Puasa membina taqwa |
Berpuasa pada bulan Ramadhan adalan amalan agama yang dituntut.
Berpuasa mempunyai banyak hikmah yang memberi kebaikan kepada orang yang melaksanakannya. Selain orang Islam, terdapat juga orang bukan Islam yang cuba berpuasa beberapa hari kerana ingin merasai suasana berpuasa ini.
Seorang kenalan saya, berbangsa India dan beragama kristian menceritakan betapa isterinya bersusah-payah bangun sahur untuk berpuasa. Alasannya ialah orang gaji mereka beragama Islam dan berpuasa. Justeru bagi meraikan orang gaji ini, isterinya ikut berpuasa.
Ada juga seorang selebriti bukan Islam yang berhasrat berpuasa kerana teruja dengan semangat dan kebaikan puasa.
Di samping orang Islam dan bukan Islam yang berpuasa, selepas seminggu dalam bulan Ramadhan ini, kedapatan ada yang mula tidak mahu berpuasa kerana pelbagai sebab seperti musafir, pekerjaan yang berat dan berpenyakit. Islam memberi kelonggaran kepada kes-kes tertentu untuk tidak berpuasa namun bagi mereka yang badannya sihat dan kuat tenaga, meninggalkan puasa kerana "saja-saja" sangatlah rugi.
Kedapatan di jalan raya ada yang tidak segan silu menghisap rokok atau meneguk minuman. Kita juga membaca di akhbar seorang remaja lelaki yang makan di hadapan adiknya yang berpuasa, apabila ditegur ibu, langsung dicekik ibunya sebelum melarikan diri.
Kes-kes tidak berpuasa sebegini boleh ditangani jika keluarga mengamalkan amalan agama dan tidak mudah mengalah pada ajakan nafsu. Kebaikan dan manfaat puasa sangat banyak dan masa inilah kita perlu membuktikan bahawa suruhan dalam agama Islam ini dapat memberi kesihatan yang baik dan meningkatkan ketaqwaan.
No comments:
Post a Comment