Friday, July 29, 2011

Buat baik secara berterusan



Ketika di dewan peperiksaan, ketua pengawas meminta pelajar yang telah habis menjawab soalan untuk berdiri dan bergerak keluar dari dewan. Susunannya adalah mengikut program pengajian masing-masing termasuklah Bacelor Pembangunan Manusia. Antara ayatnya yang saya masih ingat ialah, ‘Bacelor Pembangunan Manusia... ni orang yang hendak membangunkan manusia yang masih tidur.’

Ayat ini sangat bermakna kerana pembangunan manusia bermaksud membangunkan manusia yang masih tidur atau telah jaga. Peristiwa ini belaku 19 tahun lalu di sebuah institusi pengajian tinggi.

Skop pembangunan manusia melibatkan jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Dalam elemen ini mengandungi pelbagai sifat dan watak manusia seperti perangai, sikap, motivasi, kemampuan fizikal dan mental.

Proses membentuk manusia yang lengkap sesuai dengan fitrah kejadiannya adalah dengan memberi ilmu, membentuk ketrampilan dan menyuntik sikap positif supaya lahir kualiti peribadi, keluarga dan masyarakat yang hebat. Apabila elemen minda, spiritual dan sosial menjadi hebat dan gah, insya Allah seluruh peribadi manusia akan menjadi cemerlang.

Contohnya, jika seseorang yang cemerlang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan, dia akan memastikan urusan kerja yang diberi dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Pelanggan akan mengukir senyuman kerana berasa puas setelah mendapat layanan yang mesra dan sopan. Organisasi akan menikmati keuntungan dan pertambahan produktiviti kesan daripada budaya kerja yang cemerlang.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita yang dilalui setiap hari? Adakah terdapat peningkatan dan perubahan dalam kerja, urusan keluarga dan aktiviti kemasyarakatan? Jika ada perubahan yang menjurus ke arah kebaikan, ia adalah ukuran yang sangat bermakna kerana sebaik-baik manusia adlaah yang memberi faedah kepada orang lain.

 

Wednesday, July 27, 2011

Pembangunan manusia vs pembangunan sumber manusia




Pembangunan manusia dan pembangunan sumber manusia adalah dua perkara yang sangat berbeza. Trend dalam organisasi menunjukkan pembangunan sumber manusia adalah lebih popular dan sering dikaitkan dengan kecemerlangan organisasi.

Syarikat-syarikat korporat dunia berbangga apabila dapat menonjolkan keuntungan tahunan yang berjumlah jutaan ringgit di samping ketua eksekutif yang bergaya.

Namun, kemegahan dan kekayaan itu tidak kekal lama apabila skandal demi skandal yang melibatkan kecurangan nilai meruntuhkan seluruh organisasi dan ketuanya didakwa. Nasib seperti ini beraku kepada syarikat Enron Corporation, Amerika Syarikat pada tahun 2001.

Pembangunan manusia memiliki maksud yang lebih luas, merangkumi pembangunan diri, ketrampilan dan rohani. Mental, fizikal, spiritual dan sosial digabung bersama supaya manusia benar-benar dibangunkan seluruh potensi mereka.

Ketika pembangunan sumber manusia hanya memenuhi keperluan organisasi tanpa mengaitkan dengan pembinaan roh dan jiwa, pembangunan manusia melihat seluruh jasad dan jiwa yang ada pada manusia sebagai sumber kekuatan.

Seekor burung dipelihara dalam sangkar emas. Hari demi hari, ia berkicau setiap hari dan semakin lama semakin perlahan kerana tidak diberi makan dan minum. Akhirnya ia mati dalam sangkar emas.

Dalam konteks manusia sebagai makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna, pembangunan manusa adalah jawapan kepada kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Manusia memiliki potensi unggul yang boleh digilap untuk menjadi cemerlang.

 

Tuesday, July 26, 2011

Internet bunuh industri media cetak



oleh Karim Raslam

Satu laporan khas - majalah The Economist siaran minggu lepas, mengupas dunia media baru dengan mendalam, terutamanya selepas kejadian protes di Tahrir Square.

Artikel ditulis sebelum lanjutan perkembangan kes News of the World (melibatkan kes merakam secara haram perbualan telefon ahli politik, selebriti, keluarga mangsa pembunuhan) yang memalukan hartawan media global Rupert Murdoch ini menggariskan perkembangan luar biasa dan pendemokrasian radikal industri berita, di mana teknologi atasi model perniagaan tradisional.

The Economist menyatakan, industri berita global sedang alami perubahan dramatik - sesuatu yang kita di Malaysia juga alami.

Ternyata, dalam era sebelum kedatangan surat khabar, orang ramai bertukar-tukar berita secara muka ke muka: di kedai kopi, warung dan pasar.

Berita yang disampaikan selalunya bercampur-aduk dengan gosip dan sering tidak tepat, maka terpulang kepada individu untuk menentukan kebenaran berita yang didengari secara sendiri. Jelas sekali ini adalah dunia tukang cerita - satu keadaan di mana berlakunya kekurangan dalam kebenaran dan penipuan berada di setiap sudut.

Akan tetapi, menurut The Economist, industri berita sedang berhadapan kepulangan masa lampau yang mengejutkan. Perbualan secara rawak di pasar kini digantikan oleh celotehan media sosial - dari Twitter, Facebook dan YouTube.

Ironinya, kita akan saksikan keretakan dalam perdebatan awam, kerana kini suara yang berbeza mula membanjiri persada media perdana.

Ini juga disertai penurunan jualan dan penetrasi media tradisional (seperti akhbar dan majalah). Pada masa sama anda juga harus bertanya kepada diri: ‘bilakah kali terakhir membaca akhbar fizikal?’ 

