Monday, July 16, 2012

Pilihan raya semakin hampir




Bendera Umno berkibar, 
pilihan raya semakin hampir

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pilihan raya akan datang telah meniupkan keinginan mendalam terhadap politik Malaysia.

Semakin hampir tarikh pilihan raya, semakin riuh perang persepsi yang muncul setiap masa. Kekuatan pengaruh media sosial tidak dapat disangsikan lagi memandangkan capaian ke media berkenaan boleh diperolehi di mana-mana sahaja. Pengaruh media elektronik dan media massa semakin mengecil dan kelompok muda tidak berminat untuk mempercayai maklumat yang disediakan.

Jualan akhbar harian yang pro kerajaan Barisan Nasional tidak membanggakan melainkan satu dua akhbar yang mencetuskan cerita berkaitan moral dan akhlak segelintir masyarakat. Sebuah akhbar yang diketahui sangat pro kerajaan masih banyak diletakkan di atas rak, menunjukkan ia tidak menarik untuk dibeli.

Perang persepsi menentukan parti mana yang akan dipilih oleh pengundi. Barisan Nasional telah menggunakan pendekatan membina persepsi baik dalam kalangan pengundi dan mahu dilihat sebagai sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan pro rakyat. Semua bentuk program adalah difokuskan kepada mewujudkan dan menerapkan nilai-nilai baik ini. Contoh program yang telah dan dilaksanakan ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan pelbagai slogan yang menjurus kepada kerajaan yang baik hati dan prihatin.

Bagi menyokong program ini, media yang pro kerajaan telah lama mencungkil kisah-kisah peribadi dan pergolakan politik dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat untuk didedahkan kepada pengundi. Antara isu ini ialah kedudukan moral pemimpin yang rendah, kelemahan urus tadbir, perkauman dan menimbulkan keresahan masyarakat berkaitan keperluan hidup seperti perumahan dan keperluan seharian. 

Usaha menggerakkan sokongan kepada Barisan Nasional dilakukan bersungguh-sungguh ke seluruh negara. Di sepanjang lebuh raya utara ke selatan, papan iklan "Janji Ditepati" dipasang di kiri dan kanan jalan pada kedudukan yang strategik, teguh dan nampak kesungguhan pelaksanaan. Dalam akhbar dan media massa lain, iklan dan peringatan bahawa kerajaan Barisan Nasional bekerja untuk rakyat disebarluaskan supaya pengundi benar-benar memahami sumbangan yang telah diberikan selama ini.

Sementara itu sukar untuk mendapatkan maklumat pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan PAS di Kelantan dan Kedah, PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang. Kita perlu bergantung kepada media sosial dan akhbar yang diterbitkan oleh kerajaan negeri masing-masing untuk mengetahui sebarang aktiviti yang sedang diusahakan untuk rakyat negeri masing-masing.

Peringkat orang awam, mengetahui maklumat khususnya persepsi terhadap parti politik melalui media sudah mencukupi, tetapi bagi penyelidik dan penganalisis politik, mereka perlukan lebih banyak maklumat yang menepati keputusan sebenar. Justeru, kajian besar-besaran diperlukan supaya hasil dapatan adalah hampir kepada keputusan sebenar. Fakta daripada kajian seperti inilah yang menjadi pilihan penganalisis politik untuk menentukan kecenderungan memilih pengundi dalam pilihan raya akan datang dan tidak bergantung kepada undi popular atau kesukaan orang ramai terhadap mana-mana parti politik.

Institusi yang kerap melaksanakan tinjauan persepsi ini ialah Merdeka Centre yang menghubungi beribu-beribu responden secara rawak. Keputusan daripada tinjauan ini ada kalanya tepat dan ada kalanya tidak boleh dipakai langsung kerana trend dan mood responden sangat cepat berubah kesan daripada pengaruh maklumat yang sangat banyak. Mungkin hari ini seorang responden cenderung kepada Barisan Nasional, minggu depan dia mungkin berada di tengah-tengah dan bulan depan dia sudah menyokong Pakatan Rakyat.
Selain Merdeka Centre, institusi pengajian tinggi turut memainkan peranan mereka mengadakan kajian literasi pilihan raya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab akademik.

