Utamakan keselamatan (Sumber: Google images) |
Sesekali berlaku gempar di Putrajaya, seluruh negara berada dalam tekanan.
Tindakan seorang lelaki dan seorang wanita di Kompleks Jabatan Perdana Menteri menarik perhatian kita untuk mengenal pasti dengan tepat apakah motif sebenar kedua-duanya berada di situ. Ulasan-ulasan berkaitan keadaan mental dan personaliti mereka berdua dibincangkan dengan pelbagai andaian seperti sakit mental, pengaruh ajaran sesat dan kumpulan songsang.
Namun, huraian di sini melihat daripada perspektif berbeza iaitu kenapa mereka memilih untuk berjumpa perdana menteri?
Satu pandangan yang menarik ialah mungkin sikap terbuka perdana menteri terhadap rakyat telah mendorong kedua-duanya ingin berjumpa dengan beliau bagi menyatakan hasrat dan keinginan mereka. Bagaimanapun pandangan ini tidak semestinya betul namun populariti perdana menteri mungkin menjadi sebahagian penyebab kepada persepsi sesetengah orang bahawa boleh berjumpa beliau pada bila-bila masa. Hakikatnya tidak semudah itu. Ramai yang tidak kenal kedua-duanya, apatah lagi motif sebenar yang mendorong tindakan ini.
Pandangan lain ialah tentang keghairahan untuk mencetuskan tindakan dan aksi tertentu untuk menarik perhatian. Pada mereka, individu yang boleh membuat keputusan terhadap harapan dan impian adalah perdana menteri sendiri. Keadaan ini boleh berlaku secara sedar dan terancang. Mengugut mangsa dengan ancaman kecederaan adalah tanda yang sangat bahawa pelaku memiliki azam dan tekad yang membuak-buak.
Apa yang kita patut lakukan selepas ini?
Pertama, keselamatan perdana menteri sebagai ketua kerajaan yang sah mesti diberi keutamaan. Semakin hampir dengan pilihan raya, dijangkakan beliau akan lebih kerap bertemu dengan masyarakat dan risiko terhadap ancaman keselamatan tetap ada. Pihak polis dan agensi keselamatan wajar melaksanakan prosedur standard untuk menghadapi suasana seperti ini. Kepungan keselamatan bukan sekadar ancaman fizikal secara badan ke badan malah melibatkan balingan objek yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal.
Kedua, sifat syak wasangka dan tidak boleh dipercayai pada sesiapa sahaja perlu ada dalam kalangan pengawal peribadi yang ditugaskan untuk melindungi keselamatan perdana menteri. Dua sifat ini sangat penting kerana setiap orang yang cuba hampir dengan beliau berpotensi mencetuskan risiko. Peristiwa seorang perdana menteri India mengingatkan kita betapa seorang gadis yang membawa jambangan bunga dan meletupkan diri langsung tidak boleh dipercayai.
Ketiga, perdana menteri sendiri perlu mengambil tindakan mengehadkan hubungan bersemuka yang terlalu banyak dengan khalayak semasa bersalam-salaman tanpa diawasi pengawal peribadi. Orang yang hendak melakukan jenayah biasanya membuat perancangan melarikan diri supaya tidak ada jejak. Dalam pemikiran perdana menteri perlu ada ingatan ini supaya beliau dapat bertindak pantas apabila terdapat sesuatu yang luar biasa berhampirannya.
Pergerakan bebas perdana menteri dan menteri-menteri lain termasuk pemimpin-pemimpin politik adalah simbol keamanan negara. Rakyat akan berasa cemas jika pemimpin negara berhadapan risiko keselamatan yang sangat besar. Justeru kita menggesa pihak polis mengambil langkah-langkah kawalan yang lebih ketat supaya peristiwa di kompleks berkenaan tidak berulang pada hadapan.
No comments:
Post a Comment