Bukankah menyelak halaman akhbar di Ipad atau Blackberry itu lebih mudah dan percuma?

Sudah tentu keadaan industri media cetak berbeza dari negara ke negara. Sememangnya, sebaran berita di internet punya kesan paling dramatik pada industri akhbar di Britain dan Amerika, di mana semuanya mengalami penurunan yang besar dalam pengedaran dan keuntungan, terutama hasil dari pengiklanan.

Menariknya, di sebalik kesuraman industri media Barat, masih terdapat pertumbuhan dalam edaran akhbar di India, Brazil dan Indonesia.

Dari perspektif politik, penguasaan industri media oleh individu dan firma swasta menyebabkan pemusatan pengaruh di luar batasan politik.

Mereka yang miliki akhbar boleh menjadi sangat berkuasa dengan cepat, contohnya William Hearst, Beaverbrook dan semestinya Rupert Murdoch. Mereka ini sering kelihatan berdampingan dengan orang-orang yang berkuasa.

Lumrah ahli-ahli politik tidak suka persaingan kuasa. Justeru, mereka akan berusaha untuk membendung pengaruh pemilik media. Lihat sahajalah, ahli-ahli politik Britain pantas meninggalkan Murdoch yang dilanda masalah.

Walau bagaimanapun, di negara-negara seperti Malaysia, dengan peraturan-peraturan pelesenan akhbar yang ketat, penguasaan terhadap media perdana dengan jelasnya memihak kepada kerajaan dan parti politik.

Kepemilikan akhbar oleh parti-parti politik dan sekutu mereka adalah kunci utama Barisan Nasional kekal berkuasa selama lebih lima dekad.

Tetapi masa berubah. Revolusi internet menggegarkan surat khabar Malaysia yang kebanyakannya juga mengalami penurunan besar dalam edaran.

Kita kini berhadapan dengan senario yang unik di Malaysia. Kita ada media terbahagi di tengah-tengah - dengan media perdana (konvensional) yang menyokong BN dan media berasaskan web yang kebanyakannya menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Walau bagaimanapun, strategi komunikasi politik BN seakan-akan berpuas hati dengan penguasaan terus media perdana. Mereka selesa mengekori perkembangan PR - mendepani persaingan perang siber. Walaupun ada perubahan dalam strategi komunikasi siber BN sejak 2008, tetapi perubahan ini terlalu minimum. Contohnya, tatkala PR sibuk berperang psikologi di laman Twitter, penyokong BN masih bertempur di medan blog.

Sesungguhnya, penerusan kongkongan terhadap media perdana dan kelemahan kuasai perang siber menyebabkan BN ketinggalan selangkah di belakang.

Saya perlu menambah, walaupun banyak akhbar alami kerugian, tetapi dua akhbar kegemaran saya, Sinchew Daily dan Sinar Harian - masih kukuh kerana komitmen mereka terhadap berita tempatan. Asas kukuh dan rasa kemasyarakatan yang kuat, akhbar-akhbar ini mengatasi kerugian dalam pengedaran yang menjadi penyebab mengapa tukang cerita menyokong mereka dengan sepenuh hati!

(Sinar Harian, 19 Julai 2011)
 

Monday, July 25, 2011

Standard global





Kita tidak akan mampu mencapai matlamat bertaraf global jika tidak ada keupayaan dan kemampuan bergerak selari dengan standard antarabangsa. Cara kerja, corak berfikir dan strategi bertindak mestilah menunjukkan tahap keupayaan luar biasa supaya dapat bersaing dengan kelompok bangsa-bangsa yang maju.

Taraf global hanya dapat dicapai oleh peribadi-peribadi yang memiliki kualiti diri. Peribadi yang memiliki kualiti diri umpama akar pokok yang menyokong dan menunjangi julangan pucuk. Teguh berdiri sebatang pokok selama bertahun-tahun adalah kerana akarnya kuat, mantap dan mencengkam ke bumi. Di hujung akar-akar ini terdapat alat pengesan yang sangat sensitif untuk mencari makanan dan keperluan bagi batang, daun dan sistem pertumbuhan pokok yang kuat.

Contoh yang lain ialah memasang cerucuk untuk membina bangunan. Semakin tinggi dan gah sesebuah binaan, semakin dalam cerucuk ditanam supaya asas binaan tersebut menjadi kuat dan stabil.

Usaha membina sebuah bangunan yang menjulang tinggi ke langit perlukan tapak yang kuat supaya dapat menahan sebarang ancaman yang dapat meruntuhkan atau merosakkan binaan itu.

Dalam diri kita, sebagai manusia yang memiliki sifat dan ciri-ciri makhluk yang sempurna, kualiti diri yang ada di dalam diri kita boleh diperkukuhkan. Kita perlu ada nilai-nilai yang mendokong jati diri supaya menjadi yang hebat dan cemerlang.

Jika tidak ada sistem nilai yang menyokong keutuhan jati diri, organisasi dan masyarakat tidak dapat menghampiri standard global dan pasti kalah dalam persaingan.

 

Monday, July 18, 2011

Keputusan tegas, rakyat puas




Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk menghalang pusat-pusat hiburan dibuka sepanjang bulan ramadhan yang akan datang, suatu langkah yang sangat baik untuk menjaga kesucian bulan berkenaan. Sebagai seorang Islam, keputusan tersebut menepati jiwa dan ruh bulan yang diberkati itu. Amalan dalam bulan ramadhan akan dilipatgandakan pahala bersesuaian dengan rahmat Allah swt kepada umat Islam yang beramal. Menghindari pusat hiburan yang melalaikan dan menjurus kepada amalan sia-sia adalah langkah bijak kepada penghayatan amalan yang soleh.