Kembali kepada kenyataan Tan Srti Muhyiddin berkaitan pilihan raya yang akan datang, apakah yang mendorong beliau untuk berfikir begitu? Setidak-tidaknya, jawapan yang paling baik setakat ini ialah Barisan Nasional begitu yakin bahawa mereka akan menang selepas mengambil kira semua usaha kepada rakyat dan negara. Golongan yang diberi perhatian oleh Barisan Nasional ialah golongan muda dan belia. Dalam tahun 2012 sahaja, terdapat berpuluh-puluh program belia di semua negeri dianjurkan secara langsung. Program terkini ialah  Program 1Malaysia For Youth (im4u). Matlamat program ini sangat mudah iaitu menggalakkan pembabitan belia dalam aktiviti sukarelawan bersifat kenegaraan dan semangat 1Malaysia di samping pengiktirafan kerajaan kepada belia dan pada masa sama mendidik golongan itu menjadi rakyat yang sentiasa mahu berbakti tanpa mengharapkan ganjaran.

Kenapa belia diberi perhatian?

Hampir sebahagian besar belia Malaysia baru menjadi pengundi kali pertama dan sebilangan besar yang berada di bawah 30 tahun. Mereka ini menjadi penentu kepada kemenangan dan undi mereka perlu direbut supaya berada di sebelah Barisan Nasional. Kelebihan media pro kerajaan ialah program seperti ini disebarkan melalui pelbagai media supaya golongan belia dan pengundi muda akan mendapat mesej bahawa kerajaan Barisan Nasional mengambil tahu keinginan mereka.

Sebaliknya, program di pihak Pakatan Rakyat langsung tidak didengari melainkan dimaklumkan kepada umum dan menjadi bahan sensasi seperti Himpunan Oren yang berkaitan Felda baru-baru ini. Maklumat diperolehi daripada akhbar dan media yang pro kerajaan, jika isu ini tidak disiarkan, ramai yang tidak tahu.

Jadi bagaimana pendekatan Pakatan Rakyat untuk mengimbangi maklumat dan mendekatkan diri kepada golongan belia?

Satu strategi yang diguna pakai ialah menggerakkan program "ambil hati" melalui aktiviti ringkas seperti "sepetang bersama...", "makan durian bersama PAS..." di samping ceramah-ceramah politik yang terus diadakan. Kita boleh perasaan terdapat banyak kain rentang yang dipasang di simpang jalan dan di hadapan markas parti masing-masing. Zaman kaset sudah berlalu tetapi digantikan dengan "youtube" dan "facebook" yang mencapai terus di hadapan pengundi belia dan muda.

Era Datuk Seri Mohd Najib dilihat agak terbuka dan lunak kepada perbezaan pendapat, justeru parti politik tidak diberi tekanan sama ada dihukum atau dikenakan sekatan tertentu. Adakah melalui pendekatan ini, Barisan Nasional akan berjaya?

Cakap-cakap di kedai kopi dan kenduri-kendara menunjukkan ada benarnya. Seorang pengundi yang berusia 50-an merumuskan Datuk Seri Mohd Najib telah memberi banyak wang dan kemudahan kepadanya berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya memikirkan cara untuk ke Putrajaya. Besar kemungkin pengundi seperti ini sudah pun pencen atau perlukan wang kerana sambil memakai kopiah dia juga menyedut dalam-dalam asap rokok. Tidak bagi golongan belia dan penuntut universiti. Mereka ini celik teknologi maklumat dan mendedahkan diri kepada pelbagai isu yang lebih besar seperti pekerjaan, pendapatan hidup dan keperluan-keperluan diri yang lain. Sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi baucer buku RM200, pelbagai isu pokok seperti kenaikan taraf hidup dan harga barang yang mahal menjadikan fikiran mereka cenderung kepada manifesto Pakatan Rakyat iaitu negara berkebajikan dan pemimpin yang memahami kehendak rakyat. Isu moral tidak berbekas kerana kebijaksanaan pemimpin Pakatan Rakyat yang menterbalikkan isu dan menimbulkan isu yang lebih besar.  

