Saturday, July 14, 2012

Cabaran perkahwinan pasangan warga emas




Menghadiri majlis ilmu dapat matangkan hidup


Seorang wanita guru mengaji al-quran yang diceraikan suami menjadi iktibar betapa penceraian boleh berlaku ketika usia semakin lanjut. Che Hasnah yang diceraikan baru-baru ini enggan bersama dengan bekas suami, Yahya, kerana serik mendengar leteran lantaran perbezaan fahaman politik.
 
Ungkapan menarik Che Hasnah dalam hal ini ialah, “Saya tahu mengenai al-quran, saya sembahyang, saya mengikuti segala ajaran Islam, saya buat semua tuntutan agama kecuali menyertai PAS”.

Berdasarkan laporan media, puncanya lebih kepada konflik perbezaan fahaman politik, namun Yahya menyatakan bekas isterinya telah tersasar dalam amalan agama. Apabila ditanya amalan mana yang tersasar, Yahya enggan beritahu. Bagaimana seorang yang telah lama mengajar kanak-kanak mengaji sejak bertahun-tahun boleh tersasar amalan agamanya? Kenapakah bekas suami tidak mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa agama Islam supaya keadaan tersebut dapat diselesaikan? Banyak soalan yang boleh kita timbulkan untuk mendapatkan punca penceraian ini. Kita wajar mendapatkan penjelasan Yahya tentang kedudukan sebenar supaya kesimpulan yang tepat dapat dibuat, bukannya hanya berdasarkan laporan media.

Memahami maksud perkahwinan sangat penting lebih-lebih lagi pasangan warga emas supaya dapat menjadi contoh kepada pasangan muda. Bercerai selepas hidup bersama berbelas-belas tahun hanya kerana berbeza fahaman politik amat mendukacitakan. Kesan langsung ialah kepada bekas suami kerana dilihat gagal menguruskan rumah tangga. Suami dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarganya sendiri.

Banyak pasangan yang berkahwin dan mempunyai pandangan sendiri terhadap politik tetapi tidak pula sehingga menceraikan isteri atau pasangan masing-masing. Ada suami ahli parti politik yang menyokong kerajaan dan isteri ahli jawatankuasa parti pembangkang. Hidup mereka tidak ada masalah besar kerana masing-masing memiliki kematangan dan sempadan tindakan untuk berpolitik dan mengukuhkan hubungan suami isteri.

Kematangan hidup begini menjadikan kehidupan keluarga lebih mantap dan berupaya membina pemikiran dinamik dalam kalangan anak-anak. Memisahkan anak-anak kerana mengikut emosi politik berpartian mengundang banyak masalah pada masa hadapan seperti komunikasi adik-beradik, pembahagian harta pusaka dan urusan kenduri-kendara.

Tuntutan terhadap kematangan suami dan isteri semakin mencabar pada hari ini. Desakan memenuhi keperluan keluarga menjadikan pasangan mudah tertekan akibat keperluan kewangan, perkembangan anak-anak dan komitmen terhadap kerja. Pasangan tanpa pekerjaan bakal menghadapi kesulitan yang sangat besar. Bayaran sewa rumah, kenderaan dan bayaran bil-bil perlukan wang khususnya yang menetap di bandar. Berbanding di kampung, kos hidup di bandar dapat menambah tekanan hidup jika tidak diuruskan dengan betul.

Dalam kes Che Hasnah dan Yahya, maruah diri dan keluarga harus diutamakan sebelum kedua-duanya mengambil keputusan bercerai. Liputan media ke seluruh negara menjadikan kes ini tumpuan perbincangan dan jalan penyelesaian terbaik mungkin mengambil masa. Che Hasnah telah pun “beraja di mata, bersultan di hati” dan enggan hidup dengan Yahya. Ketika Che Hasnah terhibur dengan suara mengaji kanak-kanak, Yahya pula mengisi hati dengan merenung masa hadapan seorang diri.

Bercerai kerana berbeza fahaman politik memberi pengajaran kepada kita untuk berfikir panjang.


No comments:

Post a Comment