Ketegasan menteri besar negeri itu yang ditangannya ada kuasa, amat dipuji kerana mandat yang diberikan kepadanya telah ditunjukkan. Rakyat negeri Kedah wajar bersyukur dan berbangga. Diharap tindakan ini akan dituruti oleh negeri-negeri lain.

Di sebalik masyarakat Islam bersyukur di atas ketegasan menteri besar, di media pula heboh kerana ditentang oleh golongan yang bukan Islam yang menjalankan bisnes pusat hiburan ini. Suara mereka diangkat dan diberi ruang di media setiap hari tanpa ada segan atau hormat kepada umat Islam yang majoriti. Tanpa segan silu mereka mendesak kerajaan negeri Kedah menarik larangan berkenaan atas alasan mereka mencari wang dan berniaga.

Majoriti penduduk Malaysia beragama Islam dan Islam juga menjadi agama rasmi negara. Kenapa boleh terjadi masih ramai orang bukan Islam ini yang masih tidak faham agama Islam? Sedangkan parti pemerintah yang membentuk dan mengetuai kerajaan adalah orang Islam? Adakah dakwah tidak sampai atau tidak ada usaha untuk berdakwah?

Ada satu cerita mengenai seorang diplomat dari negara Italy yang memeluk agama Islam semasa berkhidmat di Arab Saudi. Tempoh perkhidmatnnya tidak panjang namun tempoh itu digunakan sebaik-baiknya untuk mengenal dan belajar tentang Islam. Oleh kerana Islam menepati kehendak jiwanya dan usaha dakwah yang dilakukan kerajaan Arab Saudi, diplomat tersebut mengambil keputusan untuk menjadi seorang Islam. Perkara ini tidak dihebohkan sangat namun agak memeranjatkan kerajaan Italy.

Barangkali kejahilan sebahagian besar masyarakat bukan Islam di Malaysia ialah kerana usaha dakwah tidak dilakukan bersungguh-sungguh oleh kerajaan. Rakan parti mereka boleh bersekongkol dengan parti lawan untuk menghentam cadangan demi kebaikan umat Islam sendiri. Jika perkara ini berterusan, Islam tidak dipandang mulia atau hebat, malah mungkin dijauhi.

Sepatutnya kerajaan sentiasa memberi penerangan dan dakwah secara berterusan untuk menyemarakkan pengetahuan dalam kalangan bukan Islam. Mereka boleh melakukannya kerana ada agensi dan orang ramai berminat hendak membantu. Cuma gerakkan harus dimulai sekarang dengan menentukan strategi dan matlamat yang jelas.  

 

Saturday, July 16, 2011

Pembudayaan




Budaya merupakan asas kepada pembudayaan. Istilah budaya diambil dari perkataan Sanskrit , buddayah yang membawa erti budi pekerti atau akal. Bahasa Inggeris menyebut budaya sebagai culture yang diambil dari perkataan latin ‘colore’ yang bermaksud menanam atau mengerjakan.

Kamus Dewan (2002) memberi maksud budaya sebagai tamadun, peradaban, kemajuan fikiran dan akal budi yang merangkumi cara berfikir, bertingkah laku dan sebagainya. Modern Dictionary of Sociology mentakrifkan budaya sebagai cara hidup manusia yang hidup berkelompok sama ada berbentuk material ataupun bukan material.

Berdasrkan kepada tafsiran ini, pembudayaan dilihat sebagai proses atau kaedah membudayakan sesuatu seperti pemikiran, ilmu, undang-undang, adat resan dan sebagainya. Proses ini tentulah melibatkan pelaksana yang memiliki pengetahuan dan kemahiran yang khusus.

Rujukan

Kamus Dewan Edisi Ketiga. (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Theodorson, G. A. (1969). Modern Dictionary of Sociology. New York: Crowell.

Friday, July 15, 2011

Akademia

 


Akademia merupakan istilah yang dikaitkan dengan komuniti berpendidikan tinggi yang terlibat dalam pengajaran, penyelidikan, penulisan dan keintelektualan yang berpusat di institusi pengajian tinggi seperti universiti.

Istilah akademia diambil sempenan nama Akademos iaitu seorang lagenda Athens yang memiliki ladang buah zaitun, sebuah gimnasium dan ruang untuk berkumpul dan berbincang. Plato dan anak muridnya dikatakan menggunakan ruang berkenaan untuk berbahas dan mencari ilmu secara tidak formal. Justeru sesi perbincangan ini dinamakan academy.
 
Kamus Dewan (2002) memberi maksud yang lebih mendalam tentang akademia dengan memmecahkannya kepada akademi, akademik dan akademikus. Akademi merujuk kepada sekolah tinggi (pusat pengajian) yang mengajarkan sesuatu pengetahuan ataupun sebuah institusi yang ditubuhkan untuk memajukan ilmu pengetahuan, kesusateraan dan sebagainya.

Akademik membawa maksud mengenai pusat pengajian tinggi (akademi), bersifat atau mengandungi ilmu pengetahuan yang mendalam. Manakala akademikus merujuk kepada orang yang berpendidikan dari pusat pengajian tinggi.

Akademia merupakan satu tradisi ilmu yang berkembang dalam semua tamadun utama dunia. Di Afrika, ia bermula dengan penubuhan University in Mali, Afrika Barat, The Royal Library of Alexandria di Mesir, Shang Xiang di China, Takshashila University dan Nalanda University di India.

