Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membuat keputusan membolehkan pemegang ijazah sarjana muda memohon pekerjaan bagi jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tindakan ini dibantah oleh CUEPECS kerana pembaziran masa, tenaga dan wang ringgit pelajar dan kerajaan sendiri. Pada masa yang sama melambakkan lepasan SPM yang semakin dipinggirkan dalam sektor kerajaan.
Bagi pensyarah, isu ini sangat relevan dibincangkan di dalam kelas supaya pelajar dapat berfikir secara kritikal keputusan kerajaan dan apa yang mereka patut lakukan dari sekarang.
Beban graduan yang telah menamatkan pengajian di universiti adalah lebih berat berbanding lepasan SPM. Mereka perlu bekerja dengan pendapatan yang lebih besar untuk membayar pinjaman pengajian, sewa rumah dan keperluan lain termasuk persediaan perkahwinan. Gaji kakitangan awam di peringkat SPM jauh lebih rendah dibandingkan dengan gaji seorang lepasan universiti dan ia dilihat dapat menjejaskan semangat dan keinginan pelajar untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Terlalu banyak perkara yang boleh didebatkan dalam isu ini supaya lepasan pelajar universiti mendapat hak mereka.
Ketika kerajaan memberi banyak insentif kepada mahasiswa ketika ini, keputusan SPA ibarat "mematikan anak benih" kerana kerajaan khususnya perdana menteri telah mencuba sedaya upaya memastikan mahasiswa mendapat hak mereka terutama dalam peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.
Mungkin berlaku pengaliran keluar guna tenaga ke negara-negara yang menawarkan pendapatan lebih tinggi. Jika ini berlaku, hasrat untuk melihat rakyat negara kita berpendapatan tinggi tentu tidak tercapai dan mungkin menghampiri paras kemiskinan kerana kos hidup yang semakin bertambah.
No comments:
Post a Comment