Monday, July 23, 2012

Pakcik, nak mintak sedekah




Yummy.. yummy

“Assalamu’alaikum, pakcik”. 

Hah… “Wa’alaikumus salam, nak apa?” 

Keenakan makan ayam goreng terhenti seketika apabila mendapat sapaan salam ini.

Saya lihat di sebelah, seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 11 atau 12 tahun tercegat. Mukanya nampak cemas, tidak yakin dan risau. Nampak seperti sangat mengharap. 

Dia memakai tudung hitam, baju kurung putih dan seluar sukan. Dalam genggaman tangannya ada tiga empat keping duit seringgit. Tetap tidak berganjak, mungkin berharap saya dapat menghulurkan seringgit dua. 

“Adik tinggal di mana?” Tanya saya ingin tahu lebih lanjut. 

“Saya tinggal di Telok Mas”. 

“Ooo..” 

Telok Mas? Saya pun tidak tahu di mana tempat ini, jauh agaknya. 

“Mak dan ayah masih ada?” 

Wajahnya kali ini nampak semakin gusar, mungkin risau dengan pertanyaan saya tentang keluarga. Namun dia berterus-terang. 

“Ayah dah meninggal ketika saya masih kecil, mak saya sakit buah pinggang. Setiap bulan mak saya dapat bantuan JKM”. 

Saya pun tidak mahu tanya panjang-panjang. 

“Adik sudah makan?” 

Dia hanya geleng kepala. 

“Sudah makan?” Saya tanya sekali lagi untuk mendapat kepastian. 

Tiba-tiba saya dengar suara lain yang bunyinya, “Kakak belum makan, saya dah makan dah”. 

Saya memandang empunya suara, terpandang seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan enam atau tujuh tahun yang nampak suka hati. Dia memakai tudung hitam dan seperti kanak-kanak lain yang hidup dalam dunianya. Selepas itu dia beredar. 

Hiba saya mendengar kata adiknya, lalu timbul keinginan untuk memberinya makan. 

“Jom, pakcik belanja makan, nak?” 

Dia mengangguk. 

Saya mengajaknya ke kaunter makanan untuk memesan dua biji burger

“Berapa cik?” 

“Dua colonel burger, dua pepsi cola, semuanya RM13.65”. Saya hulurkan duit. 

Saya ambil bungkusan makanan tadi dan beri kepada kanak-kanak perempuan itu yang saya lihat serba salah. Barangkali dia sangat lapar hingga menyebabkannya mahu menunggu dibelikan makanan. 

Semasa menghulurkan makanan kepadanya, saya berpesan, “Adik, kalau lapar, jangan minta sedekah. Jumpa saja pakcik”. Dia mengangguk dan berkata, “Terima kasih pakcik”. 

Saya mengangguk, senyum dan berasa sangat puas.
 

No comments:

Post a Comment