Dalam dunia Islam, pengiktirafan akademia dizahirkan dengan menubuhkan University of Al-Karaouine pada abad ke-9 dan Universiti Al-Azhar pada abad ke-10. Tamadun Barat mula membuka institusi pengajian tinggi pada abad ke-12 dan ke-13.

Akademia mempunyai hubungan intim dengan intelektual dan sering digambarkan sebagai pendidikan tinggi, elit dan hidup dalam dunia sendiri. Aktiviti akademia meliputi pelbagai disiplin ilmu dan menetapkan piawaian tentang bagaimana sesatu ilmu dijumpai, dikaji, disah dan disebarkan kepada masyarakat.
 
Rujukan

Kamus Dewan Edisi Ketiga. (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://www.en.wikipedia.org/Wiki/Academia.
http://www.academia.edu/

Wednesday, July 13, 2011

Bijaksana dan pengalaman







Ramai orang yang berkata, ‘Aku tidak dilahirkan untuk menjadi seorang yang bijak.’ Namun adakah kita sedar bahawa Allah swt yang maha sempurna lagi maha bijaksana telah memberikan kita satu otak yang sama. Perbezaannya ialah bagaimana kita mencari pengalaman sejak kecil.

Bagi seorang kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga Melayu, sudah tentu dia boleh bercakap dan fasih berbahasa Melayu. Keadaannya berbeza bagi seorang kanak-kanak India kerana dia hanya tahu berbahasa Tamil. Jika diminta kanak-kanak India tadi bercakap bahasa Melayu, sudah tentu dia tidak tahu.

Nah... persoalannya ialah, adakah kanak-kanak India tadi bodoh kerana tidak bercakap bahasa Melayu?

Kita ambil pula contoh ini. Seorang kanak-kanak yang pernah belajar di sekolah tadika lalu masuk ke sekolah rendah dan duduk bersama kenak-kanak yang tidak ke sekolah tadika. Siapakah yang lebih cepat belajar dan barangkali lancar ketika membaca? Sudah tentu kanak-kanak yang ada pengalaman belajar di tadika. Adakah kanak-kanak yang mempunyai pengalaman belajar adalah bijak ataupun kanak-kanak tidak punyai pengalaman yang bodoh?

Dalam kedua-dua contoh di atas, bijak atau pintar tidak bergantung pada pengalaman yang dilalui sebaliknya persekitaran dan pendedahan yang diterima.

Jika seorang pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kali pertama, lalu mengulang lagi hingga lulus, adakah kegagalan pertama kerana dia tidak bijak? Barangkali ya namun kejayaan yang dikecapi selepas itu lebih disumbangkan oleh pengalaman yang pernah dialami sebelumnya.

Kebijaksanaan dan pengalaman ada kaitan yang rapat. Kebijaksanaan akan lebih terserlah andainya pengalaman yang dilalui penuh dengan kegagalan dan cabaran. 

 

Tuesday, July 12, 2011

Jurang politik yang berbeza







oleh Karim Raslan

Dua pandangan yang amat berbeza muncul daripada peristiwa ‘hitam’ hujung minggu di Kuala Lumpur.

Bersih 2.0 telah jelas membuktikan kepada rakyat bahawa terdapat jurang pemisah yang dalam antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Sudah tentu, landskap politik yang berbahagi ini merisaukan; namun, ia petunjuk bahawa wacana awam di Malaysia dinamik - berkembang maju.

Ia juga petunjuk bahawa Malaysia masih sebuah negara demokrasi, walaupun terbatas. Jika kita mengikuti perbincangan di warung kopi dan alam siber beberapa minggu ini, jelas terserlah rakyat Malaysia sememangnya bimbang akan situasi politik tanah air.

Ternyata, negara kita berada di ambang kemuncak polarisasi. Justeru, rakyat Malaysia harus memilih untuk berada di pihak yang mana.

Duduk di atas pagar tidak lagi menjadi pilihan. Ini kerana, pagar itu sedang digoncang keras oleh kedua-dua pihak bertentangan, sehinggakan akur tak akur, rakyat yang memilih untuk duduk di atas pagar akan jatuh ke salah satu pihak.

Apa yang penting untuk kita hayati - pertentangan kedua belah pihak ini bukan lagi kerana kaum atau agama. Ia lebih menjurus kepada falsafah hidup dan prinsip politik.

Sememangnya terdapat kaum Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan penganut agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu di kedua-dua belah pihak perdebatan.

Kedua-dua belah pihak bertentangan kerana kepercayaan politik mereka, bukan lagi kerana salah faham. Kedinginan kedua belah pihak dipanaskan lagi dengan kebencian antara satu sama lain.

Usaha untuk menyatukan mereka, seperti agenda pergabungan Pas dan UMNO, memang sia-sia. Ini bukanlah suatu malapetaka: malah ia menunjukkan kematangan politik.

Perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak ini substantif, melebihi salah faham kecil dan peribadi pemimpin mereka yang bertentangan.

Ia adalah percanggahan berdasarkan prinsip, yang tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata melalui satu perhimpunan.

Di satu pihak, adanya kerajaan yang diterajui UMNO yang menuntut kesinambungan status quo. Dalam hal ini, UMNO jelas bertindak seperti puak konservatif yang mempertahankan kepentingan pihak atasan, berkuasa dan golongan aristokrat.

Pada masa yang sama pemimpin UMNO juga menyeru untuk perpaduan Melayu, tanpa menghiraukan bangsa lain. Mereka berteriak, tidak mahu bertolak ansur dan tidak mahu kehilangan nikmat kuasa yang telah dirasai selama 54 tahun ini.