Dianalisis dari awal, isu moral dan peribadi jarang menjadi topik Pakatan Rakyat semasa "menyerang balas" terhadap isu moral yang dilontarkan oleh Barisan Nasional. Ia berlaku kerana hanya sekali serangan, pemimpin Barisan Nasional terus kalah dan ia ditunjukkan dalam kes seorang pemimpin MCA dalam kerajaan dan pemimpin wanita dalam UMNO. Kedua-dua terpaksa berundur dari kerajaan dan memberi perhatian kepada pergerakan parti masing-masing.

Jadi, isu yang menjadi kegemaran Pakatan Rakyat ialah isu polisi atau dasar yang menentukan hala tuju dan bentuk negara di samping implikasi polisi ke atas kehidupan rakyat Malaysia. Serangan begini amat menarik perhatian golongan dewasa yang matang berfikir dan golongan belia yang sudah muak dengan isu-isu moral dan peribadi. Dalam ceramah mereka pun, isu-isu yang membuka minda menjadi pilihan untuk disampaikan kepada rakyat. Tambahan pula, isu ini berbekas di hati dan berupaya mempengaruhi pemikiran pengundi dalam tempoh yang panjang. Oleh kerana itulah isu Bersih 3.0 akan terus dibangkitkan kerana setiap peristiwa dalam demonstrasi itu dikaitkan dengan keganasan polis dan ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional.

Dalam pertembungan kedua-dua pihak ini, kunci kepada kemenangan ialah membentuk kecenderungan ke arah parti masing-masing. Barisan Nasional telah memupuk kecenderungan ini sejak Datuk Seri Mohd Najib menjadi perdana menteri melalui sedozen program termasuk Program Transformasi Kerajaan dan makmal NKEA. Beliau juga memperkenalkan slogan baru setiap tahun bermula pada tahun 2009 iaitu Rakyat Didahulukan, Pendapaian Diutamakan, 2010 (Menjana Transformasi) dan 2011 (Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera). Bagi tahun 2012, slogan yang diguna ialah Janji Ditepati. Kebanyakan daripada inisiatif yang dimaksudkan dalam slogan ini telah menjadi sebahagian daripada polisi awam yang mana diterapkan kepada kakitangan awam dan disampaikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan memberi faedah kepada kelompok sasar khususnya kanak-kanak, ibu tunggal, orang kurang upaya, penjawat awam dan masyarakat luar bandar.

Walaupun masyarakat melihat Pakatan Rakyat tidak banyak mengadakan program kepada penduduk negeri yang ditadbir melalui media massa, program pembangunan dan cakna penduduk hanya dapat dirasai oleh negeri masing-masing. Penerimaan terhadap polisi dan pembangunan ini telah banyak dinikmati oleh penduduk di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tetapi tidak disebarkan secara meluas. Kita dapat melihat sokongan kepada PKR di Selangor masih lagi kuat, begitu juga PAS di Kelantan dan Kedah serta DAP di Pulau Pinang. Satu sebab penduduk Selangor gembira dengan PKR ialah tidak perlu lagi menghadap dan mendapat restu daripada ketua parti-parti politik kerajaan sebelumnya. Sebarang maklumat pembangunan atau projek perniagaan boleh didapati terus tanpa bergantung kepada parti politik. Tindakan ini amat menyenangkan.

Di peringkat jentera negeri, pentadbiran tidak terlalu birokratik dan proses penambahbaikan dan pemudah cara dialu-alukan. Urusan tender dibuat secara terbuka dan dilihat dapat mengurangkan kos projek. Kisah-kisah begini menjadi buah mulut orang ramai dan Pakatan Rakyat membina persepsi yang sangat positif dalam menguruskan pentadbiran negeri masing-masing.

Kenyatan umum oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan teka-teki tarikh pilihan raya amat mendebarkan. Mesejnya ialah Pilihanraya Ke-13 semakin hampir dan semua pihak diminta bersiap sedia. Pertarungan kali ini ialah apakah Barisan Nasional akan meraih kejayaan besar atau Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjejakkan kaki ke Putrajaya. Kita hanya ada satu undi dan kita sendiri berhak membuat keputusan.



No comments:

Post a Comment