakan indikator yang terdapat dalam Millennium Development Goals untuk mengukur tahap pencapaian pembangunan negara. Sehingga tahun 2005, Malaysia dikatakan telah menyempurnakan semua indikator ini dan bersedia untuk melangkah ke dalam kelompok negara-negara maju. Pelaksanaan pencapaian ini dilakukan melalui strategi rancangan lima tahun sejak merdeka. 

Ketika Rancangan Malaysia Kelapan dan Rancangan Malaysia Kesembilan, fokus kedua-dua rancangan ini ialah membentuk kesaksamaan masyarakat melalui pembasmian kemiskinan dan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), tedapat transformasi besar yang lebih terangkum dijelmakan dalam Model Baru Ekonomi. Model ini menjadi kerangka utama untuk menganjak dari masyarakat berpendapatan pertengahan kepada berpendapatan tinggi.

Kunci kepada anjakan ini ialah modal manusia yang berpengetahuan tinggi. Ia boleh dicapai melalui pendidikan. Malaysia berjaya memberi pendidikan kepada hampir semua kanak-kanak (7 hingga 12 tahun) melalui gesaan kepada ibu bapa dan penjaga untuk mendaftarkan diri di sekolah rendah. Pendaftaran pelajar telah meningkat dari 2.9 juta pada tahun 2005 kepada 3 juta pada tahun 2010. Di samping itu terdapat pelbagai bentuk program pendidikan sokongan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran seperti skim pinjaman buku teks, subsidi makanan dan kemudahan asrama. Usaha merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar sentiasa dilakukan supaya sumbangan memajukan negara diberikan oleh semua warganegara. Justeru, pemberian komputer kepada pelajar merupakan langkah awal mempercepatkan penutupan jurang celik teknologi maklumat dalam kalangan pelajar. 

Keperluan ekonomi Malaysia pada masa depan tidak lagi bergantung pada komoditi sebaliknya sumber manusia yang berpendidikan. Korea Selatan sangat terkenal dalam bidang teknologi maklumat hari jni sebahagian besarnya disumbangkan oleh strategi kerajaan negara itu yang meletakkan sasaran 10 tahun mendedahkan rakyat kepada teknologi maklumat. Usaha ini bernula sejak tadika dan melibatkan semua kelompok masyarakat. Di Korea Selatan, hampir setiap rumah disambungkan kepada capaian internet dalam pelbagai cara dan negara itu mempunyai kadar penembusan jalur lebar antara tertinggi di dunia. 

Berdasarkan kepada analisis ini, kebimbangan terhadap pelajar yang membawa telefon bimbit dan gajet teknologi maklumat lain boleh dikurangkan. Pihak sekolah tentu telah menyediakan garis panduan masing-masing di samping keupayaan guru mendidik pelajar tentang nilai dan keperluan memanfaatkan teknologi. Pelajar-pelajar di luar bandar belum tentu akan membawa telefon atau iPad sendiri kerana harga alat ini di luar kemampuan keluarga. Sebaliknya pelajar di bandar tidak menghadapi masalah untuk memilih telefon bimbit yang hendak dibawa kerana mereka mempunyai pilihan. 

Kesimpulannya, membawa telefon bimbit dan gajet telekomunikasi lain dapat membantu pelajar memanfaatkan teknologi komunikasi dan merangsang pembelajaran dalam kelas. Langkah ini juga dilihat sebagai tindakan meliberalkan sektor pendidikan negara ke arah menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

 

No comments:

Post a Comment