Di satu pihak yang lain, anda mempunyai barisan sosialis dalam PR. Mereka mengakui mewakili kepentingan rakyat biasa, dan mengambil platform moral yang tinggi dalam isu-isu seperti rasuah.

Mereka bertutur bahasa rakyat dan cenderung untuk memberi tumpuan kepada isu sosioekonomi rakyat biasa: dari kenaikan harga barang makanan ke kualiti pendidikan.

Lihat sahajalah dasar negara kebajikan yang diuar-uarkan Tuan Guru Hadi Awang - bukankah itu retorik ikatan sosialis sedunia?

Sudah tentu banyak retorik yang dimainkan terlalu nyaring, tetapi ini adalah teater politik dan pelakonnya harus berusaha mendapat sorakan penonton.

Selain itu, sebagai pakatan politik yang baru, mereka lebih fleksibel, menerima dan ada lebih banyak ruang untuk rundingan.

Dalam zaman di mana teknologi berubah sekelip mata, sistem politik juga perlu berubah. Namun adakah pertempuran dua pihak yang bertentangan ini membawa manfaat kepada rakyat?

Adakah kita akan mendapatkan lebih banyak dasar-dasar dan janji-janji populis yang ditabur di hadapan kita sebagai balasan untuk undi?

Atau apakah rakyat akan sengsara ibarat dua gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah? Tidak kira apa jua, kita ingin melihat perubahan kepada negara yang tercinta ini.

Kita perlu seorang pemimpin untuk merapatkan jurang politik, menghentikan kemerosotan ekonomi dan membawa perubahan.

Kita telah sampai ke suatu masa, yang kita memerlukan ejen perubahan tidak kira dari BN atau PR, konservatif atau liberal, sosialis atau pemimpin berhaluan kanan.

Rakyat akan berdiri di belakang seseorang pemimpin yang ikhlas dalam membawa kita keluar dari kekusutan ini, seperti bagaimana seorang pemimpin konservatif, Ronald Reagan menyelamatkan Amerika Syarikat.

Mungkin kita perlu seorang pelakon politik seperti Reagan di pentas politik Malaysia, seseorang yang meyakinkan.

(Sinar Harian, 12 Julai 2011)

 

Monday, July 11, 2011

Impak Bersih2.0 ke atas golongan muda







Persamaan di antara Bersih1.0 dan Bersih2.0 ialah kedua-duanya berhadapan dengan gas pemedih mata. Oleh kerana baju t-shirt berwarna kuning diharamkan kali ini, peserta perhimpunan Bersih2.0 bebas memakai pakaian kegemaran masing-masing, satu keadaan yang membingungkan pihak polis Malaysia untuk menangkap orang yang disyaki. Angka yang ditangkap berbeza-beza. Ada yang kata 1500, ada kata 1401 dan ada yang kata 1400 saja. Faham yang mudah, ramai yang kena tangkap termasuk kanak-kanak.

Tangkapan ini umpama pukat tunda yang mengaut semua spesis ikan di laut. Laki-laki, perempuan, tua dan muda menjadi mangsa dan paling malang, seorang daripada peserta ini telah meninggal dunia. Bagi mengelak rasa malu dan bersalah, polis Kuala Lumpur mengharapkan orang ramai memberi maklumat kepada mereka supaya kematian berkenaan dapat disiasat. Walau bagaimanapun parti pembangkang mahu lebih daripada itu.

Bersih2.0 adalah gabungan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang mahu melihat pilihan raya Malaysia diadakan dalam keadaan adil dan aman. Kerajaan Barisan Nasional menegaskan pilihan raya sudah diadakan dalam keadaan adil dan saksama, tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan lagi. Namun tidak bagi Bersih2.0, mereka ada bukti dan kenyataan bahawa pilihan raya masih korup dan wujud kelemahan yang ketara.

Perjalanan Bersih2.0 penuh dengan ugutan dan tekanan untuk menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur. Surat khabar perdana seperti Utusan Malaysia begitu bersemangat memberi maklumat dan menjaja kempen supaya perhimpunan Bersih2.0 dijauhi. Khutbah Jumaat pada 8 Julai pula menyeru mimbar untuk membenci perhimpunan berkenaan dengan memetik beberapa ayat al-quran dan hadis.

Menganalisis perhimpunan Bersih2.0 perlukan beberapa pendekatan yang berhati-hati. Umpamanya, apakah tujuan perhimpunan ini diadakan, kenapa warna kuning dan nama BERSIH yang dipilih? Siapa yang menggerakkan gelombang ini dan apakah hala tuju atau matlamatnya? Bagaimana gerakan ini disusun dan diatur? Siapa yang membiayainya? Bagaimana penggerak Bersih2.0 mampu menarik perhatian anak-anak muda untuk menyertai mereka? Pertanyaan paling penting ialah apakah impak ke atas kesedaran berpolitik dalam kalangan generasi muda hari ini?

Selepas era 1998, golongan muda telah menjadi sasaran parti politik sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat untuk kepentingan politik masing-masing. Mereka dibelai dan didedahkan dengan pelbagai maklumat yang mudah diperoleh. Fikiran dan nilai mereka turut diasuh supaya menjadi setia. Hari ini, anak-anak muda yang penuh inspirasi memenuhi jalan raya dari Jalan Hang Jebat hingga ke KLCC.

Orang tua tanpa idealisme tidak berminat dengan perarakan yang menyentap kudrat mereka. Golongan ini yang menjadi nadi kepada kejayaan Barisan Nasional ketika ini lebih percaya dengan berita di akhbar berbanding maklumat kilat di blog, facebook atau twitter. Mereka ini paling mudah dipengaruh. Kepercayaan mereka terhadap akhbar dan televisyen milik kerajaan sukar digugat.

