Friday, July 06, 2012

Memperkasa institusi raja pada era moden




Institusi raja semakin kurang
(Sumber: Google images)


Dalam sejarah moden dunia, institusi raja tidak lagi menunjukkan perkembangan dalam kemunculan raja baru sebaliknya berhadapan dengan kemerosotan pengaruh dan bilangan.
Negara Nepal merupakan antara negara yang kehilangan institusi raja akibat sengketa keluarga dan kehidupan golongan raja sendiri yang meminggirkan keadaan rakyat. Sebahagian besar keluarga raja Nepal telah dibunuh oleh Putera Mahkota Dipendra dalam sebuah majlis menggunakan senapang M16. Ayahnya, Raja Birendra dibunuh lebih awal sebelum ibunya, Aishwarya dan adik-adiknya yang lain dibunuh. Di akhir kejadian ini, putera mahkota tersebut telah membunuh diri. Peristiwa ini berlaku pada 2001.


Akhir sebuah takhta
(Sumber: Google images)

Institusi raja Nepal seterusnya digantikan oleh adik Raja Birendra iaitu Raja Gyanendra sehinggalah baginda turun takhta dan Nepal menjadi sebuah republik sehingga kini. Semasa diumumkan Nepal menjadi sebuah republi pada tahu 2008, rakyat negara itu bersorak dan berpesta sepanjang malam meraikan kelahiran sistem baru. 

Dalam dunia, masih terdapat beberapa buah negara yang mempunyai kuasa penuh ke atas perjalanan negara dan pengurusan rakyat masing-masing terutama di Timur Tengah. Kuasa raja sangat besar dan sukar dikurangkan. Namun ada sesetengahnya yang sudah mula melakukan pembaharuan yang melibatkan penyertaan bersama masyarakat awam dalam menguruskan negara seperti yang berlaku di Bahrain.

Raja-raja di Eropah telah lama dihadkan kuasa masing-masing melalui pelbagai sistem seperti raja berpelembagaan yang diamakan di Britain. Kaedah yang sama turut diguna pakai di Malaysia, Jepun dan Thailand di mana kuasa raja hanya untuk urusan tertentu sahaja seperti ketenteraan dan keselamatan negara.

Terdapat 35 buah negara yang masih mengamalkan sistem monarki dalam pemerintahan negara, namun tidak semua negara ini mengamalkan monarki mutlak kerana perubahan-perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Antara perubahan yang berlaku ialah golongan terpelajar yang semakin ramai menyebabkan rakyat menuntut pembaharuan khususnya dari segi akses kepada politik dan pengurusan ekonomi negara. Di negara yang mempunyai banyak sumber ekonomi, monopoli perniagaan kerap berada di bawah keluarga raja dan rakyat berkongsi kekayaan melalui pelbagai subsidi, cukai yang rendah dan kemudahan-kemudahan awam secara percuma.

Penonjolan keluarga raja juga dilakukan secara tersusun apabila berita-berita utama yang melibatkan mereka diberi keutamaan dalam laporan muka hadapan. Kaedah ini sebagai strategi mengukuhkan sistem monarki.

Kajian-kajian yang berkaitan dengan monarki di seluruh dunia menunjukkan sistem ini tidak lagi menjadi pilihan kerana pengaruh globalisasi dan kebangkitan rakyat yang mahukan penglibatan yang menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan pengurusan negara.

Dapat dilihat dalam mencaturkan kesedaran di peringkat global khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, banyak indeks mengenai pencapaian negara diperkenalkan. Antaranya ialah indeks berkaitan pembangunan kemanusiaan, ekonomi, pendidikan, kebebasan media, kebebasan bersuara dan indeks prestasi dalam daya saing. Biasanya negara yang mengamakan sistem monarki mutlak akan jauh ketinggalan dalam tahap pencapaian negara masing-masing. Ranking seperti ini tentu mengundang perdebatan dalam kalangan rakyat dan menuntut dibuat pembaharuan segera supaya ranking berkenaan dapat diperbaiki. 

Bagi negara yang mempunyai raja berpelembagaan, akses rakyat memang besar dalam menentukan kejayaan negara dan tidak ada masalah dalam menentukan hala tuju negara. Justeru, akses ini memberi ruang kepada rakyat untuk mengkritik kehidupan peribadi keluarga raja kerana keterbukaan telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat yang berpengetahuan dan maju.

Di Barat, sumbangan institusi raja diperdebatkan, cara hidup mereka didedahkan dan setiap aktiviti yang melibatkan golongan itu diteliti. Contohnya ialah pendapatan dan harta kekayaan, kedua-dua perkara ini sentiasa menjadi perhatian kerana ia melibatkan cukai rakyat. Apabila dikritik, institusi raja memberi respon yang berfakta dan dapat diterima umum.

Ada sesetengah negara, institusi raja tidak boleh ditegur dan pengkritik akan dikenakan pelbagai bentuk tindakan. Pihak berkuasa akan mengetatkan kawalan apabila terdapat kebangkitan rakyat seperti yang berlaku dalam "Arab spring" baru-baru ini.

Mayarakat moden hari ini tidak lagi menganggap raja atau institusi raja sebagai kepimpinan masa depan kerana terdapat banyak sistem pemerintahan yang menjadi pilihan. Namun begitu, mempunyai institusi raja adalah satu kebanggaan kerana keupayaan rakyat sesebuah negara menguruskan institusi tersebut sehingga dapat dilihat dan dialami keadaannya.

Ia berlaku kerana institusi raja memahami tanggungjawab asal untuk memelihara rakyat dan mengutamakan rakyat. Institusi raja yang mengutamakan keperibadian dan berbangga dengan harta dan kekayaan menyebabkan rakyat mula mengeluarkan pandangan dan nasihat secara terus-terang mahupun berlapik. Institusi raja yang memahami pandangan ini akan membuat pengubahsuaian dan menerima teguran dan nasihat untuk kebaikan institusi itu sendiri.


No comments:

Post a Comment