Orang muda berbeza. Mereka punya idealisme dan inspirasi masa depan untuk negara mereka. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan rayuan dan rintihan lidah pengarang, sebaliknya leka dengan mencari maklumat di internet, bertukar-tukar pesanan ringkas dan sekali-sekala bersembang-sembang dengan rakan di ruang maya facebook dengan iPhone dan iPad masing-masing.

Anak-anak muda Melayu yang paling menonjol ketika ini sehingga memeningkan kepala pemimpin. Seorang menteri berkata beliau sangat hairan kenapa anak-anak muda Melayu ini begitu ghairah menentang kerajaan, sanggup dibelasah dan ditangkap pihak polis Malaysia. Mereka bangkit, berjalan di tengah-tengah konflik tanpa menunjukkan raut wajah yang takut. Mereka berlari dan merempuh sekatan polis Malaysia dengan bangga dan sesekali jatuh, bingkas bangkit dan kembali menyusun langkah.

Apakah yang menggerakkan kebangkitan kesedaran anak-anak muda Melayu ini? Adakah Patriot Pemuda UMNO? Adakah Putera Umno? Adakah ada ejen asing yang menyusup masuk dan menggerakkan mereka? Adakah parti politik pembangkang telah berjaya menawan hati anak-anak muda ini melalui aktiviti anti establishment yang digilap sepuluh tahun lalu? Atau ada faktor-faktor lain yang mungkin berbeza?

Penganjur Bersih2.0 menyifatkan perhimpunan kali ini sangat berjaya dan mencapai matlamat, ia juga bakal menjadi permulaan kepada aktiviti yang seumpamanya. Namun, perdana menteri Najib Tun Razak menolak dakwaan itu sambil menyeru majoriti senyap rakyat Malaysia menunjukkan sikap mereka terhadap Bersih2.0. Di Malaysia, yang senyap akan terus senyap dan yang lantang akan terus bersuara. Yang senyap berlalu pergi, yang lantang dijulang tinggi. Sama ada generasi muda pro arau kontra dengan Bersih2.0, pilihan raya ke-13 menjadi medan persabungan yang hebat.

 

Saturday, July 09, 2011

Peludah warna




Kuasa gusar kini menggelegak murka
warna kuning diisytihar racun terbisa
diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya

Tapi, kita jahit semula perca kain
menjadikannya panji terindah dan tulen
warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas
memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya

Kerana nikmat amat lama berkuasa
kuasa pun seolah menjadi hartanya


A Samad Said

 

Thursday, July 07, 2011

Yang cekal dan tabah akan berjaya






Peribahasa Cina berbunyi, ‘apa yang saya dengar saya lupa, apa yang saya lihat saya tahu, apa yang saya buat saya faham.’ Untuk berjaya kena tahu dan laksanakan pengetahuan yang ada supaya kita faham. Proses untuk tahu dan bertindak sangat penting bagi menetukan kejayaan.

Ambil contoh seorang pelajar yang  rajin belajar. Tentulah dia boleh berusaha dengan susah payah untuk berjaya.

‘Bertindak dan berubah sekarang’ perlu menjadi prinsip diri yang kuat untuk berjaya dalam hidup. Ramai orang yang meraih kejayaan kerana memiliki rancangan dan bertindak menjayakan rancangan mereka tanpa mempedulikan kata orang lain.

Kita lihat bagaimana seorang peniaga kecil-kecilan yang berniaga kuih-muih dan nasi lemak di pinggir jalan dan tepi simpang dapat menjana pendapatan RM3,000 sebulan kerana mahu mengubah hidup.

Kita lihat bagaimana rakyat yang bergelandangan tidur di bawah lampu jalan, di dalam kotak atau di bawah jambatan bertindak keluar dari ‘zon neraka’ untuk membina keidupan baru seterusnya berjaya membeli rumah sendiri.

Susah dan payah untuk berjaya dan meraih kecemerlangan adalah asam garam dalam perjuangan. Banyak halangan bermaksud cabarannya sangat besar. Tanpa mempedulikan kata orang, tersampuk dengan pujian atau terhina dengan cacian, hanya mereka yang cekal dan tabah akan berjaya dan mencapai matlamat. 

 

Wednesday, July 06, 2011

Bila kerajaan hendak berubah?






Penerimaan wakil perhimpunan BERSIH2.0 untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong amat menarik untuk dinilai dari pelbagai sudut. Jarang sekali kita dapat melihat peranan baginda dalam membuat apa yang patut dan apa yang tidak kerana peranan tersebut banyak dibuat oleh kerajaan yang memerintah sehingga rakyat tidak nampak peranan insitusi raja berpelembagaan dalam menyelesaikan masalah negara. Titah khas sempena rancangan perhimpunan pada 9 Julai nanti menjadi pemisah di antara kerajaan yang marah dengan pembangkang yang ghairah.

Media massa yang mempromosi perhimpunan tersebut menjadikan Datuk Ambiga orang yang popular dan baju kuning digilai. Seorang pelajar yang tidak sedar tentang BERSIH2.0, kini teruja untuk melihat acara tersebut dilangsungkan.

Begitu juga dengan seorang penjual makanan di simpang tiga pekan Kodiang, Kedah yang ingin membiayai pemergian rakan-rakannya ke Kuala Lumpur. Seorang pensyarah pula ingin benar BERSIH2.0 menjadi pencetus kepada demokrasi media yang lebih berjaya dan tidak terikat dengan beberapa akhbar dan media elektronik yang mengongkong pemikiran.

Rakan di sebelah ketawa dan tersengih kerana melihat kelucuan pihak berkuasa yag mengaitkan elemen komunis dengan BERSIH2.0. Katanya, ‘Apalah cerita... polis jumpa baju gambar komunis! Ini zaman moden. Dia ingat kita boleh percaya?’ Saya juga berfikir, adakah polis Malaysia semakin tinggi aras kecerdikan atau sebaliknya dalam usaha mencegah perhimpunan itu.

Dalam kalangan generasi muda atau Generasi Y hari ini, tindakan polis dan kerajaan untuk menghalang perhimpunan bagi menuntut pilihan raya yang lebih adil adalah sangat ketinggalan zaman. Generasi ini terdedah dengan pendidikan, maklumat dan perkembangan dunia yang menyebabkan fikiran dan nilai mereka terhadap kerajaan berubah sama sekali.

Barisan Nasional dilihat berada di pihak yang kalah sebaik sahaja melancarkan kempen memburukkan BERSIH2.0 kerana memiliki sifat ‘takut berubah’ sedangkan negara-negara yang membuat perubahan dalam sistem pilihan raya  semakin berkembang dalam aspek ekonomi, politik dan sosial. Kita tidak mahu kerajaan yang menaikkan harga minyak dengan mengutamakan keuntungan diri, kenaikan harga barang yang membebankan orang kampung dan bandar, gaji kakitangan awam yang tidak naik-naik kerana pengurusan ekonomi yang lemah dan rasuah yang menjadi-jadi di sebalik usaha yang murni.

Rakyat tidak lagi memberi keutamaan kepada kaum mana yang memerintah dan menjadi kerajaan kerana keperluan mereka lebih penting. Mencari pekerjaan, mendapat kehidupan yang selesa dan tahap pendapatan yang bergaya adalah ciri-ciri orang hari ini, bukannya menyokong berasaskan kaum atau agama. Cabaran kerajaan dan parti-parti yang lain ialah memenuhi keperluan seperti ini.

Dalam pilihan raya akan datang, Barisan Nasional akan dikafankan jika masih berdegil untuk membuat perubahan, masih degil dengan elemen ancaman perkauman dan menggunakan polis untuk mengekang kebangkitan rakyat yang mahukan hak mereka dipenuhkan.

Pengundi muda semakin ramai dan mereka ini terdedah dengan sifat agresif dan mahukan sesuatu yang memenuhi keperluan hidup dengan segera. Mereka tidak mahu didendangkan dengan pembangunan kerana baik kerajaan atau pembangkang, pembangunan akan terus berlaku.

Selangor masih membangun, Kelantan masih kekal seperti sediakala dan Pulau Pinang juga semakin berkembang. Sekiranya bentuk pemikiran rasional seperti ini digunakan untuk menjelaskan konsep dan erti pembangunan kepada rakyat di luar bandar, Sabah dan Sarawak, wakil rakyat Barisan Nasional wajar berfikir ke mana mereka akan pergi selepas pilihan raya akan datang.  

 

Dengar dan layan





Kemahiran mendengar adalah kemahiran yang sangat penting dalam proses melayan. Mendengar orang muda atau orang tua bercakap atau sesiapa sahaja, seharusnya diberi perhatian kerana barangkali mereka memberi banyak kebaikan kepada kita.

Kita ambil contoh tentang seorang yang belum diketahui tahap akalnya. Tentunya kita tidak tahu sama ada dia seorang yang baik atau tidak ketika bercakap, namun kita dapat mengetahui degan mendengarnya bercakap. Sebaik bersuara, sah dia tidak pandai.

Pengajarannya ialah kita jangan jadi seperti itu. Kita jangan jatuhkan maruah orang lain kalau tidak pandai bercakap. Kena dengar orang tua bercakap supaya dapat pengalaman, bukannya mendengar sehingga menjadi tua.

Kenapa dengar orang muda bercakap? Sebabnya, orang muda hari ini mendapat ilmu dengan cepat dan mungkin boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

Konsep ‘pandai kerana makan garam dahulu’ agak kurang menepati budaya dan tradisi hidup kita hari ini. Perkembangan pendidikan dan bilangan penyelidikan yang banyak telah menyuntik idea baru kepada setiap orang kerana ilmu datang dari semua arah.

 

Tuesday, July 05, 2011

Mungkin sejarah akan berulang?







oleh Karim Raslam

Arus sejarah kontemporari Malaysia sudah terencat. Dari mara ke hadapan, ia telah kembali ke belakang, mengulangi masa silam: Kes Sodomi 1, Kes Sodomi 2, Bersih 1 dan Bersih 2.

Ada yang mengatakan bahawa masalah politik ini tidak memberi kesan kepada ekonomi negara. Saya tidak bersetuju dengan hujah ini. Jika ekonomi Malaysia mahu berkembang ke tahap yang lebih tinggi, kita memerlukan transformasi politik- kita memerlukan suntikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan dinamisme dalam suasana masyarakat yang terbuka. Malangnya, kuasa “kegelapan” terlalu kuat dan mendalam. Justeru, modal pelaburan yang keluar dan modal insan yang berduyun-duyun meninggalkan Malaysia merupakan kesan langsung dari kecekalan kerajaan untuk menolak agenda transformasi yang menyeluruh.

Apabila cerita mengenai Bersih 2.0 menjadi berita hangat beberapa minggu kelmarin, saya menyangka ia hanya membazir masa. Pada pendapat saya, agenda pergerakan sivil telah diketepikan dan masalah inflasi yang meningkat dan kenaikan harga barang telah menjadi masalah utama rakyat.

Sangkaan saya ternyata meleset, Bersih 2.0 ternyata kembali lebih “panas.” Namun, ini bukan disebabkan oleh kepintaran pihak penganjur mempromosikan Bersih, tetapi kelemahan pihak kerajaan dalam mengatasi masalah ini.

Kenyaringan laungan di media yang mengkritik dan mengecam Bersih dan penganjurnya serta kecekalan pihak kerajaan untuk berdepan dengan Bersih telah membawa kita ke jalan buntu. Sejak beberapa minggu lepas, Bersih 2.0 telah menjadi obor untuk perubahan politik- membakar semangat perubahan yang memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Saya merasakan ini tidak masuk akal- objektif awal pergerakan ini mudah untuk diterima umum. Bagaimana kita boleh menolak panggilan untuk pilihan raya yang bersih dan adil?

Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan Bersih, kita seharusnya diingatkan tentang hak kebebasan berhimpun yang dijamin oleh Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, sejak rusuhan kaum 1969, kerajaan Malaysia telah mengambil pandangan bahawa kebebasan seharusnya disekat kerana “takut” akan kekacauan.

Hakikat bahawa kita masih lagi takut akan bayang-bayang peristiwa 13 Mei membuktikan kegagalan kita dalam membangunkan hubungan antara kaum yang baik sejak 1969. Bukankah kita telah lebih matang kuat dan cekal sebagai satu bangsa?

Terdapat tiga lagi hujah yang ingin saya coretkan di sini:

Pertamanya- seperti yang telah saya perkatakan sebelum ini, internet, laman media sosial seperti Facebook and Twitter telah meratakan hierarki tradisional dan struktur pemerintahan lama.

Media arus perdana bukan lagi sumber tunggal untuk informasi dan pendapat. Peredaran zaman dan perubahan teknologi memerlukan perubahan pemikiran dari segi strategi parti politik, dan tentunya kerajaan yang memerintah.

Sememangnya, perubahan ini tidak ketara dalam pemimpin BN dan UMNO, yang majoritinya lebih gemar menyorok di belakang undang-undang daripada berdebat secara terbuka dan rasional.

Kedua, dalam berurusan dengan Bersih 2.0, kerajaan seharusnya sedar, bahawa pemain utama gerakan ini adalah Pas. Anwar Ibrahim tidak lagi begitu berkuasa. Ambiga Sreenevasan yang menolak keras tawaran Anwar bahawa beliau berkuasa untuk membatalkan perhimpunan itu, telah melemahkan kedudukan politik Anwar.
Tambahan lagi, ulama PAS bukan ahli politik biasa. Memukul atau menangkap Tuan Guru Hadi Awang akan menjadikan beliau bintang politik bersinar. Kekerasan terhadap ulama akan meningkatkan sentimen anti-kerajaan dan membawa Pas maju ke depan.

Ketiga dan terakhir, mungkin kita harus menghayati pesanan Winston Churchill, yang pernah berkata“ mereka yang tidak belajar dari sejarah akan mengulanginya.”

Banyak faktor-faktor yang telah membolehkan kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008 telah kembali - inflasi, keputusan pilihan raya negeri Sarawak, rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Cina dan Kristian serta rasa tidak puas hati masyarakat bandar dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kini, Barisan Nasional dan UMNO tidak lagi menetapkan agenda. Sebaliknya, sengaja atau tidak, mereka kelihatan seperti mengikut telunjuk permainan politik pembangkang. Dalam konteks ini, adakah sejarah akan berulang? Apakah mungkin, Tsunami 1 akan disusuli oleh Tsunami 2?


(Sinar Harian, 5 Julai 2011) 

 

Monday, July 04, 2011

Mati tergantung selepas disaman






Seorang pelajar berusia 15 tahun dijumpai mati tergantung di rumahnya di Taman Bemban Utama dekat sini, petang kelmarin, selepas menerima saman polis kerana kesalahan trafik.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mayat M Rajathurai yang juga pelajar Sekolah Menengah Seri Bemban ditemui ibunya ketika membuka pintu bilik yang tidak berkunci. S Chinammah, 49, berkata beliau terkejut dengan kejadian itu selepas beberapa jam anaknya menerima saman daripada polis atas kesalahan trafik yang dilakukannya.

“Semuanya bermula apabila saya meminta dia (Rajathurai) ke kedai untuk membeli barang tetapi menyuruhnya berjalan kaki atau berbasikal.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka anak saya menaiki motosikal milik rakan abangnya secara senyap untuk ke kedai, “ katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Chinammah berkata, beliau hanya mengetahui anaknya itu disaman polis selepas kereta peronda datang ke rumahnya untuk mengambil Mykad.

Katanya, polis yang membawa anaknya itu turut memaklumkan Rajathurai ditahan di persimpangan taman perumahan kerana tidak memakai topi keledar serta tiada lesen memandu.

“Selepas memberikan Mykad, polis membawa anak saya ke balai berhampiran, kira-kira dua kilometer dari rumah dan di sana mereka mengeluarkan saman kepada anak saya.

“Saya menegur kesalahannya dan sepanjang perjalanan membawa dia pulang ke rumah dengan berjalan kaki, Rajathurai kelihatan seperti ketakutan dan hanya diam sehingga sampai di rumah," katanya.

Katanya, kali terakhir beliau melihat anaknya itu ketika sedang makan nasi sebelum masuk ke biliknya untuk tidur kira-kira jam 3 petang.

“Saya menjenguknya dua kali dan lihat dia sedang tidur, namun kira-kira jam 5 petang ketika masuk semula ke biliknya untuk meminta pertolongan membeli kelapa, Rajathurai kelihatan tergantung di siling dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi, “ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

(Berita Harian, 4 Julai 2011)